Bab 13

Horror & Thriller Completed 23924

“Alololo,” usik Atieqah sambil mencuit hidung Imran yang tidak berapa mancung itu. Hidung orang Melayu. Tapi… bolehlah untuk cari makan.

Kemudian, sambil melangkah, Atieqah melentokkan kepalanya ke bahu Imran. Pautannya masih tidak dilepaskan.

“Sweetnya dia, merajuk pulak. Jomlah! Kita lepak kat tebing tu, ek.” Kali ini, Atieqah pula yang menarik tangan Imran ke dalam genggamannya. Kemudian, seperti berlari, dia menarik lelaki itu untuk mengikuti langkahnya pula.

Keadaan di tasik ketika itu memang sunyi. Mungkin tiada yang mahu mengunjungi tasik itu di pertengahan minggu. Lainlah kalau malam Sabtu, akan ada sekurang-kurangnya enam buah kereta dan lebih daripada 10 buah motosikal akan diparkir di tepi tasik itu. Rata-rata pengunjungnya ialah kaki pancing yang datang berkumpulan atau berseorangan.

Cuma… ada satu masalah di Tasik Cuping itu. Ya, masalah. Dan sehingga ini, tiada siapa pun tahu bagaimana hendak mengatasinya. Dan, TIDAK semua orang tahu tentang itu.

******

Duduk berdekatan. Paha saling berlaga. Tangan saling menggenggam. Cahaya bulan separuh menjadi saksi kepada perbincangan tentang masa hadapan di antara Imran dan Atieqah. Angin berpuput lembut, menimbulkan suasana romantik buat dua remaja itu.

Mata saling merenung. Terkadang Atieqah menunduk malu. Terkadang Imran mengerdipkan matanya. Sibuk. Sibuk dengan perbincangan tentang masa hadapan. Mana hendak menarik nafas untuk memastikan paru-paru terus berfungsi. Mana pula hendak menghembuskan karbon dioksida keluar supaya tubuh tidak keracunan. Mana ada masa untuk memerhatikan pusaran air yang mulai terbentuk di tengah tasik itu. Betul tak?

Orang sedang berbincang tentang masa hadapanlah katakan. Tentu sibuk.

Saat ini, tiba-tiba hati ini tertanya-tanya. Adakah tiga purnama dan beberapa hari sudah berlalu? Adakah masanya untuk makan malam sudah tiba bagi sesuatu itu? Apakah namanya? Adakah dot dot dot atau ehem ehem itu masih dipanggil dengan kata ganti nama, tuan tasik?

Peristiwa membuang ancak ke tengah tasik itu sudah lama berlalu. Kejadian itu mungkin terjadi 80 tahun yang lalu. Tiada fakta sejarah yang membuktikan, justeru, kewujudan tuan tasik tidak pernah tercatat dalam mana-mana buku tawarikh. Kalau ada kedengaran di telinga sesiapa pun, perkara itu lebih kepada mitos, lagenda dan cerita rakyat yang diwarisi turun-temurun.

Pembangunan di sekeliling Tasik Cuping juga amat pesat kini. Jalan raya yang luas sudah dibina. Malah Kampung Lembayung Senja pun sudah tiada.

Hmm… ada! Sebenarnya, ada. Cuma, perkampungan itu sudah digantikan dengan pembinaan kolej matrikulasi sebuah universiti swasta yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang berkolaborasi dengan satu pusat pendidikan tempatan.

Kesedaran terhadap agama juga bertambah jitu kini. Terima kasih dengan aktiviti dakwah yang banyak dianjurkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan tempatan. Ramai yang sudah sedar bahawa adat pembuangan ancak sebagai jamuan, hadiah, cenderahati kepada penunggu, jembalang, hantu dan sebagainya adalah khurafat. Perlu diberhentikan sama sekali.

Tetapi bagaimana pula dengan perbincangan tentang masa hadapan yang sedang giat dilakukan oleh dua remaja di tebing berbatu itu? Apa cerita tu? Apa ceritanya?

“Eh! Apa tu?”

Atieqah baru tersedar akan kejadian aneh yang berlaku di tengah tasik. Matanya lekat di situ. Dia menggerakkan tubuhnya sedikit. Cuba melonggarkan dakapan erat lengan Imran di tubuhnya.

Reaksi yang diberikan oleh Atieqah membuatkan si lelaki melonggarkan dakapannya yang amat padu dan kejap tadi. Kini, tubuh Imran juga sudah dikalihkan sedikit, menghadap ke tasik. Dan seperti Atieqah, dia juga terus menumpukan perhatiannya ke tengah tasik.

“Biy, apa tu? Miy takutlah.” Atieqah terus bangun sambil menarik lengan Imran.

“Hah?” Imran memandang girlfriendnya. Mereka sudah declare. Girlfriend, bukan sekadar kenalan.

Dia memalingkan kepalanya ke tasik. Pusaran air yang terbentuk di tengah tasik semakin laju. Tidak berkelip mata Imran melihatnya. Sesungguhnya itu adalah kali pertama dia melihat fenomena ajaib itu. Mulutnya ternganga. Dia menarik semula lengannya yang ditarik oleh Atieqah tadi.

“Biy!” gesa Atieqah.

“Tieqah takutlah… jomlah balik,” sambungnya sambil menarik kolar baju Imran, yang senget sedikit kedudukannya.

“Tieqah?” Imran mengerutkan kening.

Nama itu bagaikan terlalu asing kerana mereka sudah biasa memanggil diri masing-masing dengan panggilan manja.

“Ya ALLAH! Im, jomlah balik. Tieqah takutlah.” Dan Atieqah terus menarik-narik kolar baju Imran.

“Okey.” Lalu Imran bangun dan pada masa yang sama, satu kepala terjulur keluar dari tengah-tengah pusaran air.

Lirikan mata Imran sempat menangkap kelibat itu.

“Ha… hantu?” Dia terpekik, terkejut.

“Miy! Cepat lari! Ada hantu!” jeritnya sambil menarik tangan Atieqah untuk meninggalkan tebing itu.

“Cepat, Biy! Cepat!” Sambil berlari, Atieqah turut menjerit.

“Tolong! Tolong! Ada hantu air mengamuk!” jerit Atieqah lagi dengan suaranya yang nyaring.

Macam mana dia tidak menjerit ketakutan.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Imran dan Atieqah dapat menyelamatkan diri mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience