Sebaik saja kapal terbang MAS Boeing 777 mencecah landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sepang, hatiku berasa sungguh pilu. Aku kini sudah sampai di negara asalku setelah empat tahun di perantauan.
Selepas menjalani pemeriksaan imigresen, aku ke Balai Ketibaan untuk mencari beg pakaian dan barang- barang lain di tempat bagasi. Kemudian aku menuju ke tempat pemeriksaan kastam. Setelah selesai semuanya aku menolak troli keluar dan mencari-cari abah dan emak. Rupa-rupanya, abah dan emak berada betul-betul di pintu keluar, sebaik saja melihat aku. Kami berpelukan dan air mata sajalah yang menggambarkan betapa gembiranya kami ketika itu. Kemudian muncul saudara maraku yang sudi menyambut kepulanganku. Gelak ketawa dan tangis gembira mengisi suasana kami.
Tiba-tiba bajuku seperti ditarik. Aku merenggangkan pelukanku pada seorang sepupuku dan sekali gus mengalihkan pandangan ke bawah.
Seorang anak kecil memandangku dengan senyuman yang begitu menawan. Aku dapat mengagak, siapa anak kecil ini. Wajahnya begitu mirip wajah Aini.
"Mama" Itulah ucapan pertama yang kudengar dari mulut si comel ini. Air mataku tidak tertahan lagi. Serta-merta kupeluknya dengan erat. Ketika itu wajah arwah Aini terbayang di ruang mataku
Fahim yang berusia 3 tahun terpinga-pinga dan cuba meleraikan pelukanku.
"Ngapa mama nangis?"
"Sebab mama rindu dekat Fahim", balasku cuba mengawal esakan. Ketika itu baru aku mengerti betapa besarnya harapan arwah Aini padaku. Dan dalam sekelip mata, aku boleh mengaku diri ini sebagai mama pada anak kecil yang malang itu.
Fahim memandangku dengan wajah penuh tanda tanya. Mungkin dia hairan melihat aku menangis tidak hend-henti apabila memeluknya. Aku mendukung si kecil itu dan menghampiri abah dan emak.
"Dia betul-betul rindukan mamanya," kata abah sambil mengusap rambut Fahim.
Aku memeluk Fahim sekali lagi dengan hiba. Kemudian aku mencium pipinya bertalu-talu. Emak mengesat air matanya. Aku tahu, tentu perasaan emak tersentuh melihat tingkah Fahim yang menyangka aku adalah mama kandungnya. Aini.
"Mana Abang Luqman?"
Lantas aku teringatkan lelaki itu. Aku segera memandang emak. Emak mengalihkan pandangannya pada abah. Begitu juga dengan saudara mara yang lain. Mereka turut memandang sesama sendiri.
"Malam nanti dia datang." jawab abah .
"Jom kita balik!" kataku tidak sabar untuk pulang kerumah. Fahim tersenyum. Aku memeluknya dengan erat.
Sampai saja di rumah, aku terus meluru masuk ke bilik yang telah kutinggalkan sekian lama. Bilik belajar ini banyak meninggalkan kenangan buat aku dan arwah Aini. Kami sering berkongsi cerita mengenai isu semasa. pelajaran, kawan kawan dan sebagainya.
Walaupun kami berlainan bilik tidur, namun citarasa kami tidak pernah berbeza. Cuma Aini lebih lincah, lebih peramah dan lebih mesra dari aku. Walaupun begitu, perbezaan itu masih boleh mengelirukan orang sekeliling. Pada pandangan mereka, kami tetap sama.
Sejak kami dilahirkan, aku dan Aini tidak pernah berpisah. Cuma keadaan berubah bila permohonanku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara diluluskan. Arwah Aini lebih senang menyambung pelajarannya di sini Itulah kali pertama perpisahan kami. Dan tidak pernah terlintas di fikiran bahawa perpisahan tersebut adalah untuk selamanya.
Aku melangkah ke jendela dan melemparkan pandanganku jauh ke luar. Terlalu banyak kenanganku bersamanya. Dia bukan saja seorang kakak bahkan lebih dari itu. Kami begitu akrab sekali.
Tak semena-mena. air mataku mengalir lagi. Terlalu banyak yang ingin kuceritakan padanya tentang perkara- perkara yang tidak sempat kusampaikan. Terlalu banyak yang ingin kukongsi bersamanya. Tapi sekarang, dengan siapa harus aku bercerita? Pada siapa ingin kuluahkan masalah-masalahku? Dengan siapa lagi boleh aku bergurau senda seperti dahulu?
Setiap ruang di bilik ini, aku seakan-akan dapat me lihat wajah Aini. Mampukah aku menjalani kehidupan ini tanpa dia sebagai pendorong? Siapa lagi yang benar-benar memahami diriku selain dari dirinya? ALLAH saja yang mengetahui betapa rindunya aku pada arwah Aini.
"Auni?"
Tiba-tiba suara emak mematikan lamunanku. Cepat-cepat aku mengesat air mataku. Tapi aku tidak dapat menyembunyikan esakan yang masih kedengaran.
"Sudahlah tu. Jangan ingatkan lagi orang yang sudah tiada," pujuk emak.
Aku memandangnya dengan sayu.
"Janganlah bersedih lagi. Dah cukup banyak air mata dalam rumah ini. Mak tak mahu Auni balik dan menambahkan lagi kesedihan abah, mak dan Luqman. Abah dan mak reda dengan pemergian Aini. Kami cuma ada Auni seorang saja. Kalau dulu masa Auni ke UK,ada arwah Aini, hilang juga rindu kami pada Auni. Kini, bila Auni balik, terubat juga rindu abah dan mak pada arwah Aini," terang emak panjang lebar.
Air mataku semakin laju mengalir di pipi. Aku tidak dapat menahan sebak yang sekian lama terpendam .
"Yang pergi tu, tetap pergi. Kita doakanlah kesejahteraannya," pujuk emak lagi.
"Tapi Auni tak sempat nak jumpa dia." ujarku
Emak memegang bahuku "Kalau Luqman tengok Auni menangis begini, Auni akan menambahkan lagi kesedihannya pula."
"Sejak arwah meninggal, siapa yang duduk rumah
mereka di Subang Jaya?"
"Abang Luqman kau."
"Siapa jaga Fahim?"
"Mak dan abah."
"Abang Luqman tak bawa Fahim balik ke rumahnya?"
"Sejak arwah meninggal, dia hanya sekali sekala bawa Fahim balik. Itu pun hujung minggu aje. Dia banyak habiskan masa dengan Fahim di sini. Bila mak tengok keadaan Luqman tak menentu, mak sengaja minta Fahim terus tinggal di sini. Rumah ni pun, cuma mak dengan abah saja yang ada Sekurang kurangnya, mak ada juga teman bila abah kau ke pejabat."
Aku terdiam seketika .Fikiranku tertumpu pada Abang Luqman. Dan aku mengambil kesempatan ini untuk mengetahui sedikit latarbelakang Abang Luqman dari emak.
"Mak, boleh Auni tanya sikit?"
Emak hanya memandangku. Beranikah aku bertanya mengenai Abang Luqman dari emak?
"Selepas arwah meninggal, macam mana keadaan Abang Luqman? Auni nak tahu supaya Auni tak terlepas cakap dengan dia. Auni hanya kenal dia melalui surat surat yang arwah kirim. Arwah tak pernah lupa menceritakan tentang Abang Luqman. Tapi bila Auni balik, tak sangka pulak Auni akan berhadapan dengan dia tanpa Aini."
Renungan mata emak yang tajam menyebabkan aku gementar. Aku cuba berlagak tenang seolah-olah tiada apa yang perlu aku takutkan.
"Luqman pandai menyembunyikan kesedihannya. Waktu Aini kemalangan hari tu, dia nampak tenang. Lebih tenang dari mak dan abah. Seminggu selepas Aini meninggal dunia. Luqman bawa Fahim pergi bercuti ke Johor. Mungkin nak tenangkan perasaannya. Bila pulang. Luqman jadi pendiam dan suka menyendiri. Macam sekarang ni, dia jarang pulang ke rumah mak, jauh sekali nak pulang ke rumah orang tuanya. Dia asyik bekerja saja sampai tak ingat dunia luar tu. Tapi... mak tahu perasaan dia. Dia tak mahu orang lain tengok dia sedih. Dia lebih suka memendam rasa." jelas emak panjang lebar.
Aku tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu bila mendengar cerita emak itu.
"Bila Auni balik tentu wajah Auni mengingatkan Abang Luqman pada arwah Aini, ya mak?"
Emak menghela nafas panjang. Kemudian dia tersenyum. Aku dapat mengagak perasaan emak saat itu.
"Auni pun tahu, kan?"
"Mungkin sebab itu juga dia tak tunggu Auni balik." dugaku.
Emak memandangku. "Entahlah. Tak tahu mak nak kata. Minggu lepas, mak dan abah dah beritahu dia yang Auni akan pulang hari ini. Agaknya dia lupa."
Aku menarik nafas panjang. Cuba melegakan rasa sesak di dada.
"Dia tak lupa. Dia tahu Auni balik hari ni." bisikku perlahan
"Layanlah Luq man baik-baik. Sekalipun dia terlupa siapa Auni, ingatkan dia secara lembut . Dari dulu dia tahu, antara arwah Aini dengan Auni, tak ada sedikit pun yang berbeza. Arwah Aini pun selalu ceritakan tentang Auni pada Luqman. Sebab itulah mak dan abah nak sangat Luqman jumpa Auni supaya dia dapat kembali semula pada keluarga. Sekurang kurangnya rindu dia pada arwah Aini terobat juga bila Auni ada di sini. Begitu juga dengan Fahim. Sebenarnya, abah nak Auni ganti tempat arwah sekejap untuk jaga Fahim. Luqman tak tahu niat abah Auni ni. Yalah... kalau dia tahu, takut dia tak setuju. Kalau niat Auni nak jaga Fahim buat sementara waktu, mak tak membantah. Hanya satu saja yang mak risaukan. Mak takut, dia tak boleh lupakan arwah Aini bila jumpa Auni nanti." Di wajah emak terbayang pengharapan.
"Mak, Aini adalah Aini dan Auni tetap Auni. Kami kembar. Persamaannya dah pasti. Abang Luqman kena terima hakikat yang sebenar. Tapi kalau Abang Luqman benar-benar menyayangi arwah Aini, tentu dia boleh membezakan kami berdua."
Mula mula emak terdiam seolah-olah berfikir Tapi perlahan-lahan, dia mengangguk menerima kata kataku itu. Kami menyepi buat seketika. Rupa-rupanya, dalam pada itu, emak menduga sesuatu.
"Ada perkara yang Auni sembunyikan dari mak, ke?" Aku tersentak.
Emak masih lagi mampu membaca isihatiku! Ketara sangatkah wajahku ini?
"Kalau ada pun, biarlah perkara tu jadi rahsia Auni dulu Auni tak pasti sama ada Auni harus memikulnya atau tak." balasku tenang.
Emak memandangku dengan penuh persoalan.
Perbualan kami terhenti bila mendengar rengekan Fahim dari bilik sebelah. Kemudian terdengar pula riuh rendah di tingkat bawah. Aku terlupa ketika ini, saudara mara yang menjemputku di airport tadi masih berada di rumah kami.
"Mak nak bagi Fahim makan Auni rehatlah dulu," kata emak dan terus berlalu.
"Biarlah Auni yang suapkan Fahim makan."
"Auni tak penat?"
Aku membalas dengan sebuah senyuman sambil menggelengkan kepala.
Setalah semua saudara maraku pulang, aku merehatkan diri di dalam bilik. Aku melihat keadaan sekeliling. Kemas dan tersusun rapi. Tiba-tiba aku terpandang sebuah rak yang penuh dengan album. Dengan pantas aku meng hampiri rak itu dan mengambil sebuah album.
Aku menghabiskan masa menatap gambar-gambar arwah Aini setelah empat tahun aku berpisah dengan nya. Satu persatu gambar-gambar di dalam album itu kubelek. Inikah wajah kami yang sebenarnya? Desis hatiku. Berkali-kali aku merintih, kenapa Aini harus pergi dahulu? Dan kenapa pula harus aku memikul tanggung jawab yang paling berat ini?
Sayang benarkah arwah Aini terhadap Abang Luqman? Tingkah lakunya manja dan bersahaja. Walau pun hanya sekeping gambar, namun ia menceritakan segala-galanya Begitu juga dengan Abang Luqman.
Sama padan, sama cantik dan yang paling penting sekali, mereka saling sayang menyayangi walaupun jodoh mereka atas pihan keluarga.Kehidupan mereka begitu sempurna dengan kehadiran Fahim.
Tapi, kenapa TUHAN tiba-tiba saja meragut kebahagiaan yang mereka kecapi dengan sekelip mata saja? Kenapa TUHAN sanggup memisahkan mereka dengan satu tragedi. Kenapa semua ini harus terjadi pada Aini? Pada Abang Luqman? Dan pada kami sekeluarga? Kenapa TUHAN harus menyatukan mereka kalau kebahagiaan yang dikecapi amat singkat sekali. Entahlah... sukar untuk menyatakannya. Sukar untuk menerima ketentuan-NYA. Pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini.
Share this novel