Bab 10

Horror & Thriller Completed 23924

Rejab mempercepatkan langkahnya, di sisi orang tua itu dia berkata, “Saya nak ikut tok esok,” ujar Rejab. Dia berasa yang dia patut melibatkan diri, kerana Ujang adalah rakan karibnya.

Dengan seraut wajah yang kelat, Tok Jali mengerling Rejab di sebelahnya. Apa pun, esok, Tok Jali akan berhadapan dengan makhluk itu. Untuk berbincang secara baik. Sesungguhnya Tok Jali tidak mahu mencari musuh. Apa yang penting, dia tidak mahu makhluk itu mengganggu lagi.

Dalam hati, dia berharap agar makhluk itu akan mengotakan janjinya.

“Baiklah. Esok apabila matahari sudah tergelincir ke Barat, kau datang ke rumah aku,” arah Tok Jali.

“Baik, tok. Baik.”

******

Matahari sudah mula condong ke Barat. Hari ini, Tok Jali hanya membantu isterinya mengerjakan kebun pada sebelah pagi, itupun hanya setakat membetulkan pagar yang dirosakkan oleh gajah liar pada minggu lepas.

Kemudian dia menghabiskan waktu di sudut bertafakurnya di rumah. Isterinya tidak mengganggu, dia tahu, apabila suaminya sudah mula duduk di situ, tentu ada masalah berat yang sedang ditanggung oleh batu jemala suaminya.

Pagi tadi, suaminya sudah menerangkan tentang tragedi di Tasik Cuping. Secara tidak langsung, Putih tahu, sudah tentu suaminya sedang bertafakur, mengumpul kuasa dalaman untuk berhadapan dengan penunggu tasik itu nanti atau yang suaminya nyatakan sebagai ‘tuan tasik’.

Semenjak mereka berpindah ke situ hampir 12 purnama yang lalu, bencana yang menimpa Ujang adalah tragedi ketiga yang menimpa masyarakat di situ. Bak kata suaminya, Putih pasti, tidak lama lagi, mayat Ujang akan ditemui. Sudah tentu mayat itu sudah membusuk, pucat kebiruan dengan perut yang sudah kembung.

Kematian akibat lemas. Itulah rumusan yang akan dibuat oleh orang kampung walhal mereka tidak mengetahui duduk perkara sebenar.

Rupa-rupanya hal itu terjadi kerana amukan tuan tasik. Tuan tasik yang akan keluar setiap tiga purnama untuk mencari mangsa. Untuk mengisi temboloknya yang kelaparan.

Pertama kali perkara itu berlaku, Tok Jali sudah mengesyaki yang bukan-bukan. Namun ketika itu dia cuma menganggap yang perkara itu berlaku sekali itu sahaja. Tiada pengulangan. Ternyata dia salah.

Selepas tregedi kedua, pada satu perhimpunan, pawang besar itu terus memberi amaran keras kepada penduduk kampung. Malangnya, ada juga pengail-pengail yang berdegil dan memandang remeh pada amarannya. Contohnya, si Rejab dan kawannya Ujang.

Kini, selepas tiga kali bencana yang sama berlaku, Tok Jali tahu, dia harus melakukan sesuatu.

Sementara Tok Jali berfikir dan bermesyuarat dengan dirinya sendiri, Putih terus ke perigi yang digali oleh suaminya di pinggir rumah mereka untuk membersihkan diri. Usai mengeringkan badan dengan kain yang dibawa, Putih terus kembali ke rumah dan kemudian tanpa menyapa suaminya, dia terus ke dapur. Dia ingin menyediakan hidangan makan tengah hari. Juga perlu menyediakan barang-barang yang dikehendaki oleh suaminya.

Malam ini, suaminya perlu menguruskan sesuatu yang penting.

******

Burung taptibau sudah berlagu riang di tepi bendang. Suaranya kedengaran jelas dari kejauhan. Lembu sudah lama dihalau masuk ke kandang. Ayam sudah berehat di reban.

Tiga buah pelita sudah dinyalakan di dalam rumah Tok Jali. Tiga biji jamung yang masih bernyala dicacakkan kukuh di tanah. Tidak lama lagi, bakal tinggal bara sahajalah jamung itu.

Sebiji tampi yang bersih terletak di tengah-tengah rumah iaitu di tempat dia sering menerima tetamu. Dan di tempat itulah juga selalu digunakan untuk menjalankan ritual pengubatannya.

Tampi tersebut tidak pernah Putih gunakan untuk menampi padi atau dijadikan alas tanam-tanaman dari kebunnya. Yang itu, sememangnya dikhaskan hanya buat Tok Jali. Apabila tidak digunakan akan dibasuh bersih dan ditegakkan di belakang gobok di dapur. Memang kepantangan Tok Jali jikalau tampi itu tidak dibersihkan.

Di dalam tampi yang sedang elok terhampar itu ada beberapa buah bekas pelbagai saiz berisikan barang-barang jamuan atau ancak untuk dipersembahkan kepada tuan tasik. Di sebelah tampi itu terdapat sebuah dupa yang mana kini api yang dihidupkan oleh Putih tadi sudah mula memudar, meninggalkan bara merah sahaja.

Asap yang kadangkala tebal kadangkala tipis naik berkepul-kepul di udara namun bagi setiap yang hadir, asap itu langsung tidak mengganggu konsentrasi mereka.

Tengah hari tadi, Tok Jali, Rejab dan Putih telah menyediakan ancak itu dan segala-galanya siap sebelum senja merangkak tiba. Bagi Tok Jali, upacara menyediakan ancak itu sudah biasa baginya.

Ancak itu sama sahaja fungsinya dengan hadiah, lebih kuranglah. Bezanya, ancak dihadiahkan atau disembahkan kepada penunggu air atau penunggu hutan untuk memujuk (slow talk) makhluk halus itu agar orang kampung yang hilang, sama ada di hutan atau di sungai, dapat ditemui semula.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah ancak itu berjaya mengumpan makhluk itu untuk memulangkan kembali Ujang?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience