Bab 14

Horror & Thriller Completed 23924

Makhluk yang muncul dari dalam air berenang dengan laju ke arah tebing berbatu itu. Seolah-olah mengejar mereka dengan mata yang bulat kehitaman dan lidah yang berwarna merah seperti darah.

“Sial! Apa tu? Penunggu tasik! Jembalang air! Cepat Miy! Lari cepat!” Sambil berlari, mulutnya menceceh dan kepalanya sekejap-sekejap dipusingkan 90 darjah memandang ke tasik, sekejap-sekejap memandang ke hadapan pula.

Segala batu yang berceracak, mendatar, timbul, tenggelam semua diredah, dipijak, dilangkah, dilanggar tanpa peduli!

Apa pun, nasib baik umur mereka berdua masih panjang. Kalau tidak, adalah yang akan kekenyangan malam itu.

Saat mereka berlari susup-sasap meninggalkan tebing berbatu itu, tiba-tiba kedua-dua mereka terjatuh.

“Hantu! Setan! Sial! Apa lagi ni?” pekik Imran dengan cemas sambil bangun lalu memandang ke belakang.

Ada sesuatu yang berkilat-kilat di situ.

Imran menarik tangan Atieqah untuk mendekatinya. Atieqah bertindak untuk berdiri di belakang Imran. Mereka terkaku di situ sambil memerhatikan benda yang kelihatan berkilat bersinar di bawah cahaya bulan separuh.

Langit yang cerah. Memudahkan mata untuk melihat. Di tanah, benda berwarna hitam berkilat itu mula naik tegak. Perlahan. Perlahan. Seterusnya kini, benda itu berdiri kira-kira semeter tinggi dari tanah.

“Itu… ular ke, Biy?” tanya Atieqah.

Imran tidak menjawab, dia hanya menajamkan renungannya. Dia sendiri tidak mengerti.

“Dia boleh berdirilah, Biy…” sambungnya.

“Sial!” Imran berundur setapak ke belakang dan begitu juga dengan Atieqah. Dia menyedari pergerakan kaki lelaki itu kerana badannya menempel rapat di tubuh Imran.

“Lari! Lari! Lari!” perintah Imran sambil menepuk belikat Atieqah dengan agak kuat.

“Lari, Miy! Lari! Ular tu kejar kita lagi!” gesa Imran.

Dia sempat berpaling ke belakang dan dilihatnya ular tedung senduk yang tadinya mengembangkan tengkuknya kepada mereka kini sedang menyusur di tanah dengan kelajuan yang boleh dikatakan tinggi juga di belakang mereka. Jarak antara pasangan kekasih yang sedang berlari dan ular itu hanya kira-kira tiga meter sahaja. Dan ular itu semakin mendekat.

Kereta berada di hadapan. Imran meraba kunci di dalam kocek seluarnya. Atieqah sudah diarahkan untuk berlari di hadapannya. Penting baginya untuk menjaga keselamatan gadis itu. Masa hadapannya. Mereka sudah declare. Itupun jikalau masa hadapan yang lain tidak muncul di hadapannya pada bulan-bulan mendatang.

“Biy! Bukak kereta, Biy! Bukak cepat!!!” Atieqah memperlahankan lariannya.

“Jangan berenti! Lari terus! Lari ke arah cahaya tu!” arah Imran sambil menekan butang open pada remote control di tangannya.

“Cepat, Miy! Terus masuk ke dalam kereta!” pekiknya sambil menarik tangan Atieqah untuk berlari lebih cepat.

Di hadapan sana ada satu cahaya kecil kelihatan berayun-ayun.

Ada seseorang atau sesuatu sedang berlari dengan laju menghala ke arah Imran dan Atieqah. Laju dan semakin hampir. Bersungguh-sungguh. Penuh semangat. Dan cahaya yang kelihatan tadi nampaknya ikut berhayun mengikut pergerakannya.

Atieqah yang melihat bagai ingin berpatah ke belakang, terkejut dengan lagak makhluk yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Tetapi di belakang ada ular tedung senduk yang sepanjang satu meter setengah meter dan mempunyai ukur lilit tubuh sebesar lengan Imran.

Apa yang harus dilakukan???

“Biy! Ada orang gila!!!” Dia menyentap tangan Imran.

“Ya ALLAH! Apa nak buat ni?” Namun Imran tetap berlari ke hadapan sambil menarik tangan Atieqah yang nampaknya sudah kepenatan. Tiba-tiba sahaja jarak antara tebing batu dan tempat kereta diparkir bagai jauh beribu batu. Sedangkan tadi, dalam sekejapan mereka sudah meninggalkan kereta dan sudah berbincang tentang masa hadapan di tebing berbatu.

“Cepat lari, budak-budak! Ular tu dah dekat dah!!!” jerkah seorang lelaki yang muncul secara tiba-tiba apabila kedudukan dia dan couple itu agak hampir.

Dengan mulut terlopong dan mata yang terbeliak, Abiy dan Amiy yang sudah declare namun belum disahkan oleh syarak terus berlari ke kereta.

Dan lelaki itu, terus menghambur ke hadapan sambil melemparkan sesuatu kepada ular yang sedang marah. Marah kerana perjalanannya terganggu. Dia yang sedang sibuk mengintai sang tikus di semak-samun tadi telah dipijak tanpa sebarang amaran. Jadi apa salahnya dia menukar menu pada malam itu?

Baginya, dia hanya pengembara. Dia yang diganggu. Namun…

Serta-merta, ular tedung senduk itu menghentikan pergerakannya. Garam kasar yang disimbah ke atasnya memang amat mengejutkan. Sesungguhnya garam adalah sumpahannya. Haiwan itu bergeliang-geliut di atas tanah sambil sepasang matanya terus merenung manusia yang baru muncul di hadapannya. Kemudian ular tedung senduk itu mula menegakkan tubuhnya.

“Aku ucapkan salam sejahtera kepada kau. Assalamualaikum. Kalau kau adalah syaitan atau jin yang hendak mengganggu manusia. Lebih baik kau pergi dari sini kerana aku ada membawa senjata terhebat yang boleh mencederakan engkau dengan amat teruk,” kata si lelaki yang sedang berdiri gagah di hadapan sang ular yang sudah mula menegakkan tubuhnya.

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa makhluk itu mengganggu orang yang datang ke Tasik Cuping itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience