Bab 17

Horror & Thriller Completed 23924

Dia cuma salah seorang pekerja am di universiti tempat Mawi bekerja. Pelajarannya pun tidak tinggi. Hanya setakat tingkatan lima di salah satu negeri di selatan tanah air.

Orangnya cukup sederhana, tidak gemar campur tangan dalam urusan yang tiada kena-mengena dengan dirinya melainkan jikalau ada kemungkaran, maka akan ditegurnya. Namun kesederhanaan itulah yang membuatkan Mawi amat menghormati Haji Roseli.

Haji Roseli mengangguk. Dia dan tetamunya kelihatan serius. Televisyen yang dipasang langsung tidak diendahkan.

“Nampaknya… ada benda kat dalam tasik tu. Dah bertahun, berzaman benda tu bertapak di situ. Sekarang dia mengaku dialah tuan tasik tu,” kata Haji Roseli, perlahan sambil membalas renungan Mawi.

Hajah Sakinah yang turut duduk di kerusi di sebelah suaminya berdehem.

“Erm… kalau ya pun, minumlah dulu, abang, Mawi. Sejuk pulak air kopi tu.”

“Ya, cik,” jawab Mawi lalu mencapai cawannya dan dibawa ke mulut.

Sebelum air kopi yang sudah suam itu dicurah ke kerongkongnya, dia mempelawa Haji Roseli untuk turut membasahkan tekak. Haji Roseli mengangguk dan turut mencapai cawannya.

Selepas beberapa teguk air kopi dicurahkan ke kerongkong, cawan diletakkan. Bunyi cawan berlaga dengan piring alas menghalau kebekuan di ruang tamu rumah Haji Roseli.

Kemudian, selepas melihat suami dan tetamunya meletakkan cawan, barulah Hajah Sakinah mencapai cawannya pula. Selepas cawan diletakkan, dia berkata, “Jadi, abang dan Mawi nak buat apa? Boleh ke dibunuh benda tu? Tuan tasik tu.”

Mawi mengangkat kening. Haji Roseli memandang isterinya, kemudian memandang Mawi.

“Erm…” Haji Roseli menggumam. Dia menggosok-gosok bahagian tengah kepalanya yang sudah mula botak.

“Penjarakan.”

“Apa, pak cik?” tanya Mawi.

“Penjarakan?” tanya pula Hajah Sakinah yang kecil molek orangnya.

“Ya, penjarakan. Memadai dengan pengetahuan abang, Kinah. Itu aje yang abang mampu,” kata Haji Roseli sambil memandang isterinya.

“Err… ada apa-apa yang boleh saya tolong, pak cik?”

“Hmm…” Haji Roseli mengusap-usap dagunya.

“Kau ada jala tak pakai? Yang dah koyak-koyak pun tak pe.”

“Jala? Setakat pancing tu ada lah,” jawab Mawi dengan senyuman bersalahnya.

Setakat ini, hobi masa lapang Mawi ialah memancing. Belum lagi menjala walaupun pernah juga dia terfikir ingin mencuba menjala pula. Ingin merasai sendiri bagaimana sukarnya menjala ikan. Kata orang, menebar jala pun perlukan teknik dan kemahiran itu perlu diasah.

“Cuba abang tanya Hamidon, rasa-rasanya dia ada jala. Dulu masa muda, kan dia rajin ke laut. Sejak dia kena gout dan kencing manis ni aje baru lekat kat rumah.” Hajah Sakinah mengingatkan suaminya.

“Yalah! Betul cakap awak tu, Kinah. Dulu abang pernah ikut dia ke Bagan Lalang, menjala.” Haji Roseli gembira, dia pasti, sahabatnya itu masih menyimpan peralatan memancing dan menjalanya.

******

Tiga orang lelaki berjalan dengan tenang ke Tasik Cuping. Mereka meletakkan barang-barang di tebing yang terletak berhampiran dengan tempat kereta diparkir. Jadi tidaklah membebankan kepada Hamidon. Sekarang dia sudah tidak boleh hendak berlasak-lasak seperti dahulu kerana gout dan kencing manis.

Haji Roseli bertinggung di sebelah jala. Dia mengambil lampu suluh yang diletakkan di samping jala itu lalu menyuluh ke tengah tasik. Dalam hatinya sarat dengan zikir memuji kebesaran ILAHI di samping permohonan agar usahanya dipermudahkan.

Memang dia pernah terdengar tentang orang yang ditemui mati lemas di tasik itu. Tetapi oleh kerana dia bukan kaki pancing, maka berita sebegitu hanya lalu-lalang di pendengarannya sahaja. Lagipun, hal orang mati lemas di sungai, laut dan tasik itu memang sering kali terjadi.

Haji Roseli ini pun bukannya jenis yang suka berjalan-jalan di tepi tasik untuk bersantai. Kalau ingin berjalan-jalan, dia lebih gemar mengunjungi anak-anaknya. Bagi Haji Roseli dan Hajah Sakinah, dapat bermain dengan cucu-cucu lebih menyeronokkan.

“Li, kalau kau nak buat kerja kau, kau buatlah. Aku tunggu di sini sajalah. Tapak kaki aku ni rasa tak selesa,” ujar Hamidon memecahkan kesunyian, sambil itu tangannya menggosok-gosok tapak kakinya yang terasa sakit.

“Tak pe, Midon. Kau tunggu aje kat sini. Kau dah sudi sedekahkan jala tu pun dah cukup baik dah. Lepas tu siap temankan sampai ke tasik pulak. Aku bersyukur-syukur sangat.”

Hamidon ketawa. Baginya apalah sangat jala dan menemankan sahabatnya pada malam itu. Dia cuma berbuat sekadar termampu.

“Pak cik Midon rehat ajelah kat sini. Biar saya je yang tolong Pak Cik Roseli,” ujar Mawi lantas melemparkan senyuman buat Hamidon.

Hamidon mengangguk. Dia melabuhkan punggung di atas beberapa helai kertas surat khabar lama yang sengaja dibawa untuk dibuat alas.

Kemudian tanpa berlengah, Haji Roseli membawa jala itu ke pinggir tasik. Dia meletakkan jala itu di tepi dan kemudian, dia melipat sedikit kaki seluarnya.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah mereka akan diganggu oleh makhluk di tasik itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience