Bab 7

Horror & Thriller Completed 23924

“Jali, ikut di sebelah kiri, dekat sikit,” Tiba-tiba Pak Selamat bersuara.

Rejab yang baru hendak sahaja mendapat tempo berceritanya terus terhenti. Bagaikan sudah mati kutu. Dia berhenti di situ menunggu riak Tok Jali.

“Kiri? Tak boleh. Ada sesuatu di situ,” beritahu Tok Jali sambil meneruskan langkahnya di lorong yang dipilihnya, iaitu lorong yang jauh sedikit.

“Oh…” Pak Selamat akur. Tidak mahu bersoal-jawab.

“Hah? Jangan!!!”

“Eh, kenapa dengan engkau ni, Rejab? Tiba-tiba sahaja engkau menjerit. Nasib baik tidakku libas dengan parangku ini tadi,” ujar Pak Selamat, spontan teus menggenggam hulu parangnya.

Tok Jali yang berada di hadapan hanya mampu menggeleng dengan perangai Rejab yang tidak sempurna itu. Nampaknya, masih banyak lagi yang perlu Rejab pelajari dari segi pergaulan dengan orang yang lebih dewasa.

Terus Rejab mengangkat tangan seperti seorang pesalah. Genggaman Pak Selamat di hulu parangnya terus dikendurkan. Nasib baik dia bukan pelatah, kalau tidak, mungkin ada yang mendapat geruh malam itu.

“Pak Selamat, Tok, jangan ikut jalan tu. Dua hari lepas saya dan Ujang ternampak ular di situ! Setinggi pokok kelapa! Elok je tegak berdiri,” ujar Rejab sambil mengangkat tangan kirinya setinggi yang boleh untuk menunjukkan ketinggian ular itu.

Dia berpaling ke belakang, memandang sekilas kepada Pak Selamat.

“Masa tu saya nak cari rotan, Pak Selamat.”

“Oh…” jawab Pak Selamat sedikit kehairanan. Dia tidak tahu pun akan kewujudan sesuatu yang aneh seperti itu kerana sudah hampir dua minggu dia tidak ke Tasik Cuping.

“Aku tau tu, Rejab. Dahlah, jangan ganggu urusan yang tak ada kena-mengena dengan kita. Kita ikut jalan lain,” perintah Tok Jali dengan garang.

“Tapi… ular tu, tok! Tak bahaya ke?” Rejab masih khuatir. Mana tidaknya, kelam-kabut dia dan Ujang berlari meninggalkan kawasan itu.

Minggu lepas dia ke Tasik Cuping mengikuti lorong itu juga, tetapi tidak pula menemui apa-apa yang pelik. Tadi entah rezeki dia atau apa, dia pun tidak faham, tiba-tiba terlihat pula seekor ular tegak berdiri setinggi pokok kelapa di situ. Kecut seluruh tubuh dibuatnya. Nasib baik ketika itu dia bukan keseorangan.

“Kalau tak diganggu, tak bahayalah agaknya,” tebak Pak Selamat.

“Ya, usah dipedulikan, Rejab. Bukan urusan kau. Itu saja ‘dia’ nak tunjuk tu pada kaulah tu. Supaya lain kali engkau tu berhati-hati sikit bila masuk ke hutan. Bukak mata, bukak telinga. Jangan main redah saja,” nasihat Tok Jali.

Rejab terdiam. Pak Selamat juga mengunci mulut. Tidak mahu banyak berkata. Diam adalah lebih baik, fikirnya. Kumpulan itu meneruskan perjalanan, perlahan namun berhati-hati di dalam gelap itu.

“Kemudian apa terjadi, Rejab?” soal Tok Jali, tiba-tiba.

“Apa yang terjadi, tok?”

“Si Ujanglah!”

“Oh… pasal Ujang tu? Maaf, tok. Saya terlupa. Hmm… air tu berkocak macam… macam… hmm… berombak! Macam ada angin kencang yang bertiup dari tengah tasik tapi saya yang di tebing tu tak ada rasa apa-apa pun!”

“Aneh,” gumam Pak Selamat.

“Pergerakan air itu terus menghala ke arah tempat Ujang mengail,” tambah Rejab.

“Ada kau nampak siapa atau apa yang berada di bawah permukaan air tu?” soal Pak Selamat dengan nada suara yang garang.

“Tak nampak, Pak Selamat. Puas saya peratikan. Tapi masa saya nak naikkan kail saya, saya ternampak ada satu tangan terkeluar di permukaan air. gelap. Macam hitam. Tapi rasanya ada warna merah sikit-sikit.”

“Ada atau tak ada?”

“Saya tak pasti.”

“Bersisik?”

“Pun tak pasti, tok.”

Saat itu mereka sudah sampai di tebing Tasik Cuping. Air tasik kelihatan tenang dan indah dihiasi cahaya bulan yang kelihatan berbalam-balam di permukaannya. Pemandangan itu memang sangat indah. Bagi seorang penyair, sudah pasti akan bercambahan idea kala melihat keindahan alam sebegitu.

Seterusnya, dengan pantas, Rejab terus membawa mereka ke tempat dia dan Ujang mengail pada mulanya.

Peralatan mengailnya masih ada di situ. Sebatang buluh yang diraut halus dan diikat dengan tali tangsi di hujungnya pun masih tercacak di tebing itu. Bekas umpan yang diperbuat daripada tempurung pun ada di situ, cuma sudah tunggang terbalik kerana Rejab tersepak bekas itu ketika dia berlari susup-sasap saat meninggalkan tempat itu tadi.

“Di manakah tempat Ujang mengail?”

“Di sana, tok.” Telunjuk tangan kanan Rejab lurus menunjuk ke tebing berbatu yang dinyatakannya tadi. Tebing itu terletak kira-kira 20 meter dari tempat mereka berdiri.

“Ayuh kita ke sana,” gesa Tok Jali dan terus mendahului Rejab dan Selamat.

“Tak apa ke, tok?”

Tok Jali tidak mengendahkan soalan Rejab. Dia berjalan terus sambil matanya liar memerhatikan Tasik Cuping.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang ada di bawah permukaan air itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience