Bab 36

Drama Completed 16327

Sudah hampir dua bulan berlalu.Namun, tragedi itu sering mengganggu tidurku. Aku telah dibawa pulang ke Malaysia setelah dua minggu berada di hospital. Itulah permintaan emak dan abah.

Fikiranku buntu ketika itu. Aku rasa tertekan dengan kehilangan anakku. Malah aku lebih gemar bersendirian dari bergaul dengan sanak saudara yang datang menziarahku. Aku kerap menangis dan termenung. Hanya TUHAN sahaja yang mengetahui bagaimana perasaanku di atas kejadian yang telah berlaku ke atas diriku. Kadang-kadang aku menyalahkan Abang Luqman kerana segala-galanya berpunca daripadanya.

Aku mudah marah dan menjerit jerit untuk meluahkan perasaanku yang tidak pernah tenteram. Aku salahkan emak dengan abah. Aku juga salahkan emak dan ayah mentuaku. Aku salahkan semua orang yang aku kenal.

Bagaimanapun akhirnya aku sedar bahawa kesedihan Ini tidak harus berpanjangan. Dan kini, aku lebih kerap mendekatkan diriku pada TUHAN. Aku tahu, tiada jalan lain yang boleh menenangkan aku. Hanya ayat ayat Al-Quran lebih mujarab dari segala-galanya.

Abang Luqman tidak kelihatan semenjak aku menghalaunya keluar dari rumahku. Kerana dia, aku hidup sengsara. Dan kerana dia juga, anak aku tidak dapat di selamatkan. Semuanya kerana dia Oh TUHAN, sampai bilakah harus aku menjalani kehidupan yang tidak pernah kenal erti kebahagiaan?

Sukarkah untuk aku kembali mengenal hidup yang penuh dengan keindahan di alam maya ini?

Perlukah aku kembali dan menyambung pelajaranku semula? Ya, aku perlu berbuat demikian. Aku tetap akan pergi untuk meneruskan perjuangan hidupku. Sewaktu makan malam, aku telah memberitahu orang tuaku tentang pemergianku ini. Abah dan emak sungguh terkejutnya mendengar pemergianku yang mendadak ini.

"Percayalah abah Auni dah sihat. Lagi lama Auni di sini. Auni tak tenteram. Selagi Abang Luqman ada di sini, Auni tak akan tenang. Auni nak pergi jauh, abah Tolonglah abah. Benarkanlah Auni pergi Auni ke sana pun untuk belajar." pintaku separuh merayu.

Abah menghala nafas panjang. Sukar untuknya melepaskan aku pergi.Dia merenung wajahku.

Berita tentang pemergianku ke UK semula menimbun berbagai reaksi dari keluarga mentuaku. Ada yang restuinya dan ramai pula yang membantah. Ada yang cadangkan aku menyambung pelajaranku di sini. Tapi jawapan abah sentiasa memihak kepadaku. Hanya abah dan emak yang memahami perasaanku ketika ini.

Dau hari sebelum berangkat, aku memohon pada abah dan emak supaya menjemput Fahim dari rumah mentuaku.

"Auni nak jaga dia sekejap mak. Auni nak sangat jumpa Fahim sebelum Auni pergi."

Permintaanku telah ditunaikan oleh abah dan emak. Mereka telah membawa Fahim pulang. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, Fahim terus berlari mendapatkan aku dan memelukku erat-erat. Terlalu lama kami berpisah. Malam itu, ketika aku sedang merehatkan badanku di atas katil, tiba-tiba Fahim masuk menghampiriku.

"Fahim nak tidur dengan mama tak?" tanyaku lembut.

"Mama nak pergi mana ni?" tanya Fahim bila melihat beg-beg pakaianku yang terletak di tepi katil .

"Mama nak pergi jauh. Mama nak pergi sekolah mama." terangku hati-hati. Dia hanya melihatku tanpa sebarang reaksi.

"Mari, mama tidurkan Fahim." ujarku sambil beralih sedikit memberi dia ruang berbaring sebelahku. Fahim akur dengan perintahku.

"Mama nak pergi jauh lagi?" Matanya tidak berkelip- kelip memandangku.

Aku membelainya. Kemudian mengangguk lemah.

"Siapa nak jaga Fahim?"

"Nenek, atuk, papa, tuk wan dan wan ada. Ucu pun boleh jaga Fahim. Semua boleh jaga Zahin," terangkan.

"Mama sayang Fahim?"

"Sayang... Fahim kan anak mama."

"Papa?"

"Sayang," jawabku perlahan.

"Kalau mama sayang Fahim dengan papa, kenapa mama nak pergi?" Aku terdiam. Aku hanya menatap wajah comel itu dengan perasaan sebak.

"Wan marah papa. Tuk pun marah papa. Semua marah papa. Lepas tu papa marah Fahim. Mama jangan pergi jauh-jauh naik kapal terbang, nanti papa tak marah Fahim."

"Kenapa papa marah Fahim?"

"Sebab mama tak ada."

Aku terpana mendengar jawapannya itu.

"Papa sayang mama?" tanyaku sekali lagi. Aku terlalu ingin sangat tahu akan jawapannya.

"Papa nangis bila mama pergi. Nenek dan atuk pun marah papa"

Aku menarik nafas panjang. Banyak perkara yang berlaku ketika ketiadaan aku dahulu.

"Mama jangan pergi ya.."

Aku tersenyum kecil. Namun, fikiranku sedikit bercelaru.
"Kita tidur dulu, ya..."

Aku membelai Fahim supaya dia tidur. Namun bayangan Abang Luqman semakin jelas bermain-main di fikiran

Soalan demi soalan muncul dalam fikiranku. Tak seorang pun yang berani menceritakan apa yang telah berlaku semasa ketiadaanku dahulu.

"DAH fikir masak-masak kali ni?" tanya Kak Yati ketika datang menziarahiku di rumah bersama Raihana. Aku mengangguk lemah. Dua pasang anak mata mengekori tingkahku. Cukup tajam pandangan mereka.

"Auni tahu, ramai yang tak setuju dengan keputusan Auni?" tambah Kak Yati lagi.

"Kenapa pulak?" soalku tidak senang.

"Abah dan emak terkilan sebab Luqman benar-benar telah insaf atas apa yang telah berlaku."

Aku memandang Raihana. "Menyesal sekarang dah tak guna. Boleh tak Abang Luqman gantikan anak yang sudah tiada itu?" tegasku. Raihana termangu. Kak Yati nampak kurang senang dengan jawapanku.

"Tapi, Auni langsung tak bagi Luqman peluang."

"Peluang apa lagi yang dia nak, Kak Yati? Sekian lama, Auni tertunggu-tunggu kedatangannya."

Kak Yati terdiam. Giliran Raihana pula mencelah. "Selama ni pun bila Abang Luqman cuba nak berbaik semula, Kak Auni tak terima kedatangannya ke rumah ni. Kak Auni tak berikan dia peluang langsung. Kak Auni tak adil!"

Aku tersenyum sinis. "Adilkah bagi Kak Auni yang mengalami segala-gala kepahitan hidup? Adilkah bagi Kak Auni sekiranya selama ni anak yang cukup sihat tiba-tiba hilang begitu sahaja? Adilkah bagi Abang Luqman membiarkan Kak Auni di UK hidup keseorangan, padahal Kak Auni amat memerlukannya ketika itu."

"Auni, Kak Yati datang sini untuk memujuk Auni supaya kembali semula pada Luqman. Itu terpulang pada Auni Ingatlah pada Fahim. Tak sempurna hidup Fahim sekiranya Luqman di sini dan Auni di hujung dunia. Kalau Auni fikir Fahim bukan anak kandung Auni, tapi darah yang mengalir dalam tubuhnya adalah sebahagian dan darah Auni juga. Jangan terlalu mengikut rasa hati Auni mereka semua sengsara."

Aku terdiam lantas teringatkan surat wasiat arwah itu. Apakah ini takdir yang telah ditentukan oleh TUHAN untukku?

Kak Yati mendekatkan dirinya padaku. Kemudian dia meletakkan tangannya di atas jari-jemariku. "Selama ni pun, Kak Yati adik-beradik memang berpihak pada Auni. Tapi bila Kak Yati lihat Luqman mula susah hati dan selalu menghilangkan diri. Kak Yati tahu dia rasa bersalah. Dia menyesal dengan perbuatannya pada Auni. Apatah lagi bila Auni berkeras tak mahu memaafkannya."
"Perasan Auni bukan lagi untuk dia.Tak payahlah sesiapa pun mengharap Auni kembali pada Abang Luqman. Biarlah masa menentukan hidup kami berdua."

Aku menahan sebak di dada. Kak Yati dan Raihana hanya tunduk tanda kecewa dengan keputusanku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience