Bab 19

Horror & Thriller Completed 23924

Mawi kehairanan. Adakah gurunya itu sudah tertidur atau pengsan?

“Mawi! Jangan berhenti berzikir!” tiba-tiba Hamidon berteriak, mengingatkan.

Mawi mengangguk, dan terus memusatkan seluruh pancainderanya kepada bacaannya semula. Tadi, dia agak lalai. Kali ini, Mawi memejamkan mata, seperti gurunya.

Di belakang sana, mata Hamidon bagaikan tidak berkelip melihat makhluk jelik yang mengakui dirinya sebagai tuan tasik itu berhempas-hempas di dalam tasik. Seperti sedang bertarung dengan seseorang.

Pada firasat Hamidon, Haji Roselilah lawannya. Haji Roseli yang sentiasa merendah diri, namun tinggi ilmunya. Cuma tidak diwar-warkan di mata umum kecuali hanya beberapa orang teman rapat sahaja yang tahu cerita dirinya yang sebenar.

Kocakan yang terhasil daripada pergerakan makhluk itu membuatkan air tasik beralun. Kadang-kadang nampak makhluk itu menyelam ke dalam tasik, namun tiba-tiba tuan tasik itu melonjak keluar seperti ditarik oleh suatu tangan raksasa.

Ada satu ketika, keseluruhan tubuh tuan tasik berada di dalam tasik kecuali kedua-dua tangannya terawang-awang di udara seperti sedang mencuba hendak melepaskan diri.

Kadang-kadang ekor makhluk itu melibas ke kiri dan ke kanan dan kadangkala kelihatan seperti ekor itu dihempaskan ke air dengan amarah.

Tiba-tiba Hamidon melihat tuan tasik itu bergeliang-geliut di dalam air dan selepas itu, makhluk itu menghilang di dalam air.

Hamidon menelan liur. Menarik nafas, memasukkan oksigen ke dalam paru-parunya yang dirasakan sudah kehausan oksigen. Sedari tadi matanya bulat memerhatikan tiga objek utama di hadapannya.

Dua adalah kawan, satu ialah lawan dan kini lawan itu, sudah berada di bawah air. Namun hanya seketika, makhluk itu melonjakkan tubuhnya semula. Ia berlegar-legar dalam bentuk pusingan dengan suara yang berbunyi seperti keluhan.

Hamidon menunggu. ‘Harapnya Roseli berjaya.’

“Ya Allah, permudahkanlah usaha sahabatku, Roseli,” pinta Hamidon lantas dia meraup kedua belah tangan ke muka sambil mengucapkan amiin beberapa kali.

‘Roseli, teruskan usahamu.’

Seboleh-bolehnya Hamidon tidak mahu matanya terkelip. Kalau boleh, kelopak mata itu, mahu diletakkan pita pelekat agar dia boleh terus memerhatikan sahabatnya dan Mawi.

“Mawi!”

“Mawi!” teriak Haji Roseli.

Mawi membuka mata. Terpinga-pinga.

“Cik?”

“Tebar jala sekarang!” arah Haji Roseli dari tempat dia berdiri. Tangannya masih berkiam.

“Mawi! Kau pergi ke tengah sikit! Terus tebar jala tu!” arah Hamidon pula.

Lalu Mawi terus mengorak langkah, dua langkah, tiga langkah, lima langkah dan di situ dimulakan dengan basmallah, selawat Syifa dan diikuti dengan bacaan dari surah Al-Hasyr, ayat ke-21, dia pun menebarkan jala itu ke air dengan sekuat hati dan sekuat tenaga. Jala yang sudah tidak lagi digunakan oleh Hamidon itu mula tenggelam di dalam air.

Serentak, tuan tasik juga mula tenggelam di dalam air. Perlahan. Perlahan. Dan terus menghilang. Buih-buih udara kelihatan di permukaan air. Dan akhirnya, tidak ada lagi buih udara yang muncul di situ.

‘Alhamdulillah, kerja aku dah selesai.’

Mawi berpusing ke belakang lalu melangkah pantas ke pinggir tasik lalu dia terus naik ke darat. Hatinya lega kerana sudah menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Haji Roseli kepadanya. Tetapi pada waktu yang sama, dia cuak. Adakah tuan tasik itu benar-benar sudah dikurung di dalam guanya seperti yang dirancangkan oleh Haji Roseli atau makhluk itu sekadar bersembunyi mengumpul kekuatan?

Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah dan alhamdulillah beberapa kali, Haji Roseli turut melangkah naik ke darat. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh biarpun bayu malam sedang berpuput lembut mendinginkan suasana.

“Pak cik! Darah!”

“Alah… sikit aje,” jawab Haji Roseli sambil tersenyum.

Hidungnya berdarah, dan dahinya luka, berdekatan kening. Tercedera sedikit ketika bergelut dengan makhluk jelik tadi. Dia akan merawat lukanya itu di rumah kelak. Menurut petua arwah gurunya, kecederaan sebegitu memang boleh terjadi, tetapi ada cara merawatnya agar luka yang terhasil tidak merebak dan bertambah buruk. Apa pun, dengan ilmu dan keimanan yang jitu terhadap TUHAN Yang Esa, insya-ALLAH, kecederaan sebegitu tidak akan mendatangkan mudarat.

“Pak cik tak apa-apa ke?” soal Mawi dengan kening berkerut, kerisauan.

“Pak cik tak apa-apa, Mawi. Dahlah, jom berehat sekejap.”

“Betul ke, pak cik?” Kening Mawi berkerut, dahinya berkedut, risaukan keselamatan gurunya.

“Insya-ALLAH, Mawi. Pak cik tak apa-apa.” Haji Roseli menghadiahkan sebuah senyuman buat Mawi.

Mereka terus melangkah menghampiri tempat Hamidon duduk.

Hamidon bangun. Mengalu-alukan Haji Roseli dan Mawi. Dia sudah pun membentangkan beberapa helai surat akhbar lama untuk dijadikan alas duduk. Jadi bolehlah Haji Roseli dan Mawi melepaskan lelah di situ.

“Insya-ALLAH, benda tu tak mengacau lagilah lepas ni. Kalau ALLAH izinkan. Dan harapnya, tak adalah sesiapa pegi tanggalkan jala tu,” tutur Haji Roseli lalu di sebelah Hamidon.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah makhluk itu akan keluar lagi selepas ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience