Bab 4

Horror & Thriller Completed 23924

Dan kalau seorang teruna itu ada ilmu persilatan, ada kebun atau mewarisi kebun dari orang tua mereka, maka mudahlah baginya untuk mencari jodoh.

Agak malang bagi Rejab kerana ibu bapanya meninggal dalam banjir besar di Kampung Bayan, kini dia tinggal berdua dengan neneknya sahaja. Dan mereka berdua, tidak mempunyai sebarang harta benda.

Bagi si dara pula, kalau mereka ada kemahiran menjahit, mempunyai suara yang merdu, pandai memasak, ditambah dengan paras wajah seindah sang purnama yang sedang mengambang, maka cepatlah dipinang orang.

“Habis tu, beritahulah apa halnya.” Suara Tok Jali sedikit meninggi.

Di dalam bilik, Putih berpusing ke kiri. Tertanya-tanya, kecemasan apakah yang dibawa oleh pengunjung yang mengunjungi rumahnya saat malam sudah larut ini sehingga membuatkan suaminya meninggikan suara.

“Ya, tok.” Rejab mengangguk sambil mengesat air matanya lagi. Biarpun turunnya tidak lebat, tetapi dia berasa sedikit malu kerana tidak dapat mengawal emosinya sebentar tadi.

Selepas menarik nafas beberapa kali dan menelan liur, akhirnya dia berkata, “Saya rasa, Ujang dah mati, tok. Dia dah mati. Kena telan dek Tasik Cuping tu.”

Dia memuncungkan mulutnya ke arah lorong yang dilaluinya tadi selepas sekalian ayat yang dikarangnya habis dikeluarkan.

“Mati? Tasik Cuping? Engkau berdua pergi ke Tasik Cuping?”

Rejab mengangguk dengan matanya yang bulat bundar.

Rejab memang mempunyai sepasang mata yang bulat. Keningnya agak tebal namun tersusun rapi. Kulitnya yang sawo matang membuatkan dia kelihatan seperti seorang hero bangsawan di zaman itu. Namun nampaknya, kekacakan paras wajah sahaja tidak mencukupi.

“Siapa lagi yang ke sana dengan kamu?” tanya Tok Jali, mengeraskan suaranya.

Masalahnya, sebelum ini dia pernah berpesan kepada penduduk kampung, agar tidak ke Tasik Cuping. Katanya, tasik itu keras. Bahana padahnya jikalau nasihatnya tidak dituruti. Jadi apabila pesanannya tidak diendahkan, amarah Tok Jali mulalah meningkat. Telinganya mula berasa panas.

“Ka… ka… kami berdua aje, Tok,” jawab Rejab, takut-takut.

Tok Jali menggeleng lalu mengeluh. Dia menepuk-nepuk bahu kanan lelaki muda yang ada di hadapannya.

“Aku nak naik ke rumah sekejap, nak beritahu Mak Tok engkorang tu, yang aku ada hal. Hal penting. Sekarang, aku nak kau ke rumah Selamat, kejutkan dia. Suruh dia bangun. Kata kat dia, aku nak ajak dia ke Tasik Cuping, malam ni jugak. Tidak boleh tidak. Faham?”

Mak Tok ialah panggilan orang kampung kepada Putih, isteri Tok Jali.

“Hah? Apa, tok?”

“Kau faham tak apa aku cakap tadi?” Tok Jali menjegilkan matanya ke arah Rejab dengan suara yang dikeraskan.

“Ya. Ya.” Rejab mengangguk. Tidak mahu menyuruh orang tua itu mengulang kata-katanya. Silap-silap haribulan, makan penampar pula dia nanti.

“Saya faham, tok.” Lantas dia terus berlari ke lorong yang dimasukinya tadi untuk ke rumah Selamat, yang berada di sebelah rumah Tok Jali sahaja.

Rumah kedua-dua sahabat baik itu dekat sahaja sebenarnya, tetapi ada sebuah parit menyempadani rumah Tok Jali dan rumah Selamat. Oleh itu, walau macam mana pun, Rejab memang terpaksa keluar semula dari kawasan rumah Tok Jali dan dia harus memasuki lorong lain untuk ke rumah Selamat pula.

Sebelum memulakan langkahnya, cepat-cepat dia mencapai jamungnya yang berada tanah. Dia mengibas-ngibaskan jamung itu beberapa kali untuk memarakkan apinya semula.

Melihat Rejab berlari seperti lipas kudung memasuki lorong kecil itu semula, Tok Jali terus menaiki tangga lalu masuk ke rumah. Langkah kakinya dihalakan ke bilik tidur. Di situ, dia memberitahu isterinya bahawa dia ada kecemasan dan harus ke Tasik Cuping secepat mungkin.

“Hati-hati, bang. Tempat tu bahaya. Malam-malam pulak ni. Ajaklah Selamat, buat peneman,” ujar Putih yang sudah pun duduk sambil menyiput rambutnya yang sudah mula menipis.

Kala melihat suaminya buru-buru masuk tadi, Putih yang masih berbaring terus duduk. Manalah tahu, kalau-kalau Tok Jali mahu meminta dia menyediakan apa-apa, tidaklah kalut dia hendak bergerak.

“Ya, aku tau. Aku dah suruh Rejab pergi ke rumah Selamat,” jawab Tok Jali sambil mencapai parang bersarung yang berada di gobok pakaiannya lalu terus diselitkan di belakangnya, iaitu di tali pinggang kainnya.

Parang itu penting jika masuk ke hutan. Tujuan utamanya ialah mudah untuk menebas semak-samun yang menghalangi perjalanan. Selain daripada itu, jika ada sesiapa meminta tolong untuk menyembelih haiwan buruan seperti kancil, pelanduk dan sebagainya, boleh sahaja dilaksanakan tanpa bertangguh.

Selepas saling berpesan lagi, Tok Jali meminta diri. Putih bangun lalu mengekori suaminya dari belakang. Dan sebaik sahaja suaminya menuruni tangga, dia terus menutup pintu itu. Selepas ‘kunci’nya dipasang semula, Putih terus menuju ke bilik, untuk menyambung tidurnya yang tergendala tadi.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang menyebabkan Ujang mati di Tasik Cuping? Apa yang mereka berdua lakukan di sana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience