Bab 2

Horror & Thriller Completed 23924

Tiba-tiba, tangan kanannya tersentuh secebis kain berwarna hitam yang diikat di lengan kirinya. Kain itu telah dirapikan dengan tangkal yang dikatakan dapat memberikan banyak kelebihan kepada si pemakai.

Dia tersenyum senang. Dia pasti, selagi rantai dan tangkal itu ada bersama-samanya, dia akan selamat. Seterusnya, langkah diatur dengan tenang.

Sebaik berada di hadapan pintu dan sebelum melangkah keluar, Tok Jali terfikir untuk membetulkan kedudukan kain yang diikat di kepalanya tadi. Dan setelah berpuas hati, barulah dia membuka pintu lantas mengorak langkah untuk keluar dari bilik.

“Awak tidurlah dulu. Tapi kalau tak mengantuk lagi, marilah keluar. Tengok siapa yang datang tu,” tuturnya lembut saat kaki melangkahi bendul.

Putih tidak berkata apa-apa. Dia mengemaskan selimut di tubuhnya. Dengan tenang, matanya memerhatikan tubuh suaminya hilang ditelan kegelapan malam.

Apabila tubuh suaminya tidak kelihatan lagi, Putih mengeluarkan tangan yang disembunyikan di dalam selimut tadi lalu dikipas-kipaskan di tepi cuping telinga. Menghalau nyamuk yang sedang berlagu riang. Hatinya sempat bertanya, tidakkah suaminya tadi diganggu oleh nyamuk? Putih mengeluh lalu berhenti mengipas.

Bagi Putih, perihal tetamu datang berkunjung ke rumah di waktu malam-malam buta begitu adalah perkara biasa di rumah yang tidak bernombor itu. Manakan tidak, Tok Jali, suaminya, ialah pawang besar di kawasan itu. Pantang ada masalah tidak kiralah sama ada sakit, pening, demam, kembung perut, sakit perut hatta sakit gigi pun, Tok Jalilah yang dicari.

Sebagai orang yang paling rapat dengan Tok Jali, Putih sangat arif, kadang-kadang, bukan jampi serapah suaminya yang menyembuhkan mereka namun semangat yang mereka perolehi daripada jampi serapah itulah yang mendorong terzahirnya suatu kesembuhan. Bagi majoriti penduduk kampung pula, jampi serapah Tok Jalilah yang terampuh, yang mampu mengubati mereka.

Tetapi lain pula pendapat Putih. Biarpun ilmu agamanya tidak mendalam, namun menurut pengetahuannya, kesembuhan, kesakitan, mendapat anak, tanaman membuahkan hasil, lembu mengeluarkan susu, semuanya dengan izin Allah SWT semata-mata.

Apapun, kampung yang baru dibuka itu memang masih banyak kekurangan terutamanya daripada segi pemahaman tentang ajaran Islam. Ajaran agama Islam secara amnya hanya diingati pada waktu kematian, Hari Raya dan Hari Jumaat sahaja.

Semoga Allah SWT menurunkan taufik dan hidayah kepada mereka.

Sebenarnya Tok Jali dan Putih ialah antara peneroka-peneroka awal di situ, di Kampung Lembayung Senja. Mereka berpindah beramai-ramai dari Kampung Bayan setelah kampung itu dilanda banjir besar. Habis rumah-rumah dibawa arus, ternakan juga banyak yang mati dan tanam-tanaman banyak yang musnah.

Yang paling menyedihkan, ramai warga tua yang sudah tidak larat menjaga diri termasuklah kanak-kanak kecil turut menjadi mangsa banjir besar. Dek kerana trauma kejadian yang tidak disangka-sangka itu, mereka sebulat suara meninggalkan kampung tersebut.

Di zaman itu, memang menjadi kebiasaan bagi masyarakat setempat untuk mendirikan rumah dan seterusnya membuka sebuah perkampungan di tepi sungai. Banyak kemudahan yang tersedia secara percuma buat mereka. Contohnya bekalan sumber protein yang tidak berkesudahan iaitu ikan. Sumber air untuk kegunaan harian juga mudah diperolehi di samping sungai juga merupakan jalan raya utama untuk mereka bergerak.

Aktiviti harian penduduk kampung itu ialah bercucuk tanam. Tok Jali dan Putih mengusahakan tanaman jagung dan lain-lain sayur harian. Sementara jiran yang lain ada yang menanam kopi, menanam keledek dan ubi, menanam tebu, ada yang mencari madu asli, mencari rotan dan agak ke hilir sedikit, ada yang bersawah padi.

Apabila ada keperluan, mereka akan saling bertukar-tukar barangan. Terlebih terkurang, tidak diutamakan. Yang penting, kehidupan mereka di situ aman dan terjamin.

Kalau hendak mendapatkan sumber protein yang berasaskan daging pula, ada juga jiran tetangga yang memelihara ayam dan lembu. Kalau tekak tiba-tiba teringin hendak makan makanan yang istimewa, minta sahaja kepada tuannya. Dengan syarat, ada tukar gantinya yang bersesuaian dengan barangan yang dipinta.

Sementara kegiatan pada waktu senggang bagi kaum bapa selain daripada memburu landak, napuh dan kijang ialah menjala. Mereka akan menjala di Sungai Batu yang jernih airnya ataupun akan mengail di Tasik Cuping. Memang banyak dan berbagai-bagai jenis ikan terdapat di tasik itu. Pendek kata, sumber makanan mereka di Kampung Lembayung Senja memang mencukupi dari segi keperluan diet harian.

Tok Jali berjalan ke pintu. Pada mulanya, agak sukar bagi Tok Jali hendak menentukan arah tujuannya biarpun dia sudah hafal setiap ceruk pelusuk rumahnya. Namun setelah beberapa detik berlalu, anak matanya mula serasi dengan kegelapan itu dan langkah Tok Jali menjadi lebih mudah. Tidak lagi teragak-agak.

Tok Jali bergerak ke arah kiri rumahnya. Di situ ada sebiji pelita dan ada gores api.

…bersambung

Bab akan datang:

Apa pula masalah yang perlu diselesaikan oleh Tok Jali kali ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience