Bab 8

Horror & Thriller Completed 23924

Nalurinya memberitahu, di dasar Tasik Cuping itu ada sebuah gua. Dan gua itu didiami oleh sesuatu.

Sesuatu yang bakal membawa onar ke Kampung Lembayung Senja. Bukan bakal membawa onar, tetapi sudah pun pun memulakan rancangan jahat dan terkutuknya untuk mengganggu penduduk kampung yang hendak mencari rezeki di tasik itu.

Dia belum tahu apa lagi makhluk apakah yang berada di bawah air itu, tetapi dia berazam akan berunding dengan makhluk itu. Walau apapun makhluknya.

“Ikut sajalah, Rejab. Banyak soal pula kau ni. Ayuh!” gesa Pak Selamat.

Rejab melajukan langkahnya, tetapi kemudian dia memperlahankan langkahnya.

“Kenapa, Rejab? Kau takut?” soal Selamat dari belakang.

“Mestilah, Pak Selamat. Saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri macam mana Ujang terjatuh ke tasik tu,” kata Rejab dengan jari telunjuk mengetuk-ngetuk tulang pipinya.

“Mata kepala saya ni nampak dia tenggelam timbul dalam air tu, Pak Selamat. Tangan dia menggapai-gapai mintak tolong tapi malangnya saya terlalu takut nak terjun ke dalam air tu,” jawab Rejab lalu memuncungkan bibirnya ke tasik. Sambil itu jari telunjuknya yang berada di tulang pipinya tadi sudah berpindah ke kepalanya pula. Di situ, jari itu mengetuk-ngetuk tempurung kepalanya beberapa kali.

“Kalau kau terjun, mungkin kau boleh tolong dia.”

“Aishh, Pak Selamat buatlah sendiri. Saya tak berani. Nanti silap-silap hari bulan, saya pun kena telan dek tasik puaka tu!” ujar Rejab dan terus menamakan Tasik Cuping itu sebagai tasik puaka.

Selamat ingin membalas kata-kata Rejab tetapi Rejab telah mengutarakan pendapatnya terlebih dahulu, “Tak sangka, ikan yang banyak di dalam tasik tu rupa-rupanya hanya umpan sahaja!” Nadanya marah dan hampa. Dia berdecit beberapa kali.

Diam tak diam, Tok Jali sudah pun berada di tebing berbatu. Dengan bantuan jamungnya, dia memerhati ke bawah. Andainya Ujang kelihatan di situ, sudah pasti dia akan terjun untuk menyelamatkan Ujang. Walaupun umurnya sudah agak lanjut, namun Tok Jali masih mampu menyelam untuk selama sepuluh minit ke lima belas minit, lebih kurang.

Selepas melihat ke sana ke mari, Tok Jali mencacakkan jamungnya ke tanah. Berhati-hati, dia menuruni tebing berbatu itu. Dia memijak batu-batu di situ dengan berhati-hati. Nasibnya baik kerana ada batuan yang boleh dijadikan tangga, sekaligus memudahkan usahanya untuk turun ke bawah.

“Ini kail Ujang ke?” soal Tok Jali sambil mengangkat sebatang kail yang berada di tangannya.

“Ya, tok,” jawab Rejab sambil mengangguk laju.

Rupa-rupanya tadi Tok Jali ingin mengambil sebatang kail yang terselit di celah-celah batu di situ.

Tok Jali menghulurkan kail itu ke atas dan disambut hujungnya oleh Rejab.

Selepas kail terlepas dari tangannya, Tok Jali berpaling menghadap ke tasik semula. Mulutnya kumat-kamit berkata sesuatu atau membaca sesuatu. Sesuatu yang hanya boleh didengari oleh telinganya sahaja.

Sebenarnya lelaki yang sudah lanjut usia itu sedang menyeru satu makhluk yang berada di bawah air itu. Makhluk yang sedang memerhatikan mereka bertiga dalam diam.

Tok Jali menarik nafas panjang. Nampaknya panggilannya tidak mendapat sebarang respon dari makhluk tersebut. Jadi, dia membongkok sedikit dan mengambil seketul batu kerikil di tepi kaki kanannya.

“Aku bukan hendak mengganggu kau, aku panggil kau untuk berbincang. Kalau kau betul anak jantan, kau mesti keluar selepas pintu rumahmu ku ketuk dengan batu yang kecil ini.” Lalu Tok Jali menghembus ke batu itu dan seterusnya dia menjentik batu itu ke dalam tasik.

Tidak lama menunggu, pusaran air mula kelihatan di tengah tasik. Pada mulanya perlahan dan semakin laju dan laju dan dalam sekelip mata, pusaran air itu seolah-olah membentuk satu terowong atau lorong menghala ke dasar tasik. Pusaran air itu sangat laju dan cukup memeningkan jika dilihat dengan sepenuh perasaan.

Rejab mengerdip-ngerdipkan kelopak matanya beberapa kali untuk menghindarkan rasa tidak selesa yang semakin menyucuk di kepalanya.

“Jangan tengok!” pesan Pak Selamat lalu menepuk-nepuk bahu Rejab.

Rejab mengangguk lantas membuang pandang ke arah lain. Wajahnya berpeluh.

Beberapa detik sebelum Ujang terjatuh tadi, Rejab tidak tahu pun yang sebenarnya Ujang juga telah terlihat perkara yang sama. Pusaran air itu bagai mempunyai satu kuasa yang boleh memukau mata yang melihat dan membuatkan orang yang terpukau menjadi bingung, seterusnya tidak dapat mengawal diri, tidak dapat mengawal fikiran, lalu terjatuh ke dalam tasik.

Selepas beberapa detik, muncul satu lembaga dari tengah pusaran. Pusaran air yang laju tadi menjadi semakin perlahan. Sehingga akhirnya air tasik itu menjadi tenang setenang kolam hati yang aman damai dihiasi teratai yang mekar dan indah.

Perlahan, satu lembaga berenang mendekat. Lembaga atau makhluk berupa seekor ular yang besar.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah bentuk makhluk itu? Adakah dia penjaga Tasik Cuping?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience