Bab 3

Horror & Thriller Completed 23924

Setelah digores, api yang kecil itu dihalakan ke sumbu pelita lalu teranglah sedikit kawasan di ruangan itu. Ruangan yang selalu digunakan sebagai tempat untuk meraikan tetamu, juga ruangan untuk pesakit-pesakit mendapatkan rawatan.

Selepas pelita dinyalakan, Tok Jali melangkah ke pintu. Di luar sana, suara orang memanggil Tok, Tok, Tok, masih kedengaran.

“Ya, tunggu sekejap!” pekik Tok Jali lalu mencepatkan langkahnya.

“Aku datanglah ni!” pekiknya lagi dan di hujung perkataan itu, Tok Jali sudah pun berada di hadapan pintu.

Di pintu, dengan perlahan Tok Jali mengangkat sekeping kayu yang dijadikan selak di pintu masuk. Kayu sepanjang kira-kira semeter itu disandarkan ke dinding, iaitu di bahagian belakang pintu itu jikalau ia dibuka. Kemudian Tok Jali merungkaikan belitan seutas tali yang berfungsi sebagai kunci kedua juga berfungsi sebagai tombol untuk membuka pintu itu.

Daun pintu pun ternganga lebar. Tok Jali menghalakan pelita di tangan ke luar untuk memudahkan mata tuanya melihat-lihat, siapakah yang kalut sangat mengunjungi rumahnya di malam-malam buta begini. Berani mengganggu tidurnya. Menguis lenanya.

“Oh. Kau rupanya, Rejab. Ada apa hal datang ke rumah aku malam-malam buta ni?” tanya Tok Jali sambil melangkah menuruni tangga.

Memang sudah menjadi kebiasaan bagi Tok Jali untuk turun ke tanah menyambut tetamunya sebelum dipelawa naik ke rumah.

Dengan wajah yang cemas dan sedikit terengah-engah, Rejab yang berdiri di tepi tangga yang tidak berpemegang itu terus menghulurkan tangan kepada Tok Jali. Lantas Tok Jali menghulurkan pelita di tangan kanannya kepada Rejab di mana Rejab menyambut pelita itu langsung meletakkannya di tanah.

Kemudian Rejab menghulurkan tangannya semula kepada Tok Jali bertujuan untuk membantu Tok Jali meniti mata tangga yang diperbuat daripada kayu bulat itu namun kaki orang tua itu sudah pun sampai di mata tangga terakhir.

“Tak apa, aku boleh turun sendiri,” ujar Tok Jali yang sudah pun berdiri dengan gagah di hadapan Rejab.

“Apa hal kau datang ke rumah aku malam-malam buta ni, Rejab?” ulang Tok Jali.

“Si Ujang, tok. Si Ujang…” nyata Rejab dengan kening berkerut dan dahi berkedut seribu.

Wajah Rejab cemas bukan kepalang, namun kata-kata yang sudah dikarangnya sedari tadi enggan keluar dari rongga mulutnya.

“Ha, kenapa dengan Ujang? Mana dia?” Tok Jali menyoal lalu melihat sekeliling. Hanya yang ada di tanah ialah jamung Rejab yang hanya tinggal bara, sekadar cukup untuk menerangi kawasan itu tadi, sementara menunggu Tok Jali muncul di situ.

Rejab dengan mulut terlopong dan mata membulat membalas pandangan Tok Jali sambil menggeleng laju.

“Mana Ujang? Aku tak nampak pun…” sambung Tok Jali. Sudah mula berasa geram.

“Dia tak ada, Tok! Dia tak ada!” Rejab mengangkat kedua-dua tangan separas wajah lalu menggoyangkan tangannya sambil menggeleng beberapa kali.

“Kenapa? Apa dah jadi? Mana Ujang?” Lalu kedua-dua tangan Tok Jali memegang kedua-dua belah bahu Rejab dan digoncang-goncangnya sedikit. Seolah-olah mahu menyedarkan anak muda itu daripada pengsan atau nanar.

Pandangan mereka bertemu. Kedua-dua tangan Tok Jali di bahu Rejab terus terdiam kaku. Tiba-tiba, air mata Rejab menitis. Dia terus mengalihkan badannya, memusingkan badannya menghala ke kiri, ke arah lorong yang membawa dia ke rumah Tok Jali sebentar tadi. Dengan tangan kanannya, dia mengusap mata kanannya. Berusaha menghalau kepiluan yang datang berziarah.

Tok Jali melepaskan tangannya. Dia turut menghadap ke lorong itu. Kehairanan.

‘Apa pelik sangat tabiat si Rejab ni malam ni?’

“Rejab, cuba kau terangkan kat aku. Kalau kau diam macam ni, menangis macam orang mati bini, macam mana aku nak tolong kau? Macam mana aku nak tolong Ujang?” tegur Tok Jali apabila dilihatnya Rejab masih lagi sibuk mengesat air mata yang menitis setitis demi setitis di pipinya yang berjerawat. Jerawat remaja.

“Mana ada mati bini, Tok. Saya kawin pun belum…” Perlahan, balas Rejab sambil kedua-dua bola matanya merenung misai tebal Tok Jali.

Entah kenapa, pada kebanyakan masa, misai tebal Tok Jali itu amat digeruninya tetapi tidak malam itu. malam itu, dia melihat misai itu tanpa perasaan. Adakah kerana pandangan matanya sudah dibayangi ketakutan atau adakah dia tersinggung diusik sebegitu? Hanya Rejab dan ALLAH sahaja yang tahu.

Memang Rejab sering diusik sebegitu. Bukan sahaja oleh Tok Jali malah oleh kebanyakan orang kampung juga. Mentang-mentanglah dia sudah berumur 25 tahun tetapi masih belum berkahwin. Bukan dia tidak mahu berkahwin tetapi jodohnya belum sampai! Mungkin sahamnya jatuh, kerana dia tidak mempunyai ilmu persilatan yang tinggi? Entahlah.

Pada zaman itu, usia yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga ialah dalam lingkungan umur 16 tahun untuk si gadis dan 18 tahun untuk si teruna.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang telah terjadi pada Ujang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience