Bab 12

Horror & Thriller Completed 23924

Entah peluh panas atau peluh dingin, hanya Rejab yang mengerti.

“Sudah boleh letakkan perahu itu di air. Tolak ke tengah sikit dan biarkan perahu itu hanyut. Tuan tasik sedang menunggu. Siang hari nanti, kita akan temui Ujang. Itulah janjinya dan aku yakin tuan tasik ni akan menunaikan janjinya,” kata Tok Jali dan dia terus berpeluk tubuh di gigi air menanti arahannya dilaksanakan.

Selepas semuanya selesai, kesemua mereka beredar pulang ke rumah masing-masing, dengan harapan yang besar.

Sebaik kokokan ayam yang pertama kedengaran di Kampung Lembayung Senja, Cimek bergegas ke Tasik Cuping bersama Bulat. Selepas semalaman tidak tidur, kedua-dua suami isteri itu tidak sanggup hendak menunggu lebih lama. Menanti fajar menyinsing bagai menunda harapan mereka ke hari yang baru pula.

Dan sebagaimana yang telah diberitahu oleh Tok Jali, yang diharapkan ada, dapat dikesan di tepi tasik. Sebelum matahari tergelincir ke barat, penduduk Kampung Lembayung Senja telah pulang ke rumah masing-masing. Tanah perkuburan ditinggalkan sepi, membiarkan penghuninya dengan urusan mereka masing-masing.

Kali ini, pesanan Tok Jali disemat rapi di minda, di hati, di fikiran, di sekalian zarah yang terdapat dalam tubuh badan. Mereka tidak mahu ada sesiapa lagi menjadi mangsa tuan tasik.

Tidak ada lain yang mereka fikirkan, melainkan berhati-hati dan beringat-ingat.

******

“Abiy…” Satu suara rengekan kedengaran dari dalam sebuah kereta Myvi berwarna hijau metalik yang sedang dipandu laju menyusuri sebuah jalan yang lengang di pinggir bandar.

Yang berkata terus menjuihkan bibir sambil merenung si pemandu.

“Biy, you nak bawak I ke mana ni, Biy?” sambungnya dengan nada yang manja menggoda sambil matanya liar di alih ke luar. Memerhati alam sekeliling.

“Sabarlah Miy, kejap lagi kita berenti. Kita lepak-lepak kat satu port. Baik punya!”

Yang menggunakan ganti nama diri Miy atau Amiy diam, menurut. Dan yang menggunakan ganti nama diri Biy atau Abiy diam, senyum tetapi terkawal.

Mereka baru selesai menikmati makan malam di sebuah restoran di Ampang Waterfront. Untuk meraikan ulang tahun ke-empat bulan, perkenalan mereka.

Selang beberapa minit dan beberapa saat, si penumpang bersuara lagi, agak terkejut, “Biy, kenapa Biy berhentikan kereta kat sini? Kat sini tak de oranglah, Biy. Amiy takutlah.”

“Alah… tadi Amiy kata Amiy rindu kat Biy. Dan kita nak celebrate our fourth month relationship, kan? Ni, Biy bawak Miy kat satu tempat menarik. Syahdu aje. Nyaman. Tak de orang kacau. Cuba Miy tengok keliling, tak de orang, kan?” ujar si pemandu kereta Myvi berwarna hijau metalik sambil menekan brek.

“Bolehlah kita discuss pasal masa depan kita. Kan you kata you sayangkan I…” tambahnya lalu mengusap paha penumpang di sebelahnya. Paha yang disaluti dengan tight jeans berwarna biru dan dipadankan pula dengan sepasang suede berwarna kelabu kebiruan membuatkan pemakainya nampak stylish dan trendy. Imej itu amat sesuai dengan Atieqah yang baru berumur 22 tahun.

Atieqah tidak menjawab, cuma matanya liar memerhati sekeliling. Dia berasa sedikit cuak melihat kawasan itu. Namun sekujur hatinya yang dipenuhi nada cinta terhadap Imran menyetujui kata-kata lelaki itu. Sepasang mata yang diperindahkan dengan pembayang mata berona lembut leka menikmati panorama indah Tasik Cuping yang terbentang indah di hadapannya.

Ya, memang benar kata-kata Imran tadi. Tasik Cuping memang merupakan sebuah tasik yang syahdu dan nyaman. Panorama di situ amat cantik! Superb! Subhana-ALLAH! (Itu bukan dia yang cakap, itu orang lain yang cakap).

Beberapa pondok wakaf didirikan di tebing tasik untuk kegunaan kaki pancing.

“Tasik Cuping ni memang selalu jadi tempat I mengail. Kitorang memang selalu lepak kat sini, Miy. Pasti best. Promise,” ujar Imran sambil mematikan enjin keretanya.

Pintu kereta dibuka kemudian Imran bergerak pantas seakan-akan berlari untuk membukakan pintu Atieqah. Kemudian, lagak seorang gentleman, Imran menghulurkan tangannya kepada Atieqah. Dengan senyum malu-malu, gadis itu menyambut huluran tangan Imran. Teman lelakinya. Mereka sudah declare.

“Jom,” ujar Imran selepas mengucup tangan Atieqah.

Mata bertentang mata. Atieqah tersipu-sipu.

Imran mengangkat kening. Atieqah mengangguk sambil tersenyum manja. Selesa, berasa diri seperti disayangi. Tangan kanannya masih dalam genggaman tangan kiri Imran. Mereka berjalan perlahan menghampiri Tasik Cuping.

“Jom kita ke tebing sana, nak?” Imran meluruskan telunjuk tangan kanannya ke tebing berbatu yang berada kira-kira 30 meter di hadapan mereka.

“Best ke?”

“Mestilah best. Miy ni macam tak percaya kat Biy aje,” ujar Imran dengan suara yang lemah. Seolah-olah merajuk. Tangan Atieqah dilepaskan. Dia melajukan langkahnya membuatkan Atieqah tertinggal beberapa tapak di belakang.

Atieqah mengejar dan terus memaut lengan Imran. Namun si lelaki itu tetap membekukan emosinya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang berlaku selepas itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience