Aku memakai jeans dan blaus warna merah hati. Rambutku yang lurus panjang hingga mencecah pinggang, kubiarkan saja. Namun di pergelangan tangan, sudah tersedia pengikat rambut berkain baldu hitam seandainya rambut yang panjang ini menyukarkan pergerakanku. Sambil melihat wajahku di cermin, aku cuba membina semangat untuk berhadapan dengan Abang Luqman nanti.
Lama juga aku tercegat di hadapan cermin. Sebenarnya, aku sendiri tidak pasti bagaimana perasaanku terhadap Abang Luqman sejak akhir-akhir ini. Dan perasaan ini semakin kuat sejak malam tadi.
Lantaran itu, fikiranku pada Nazim semakin jauh.
Kadangkala aku sering memarahi diriku kerana bermain dengan perasaan. Tapi setiapkali aku cuba membuang perasaan itu jauh-jauh, semakin kerap wajah Abang Luqman muncul di depanku. Bagaimana harus aku hindari perasaan ini? Fikiranku semakin buntu memikirkannya Aku berasa berdosa terhadap arwah Aini.
"Auni?" panggil Abang lukman tiba-tiba.
"Ya, ya, sekejap lagi Auni turun!"
Aku menyikat rambutku agar kelihatan lebih kemas.Aku mengenakan sedikit gincu bibir dan pemerah pipi.nJiwaku gementar bila mendengar suaranya. Bagaimana harus aku menghabiskan masa sepanjang petang ini bersamanya?
Kemudian aku bergegas turun.Sebaik saja sampai di ruang tamu, hanya abah, emak dan Fahim yang berada di situ. Hatiku tertanya-tanya mana perginya Abang Luqman. Aku mendukung Fahim yang sudah berpakaian cantik dan memakai kasut warna biru yang aku beli di UK.
Fahim meronta-ronta minta dilepaskan. Dia enggan didukung. Aku akur dengan kehendaknya. Tiba-tiba aku terpandang Abang Luqman yang sedang minum di meja makan. Dia nampak terkejut. Namun, aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku pada Fahim yang sedang berlari ke arah pintu.
"Fahim, jangan lari sayang. Nanti jatuh!" jeritku.
Namun di hati, TUHAN saja yang tahu apa yang
sedang kurasakan saat itu. Benarkah itu Luqman Hafizi. abang iparku? Dengan pakaian yang begitu ringkas, dia tetap nampak segak di mataku dan mampu membuatkan aku jadi tidak menentu dengan sekelip mata saja. Semangat yang kukumpul hilang entah ke mana.
Emak menjadi penyelamat keadaan. "Pergilah cepat. Zahin dah tak sabar-sabar nak naik kereta tu."
Aku yang sudah berada di muka pintu memandang Abang Luqman sekali lagi. Dia datang ke arah kami.
"Tuan puteri lambat sangat mekap," usiknya. Aku tersenyum. Kemudian mengalih pandangan pada emak dan abah.
"Tengok Fahim tu. Dah nak main air pulak dah!" Tiba- tiba abah bersuara. Kami serentak memandang ke arah Fahim. Rupa-rupanya dia sedang bermain air di dalam baldi yang diletakkan di beranda rumah.
"Fahim, jangan main air," jeritku.
Aku berlari mendapat Fahim. Habis baju dan seluarnya basah. Sekali lagi Fahim meronta-ronta minta dilepaskan. Abang Luqman mengambil Fahim dari dukunganku. Fahim mula menangis. Emak dan abah cuba memujuknya.
"Fahim nak naik kereta tak?" pujuk Abang Luqman pula. Namun, Fahim masih lagi meronta-ronta minta dilepaskan. Dia menjerit-jerit memanggil namaku pula.
Tanpa berlengah lagi. Abang Luqman menghulurkan Fahim kepadaku semula. Aku memeluk Fahim dengan erat. Abang Luqman memandang reaksiku dengan tenang. Aku melarikan pandanganku kerana tidak sanggup bertentang mata dengannya.
"Pergilah cepat. Naik kereta nanti, diamlah dia tu," kata abah sambil membelai Fahim, manja.
"Okeylah, kita pergi sekarang," kata Abang Luqman.
"Farah pergi dulu mak." Aku minta izin untuk pergi. Kereta meluncur laju ke destinasi yang dituju. Tangisan Fahim hilang serta-merta. Sebaliknya, gelak ketawa Fahim sudah cukup menghiburkan. Ketika itu, aku dan Abang Luqman diam membisu. Aku pun tidak tahu kenapa aku tiba-tiba menjadi kekok apabila bersamanya.
"Diam aje, kenapa?" tegur Abang Luqman.
Aku tersentak. Tidak tahu apa yang harus aku katakan.
"Tak adalah."
"Tak adalah? Itulah ayat pertama Auni yang abang dengar sejak tadi."
Senyumanku semakin melebar. Dia mengerutkan dahinya. "Auni ada masalah?"
"Tidak!"
"Habis tu, kenapa?"
"Auni rasa kurang senang bila keluar dengan abang." jelasku terus terang.
Abang Luqman tersenyum mendengar alasanku itu. "Kenapa pulak?"
"Nanti orang kata, Auni cuba ambil kesempatan untuk ganti tempat arwah Aini pula." Abang Luqman ketawa.
Fahim semakin riang di dalam
kereta. Aku sangka dia mahu membiarkan saja persoalan itu, tapi...
"Are you?" duganya.
"Kenapa pulak?" balasku balik.
"Kalau macam tu, apa nak risaukan lagi? Auni tahu niat Auni, peduli apa orang nak kata."
Aku mendiamkan diri dengan apa yang dikatakan oleh Abang Luqman. Tapi jauh di sudut hati, masih ada sesuatu yang tidak menyenangkan aku. Aku seperti berpura-pura dengannya. Apakah aku sememangnya mahu mengambil tempat arwah Aini?
"Kalau Aini fikir orang akan memperkatakan tentang hal abang dengan Auni keluar berdua begini, abang rasa, eloklah Auni hentikan. Lagipun, siapa nakkan abang yang dah ada anak seorang ni, ya tak? Auni pun masih single lagi. Banyak lelaki lain yang lebih bergaya dari abang. Malah, arwah Aini pun pernah beritahu abang, Auni dah ada steady boyfriend masa di UK dulu. Betul tak?"
Aku terkejut mendengar kata-katanya. Kemudian aku ketawa kecil.
"Nazim ke yang abang maksudkan tu? Kalau abang nak buat Auni ketawa, Auni rasa abang dah berjaya."
Abang Luqman hanya tersenyum memandangku.
"Apa lagi yang arwah Aini ceritakan pada abang?"
"Yalah... Nazim pernah proposed Auni tapi Auni tak pasti sama ada nak terima atau tak?"
Aku mengangguk pun tak, menggeleng pun tak juga. "Kenapa tak pasti dengan Nazim?"
Senyumanku terus menjadi lebar. Secara berseloroh, aku menjawab.
"Manalah tahu, bila balik Malaysia nanti, Auni dapat jumpa orang yang lebih baik dari dia."
Abang Luqman memandangku. Dia terkejut. "Arwah Aini kata, Auni dengan Nazim, dah kenal sejak sekolah lagi. Tentu you all dah kenal hati masing-masing. Arwah Aini pernah kata. Nazim baik orangnya. Auni nak tunggu putera raja pinang Auni ke?"
Aku ketawa geli hati. "Elok juga kalau ada putera raja yang nak. Mudah-mudahan senang hidup Auni."
"Auni ingat, anak raja yang muda-muda tu nak
kahwin ke? Dia orang masih nak enjoy lagi."
"Ha, abang silap. Kalau yang perut boroi tu, banyak simpan duit. Abang mana tahu rahsia mereka tu. Yang muda-muda pulak, bagi Auni, dia orang semua tu, masih belum sampai ke tahap maturity seperti yang Auni inginkan. Orang kata, yang tua tu, tentu dah banyak pengalaman, ya tak bang?" Giliranku pula mengusiknya. Abang Luqman hanya menggeleng melihat telatahku.
Kami bertiga menghabiskan sepanjang petang itu di gedung membeli-belah One Utama. Dari satu kedai ke satu kedai kami kunjungi. Ketika kami leka melihat Fahim menunggang basikal di tempat permainan kanak-kanak, tiba-tiba bahu Abang Luqman ditepuk. Aku dan Abang Luqman yang berdiri bersebelahan memandang ke belakang.
"Hei, Johari," balas Abang Luqman sambil berjabat salam dengan lelaki itu.
"Aku ingat siapa tadi."
"Buat apa kat sini?"
Johari turut memandang Fahim yang begitu ghairah mengayuh basikal.
"Kalau Fahim suka, suruh papa beli. Jangan main kejap kejap. Nanti tak puas," kata Johari pada Fahim.
"Eh, mana isteri kau?"
"Entah... si Aina bawa dia ke sana. Adalah benda yang dia nak tu." jawab Johari dan pandangannya beralih padaku. Bagai ada sesuatu yang ingin diperkatakan olehnya
"Siapa ni?" tanya Johari seakan akan berbisik tapi cukup jelas di telingaku. Abang Luqman memandangku.
"Ini adik ipar aku. Auni. "Abang Luqman memperkenalkan kami.
"Auni, ini Johari kawan sepejabat abang."
Aku dan Johari berbalas senyuman.
"Macam arwah Aini." bisiknya lagi.
Aku cepat-cepat mencelah. "Arwah Aini dengan I saudara kembar."
"Oh.... patutlah sama aje." Dia seperti tidak percaya di hadapannya itu adalah adik kembar arwah Aini.
"Masa aku pergi rumah kau hari tu, tak nampak pula adik ipar kau ni," ujarnya lagi.
"Masa itu dia belajar di UK," jawab Abang Luqman.
"Berapa lama you dekat sana?"
"Empat tahun," balasku pendek.
"Ambil kursus apa?"
Aku sempat mengerling ke arah Abang Luqman
yang turut menantikan jawapanku pada kawannya.
"Kejuruteraan mekanikal."
Lelaki itu mengangguk lagi. Kemudian sekali lagi dia berjabat tangan dengan Abang Luqman dan minta diri untuk beredar.
"Aku takut entah apa pulak si Aina tu nak. Yang mamanya, kalau anak dah nak sangat, dia tak reti nak kata tak boleh. Aku jumpa kau di pejabat Isnin depan." Dia beredar meninggalkan kami.
"Kawan baik abang ke?" tanyaku apabila kelibat Johari hilang dari pandangan. Abang Luqman mengangguk.
"Tak apa ke kalau kawan baik abang nampak kita begini?" tanyaku ragu-ragu.
Abang Luqman tersenyum melihat aku.
"Auni tak kisahkan berjalan dengan abang?" Soalannya membuatkan aku terdiam seketika.
Akhirnya, kami sama-sama bertukar senyuman, mematikan segala perasaan kurang senangku sebentar tadi.
Jam menunjukkan pukul 7.45 malam bila semua keperluan Fahim telah selesai kami beli. Fahim mula gelisah. Aku tahu dia mahu tidur.
"Kita makan di Sanur," kata Abang Luqman. Ketika itu, aku sedang menyorong Fahim di dalam kereta tolaknya. Sementara Abang Luqman pula dengan troli berisi barangan. Kami menuju ke pintu keluar One Utama
"Sanur? Apa Sanur tu?" Abang Luqman menunding jari ke sebuah restoran di depan kami. "Tu...!" Aku berpaling ke arah yang dimaksudkan oleh Abang Luqman.
Kami melangkah masuk beriringan. Seorang pelayan datang menyambut kami dan membawa kami ke sebuah meja. Aku memesan bubur nasi ayam untuk Fahim. Abang Luqman pula memesan hidangan makan malam untuk kami.
"Abang selalu ke sini?"
"Tak jugak. Bila mesyuarat dengan client dekat kawasan ini, barulah singgah."
"Arwah Aini selalu makan di sini?" dugaku berani.
"Kenapa Auni tanya?" Wajahnya berubah sedikit.
"Kan, Aini suka masakan kampung." Lambat juga dia menjawab soalanku.
"Inilah restoran kegemarannya."
Aku merenung wajah Abang Luqman, namun Fahim yang makin gelisah di pangkuanku membuatkan aku tidak berkesempatan untuk membaca hatinya. Seorang pelayan datang membawa semangkuk bubur nasi ayam. Aku tidak mahu perasaan Abang Luqman tersentuh bila aku mengungkit kisah-kisah lamanya.
"Okey, kita makan sayang. Fahim lapar ya?" pujukku sambil menyuapkan bubur nasi ke mulutnya.
Abang Luqman memerhatikan gelagat anak itu. Aku tidak henti-henti menyuapkan bubur nasi ke mulut Fahim setiapkali nasinya habis dikunyah. Akhirnya. Fahim tersandar kekenyangan.
"Bila Auni nak cari kerja ni? Abang risau tengok Auni jaga Fahim di rumah. Abang takut kalau mak dengan abah kecil hati pulak."
"Apa yang abang nak takutkan? Kan abah jugak yang setuju Auni jaga Fahim buat sementara waktu ni?" balasku cuba meyakinkannya.
Abang Luqman mengeluh. "Tapi sampai bila, Auni? Sampai kertas degree Auni tu dah naik kuning?" Riak wajahnya seperti orang bersalah.
"Sampai abang dan Fahim tak perlukan Auni," jawabku.
"Begitu?" soal Abang Luqman terkejut.
Ya.... mungkin sehingga Abang Luqman dapat mencari pengganti arwah Aimi dan mama kepada Fahim. Dan waktu itulah aku akan memikirkan tentang karierku.
Aku memandangnya dengan fikiran kosong. Lantas aku teringat kembali amanat arwah Aini.
"Tak takut nanti bila tengok kawan-kawan Auni dah pegang jawatan besar, Auni pulak baru nak merangkak dari bawah?" tanya Abang Luqman tidak puas hati.
Aku mula berasa sesuatu yang tidak kena terhadap Abang Luqman. Perasaan itu agak kuat. Aku memandang tepat ke matanya.
"Fahim bukan orang lain dengan Auni. Dia macam anak Auni sendiri. Adalah menjadi tanggungjawab Auni untuk menjaganya."
"Itu abang tahu, Auni. Tapi abang tak mahu Auni sia-siakan kelulusan Auni semata-mata hanya untuk menjaga Fahim," jelasnya cuba berdiplomasi denganku.
Aku menarik nafas panjang. Aku mula rasa tidak senang hati. "Pasal masa depan Auni, Auni boleh urus kan. Auni tak akan menyusahkan abang nanti."
Abang Luqman tiba-tiba tersenyum. Namun senyuman itu tidak sampai ke hatinya. hambar sahaja. "Itukan keputusan Auni. Auni dah dewasa, boleh fikirkan yang mana baik dan buruk."
"Auni ingatkan abang dah lupa." Dengan pantas akunmenjawab. Abang Luqman hanya menggeleng dan akur dengan pendirianku.
"Cuma abang lupa yang Auni ni bukan isteri abang." Hatiku tersentak dengan kata-katanya yang terakhir itu Lantas aku memalingkan wajahku ke arah lain.
Share this novel