Bab 11

Horror & Thriller Completed 23924

Pendek kata, Tok Jali tidak pedulilah proses itu dinamakan pujuk atau slow talk, yang penting, Ujang (atau jenazah) dapat ditemui dengan secepat mungkin.

Dan lagi, dia tidak mahu tuan tasik berseronok mengganggu penduduk kampung itu lagi.

Saat ini, kedua-dua anak mata Rejab leka memerhatikan barang-barang yang terdapat di dalam tampi itu. Dalam sebuah tempurung bersaiz kecil diletakkan segenggam bertih yang digoreng oleh Putih petang tadi. Di tengah-tengah tampi itu diletakkan sehelai daun pisang yang dipotong segi empat tepat, diletakkan pulut kuning dan di atas pulut kuning itu diletakkan sebutir telur rebus yang sudah dibuang kulit.

Di sebelahnya ialah sebuah bekas lonjong yang agak besar juga dan dimuatkan seekor ayam panggang. Sementara dalam tempurung yang lagi satu, yang agak besar saiznya diletakkan organ dalaman ayam itu. Kiranya, penuh jugalah tampi yang bersaiz sederhana itu dengan segala macam barang jamuan yang disediakan buat tuan tasik.

Tok Jali, Rejab, Selamat dan ibu bapa Ujang duduk mengelilingi tampi itu. Putih duduk jauh sedikit, memandang suaminya dan sambil itu, dia sibuk melayan perasaan. Terselit juga di hatinya risau jikalau pasangan hidupnya itu kecundang di tangan makhluk halus namun kebiasaannya, tiada apa atau sesiapa pun yang mampu menggugat suaminya. Kali ini pun sebenarnya dia yakin, biarpun ada sedikit kerisauan singgah di hati.

Ya, dia tahu, ajal dan maut di tangan TUHAN. Dan bak kata suaminya, selagi hayat dikandung badan, pantang maut sebelum ajal. Dengan keyakinan itulah Tok Jali dapat meraih gelaran pawang besar di kampung itu.

Tok Jali sudah mula tenggelam dalam mantera dan jampi serapahnya. Kadang-kadang badannya bergoyang ke kanan, kadang-kadang badannya bergoyang ke kiri. Adakalanya, tubuh Tok Jali kelihatan kaku seperti mannequin. Tenang dan bisu. Yang lain-lain hanya diam memerhatikan gelagat Tok Jali. Tidak berani berkutik barang sedikit pun.

Sesekali Tok Jali membuka mata lalu mengikis kemenyan yang sebesar guli yang berada di tangannya. Habuk kemenyan itu digugurkan di atas bara, menghasilkan satu bauan yang harum dan amat menyenangkan bagi ‘yang menggemarinya’.

Dalam manteranya, Tok Jali memanggil semangat datuknya, Tok Dali dan dia turut memanggil semangat gurunya.

Perkara itu diulang beberapa kali. Dan ketika burung pungguk sudah mula berbunyi untuk mencari makanan, Tok Jali mengarahkan Rejab mengangkat tampi yang dipenuhi barang-barang itu. Katanya dengan nada tegas dan wajah yang amat serius, mereka akan ke Tasik Cuping, “Sekarang.”

Sebelum turun, Selamat mencapai sebuah bekas berbentuk perahu kecil yang diperbuat daripada buluh yang sudah dijalin rapi. Di Tasik Cuping nanti, Tok Jali akan meletakkan kesemua barang-barang sembahan tadi ke dalam perahu itu, yang mana ia akan dihanyutkan ke Tasik Cuping.

Bapa Ujang akan turut serta dalam operasi ini, sementara ibu Ujang akan menunggu di rumah Tok Jali, bersama-sama Putih.

“Sabarlah Bulat, kita tunggu saja di sini. Tak ada yang boleh kita buat kalau kita ke sana, itu kerja orang lelaki,” nasihat Putih kepada Bulat, ibu Ujang.

Bulat yang asyik menangis dari tadi mengangguk pilu. Kalau ikutkan hati, ingin sahaja dia terus menerpa ke Tasik Cuping sebaik diberitahu oleh Rejab. Tetapi apakan daya, dia hanya seorang wanita yang lemah. Pasti dia tidak mampu hendak berhadapan dengan tuan tasik yang dikhabarkan orang sebagai amat ganas, kejam dan tidak berhati perut itu.

******

Tok Jali, Rejab, Selamat, bapa Ujang sudah pun sampai di tepi tebing, tempat Rejab dan Ujang mengail pada mulanya. Tok Jali dan bapa Ujang, diiringi oleh Selamat menuruni tebing dengan perlahan. Selamat dan Cimek, bapa Ujang membawa ancak yang sudah diletakkan di atas perahu kecil tadi dengan berhati-hati.

Tok Jali sudah melangkah perlahan memasuki air. Kali ini, dia memakai sepasang persalinan serba hitam. Kaki seluarnya yang tergantung-gantung separas perut betis menambahkan tanjak seorang tua yang berkarisma. Kain pengikat kepala yang dipakainya juga berwarna hitam, menyerlahkan warna rambutnya yang telah memutih. Di samping itu dia tetap mengekalkan ikat pinggang bercorak pucuk rebung di pinggang seluarnya.

Dia berpeluk tubuh dengan mata yang tajam merenung ke tengah tasik. Kelihatan mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu dengan tekun. Keadaan itu agak lama berlalu sebelum dia memanggil pembantu-pembantunya malam itu.

“Selamat, Cimek,” panggil Tok Jali sambil memusingkan badannya ke belakang.

“Ya, tok,” jawab Cimek dengan wajah yang cemas. Mulutnya membentuk huruf O sedangkan jantungnya berdegup kencang berbaur antara marah, takut dan cemas.

Selamat tidak menjawab, cuma terus merenung sahabatnya, menunggu arahan selanjutnya.

Rejab di atas tebing pula sibuk mengesat peluh dengan hujung lengan baju Melayunya biarpun suhu ketika itu dingin.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah makhluk itu akan memulangkan semula Ujang kepada mereka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience