Bab 6

Horror & Thriller Completed 23924

Dia berpaling ke belakang, ke arah Rejab lalu mengangguk, seperti mengarahkan agar lelaki muda itu meneruskan ceritanya.

Kemudian dia berpaling ke hadapan semula dan mengibas-ngibaskan jamungnya. Langkah disusun semula dan Tok Jali terus bergerak ke hadapan.

Melihat tingkah Tok Jali tadi, semangat Rejab untuk bercerita kembali pulih. Lalu dia menyatakan bahawa dia dan Ujang telah memilih satu tempat yang agak rata di tebing Tasik Cuping untuk mencampakkan umpan masing-masing ke air.

Pada mulanya mereka duduk bersebelahan tetapi setelah agak lama menanti dan umpan mereka tetap juga tidak dimakan ikan, Ujang menyatakan hasratnya untuk berpindah tempat. Rejab sendiri hanya mengangguk bersetuju kerana dia terlalu asyik dengan kailnya.

“Umpan saya tu memang ada yang meragutnya, tapi bila saya tarik, tali kail saya jadi kendur. Macam itulah. Berulang-ulang. Itulah sebabnya saya tak endahkan si Ujang, Tok. Nak bercakap pun saya malas. Saya kalut dengan kail saya. Macam kena main dengan ikan kat dalam tasik tu aje rasanya.” Rejab menghentikan ceritanya buat seketika untuk mengambil nafas.

Kemudian dia menyambung, “Dah tu, entah bila si Ujang berpindah tempat, saya pun tak sedar. Tahu-tahu aje saya nampak dia dah pindah ke tebing yang tinggi sikit tu. Tebing yang berbatu tu.”

Apabila Rejab menyebut tebing berbatu itu, Tok Jali dan Selamat sudah tahu. Malah, semua orang di kampung itu sudah tahu. Di tepi tebing berbatu itulah , dua mayat ditemui tidak berapa lama dahulu. Mayat pengail, seperti Rejab juga.

Adakah Rejab tidak ingat akan peristiwa malang itu? Selamat tertanya-tanya. Dalam diam, Tok Jali turut memikirkan perkara yang sama.

Ah, Rejab. Mudah sangat melupakan sesuatu peristiwa penting yang berlaku di kampung sendiri.

“Habis tu, kau tak panggil dia untuk berpatah balik?”

“Tak, saya tak panggil. Alah, tok, cadang pun kami nak mengail sekejap saja. Dah dapat seekor dua ikan, kami ingat nak baliklah.”

“Oh… begitu maksudmu.”

Kemudian, Tok Jali menggesa Rejab menghabiskan ceritanya.

Sekarang mereka sedang menuruni satu lurah yang tidak berapa dalam untuk menuju ke Tasik Cuping. Selepas lurah ini, mereka terpaksa mendaki satu anak bukit dan di bawah bukit itulah terletaknya Tasik Cuping itu. Sebuah tempat yang mendamaikan pada waktu siang namun sebenarnya tempat itu menyimpan seribu satu rahsia yang belum dapat dirungkaikan.

“Hati-hati!” jerit Selamat apabila dilihatnya kelibat Tok Jali hilang di sebalik sebatang pokok yang besar.

Sebagai sahabat, dia berasa khuatir. Apatah lagi, suasana pada malam itu terlalu sepi. Sepi seperti sebuah kuburan yang dingin dan beku. Dia perasan, saat itu, tiada sebarang bunyi unggas hutan yang kedengaran. Seolah-olah seluruh mergastua sedang berkabung dengan tragedi yang menimpa Ujang.

“Tak mengapa, Selamat. Aku dah biasa di sini,” jerit Tok Jali dari sebalik pokok sambil meneruskan perjalanannya.

Dia berhenti seketika untuk menunggu Rejab dan Selamat yang agak tercicir di belakang.

“Ha, sambung cerita kau, Rejab. Macam mana yang kau boleh kata dia ditelan dek tasik bertuah tu,” tanyanya sebaik sahaja Rejab sampai di tempat dia menunggu.

‘Bertuah dikatanya? Apalah orang tua ni? Nyanyuk ke? Tasik tu dah telan kawan aku… huh,’ rungut Rejab di dalam hati. Tidak berani mengutarakan secara berhadapan.

“Ha… macam ni, tok. Masa saya leka menunggu umpan saya dimakan, tiba-tiba saya terpandang ke tengah tasik.” Terus si Rejab menyambung ceritanya.

“Apa yang kau nampak?” soal Selamat, ingin tahu apakah sebenarnya perkara atau benda yang membuatkan beberapa orang pengail takut hendak mengail di Tasik Cuping.

Dia pernah mendengar tetapi dia tidak pernah melihat.

“Kocakan air.”

“Kocakan air yang bagaimana yang kau lihat itu?” tanya Selamat.

“Begini, Pak Selamat. Malam ini tidak adalah gelap sangat, bukan? Mulanya, memang saya terlalu asyik memandang tali kail saya. Masa itulah saya ternampak kocakan air di tengah tasik.”

“Aku masih tidak dapat memahami kata-kata kau.” Bagi Selamat, air berkocak adalah perkara biasa. Mungkin terjadi kerana tiupan angin, ataupun ada pergerakan ikan atau ular air di bawahnya.

“Begini. Mula-mula air di tengah tasik tu beriak, macam ada ikan besar atau ular air yang besar sedang berenang di bawah permukaan air tu. Lepas tu air yang beriak tu jadi beralun kencang macam ada sesuatu berenang dengan laju di bawah permukaannya. Kemudian tiba-tiba riak air tu berenti, tok, Pak Selamat.” Rejab berhenti bercerita untuk menelan liur. Dia menggaru-garu belakang telinga kanannya seketika.

Lantas dia menyambung, “Jadi saya alihkan pandangan saya ke kail saya semula. Tiba-tiba air tu berkocak semula,” ujar Rejab sambil berpaling ke belakang ke arah Pak Selamat.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa yang ada di dalam air itu sehingga air itu berulang kali berkocak di tengah tasik itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience