Bab 5

Horror & Thriller Completed 23924

Untuk hal-hal sebegini, Putih tahu, tiada apa yang boleh dibantu. Lainlah kalau yang datang itu pesakit yang sedang kerasukan, sudah tentu dia harus menyediakan air semangkuk, limau, pisau kecil dan kemenyan.

Di tanah, Rejab dan Selamat pun baru sampai. Rejab dengan wajah yang cemas berbaur takut sementara Selamat dengan raut wajah terpinga-pinga kehairanan. Biarpun dia sudah biasa dikejutkan di tengah-tengah malam buta begini oleh Tok Jali, tetapi dia tetap belum faham apakah sebenarnya yang telah terjadi kepada Ujang.

Rejab pula apabila ditanya oleh Selamat, percakapannya agak merapu dan dia asyik mengulang-ulang cerita yang menyatakan bahawa Ujang sudah ditelan oleh Tasik Cuping.

“Dah sedia?”

Rejab mengangguk. Selamat pula memilih untuk memerhati.

“Kalau macam tu, ayuh kita ke Tasik Cuping dengan segera,” kata Tok Jali sambil mengangkat tinggi jamung yang berada di tangan kanannya. Jamung yang telah dinyalakan oleh Selamat tadi.

Selamat terus mengambil tempat di belakang Tok Jali. Di belakang Selamat ialah Rejab. Dia juga mengangkat tinggi jamung di tangan kanannya untuk menerangi perjalanan.

Selepas kira-kira sepuluh tapak melangkah, Tok Jali memanggil Rejab untuk berjalan rapat dengannya. Lalu Selamat bertindak memberikan ruang buat Rejab dan meminta Rejab menyerahkan jamung kepadanya.

Jamung bertukar tangan dan kini, Rejab berjalan di tengah. Agak rapat dengan Tok Jali. Mengekori langkah Tok Jali dengan berhati-hati agar tidak tersondol atau terpijak kaki orang tua itu.

“Rejab,” panggil Selamat.

“Ada apa, Pak Selamat?” tanya Rejab sambil berpaling seketika ke belakang.

Selamat melambaikan tangan menyuruh Rejab menunggunya. Kemudian, mereka berjalan bersaingan, mengekori Tok Jali sambil melangkah berhati-hati. Takut terpijak lipan atau ular, nanti lain yang dituju, lain pula jadinya.

“Rejab, aku tidak berapa gemar melihat cara kau melangkah,” ujar Selamat sambil mengerling ke wajah Rejab kemudian pandangan matanya diarahkan ke kaki Rejab.

“Kenapa, Pak Selamat?” balas Rejab, kehairanan. Dia turut memandang kepada kedua-dua kakinya. Manalah tahu, kalau ada apa-apa yang pelik di situ.

“Cara kau memijak Bumi itu.”

“Kenapa dengan cara saya?”

“Menurut arwah guruku, gaya kau berjalan itu adalah gaya orang berjalan orang yang mempunyai ilmu persilatan yang tinggi. Angkuh dan penuh kebanggaan.” Tegas penerangan Pak Selamat.

“Hah?” Rejab kehairanan dan secara automatik, dia terus berhenti melangkah.

Pemuda berusia 25 tahun ini berjalan dengan cara menghentakkan keseluruhan tapak kakinya, jadi secara tidak langsung, suatu bunyi akan terhasil.

“Bahaya. Kalau kau ke Kampung Kelapa Tunggal, nescaya para pendekar di sana akan mengujimu,” sambung Selamat, menegur sambil menasihati.

Pada zaman itu, segala perkara perlu dijaga. Dari cara memandang orang yang lebih tua, cara berkomunikasi dengan orang yang lebih tinggi ilmunya, cara berjalan, cara bersalam, cara membawa senjata, semua itu mempunyai simboliknya yang tersendiri.

Rejab menelan liur, lalu mengangguk. Wajah ditundukkan ke bumi. Neneknya pernah menegur, tetapi Rejab yang tidak pernah ambil kisah akan teguran itu.

“Rejab!” Tiba-tiba Tok Jali bersuara.

“Ya, tok.” Rejab terus mencepatkan langkahnya mendekati Tok Jali.

“Cuba kau ceritakan dari awal hingga akhir apa sebenarnya yang terjadi kepada Ujang.”

Rejab mengangguk dengan disaksikan oleh Selamat yang kini berada di belakangnya.

Tanpa berlengah, dia terus membuka mulut, “Senja tadi kami pergi mengail, Tok. Macam biasalah. Memang kami selalu ke Tasik Cuping. Sebab kat situ banyak ikan,” mula Rejab.

“Aku dah kata jangan pergi ke Tasik Cuping tu, jangan pergi. Tapi kamu semua, orang muda, tak nak dengar cakap aku…” rungut Tok Jali, sedikit hampa mendengar kenyataan Rejab itu.

“Yalah, Tok. Kami salah. Saya salah. Sebab ingkar perintah Tok,” akui Rejab, dihantui rasa serba-salah.

Dia merenung kain pengikat kepala Tok Jali dengan pandangan yang redup seolah-olah ingin meminta maaf atau meminta simpati namun orang tua itu sedikit pun tidak berpaling ke belakang untuk memandangnya.

Bagi Tok Jali, sebenarnya dia amat kecewa dengan sikap segelintir anak muda di kampungnya. Degil. Angkuh. Tidak mendengar cakap. Tetapi apabila diri dilanda bencana, dihimpit petaka, tahu pula mereka jalan ke rumahnya. Tahu pula mereka takut lalu tertunduk-tunduk kala bercakap dengannya.

Sedangkan pada hari-hari biasa, selagi boleh menyisih, mereka akan menyisih. Pandai pula mereka berkata jemu mendengar nasihat Tok Jali, orang tua yang sudah semakin singkat usianya itu.

Memandangkan Tok Jali berdiam diri bagai tidak sudi hendak membalas kata-katanya, Rejab menyambung, “Tadi kami cuba tempat baru. Bukan di tebing yang ada pondok tu, kami pergi jauh sikit. Saja nak cuba, manalah tahu, kalau-kalau boleh dapat lebih banyak ikan.”

Tok Jali berhenti melangkah sekaligus membuatkan Rejab dan Selamat turut menghentikan langkah mereka.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Tok Jali melarang penduduk ke Tasik Cuping? Apakah sejarah Tasik Cuping itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience