Aku menemani Liza pulang hingga ke pintu pagar. Dia berjanji akan menghubungiku apabila pulang bercuti bersama keluarga dari Jakarta nanti. Ketika aku masuk ke dalam semula, kelihatan Abang Luqman sedang berdiri memerhatiku. Lagaknya tenang saja. Walaupun kakiku cukup berat untuk melangkah masuk, namun aku paksakan juga.
"Briefcase Auni ada dalam kereta abang. Auni terlupa nak ambil hari tu!" bisik Abang Luqman.
"Auni tahu." balasku perlahan.
"Dah tu. kenapa Auni tak telefon abang?"
Matanya bersinar-sinar memandangku.
Aku cuba bersikap tenang kerana emak dan abah masih berada di situ. Kejadian dua hari lepas sekali gus membataskan perbualan kami ketika ini.
"Abang tidur dekat sini ke? Kalau ya, Auni kemaskan bilik abang." Aku cuba menenangkan perasaanku.
"Tak payah, mak dah kemaskan," sampuk emak.
Aku memandang emak. Ada seribu pengertian di wajah tua itu. Cepat-cepat aku melabuhkan punggung di sofa. Fahim datang menghampiriku.
"Anak mama dah jalan-jalan naik kereta dengan papa?"
Fahim mengangguk dan duduk di ribaanku.
"Fahim pergi mana tadi?"
"Jalan-jalan pergi kedai. Tengok lampu," katanya penuh ceria.
Aku memeluknya erat-erat. Kasih sayangku padanya tiada batas lagi. Fahim sudah kuanggap seperti anakku sendiri.
"Kenapa Fahim tak tunggu mama?" tanyaku.
"Fahim tunggu tapi papa kata, mama ada Auntie Liza."
Semua mata tertumpu pada kami berdua.
"Kita tidur nak tak?" tanya abah pula.
Jam sudah pukul 11.00 malam waktu itu. Fahim menggeleng.
"Hari dah malam sayang. Esok, kita boleh main lagi," pujuk emak pula.
Dia tetap menggeleng lantas memandangku dan Abang Luqman seolah-olah meminta pertolongan.
"Fahim nak tidur dengan siapa? Dengan nenek dengan atuk atau dengan mama?" tanyaku.
Seperti biasa, jawapannya pasti mahu bersamaku. Tapi entah kenapa malam ini, dia nampak aneh sedikit.
"Tidur dengan papa," jawabnya.
Abang Luqman tersenyum senang.
"Hissh, esok papa kerja sayang," kata emak pula.
"Fahim tidur dengan mama, ya?" pujuk emak lagi.
"Fahim nak tidur dengan mama, dengan papa"
katanya tegas.
Aku tersentap dengan jawapannya itu. Sebelum ini Fahim mengerti bahawa mamanya tidak pernah sebilik dengan papanya. Tapi entah kenapa malam ini, banyak kerenahnya.
"Mana boleh macam tu," jelas emak
"Fahim nak tidur dengan papa atau Fahim nak tidur dengan mama?" tanya emak lagi.
"Fahim nak tidur dengan papa dengan mama," bentak nya kuat.
Kami berempat saling berpandangan. Nyata, anak kecil ini meminta sesuatu yang sukar untuk di- tunaikan
"Okeylah," pujukku lagi.
"Fahim boleh tidur dengan mama dengan papa. Tapi Fahim kena tidur dulu. Sebab, papa nak sembahyang. Lepas sembahyang, baru papa tidur dengan Fahimm. Okey?" Aku benar-benar berharap dia bersetuju.
Fahim terdiam. "Papa nak 'cembahyang"?" katanya sambil memandang papanya.
"Papa nak 'cembahyang' dulu. Fahim ikut mama masuk bilik. Lepas 'cembahyang nanti, papa tidur dengan Fahim," terang Abang Luqman.
"Dengan mama 'cekali'?" tanyanya lagi.
"Ha, dengan mama 'cekali." Abang Luqman terpaksa bersetuju dengan kehendaknya.
"Okey, jom kita tidur. Atuk nak tidur, nenek nak tidur. mama pun nak tidur," terangku memujuknya.
"Papa?" tanya Fahim lagi.
Aku memandang Abang Luqman sekali lagi.
"Kan papa nak sembahyang."
Fahim mendepa kedua belah tangannya untuk segera didukung. Dia memandang papanya.
"Papa tidur dengan 'Jahin' dengan mama, ya?" katanya.
"Yalah, yalah," kata Abang Luqman.
Seperti biasa Fahim akan mencium atuk, nenek dan papanya sebelum masuk tidur. Bila sampai giliran Abang Luqman, dia merangkul erat leher Abang Luqman, menjadikan aku begitu dekat dengannya.
"Don't sleep!" Abang Luqman berbisik di telingaku. Wajahnya ketika itu terselindung sedikit dari pandangan emak dan abah.
"Abang nak cakap sikit dengan Auni."
Aku termangu. Tidak terdaya untuk memberi sebarang reaksi. Aku sendiri tidak pasti apakah yang telah aku dengar sebentar tadi.
Akhirnya, Fahim kembali semula dalam pelukanku. Dan aku membawanya ke bilikku.
Aku tidak berganjak dari katil biarpun ketika itu lebih dari sejam sudah berlalu. Fahim semakin lena tidur di katilnya. Emak dan abah sudah masuk ke bilik mereka. Makin lama, aku berasa semakin gentar kerana Abang Luqman masih menantiku.
Tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Aku dapat mengagak siapa yang mengetuknya. Sebaik saja pintu dibuka, Abang Luqman tercegat menanti.
"Fahim dah tidur?"
Aku hanya mengangguk dan mengekori Abang Luqman dari belakang, menuruni anak tangga satu persatu. Kemudian Abang Luqman memandangku.
"Kita keluar."
Aku terkejut sedikit.
"Pergi tukar baju. Abang tunggu di kereta. Cakap dengan mak, kita keluar sekejap." arah Abang Luqman kepadaku. Suaranya begitu tenang.
"Kalau abang ajak Auni keluar hanya untuk memperkatakan sesuatu yang boleh menyakitkan hati Auni, Auni tak mahu."
Abang Luqman memandangku.
"Abang tak ada niat untuk menyakitkan hati Auni. Abang cuma nak berbincang dengan Auni."
Buat beberapa ketika, aku membisu. Kemudian barulah aku menyatakan persetujuanku. Setelah menukar pakaian, aku masuk ke bilik emak dan memberitahunya yang aku dan Abang Luqman mahu keluar sekejap.
"Cepat balik!" pesan emak.
Aku mengangguk dan segera menuruni anak tangga. Jantungku semakin berdegup pantas bila melihat Abang Luqman sedang menanti aku di dalam kereta. Walaupun berat hati untuk bersamanya saat itu, namun aku kuatkan semangatku. Selagi perkara ini tidak selesai, selagi itulah aku dengan dia akan terus menjauhkan diri. Biarpun kami terpaksa berlakon di hadapan emak dan abah, perasaan itu tetap terselindung dan membakar diri.
Aku mengambil tempat duduk di sebelahnya dan serta- merta, kereta dipecut laju. Di jalan raya. Abang Luqman memandu dengan tenang. Aku terus mematungkan diri. Keadaan sepi sekali. Dan aku biarkan begitu. Biarlah Abang Luqman yang memulakan bicara.
Aku tahu, dia kurang selesa dengan keadaan kami ketika itu. Dia segera membuka radio di dalam kereta. Lagu- lagu yang kedengaran cukup mendayu-dayu. Menambahkan tekanan kepada kami berdua.
"Kita pergi minum?" pelawa Abang Luqman.
"Tak payahlah. Kita cakap di sini aje. Lagipun, senang, kalau apa-apa nanti, orang tak dengar suara kita," balasku.
"Abang tak bermaksud nak meninggikan suara pada Auni tempoh hari."
Aku diam.
"Terlalu banyak perkara yang patut kita selesaikan sekarang. Banyak perkara yang Auni masih tak mengerti tentang abang. Kehendak keluarga abang. Fahin, abah dan emak dan juga tanggungjawab pada diri kita masing- masing. Sekarang dalam keadaan tenang begini, abang harap kita dapat selesaikan masalah ini dengan lebih rasional," kata Abang Luqman penuh berdiplomasi.
Aku terus membisu.
"Auni dah fikirkan masak-masak?"
Aku menatap wajahnya dengan perasaan sayang bercampur sedih. Tapi aku teramat kecewa dengan sikapnya yang mementingkan diri sendiri.
"Abang tanya Auni, Auni dah fikir tentang perkara ini semua?" ulangnya..
"Auni rasa, abang dah tahu apa jawapan Auni." Dia mengeluh.
"Auni sedar tak apa yang Auni lakukan ni?"
"Tahu!"
"Auni tahu tak, Auni dah kecewakan hati abang?"
Aku tidak mengerti maksud kata-katanya itu.
"Kenapa keputusan Auni membuatkan abang kecewa?"
"Sebab selama ni, abang hanya menganggap Auni sebagai adik pada isteri abang dan tak lebih dari itu. Dan abang tak boleh nak menyayangi Auni setanding dengan apa yang abang rasa pada isteri abang."
Aku terdiam. Perlahan-lahan air mata menitis. Mujur keadaan agak gelap. Aku tidak sanggup membenarkan titisan jernih ini dilihat oleh Abang Luqman.
"Jangan kerana tanggungjawab Auni pada Aini ataupun tanggungjawab Auni pada Fahim. Auni sanggup korbankan masa depan Auni dengan abang," katanya seolah-olah merayu padaku.
"Auni sayang pada keluarga kita. Dan Auni sanggup terima akibatnya," kataku.
"Auni, abang tak sanggup nak terima Auni. Bagi abang, isteri abang hanya seorang. Tiada gantinya. Kalaupun kita akan kahwin nanti, abang tak akan dapat membahagiakan Auni," jelasnya berterus terang.
"Biarpun abang tak melakukan tanggungjawab abang sebagai suami. Auni tak kisah. Biarpun kita tinggal berasingan, Auni tetap dengan keputusan Auni."
"Auni ni degillah. Abang dah tak tahu nak kata apa lagi," katanya lagi dengan keras.
"Kalau abang tak mahu kahwin dengan Auni, beritahu orang tua abang terus terang. Kenapa Auni pula yang harus ke depan?"
"Sebab mak nak abang kahwin dengan Auni supaya Auni dapat menggantikan tempat Aini. Itu aje."
"Itu bukan soalnya. Apa yang perlu abang lakukan, beritahu keluarga abang yang abang tak mahu kahwin dengan Auni. Abang yang mesti tegas dalam hal ini. Auni tetap tak berganjak dari keputusan Auni." Aku cuba mempertahankan diriku.
Abang Luqman mengusap tengkuknya beberapa kali tanda tidak senang dengan keputusanku itu. Aku tahu, dia semakin resah kerana aku tetap berdegil.
"Ini soalan abang yang terakhir. Auni tetap dengan keputusan Auni?"
"Ya!" tegasku.
"Baiklah. Abang juga tetap tak berganjak dengan keputusan abang. Jangan harap Auni akan dapat abang sebagai suami Auni."
Aku menarik nafas panjang. Air mata yang sedari tadi mengalir akhirnya berhenti juga tanpa aku sedari.
Abang Lukman memandangku. Bila melihat aku enggan berbincang lebih panjang lagi, dia terus berkata.
"Kalaupun abang terpaksa akur dengan rancangan mak dan abah abang, jangan harap abang akan membahagiakan Auni sebab dalam hati abang, tak ada tempat untuk Auni."
Serentak dengan itu, keretanya terus dipandu laju.
Share this novel