Bab 1

Horror & Thriller Completed 23924

“Tok! Tok! Bukak pintu, tok! Tok!”

“Tok! Bukaklah pintu ni cepat!!!”

“Tok!”

Satu suara penuh kecemasan tiba-tiba menggugah keheningan malam di sebuah rumah di Kampung Lembayung Senja. Lelaki yang menjerit-jerit memanggil tuan rumah itu bergerak ke kiri dan ke kanan di hadapan tangga, menunggu kemunculan tuan rumah.

Sesekali langkah kakinya berhenti. Dia merenung pintu yang masih terkatup rapat. Kemudian dia mengeluh lalu melaung memanggil tuan rumah lagi. Bergerak lagi dan berhenti lagi. Gerakannya berkesinambungan bagai tiada brek!

Nampaknya, sepasang kaki yang tidak beralas itu tidak boleh berhenti bergerak sementara mulutnya pula terus-terusan memanggil-manggil Tok, Tok, Tok, tanpa lelah.

Di dalam rumah, Tok Jali yang baru beberapa minit terlelap kembali terjaga. Tubuhnya tersentak seperti terkena kejutan elektrik. Apa yang disangkakannya suatu suara yang muncul dalam sebuah mimpi yang sedang mengganggu keenakan tidurnya rupa-rupanya benar-benar belaka.

Sebenarnya, bilik tidur Tok Jali yang berada di bahagian tengah rumah itu membuatkan suara si pemanggil kedengaran agak sayup.

Orang tua itu memasang telinga. Dalam kesamaran, dia berbalas pandangan dengan isterinya yang juga baru tidur-tidur ayam tadi. Kedua-duanya mengunci mulut, mencuba mendengar jika suara yang kedengaran agak tenggelam timbul tadi akan kedengaran lagi.

Dan memang benar, suara orang memanggil bertingkah dengan bunyi cengkerik dan katak betong berlumba-lumba mengetuk gegendang telinga kedua-dua suami isteri itu. Sesekali, bunyi ungka bersahut-sahutan kedengaran, menambah rancak suasana di malam itu. Dari kejauhan, laungan galak sang anjing mengganggu kedamaian alam.

“Abang, ada orang panggil abang tu. Pergilah tengok.” Isteri Tok Jali menyiku lengan suaminya apabila dilihatnya lelaki itu bagaikan tidak endah sahaja.

Sambil berbaring terlentang dengan mata terkebil-kebil menatapi atap rumah, Tok Jali mengangguk dua kali. Menyetujui kata-kata isterinya. Biarpun tingkahnya itu entah kelihatan di mata wanita itu ataupun tidak.

“Suara siapa agaknya? Awak cam tak?”

“Entahlah, bang. Telinga Putih ni tak dapat nak cam sesiapa dah tengah-tengah malam ni,” jawab Putih berterus-terang.

Lelaki berusia lebih separuh abad itu mengangguk lagi. Dia menyelak selimutnya lalu duduk. Lutut kiri dinaikkan sementara kaki kanan dilipatkan ke dalam. Setelah menarik nafas panjang beberapa kali dan menghembuskannya dari mulut, Tok Jali menggesa dirinya untuk bangun dengan cara menupangkan tangan kanannya ke lantai.

Sebelum itu dia sempat mencapai seutas rantai yang diletakkan di bawah bantal tidurnya tadi. Rantai itu disarung dan dibiarkan terletak elok di dadanya yang boleng. Buah rantai yang bulat yang diperbuat daripada tembaga sebesar tapak tangan seorang anak kecil itu terletak betul-betul di bawah jantungnya, belum sampai ke pusat.

“Hmm… apa sajalah masalah yang timbul kali ni?” Sambil berkata-kata itu, tangannya pantas membetulkan gulungan kain pelikatnya.

“Ada kecemasanlah agaknya, bang,” komen Putih.

“Yalah, kalau tidak, takkanlah orang suka-suka hendak berkunjung,” balas Tok Jali seakan-akan merungut sambil meluruskan pinggangnya yang berasa sedikit lenguh.

“Ini waktu untuk merehatkan tubuh badan yang dah kepenatan, bukan waktu untuk bersiar-siar ke rumah orang,” ulasnya lagi dengan bibir bawah yang dijuihkan sedikit.

Sebenarnya saat itu, Tok Jali berasa tubuhnya berasa agak kurang selesa kerana kepenatan seharian di kebun tadi. Tidak dinafikan, staminanya sudah tidak sekuat dahulu.

“Kalau abang tak sihat, cakaplah kat orang tu. Tapi kesian pulak. Entah-entah ada budak-budak kecik kena sampuk dek jembalang ke apa ke?” ujar isterinya.

“Hmm…”

Sebaik berdiri, lelaki tua itu terus mengatur langkah perlahan ke tepi dinding berhampiran pintu masuk ke biliknya. Di situ, dia mencapai sehelai seluar berwarna hitam yang disangkut pada seutas tali lalu terus disarungkan ke kakinya.

Selepas itu dia merungkaikan gulungan kain pelikat berlatar warna merah yang disarungnya sebelum tidur tadi lalu dinaikkan ke bahu. Kain pelikat itu adalah hadiah daripada seorang jiran. Kerana anaknya yang dikhuatiri tersampuk jembalang tanah telah pulih selepas berubat dengan Tok Jali.

Walaupun keadaan di dalam bilik itu gelap gelita, hanya berpandukan sedikit cahaya bulan yang mengintai dari celah-celah dinding, dan hanya dia dan isterinya sahaja yang berada di dalam bilik, namun bagi Tok Jali, aurat tetap dijaga.

Selepas itu Tok Jali menyimpulkan tali seluarnya tadi dan dikemaskan pula dengan sehelai kain bercorak pucuk rebung sebagai ikat pinggang.

Seluar itu seluar lama. Kaki seluar itu tampak sudah rabik sedikit di bahagian kaki. Sering dipakai kerana memberi keselesaan kepada tubuh si pemakainya.

Selepas kain pelikat pelikat ditanggalkan dan disangkut di tali penyangkut, tangan kanannya mencapai sehelai kain berwarna putih yang sudah kusam warnanya di situ lalu dibelit di kepalanya. Kemudian dia menggosok-gosok lengannya sedikit, menghalau kedinginan yang sudah mula bertapak di tubuh.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang datang ke rumah Tok Jali? Apa yang dia mahukan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience