Bab 15

Horror & Thriller Completed 23924

Lampu suluh di tangan kirinya disuluhkan tepat ke mata makhluk menjalar itu.

“Tapi kalau kau cuma makhluk ALLAH, sama sepertiku, lebih baik kau menghindar kerana aku datang ke sini bukan hendak mencari geruh denganmu. Kita sama-sama cari rezeki, kau dengan cara kau, aku dengan cara aku,” ujarnya dengan nada yang lebih lembut namun tetap tegas.

Sebagai penjagaan diri, sebatang buluh tumpat sepanjang kira-kira satu setengah kaki ditarik keluar dari belakang tubuhnya lalu digenggam erat. Buluh yang memang sentiasa dibawanya.

Buluh itu disisipkan di tali pinggangnya sebaik sahaja dia sampai di tepi tasik itu tadi. Dan seberkas kecil garam memang sering dibawanya di dalam kocek seluarnya dan akan digunakan di saat-saat kecemasan seperti itu. Garam merupakan bahan terbaik untuk digunakan kala berhadapan dengan haiwan berbisa dan merbahaya seperti ular.

Seperti faham dengan kata-kata makhluk manusia yang menggunakan Bahasa Melayu itu, emosi ular tedung senduk yang garang tadi mula kendur. Perlahan, haiwan itu merapatkan semula tubuhnya yang tegak tadi ke tanah dan terus menyusur ke tepi, memasuki semak-samun yang agak tebal di situ. Cadangnya, mahu meneruskan pencariannya. Entah ke mana sang tikus tadi sudah melarikan diri.

Selepas melihat makhluk ALLAH itu menghilang di sebalik semak, lelaki itu berpatah ke belakang. Ke jalan besar. matanya menangkap cahaya lampu dari sebuah lampu kereta yang masih berada di tepi jalan.

Jalannya perlahan. ‘Penat jugak berlari tadi. Mengah aku dibuatnya,’ detik hatinya.

‘Fuh… macam pelumba lari 100 meter,’ bicara hatinya lagi dalam keadaan termengah-mengah.

Jantungnya berdegup kencang. Kali ini dia bernafas melalui mulut dan menghembus karbon dioksida juga melalui mulut. ‘Tak boleh buat selalu, mau semput aku nanti,’ bisik hatinya dan mulutnya terus mengukir senyuman.

Lucu pula apabila dikenangkan bagaimana dia menghambur dan bercakap dengan ular padahal itu adalah pengalaman pertamanya. Sambil berjalan sambil tersengih. Dengusan nafas keras kedengaran dari rongga mulutnya.

Selama dia merayau-rayau di merata tasik dan sungai untuk mengail, berbekalkan buluh tumpat dan garam sebagai senjata, seperti yang dipesan oleh datuknya; tidak pernah pula terlintas di hatinya yang dia akan berhadapan dengan haiwan berbisa seperti tadi. Kebiasaannya dia cuma bertarung dengan ikan.

‘Kalau boleh dielak memang mahu dielak,’ fikirnya.

Tetapi yang paling tidak sanggup dilihatnya adalah peristiwa tadi. Sebaik motosikal diparkir di tepi lorong, dia terlihat satu peristiwa yang baginya, amat dahsyat dan ngeri. Betapa cemas dan walang hatinya tadi tatkala terlihat dua orang remaja itu lari bagai tidak cukup tanah bermula dari tebing tasik dan kemudian dikejar pula dek sang ular.

Daripada perasaan kasihan timbul perasaan ingin melindungi. Itulah sebabnya selepas brek ditekan dan selepas helmet dicampakkan ke rumput, dia terus berlari mendapatkan remaja itu. Pada masa itu, tiba-tiba sahaja ingatannya terbawa kepada adiknya di rumah. Itulah sebabnya dia bertindak nekad tadi.

Di motornya, dia mematikan enjin kenderaan beroda dua itu. Baru dimatikan. Tadi, segala-galanya tidak sempat. Masa itu emas.

******

Mawi, iaitu lelaki tadi, mengetuk cermin tingkap kereta Myvi berwarna hijau metalik yang masih belum meninggalkan tempat kejadian.

“Eiii… abang ni sapa? Abang ni hantu ke orang?” tanya Imran dengan wajah pucat lesi tanpa sedikit pun menurunkan cermin tingkap. Kedua-dua tangan digenggam erat, diletakkan berhampiran dada. Entah sedang bersedia hendak menumbuk atau sebagai pertahanan diri.

“Ha? Apa? Engkau cakap apa? Abang tak dengar!” jawab Mawi sambil meletakkan tangan kanan di belakang cuping telinga kanannya.

Mawi melihat remaja lelaki di dalam kereta itu masih membuka mulut, tapi butir bicaranya seperti tidak jelas. Kelihatan seperti dia menyebut hantu atau sesuatu atau batu lalu Mawi memusingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri untuk memastikan keadaan sekeliling sudah selamat.

“Apa? Keluarlah. Mana ada hantu!”

“Dah selamat dah. Ya ALLAH… tak ada orang bawak batu kat sini!” ujarnya lagi sambil merenung wajah remaja lelaki dan perempuan itu silih berganti. Lampu suluhnya disuluhkan ke muka si lelaki dan kemudian ke muka si perempuan.

Si perempuan nampaknya sedang sibuk mengesat air mata sementara si lelaki terus melontarkan suara dari sebalik cermin, “Abang ni sapa? Abang ni sapa?”

Mawi mendengus. Geram juga dibuatnya. Macam mana hendak berkomunikasi apabila segala kata-kata yang keluar terhalang oleh kaca. Memanglah masih boleh terdengar cebisan-cebisan ayat itu, tetapi masalahnya, tidak jelas! Blur!

‘Hish. Hapa benda pun aku tak paham.’

Lantas Mawi bertindak mengetuk cermin itu dengan lebih kuat diselangi gamitan menyuruh mereka keluar.

Imran dan Atieqah saling bertukar pandangan. Akhirnya Imran bertindak membuka pintu kereta. Nampak seperti dia menyuruh Atieqah keluar dengan segera.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapakah pemuda bernama Mawi itu? Dari mana dia datang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience