Bab 9

Horror & Thriller Completed 23924

Lebarnya membolehkan dua orang lelaki dewasa duduk bersila di atas badannya dan panjangnya dari hujung kepala hingga ke ekor adalah kira-kira 12 depa lelaki dewasa. Makhluk itu berwarna merah kehitaman, berkilat dan mempunyai sepasang tangan. Nampaknya seperti tangan naga. Kukunya panjang kehitaman.. Yang membezakan makhluk itu dengan naga ialah ia tidak mempunyai misai.

“Siapa yang berani memanggil aku tadi?” kata lembaga itu dengan suara yang garau dan dalam sebaik sahaja dia berada kira-kira dua meter dari tebing berbatu itu.

Sesekali makhluk itu menjulurkan lidahnya yang bercabang dua dan berwarna merah pekat seperti darah. Apabila lidahnya terjulur keluar, bunyi desis yang amat menakutkan akan kedengaran.

Rejab tertunduk-tunduk ketakutan dan langsung tidak berani memandang makhluk itu dengan tepat. Dia sentiasa melarikan matanya daripada bertembung dengan mata makhluk pelik itu.

“Aku yang memanggil kau!” Tok Jali bersuara.

“Berani sungguh kau mengganggu aku? Sakit telinga aku mendengar ketukan kau tu. Apa kuasa yang kau pakai?”

Makhluk berupa ular itu melenggok-lenggokkan kepalanya dengan gemalai ke kiri dan ke kanan ketika berkata-kata. Entahkan mahu memukau Tok Jali atau mahu mengolok-olokkan orang tua itu.

“Kau tak kenal aku?”

“Siapa kau?”

“Akulah Tok Jali, anak cucu Tok Dali. Aku mewarisi ilmunya.”

Makhluk berupa ular bercampur naga itu menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali tetapi kemudian ia ketawa terbahak-bahak.

“Maafkan aku, Tok Jali kerana tidak mengenali kau. Apa mahumu?”

“Serahkan Ujang kepadaku.”

Tidak semena-mena, tawa makhluk itu melambak lagi. Lidahnya terjulur keluar dan bergoyang-goyang. Suaranya yang garau dan dalam itu sangat menggerunkan setiap yang mendengar tetapi tidak pada Tok Jali dan Pak Selamat.

Sedangkan lain pula yang terjadi kepada Rejab. Anak muda itu terus lari bersembunyi di belakang Pak Selamat. Dia memegang bahu Pak Selamat dan mengintai dari belakang kepala orang tua itu.

“Tidak begitu mudah!” jawabnya setelah puas ketawa.

Seterusnya, makhluk aneh itu menyatakan yang dia tidak akan menunaikan permintaan Tok Jali kerana mayat Ujang sudah pun berada di dalam guanya, dan hanya boleh dikeluarkan selepas dijamah. Sebagaimana mayat mangsa-mangsa yang lain. Itulah syarat kehidupan makhluk itu. Yang telah diwarisinya daripada nenek moyangnya.

“Apa yang harus aku perbuat, wahai tuan Tasik Cuping?” Tok Jali berlembut sedikit. “Kerana aku tidak mahu kau mengganggu anak buahku lagi,” sambung Tok Jali sambil mendepangkan tangannya ke hadapan seolah-olah mahu menyerahkan suatu pemberian yang berjisim halimunan.

“Aku boleh patuhi kemahuan kau dengan syarat, setiap tiga purnama, kau berikan sembahan kepadaku. Kalau kau gagal, orang di sekitar tasik ini, akan terus menjadi mangsaku,” beritahu makhluk berupa ular itu dengan suara seperti berbisik. Bisikannya itu hanya boleh didengari oleh Tok Jali sahaja. Kemudian dengan perlahan, ia tenggelam semula ke dalam tasik.

Setelah makhluk itu hilang di dalam air, Tok Jali memanjat tebing itu semula. Sebaik berdiri di sebelah Rejab yang sudah mula hilang warna kulitnya kerana ketakutan, Tok Jali berdiri berpeluk tubuh sambil menghadap tasik yang kelihatan sungguh tenang dan damai kini.

“Macam mana dengan Ujang?” tanya Pak Selamat sambil bergerak menghampiri sahabatnya.

Tok Jali hanya menggeleng lemah. “Kita tunggu lusa. Lusa, kita akan temui Ujang.”

“Habis tu, tok… takkan nak biarkan macam tu saja? Kita mesti selamatkan Ujang, tok,” ujar Rejab dengan nada sayu.

Wajahnya muram diwarnai kesalan. Niat awal hendak mengail ikan bertukar kepada tragedi. Bukan dia tidak mahu menolong Ujang tadi, tetapi dia terlalu takut.

Jeritan meminta tolong dari kawan baiknya itu bagaikan terngiang-ngiang di lubang telinganya. Bayangan Ujang tenggelam timbul di tasik juga masih jelas terbayang di ruangan matanya.

‘Wahai TUHAN yang Maha Berkuasa. Sungguh, aku tak boleh melupakan kejadian ini,’ detik hati Rejab yang sedang kesedihan.

Tok Jali menggeleng. Dia mengambil jamung lalu membuka langkah, berlalu dari situ. Pak Selamat tidak berkata apa-apa. Dia hanya mengekori sahabatnya yang tinggi ilmu itu dengan patuh. Siapalah dia, hanya seorang sahabat yang sering diajak sebagai peneman dan juga pembantu.

“Tok, kita mesti selamatkan Ujang, tok…” ujar Rejab lagi. Kali ini lebih bersungguh-sungguh.

Tok Jali menghentikan langkahnya. “Dah terlambat, Rejab,” kata Tok Jali lalu menghentikan langkahnya.

Dia memusingkan tubuhnya untuk menghadap Rejab dan Selamat.

“Tuan tasik ni dah ambik dia. Tak ada apa yang boleh kita buat. Benda dah terjadi.”

Mendengar itu, Rejab menekurkan kepalanya.

“Esok, aku akan sediakan jamuan. Untuk keselamatan penduduk kampung ini,” beritahu Tok Jali.

“Jamuan? Untuk siapa, tok?”

“Kenapalah engkau ini, Rejab? Bukankah tadi Tok Jali sudah khabarkan, untuk tuan tasik itu. Ini demi keselamatan kampung kita!” ujar Selamat, sedikit tegas.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa perlu disediakan jamuan untuk makhluk itu? Adakah itu sekadar perangkap untuknya mendapatkan Ujang kembali?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience