Bab 10

Drama Completed 16327

Dalam perjalanan pulang, Fahim lena di kusyen belakang kereta. Tiba-tiba telefon bimbit Abang Luqman berbunyi. Abang Luqman menjawab panggilan tersebut.

Aku memalingkan pandanganku ke jalan raya. Hatiku berdetik, ini bukannya jalan menuju ke rumahku. Eh... ke mana dia nak bawa aku ni? Aku mula berasa kurang senang.

"Kita nak ke mana ni?"

Abang Luqman tidak menjawab.

"Abang dengar tak apa yang Auni cakap ni?" Aku cuba mengawal perasaanku. Abang Luqman tetap mendiamkan diri.

Aku memandang ke luar tingkap. "Abang marah dekat Auni?" soalku dengan berani.

"Tak." jawabnya spontan.

"Habis, kenapa bila Auni tanya, abang tak jawap. Ada perkara lain yang sedang abang fikirkan ke. Sampai abang ignore soalan Auni?" Sekali lagi soalanku ini tidak dijawab olehnya.

Aku menghela nafas panjang. Sengaja untuk menjukkan rasa tidak puas hatiku pada sikapnya. Dan biarkan keadaan kami ini berpanjangan sehingga ke Abang Luqman berhenti di depan sebuah banglo. Aku jadi kaget sebentar. Rumah siapa ni?

Abang Luqman memandang aku yang masih terpinga pinga. "Kita singgah sekejap rumah mak abang, Keluarga abang dah lama tak jumpa Fahim."

Aku mengangguk tanda akur. Namun, aku mula rasa cemas sedikit. Aku jadi gelisah untuk bertemu dengan keluarga Abang Luqman yang tidak pernah kutemu sebelum ini. Aku masih ingat, surat-surat dari arwah Aini yang sering memuji akan layanan keluarga mentuanya yang cukup menyenangkannya.

Banglo tiga tingkat itu kelihatan terang benderang Fahim yang sedang lena, terjaga terus bila didukung oleh Abang Luqman. Aku hanya mengekorinya dari belakang.

"Masuklah," pelawa Abang Lukman sambil menungguku membuka kasut.

Sebaik saja aku melangkah masuk, semua orang dalam rumah tersebut bagaikan terpaku melihatku. Cara mereka memandangku bagaikan melihat makhluk asing. Kenapa begitu sekall? Bukankah mereka tahu arwah Aini mempunyai adik kembar yang seiras wajah dengannya. Aku percaya arwah Aini tidak pernah terlupa untuk menceritakan hal adiknya ini. Dalam kekalutan itu, seorang wanita separuh usia datang menegurku.

Abang Luqman tanpa berlengah, memperkenalkan wanita tersebut. "Mak abang..."

"Auni ke?" ujar wanita tersebut yang berjubah hitam. Hatiku mula rasa senang sedikit.

"Saya Mak Engku," kata wanita itu sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam. Kami bersalaman namun emak Abang Luqman terus memelukku dengan erat. Giliran aku pula yang terpinga- pinga dengan situasi yang agak mendadak. Abang Luqman segera melarikan pandangannya bila aku memandangnya. Berapa ahli keluarga yang lain hanya tersenyum memandangku. Mungkin kehadiranku ini mengingatkan mereka pada arwah Auni.

Selepas itu, aku bersalaman pula dengan anggota keluarga yang lain. Emak Abang Luqman terus memimpinku untuk duduk bersebelahan dengannya di ruang tamu. Sementara Fahim pula berada di pangkuan datuknya, Datuk Lutfi, ayah Abang Luqman.

"Bila Auni balik dari UK?" tanya Mak Engku.

"Dah dekat dua bulan," jawabku.

"Dah lama juga tu. Kenapa abah dan mak Auni tak bawa Auni ke sini? Sekurang-kurangnya, boleh juga mak kenal Auni."

Aku rasa kurang senang bila Mak Engku membahasakan dirinya emak padaku. "Auni pun belum ke mana-mana lagi. Ini pun Abang Luqman yang ajak keluar beli barang Fahim. Kalau tak, Auni lebih suka duduk di rumah aje."

Mak Engku tersenyum. Kemudian dia berpaling ke arah Abang Luqman. "Man pun tak cakap dengan mak yang Auni dah balik dari oversea."

Abang Luqman memandangku sekali imbas.

"Dia sibuk jaga Fahim," jawab Abang Luqman bersahaja. Mak Engku tersenyum senang hati memandangku.

Aku saja yang rasa kelat dengan senyumanku sendiri.

"Ramai orang di rumah ini," ujarku sambil memerhatikan keadaan sekeliling

Mak Engku memperkenalkan anak-anaknya kepadaku. "Ini semua anak anak mak. Bukan orang lain. Macam inilah kami setiap hujung minggu. Riuh dengan anak cucu mak saja. Hari-hari biasa, dia orang ni pun sibuk dengan kerja. Hanya cuti-cuti begini semuanya balik ke rumah ni. Ini Yati, kakak Luqman." Kak Yati hanyatersenyum memandangku

"Yang itu pula..." kata Mak Engku sambil menunding ke arah seorang lelaki yang berada bersama suaminya. Datuk Lutfi. "Malik, suami Yati. Mereka berdua ni dah kahwin tapi belum juga dapat anak. Belum ada rezekilah tu"

"Itu pun mak nak cerita pada orang." gerutu Kak Yati Walaupun begitu, senyuman manisnya tetap terukir.

"Abang sulung Luqman, Iskandar, tak ada di sini. Dia posting di China. Baru saja dihantar ke sana.

"Dia kerja di mana?" tanyaku. "Dia kerja di MIDA," jawab Mak Engku.

Aku mengangguk tanda mengerti. "Bawah Luqman pula, adik lelaki namanya Nurman Hakim Hakim, baru aje kahwin, lebih kurang tujuh bulan yang lepas. Isterinya tengah mabuk mabuk sekarang ni." cerita Mak Engku

"Dia orang tak datang ke sini, Mak Engku?" tanyaku penuh minat.

"Isteri dia tak larat nak datang."

Kemudian tanpa disuruh suruh, dia menyambung lagi. "Bawah Hakim, Zulkarnain. Nain pulak, baru habis study bidang perubatan. Masih bujang lagi. Bawah Nain. anak mak yang bongsu, Raihana. Raihana masih belajar lagi dan ambil accounting."

"Kat mana?" tanyaku pada Raihana, yang sedari tadi duduk mendengar perbualan kami.

Sebaik saja mendengar namanya disebut, dia memandangku sambil menghulur sebuah senyuman.

"Kesayangan mak dengan ayah," ujarnya dengan wajah nakal. Kak Yati mencemekkan mukanya.

"Eh, Kak Auni tanya. Ana ambik accounting kat mana?" kata Mak Engku sambil menggeleng melihat telatah anak bongsunya itu.

Mungkin kerana sikapnya yang begitu, dia tersipu-sipu malu di hadapan kami semua. "Oh, kat UKM," jawabnya.

"Auni dah makan?" tanya Mak Engku.

"Sudah. Abang Luqman ajak makan di luar."

"Makan lagi di rumah mak, ya?" pelawa Mak Engku.

"Farah masih kenyang lagi. Mak Engku. Tak payahlah susah-susah."

"Makanlah sikit. Auni datang rumah mak, takkan minum aje?" pelawa Mak Engku beriya-iya mahu aku makan di rumahnya.

"Lain kali sajalah Auni makan di sini. Banyak masa lagi, Mak Engku."

"Kalau macam tu, mak akan suruh Luqman bawa
Auni ke sini minggu depan. Kita makan malam ramai ramai. Boleh Auni kenal adik-beradik Luqman yang lain Ajak mak dengan abah sekali."

Aku memandang Abang Luqman yang sedang sibuk membelai Fahim di pangkuannya. "Minggu depan?" Aku mula berasa serba salah.

"Hari Sabtu malam minggu," ulangnya.

"Minggu depan. Man bawa Auni ke sini. Ajak sekali mak dengan abah. Mak nak buat makan-makan sikit sambut Auni balik ni."

"Eeiii, tak payah susah-susah Mak Engku. Jangan masak apa-apa pun." Aku cuba menolak dengan cara baik. Aku tahu niat mereka ikhlas tapi aku tidak mahu mereka bersusah payah keranaku.

"Tak apa. Sekali ni aje. Kalau tak minggu depan, kita buat hari lain," sampuk Datuk Lutfi pula. Abang Luqman menantikan jawapan dariku. Begitu juga dengan Mak Engku, Datuk Lutfi dan adik beradiknya yang lain.

Kalau aku menolak, dua minggu atau tiga minggu atau bulan hadapan sekalipun, aku pasti dipelawanya juga. "Insya-ALLAH," jawabku.

Sebaik saja sampai di rumah, emak dan abah masih lagi belum tidur. Rupanya, mereka menunggu kepulangan kami Jelas terpancar kebimbangan di wajah mereka. Ketika itu jam tepat menunjukkan pukul 11.30 malam.

"Pergi mana hingga dah lewat begini!" tanya abah sebaik saja aku dan Abang Luqman melangkah masuk ke dalam rumah.

Aku memandang Abang Luqman yang kelihatan
tenang. "Man singgah rumah mak sekejap."

Wajah abah yang serius tadi, mula berubah. "Lain kali telefon dulu, beritahu yang kau orang balik
lambat. Jangan biarkan abah dengan mak risau."

Aku dan Abang Luqman akur dengan kesalahan kami. Abang Luqman mendukung Fahim dan membawanya naik ke tingkat atas. Fahim yang sudah lena itu diletakkan di atas katilku. Aku menukarkan pakaian Fahim. Kemudian aku membersihkan badan dan menukar pakaian tidur. Mataku belum rasa mengantuk, aku turun ke ruang tamu. Kelihatan abah, emak dan Abang Luqman di situ.

Aku mengambil tempat duduk bersebelahan dengan abah.

"Mak dan ayah saya jemput makan malam di rumah hari Sabtu depan ni," kata Abang Luqman.

"Abah mungkin tak boleh. Abah nak ke Jepun hari
Khamis ni," kata abah.

Aku terkejut dengan berita itu.

"Buat apa abah ke sana?"

"Ada konvensyen."

"Berapa lama?"

"Lima hari."

"Mak boleh pergi?" tanya Abang Luqman.

"Insya-ALLAH..." jawab emak.

"Majlis makan-makan itu sempena apa Man?" soal emak ingin tahu lebih lanjut. Aku jadi gelisah. Kalau emak tahu kenapa majlis makan itu diadakan, matilah aku.

"Saja untuk keluarga kita. Lagipun mak dan ayah saya dah lama tak jumpa mak dengan abah," jawab Abang Luqman cuba melindungi kenyataan sebenar.

"Kalau abah tak ada, Man bolehlah tidur di sini hari Khamis ini," kata abah penuh harap.

"Baiklah abah." jawab Abang Luqman, patuh dengan permintaan abah.

Sejak pulang dari rumah emaknya tempoh hari, Abang Luqman banyak berubah. Dia sudah tidak menelefon aku bertanya khabar, apatah lagi menanyakan Fahim. Aku jadi serba salah dibuatnya. Setahu aku tidak ada selisih faham yang berlaku antara aku dengan Abang Luqman. Kenapa Abang Luqman berubah secara tiba-tiba? Mungkin dia ada masalah dengan kerja menyebabkan dia berubah? Aku cuba memujuk hatiku.

Hari ini hari Khamis. Jam menunjukkan pukul 10.00 malam, namun bayang Abang Luqman masih belum kelihatan. Lupakah dia pada janjinya pada abah? Padahal sehari sebelum abah berangkat ke Jepun, abah sekali lagi mengingatkannya supaya tidur di rumah kami. Aku semakin resah bila jarum jam beralih ke angka 11.00. Emak dan Fahim sudah pun lena di bilik.

Setengah jam kemudian, kereta Abang Luqman menderu masuk ke perkarangan rumah. Aku rasa lega dan bergegas membuka pintu untuknya tapi tidak menunjukkan reaksi yang sebenarnya bahawa aku memang menunggu kepulangannya.

Abang Luqman terkejut melihatku berdiri di situ. Aku melihatnya sekali imbas dan melangkah semula ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

"Tak tidur lagi?" tanya Abang Luqman.

"Tak!" balasku.

Aku terus mengalihkan pandangan ke kaca televisyen, entah apa yang kutonton, aku sendiri kurang pasti. Aku mencuri pandang Abang Luqman bila perbuatanku tidak disedari. Abang Luqman sedang memejamkan mata dan menyandarkan kepalanya di sofa.

Beginikah keadaannya hari-hari? Bisik hatiku tiba-tiba. Tanpa ada sesiapa yang menunggunya pulang dari pejabat? Kosongkah hidupnya? Aku teringatkan kata-kata emak.

"Pada siapa mereka nak bergantung harap, kalau bukan kita sekeluarga!" Hatiku serta-merta jadi hiba.

Keadaan bertukar menjadi hening tiba-tiba. Perasaanku diselubungi rasa sayu dan kasihan terhadap Abang Luqman. Saban hari aku memikirkan keadaan hidup Abang Lukman tanpa isterinya. Tapi malam ini kesedihan itu diringi dengan air mata. Aku segera berpaling dan melangkah ke meja makan.

"Abang dah makan?" Mujur aku masih mampu mengawal suaraku. Suasana sekeliling sepi.

"Abang?" Aku menoleh ke arahnya bila dia tidak menjawab panggilanku. Aku terkejut bila tubuh sasa itu sedang berdiri begitu hampir denganku.

Abang Luqman memandangku dengan tajam sekali. "Kenapa ni?" tanya Abang Luqman lembut.

Aku menggeleng beberapa kali. Aku rasa begitu dekat dengannya ketika ini.

"Abang tahu, ada sesuatu yang Auni sembunyikan dari abang."

"Abang dah makan?" soalku cuba menukar topik.

Dia menggeleng, "Farah risaukan diri abang ke?" Dia mendugaku.

Aku memandangnya. "Kesian tengok abang!"

"Kenapa kesian pula?"

"Waktu macam Inikah abang selalu balik dari pejabat?" Abang Luqman segera mengambil tempat duduk meja makan.

Kali ini, masing-masing membisu. Aku menyenduk sedikit nasi ke dalam pinggan dan menghulurkan kepadanya.

"Abang marah lagi pada Auni?" Dia diam.

Aku memandangnya tapi fikiranku kosong sama sekali. Selepas menuang air ke dalam gelas, aku bergegas untuk naik ke bilik.

"Auni?"

"Tak nak temankan abang makan?" Sedikit senyuman terukir di bibirnya.Aku membalas senyumannya.

"Auni ingatkan abang nak makan seorang. Aku mengambil tempat duduk berhadapan dengannya.

"Pukul berapa Fahim tidur tadi?"

"Pukul 8.00."

"Mak dah tidur juga?" Aku mengangguk.

"Auni tunggu abang balik?"

Soalannya menyebabkan kami berbalas pandangan. Aku percaya Abang Luqman sudahpun mengetahui jawapannya dari pandanganku itu.

"Kenapa? Kalau abang balik sampai pukul 2.00 pagi pun, Farah masih nak tunggu juga?"

Aku diam.

"Auni tak nak cakap dengan abang?"

Kali ini, aku melarikan diri dari matanya.

Abang Luqman tiba-tiba tersenyum lebar. "Okey, kalau begitu, abang bagi hint sikit. Mata Auni tak mengantuk?"

Aku memandangnya. Tiada sedikitpun reaksi.

"Ada rancangan best di televisyen?" Aku diam lagi.

"Atau... Auni rindu pada abang?" usik Abang Luqman selamba. Tenang saja ayat itu keluar dari mulutnya. Dan aku tahu itu hanyalah gurauannya untuk melihat aku bersuara.

"Auni rindu pada abang? Entah-entah, abang yang rindu pada Auni?" Kataku sambil ketawa. Dia hanya tersenyum melihatku. Beberapa ketika kemudian air mukanya sama sekali berubah. Mungkinkah senyumanku mengingatkannya pada arwah Aini? Atau kehadiranku menemaninya mengungkitkan rasa rindunya pada arwah Aini? Kami berdua menyepi sekali lagi buat beberapa waktu.

"Abang marah lagi pada Auni?" soalku bila dia hampir selesai makan.

"Kenapa abang mesti marah pada Auni?" Dia
bangun dan menuju ke singki untuk membasuh tangan.

"Abang dah lama tak telefon rumah sejak kita perang dingin minggu lepas."

"Kita perang dingin? Abang tak ingat pasal tu. Pasal apa abang perang dingin dengan Auni?" Dia seakan terlupa kejadian yang sebenar.

Aku mengingatkannya. "Pasal abang suruh Auni cari kerja dari duduk di rumah jaga Fahim."

Abang Luqman merenungku. Mungkin cuba mencari jawapan di situ. Aku jadi serba salah dengan caranya itu.

"Betul tak apa yang abang cakap pada Auni hari Abang tahu Auni nak jaga Fahim, tapi abang juga tak mahu Auni sia-siakan masa yang ada."

Belum sempat aku menjawabnya. Abang Luqman segera menambah. "Tapi Auni mesti ingat, suatu hari nanti. Auni akan jadi isteri orang. Auni akan tinggalkan Fahim dan mempunyai anak-anak Auni sendiri. Waktu itu, Fahim hanya seorang anak saudara pada Auni Dan abang tak mahu Fahim interfere your personal life. Auni boleh atur cara hidup Auni tapi Fahim masih kecil Dia tak tahu apa apa." jelasnya lembut.

"Auni tak kasihan pada Fahim dan abang?" soalnya. Aku hanya memandangnya sepi.

"Auni faham tak sekarang kenapa abang tak mahu Auni mensia-siakan masa depan Auni?" Aku faham maksud kata katanya itu. Tapi aku juga punya alasan yang kukuh untuk mempertahankan pendirianku.

"Fahim sebahagian dari hidup Auni. Kalau dia dari arwah Aini, bermakna dia juga datang dari Auni" Abang Luqman tersenyum kecil. Namun senyumannya belum dapat meyakinkan aku. Aku tahu, betapa payahnya untuk menenangkan perasaannya ketika itu.

"Kadang kadang, bila abang pandang Auni, seolah olah macam abang nampak Aini," kata Abang Luqman secara jujur.

"Do you miss her?"

Aku tahu betapa bodohnya soalanku ini tapi entah kenapa aku mahu mendengarnya dari mulut Abang Luqman. Tanpa menjawab soalanku, dia segera meninggalkan aku sendiri dan kembali semula ke ruang tamu.

"Boleh buatkan abang Nescafe O, tak?" pintanya.

Abang Luqman sedang menatap akhbar ketika air minuman yang dipintanya itu kuletakkan di meja bersebelahan tempat duduknya. Aku pula mengambil tempat di sebelahnya.

"Apa lagi ni? Pergilah masuk tidur."

"Mata Auni tak mengantuk."

"Pukul berapa abah pergi pagi tadi?"

"Pukul 7.00." balasku bersahaja.

"Flight pukul berapa?"

"Pukul 10.15 pagi."

"Kenapa cepat sangat pergi?"

"Bukannya abang tak faham perangai abah. Memang dia selalu begitu."

"Auni, jadi tak makan di rumah mak abang?" Tiba tiba Abang Luqman menimbulkan soal jemputan makan di rumah keluarganya.

"Insya-ALLAH. Tapi takut pulak mak dengan ayah abang ada hal lain pula. "

"Hal apa? Mak abang yang jemput, kan?"

"Lepas sembahyang Maghrib, kita bertolak ke sana."

"Seganlah Auni nak jumpa dengan keluarga abang. Auni ni, orang luar aje?" gurauku pula.

Abang Luqman tersenyum lebar. "Mak abang tu, sebenarnya dah keliru."

Aku mengerut dahi. "Keliru?"

"Macam abang jugak, keliru antara Auni dengan Aini." usiknya lagi.

Aku mula yakin kehadiranku di sisinya menambah rasa rindu Abang Luqman pada arwah isterinya.

"Abang rindu pada arwah Aini?"

Abang Luqman tersenyum pura-pura. Walaupun begitu, Abang Luqman tidak berdaya untuk menyembunyikan perasaan sebenarnya.

"Auni, kan ada."

"Auni bukan isteri abang." jawabku.

"Itu abang tahu, sebab Aini taklah degil macam Auni." Abang Luqman kembali ketawa.. Aku bingkas bangun dan menuju ke anak tangga, sengaja menunjukkan kemarahanku.

"Nak ke mana tu?" tanya Abang Luqman diiringi tawanya yang masih belum reda.

"Nak tidur." Dan Abang Luqman ketawa lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience