Bab 18

Horror & Thriller Completed 23924

Mawi turut melakukan perkara yang sama. Dan Mawi pula, dia masih dengan sebatang buluh yang diselit di belakangnya seperti pedang samurai dan seberkas garam di dalam kocek seluarnya.

“Ingat pesan pak cik tadi, baca basmallah, baca fatihah tujuh kali, ayat kursi tujuh kali, Yasin pun ulang tujuh kali, lepas tu tiga kul, setiap satu tu kau baca tiga kali…”

“Tujuh kali.” Mawi menyedarkan Haji Roseli yang tersasul.

“Hah, ya, tujuh kali. Lepas tu kau teruskan berselawat. Yang lain-lain, biar pak cik yang uruskan.”

Mawi mengangguk. Matanya bulat merenung Haji Roseli. Walaupun dia seorang yang berani, namun sedikit sebanyak, aura takut tetap menyinggahi hatinya. Namun berbekalkan keyakinan bahawa ALLAH ada di samping orang yang berjuang untuk manfaat agama, bangsa dan negara; keberanian dan kecekalannya datang semula.

“Haish, lupa pulak pak cik. Baca ayat Qullayusi bana qatabalhulana.”

“Tujuh ayat pelindung diri?”

Haji Roseli mengangguk dengan pertanyaan Mawi.

“Insya-ALLAH, pak cik. Saya ingat semua tu.”

Haji Roseli tersenyum dan kemudian dia mengangkat jala Hamidon tadi dengan kedua-dua belah tangannya. Boleh tahan juga beratnya. Bagi orang yang tidak biasa memegang jala, mungkin akan jatuh tersungkur bersama-sama jala itu.

Dengan langkah kanan dan basmallah, Haji Roseli memulakan geraknya. Seperti yang diarahkan kepada Mawi, pekerja am merangkap guru agama kecil-kecilan itu membaca surah al-Fatihah sebanyak tujuh kali dan seterusnya, sekalian ayat-ayat yang dinyatakannya tadi. Lidahnya terus-terusan dibasahkan dengan ayat-ayat suci Al-Quran itu dan hatinya terus-menerus berzikir La Ila Haillah La Ila Haillah La Ila Haillah.

“Nah, Mawi. Kau ambik jala ni. Bila pak cik kata, tebarkan jala tu. Kau tebarkan.”

“Masuk ke tengah sikit ya?” tanya Mawi sambil mengambil jala tersebut dari tangan Haji Roseli.

“Ya,” jawab Haji Roseli lalu terus berkiam tangan di gigi air itu.

“Malam ni, kita akan kurung tuan tasik ni,” katanya lantas terus memejamkan mata sambil mulut dan hatinya bersatu membaca ayat-ayat suci.

Dengan jala di tangan, Mawi juga mula membaca ayat-ayat suci seperti yang dipesan oleh Haji Roseli tadi.

Kesunyian mula membaluti suasana. Sesekali kedengaran bunyi enjin kenderaan di jalan raya. Angin yang berhembus menyegarkan juga mendinginkan. Hamidon sudah mula menggigil di tempat duduknya. Nasib baik dia membawa jaket tebal untuk menghangatkan tubuhnya. Walaupun dia tidak berdiri bersama-sama sahabatnya dan Mawi di gigi air, namun Hamidon juga turut membaca ayat-ayat suci, sebagai penjagaan diri.

Tidak lama kemudian, kelihatan Haji Roseli membuka mata lalu menghembus ke arah tasik. Dia melakukannya sebanyak tiga kali.

Sekarang, dia hanya perlu menunggu. Jika benar tasik itu ada tuannya, tentu tuannya akan marah dan akan keluar mencabarnya, fikir Haji Roseli.

Dalam pada menunggu itu, Haji Roseli terus membaca zikir. Memperkuatkan ruhaninya.

Sesungguhnya, tiada yang mustahil jika dengan izin ALLAH SWT. Seperti yang dijangka, air tasik mula berpusar. Pusaran itu terbentuk di bahagian tengah tasik, bermula dengan pusaran yang kecil dan semakin membesar.

Haji Roseli menanti. Mawi menunggu. Hamidon berdebar. Tuan tasik marah. Sudahlah sepatutnya dia sudah boleh berehat melegakan perut, malangnya sudah dua minggu makhluk itu keluar mencuba mendapatkan mangsa, tetapi ada-ada sahaja faktor yang menggagalkan usahanya.

Tuan tasik keluar dari guanya dengan perasaan marah dibayangi lapar. Dari tengah tasik itu dia bertempik memarahi sesiapa sahaja yang mengganggu dia tadi, “Siapa yang menghantar angin puting beliung ke rumahku?” Dan dia terus berenang dengan pantas menghala ke tempat Haji Roseli dan Mawi berdiri.

Jantung Mawi berdegup kencang melihat cara makhluk itu berenang. Mendengar bunyi yang keluar dari mulut makhluk itu pula hampir membuatkannya berundur. Tidak tahu adakah ngauman atau sekadar teriakan seumpama guruh, namun cukup untuk menggetarkan jantungnya.

Ombak yang terhasil daripada pergerakan itu mulai membadai pinggir tasik. Mawi terpaksa mengukuhkan dirinya. Kalau tidak berjaga-jaga, mungkin akan terjatuh.

Mawi menjeling ke kanan. Nampaknya Haji Roseli masih berdiri teguh di gigi air. Tidak bergerak, sedang berzikir, dengan mata terpejam.

Kemudian Mawi melihat ke tasik semula, dilihatnya tuan tasik itu sedang berlegar-legar di tengah-tengah tasik, berenang dengan agak laju berulang-alik ke kiri dan ke kanan. Biarpun tadi nampaknya seperti tuan tasik itu mahu menyerang Mawi dan Haji Roseli, tetapi ada sesuatu yang membuatkan makhluk itu sibuk di tengah-tengah tasik.

Mawi agak bingung. Banyak yang ingin ditanya lalu dia memandang Haji Roseli semula. Tetapi mulut Mawi automatik bagai digam sebaik dilihatnya mata Haji Roseli masih terpejam dan bibir guru agama itu terkatup rapat. Kedudukan orang tua itu masih tidak berganjak.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa makhluk itu berlegar-legar di tengah tasik itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience