Bab 40

Drama Completed 16327

Hubungan aku dengan Abang Luqman terus bertambah baik. Abang Luqman memang telah berubah. Dia begitu mengambil berat tentang diriku. Dan dia juga terlalu berhati-hati bila berbicara denganku. Hampir setiap petang, ada sahaja rancangannya membawa kami keluar. Aku tahu, dia berusaha untuk memenangi hatiku semula.

Bulan pertama tinggal bersamanya, aku rasakan kami seperti baru berkenalan. Kami cuba mengenali diri masing-masing. Seperti yang telah kukatakan, dia melayaniku dengan baik. Apa saja kemahuanku dituruti.

Sebagai isteri, aku menjalankan tanggungjawabku menguruskan rumah tangga dan keperluanku. Namun aku masih belum bersedia untuk menerimanya kembali dalam hidupku. Abang Luqman sendiri tidak pernah memaksa atau mendesak aku dalam soal ini. Dalam diam, aku mula menyayanginya. Adakah aku mula jatuh hati dengannya semula?

Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini, Abang Luqman kerap pulang lewat. Kadang-kadang hingga tengah malam. Aku tidak pasti apakah masalahnya kali ini. Makanan yang aku hidangkan setiap malam tidak dijamah. Aku hanya mampu bersabar. Jika dia cuba menimbulkan kesilapan lama, kali ini aku tidak akan memaafkannya.

Suatu hari, Abang Luqman pulang lebih awal dari biasa. Fahim sudah lama tidur.

"Abang balik awal hari ini?" tegurku.

Dia tersenyum memandangku. "Abang penatlah. Selalu balik lewat."

Aku kasihan melihatnya. Memang sejak kebelakangan ini, kami jarang berbual.

"Abang nak makan? Auni siapkan?" tanyaku.

Abang Luqman mengangguk sambil membuka tali lehernya.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, hidangan sudah sedia di meja makan. Aku juga membuatkannya segelas Nescafe O. Dan tidak sampai pun setengah jam kemudian, pinggan mangkuk yang di atas meja tadi semua sudahku bersihkan. Abang Luqman ke tingkat atas untuk mandi dan bersolat.

Selesai sahaja kerja-kerja di dapur, aku bergegas untuk ke bilik tidur. Ketika melintasi bilik tengah, kelihatan Abang Luqman sedang khusyuk dengan kerja-kerjanya.

"Auni nak tidur?"

Aku kehairanan. "Kenapa?"

"Auni tak nak temankan abang?"

Aku rasa serba salah dengan permintaannya itu. Melihatkan wajahnya yang penuh mengharap, aku masuk ke biliknya. Aku duduk mengadapnya.

"Banyak lagi ke kerja abang?"

"Tinggal sikit aje lagi. Esok kena bentangkan dalam mesyuarat."

Aku mengeluarkan senaskhah Majalah Keluarga dari laci meja. Abang Luqman menyambung semula kerja-kerjanya. Sesekali mata kami berpandangan. Dan hanya aku sahaja yang terpaksa melarikan wajahku ke arah lain. Entahlah... cara dia memandangku, menyebabkan aku jadi serba salah.

"Auni boring duduk rumah?" tegurnya tiba-tiba.

Aku memandangnya. "Farah tak sempat nak rasa boring. Fahim ada."

Dia masih memandangku. Lama dia begitu.

"Kenapa abang mempersia-siakan Auni dahulu?" Tiba-tiba dia berkata begitu. Hatiku tersentak.

"Auni... kalau TUHAN mengizinkan masa itu boleh diundur, abang tak akan mengulangi perbuatan abang terhadap Auni dahulu," ucapnya.

"Tak perlulah abang ingat perkara-perkara lama. Semuanya dah lepas," jawabku. Kalau boleh, aku tak mahu perkara lama diungkit lagi.

Aku mengeluh. "Tapi abang menyesal kerana mem-persia-siakan diri Farah," katanya sungguh-sungguh.

"Kalau masa boleh diundur, Auni akan abang jadikan
isteri paling bahagia di dunia ini."

"Kalau masa boleh diundur Auni tak akan bersetuju dengan kehendak mak dan ayah abang untuk melamar Auni buat abang. Sekarang baru Auni sedar, Auni tak boleh memaksa orang lain supaya menerima Auni."

Wajah Abang Luqman bertukar sedikit.

"Auni menyesal berkahwin dengan abang?"

Aku menarik nafas panjang. Aku pasti jawapanku nanti menggugat perasaannya.

"Memang Auni menyesal." Abang Luqman tenang mendengarnya.

"Auni menyesal kerana mendesak abang. Auni patut sedar dari dulu yang abang tak akan sekali-kali menyayangi Auni. Tapi entahlah... bukan abang tak pernah memberitahu Auni tentang perasaan abang pada Auni tapi Auni aje yang degil tak nak mengerti. Bila hidup kita begini, Auni mula sedar."

Kali ini, Abang Luqman terpegun mendengar penjelasan dariku. "Auni mahu kita seperti dahulu?"

"Maksud abang, tentang perkahwinan kita?"

"Tentang hubungan kita."

Aku terdiam. Aku tidak bermaksud mahu melukakan hatinya tapi entah kenapa perasaan ini begitu terdorong mengikut kata hati waktu itu. Mungkin inilah masanya yang sesuai untuk kami meluahkan perasaan yang terbuku sekian lama.

"Auni tak minta apa-apa dari abang. Auni kembali semula ke sini pun, bukan kerana abang. Dan Auni berbaik semula tidak bererti Auni sudah lupakan perbuatan abang pada Auni."

Abang Luqman terdiam.

Emosiku mula terusik. "Auni serahkan bulat-bulat pada takdir. Kalau abang mahu Auni terus di sini bersama abang, Auni terima sahaja. Dan kalau abang tak mahukan Auni lagi, Auni tetap terima."

Abang Luqman mendengar kataku dengan tenang. Dulu, wajah di hadapanku ini sering mengundang resah dan gundah. Debaran sering melanda setiapkali wajah itu berlalu di ruang mataku. Biarpun dari jauh, sudah cukup membuatkan diri ini tidak menentu. Tapi sekarang, tiada lagi. Kosong sama sekali.

"Auni tak perlukan abang lagi?"

Aku tidak tahu untuk menjawab soalan Abang Luqman ini. "Yang lebih penting bagi Auni, Fahim."

"Tak sedikitpun yang tinggal untuk abang?" duganya.

Aku terdiam. Namun mataku masih meleret kepadanya. Kemudian, tanpa teragak-agak, aku menggeleng.

Abang Luqman menghela nafas panjang. Dia nampak kecewa dengan jawapanku tadi. Namun, untuk cuba berselindung, dia kembali menyambung pekerjaannya.

Dan aku akhirnya terlena di atas sofa di bilik itu. Antara sedar dan lena, aku terasa ada tangan yang membelai rambutku. Sebuah ciuman hinggap di dahi dan pipi kiriku pula. Mimpikah aku ini? Serta-merta, aku membuka mata. Abang Luqman sedang mengamatiku.

"Dah habis kerja abang?" tanyaku. Dia tidak menjawab.

Aku menoleh memandang jam di dinding. Pukul 3.00 pagi. Aku bangun dari situ. Abang Luqman masih lagi memandangku. "Auni nak tidur, bang."

Dia mengangguk. Aku meninggalkannya sendirian.

Sejak malam itu, Abang Luqman semakin kerap pulang lewat. Perangainya mula berubah. Dia lebih suka menyepikan diri. Cuma hujung minggu sahaja dia duduk di rumah.

Pada awalnya, aku terima sahaja sikap Abang Luqman yang sering pulang lewat ke rumah. Adakalanya bila dia pulang, aku dan Fahim sudah lena tidur. Dan bila aku bangun, Abang Luqman sudah ke pejabat. Aku semakin tertekan dengan tingkahnya itu.

Suatu malam, Abang Luqman pulang jam 11.15 malam. Aku sedang menyiapkan makan malam untuknya. Aku tidak menegurnya. Dia juga diam sebaik sahaja masuk ke rumah.

"Makanan dah siap!" Aku menegurnya.

"Abang dah makan tadi," jawabnya perlahan. Entah mengapa aku tidak dapat menahan marahku ketika itu.

"Kenapa abang makan di luar? Sedap sangat ke? Lain kali, tak payahlah Auni masak untuk abang lagi," jawabku dengan suara yang tinggi.

Abang Luqman memandangku. Aku tahu, dia bingung melihat sikapku. Tanpa berlengah, aku terus mengemaskan lauk pauk di atas meja dan memasukkan semula ke dalam periuk.

"Auni?" Abang Luqman menghampiriku. Aku sedang mencuci pinggan mangkuk di singki.

"Abang minta maaf. Abang betul-betul terlupa nak telefon Auni di rumah."

"Tak mengapa. Esok, tak payahlah Auni masak lagi. Setakat mengisi perut Auni, telur goreng pun dah cukup." jawabku tanpa memandangnya.

"Esok abang balik cepat. Kita boleh makan sama- sama," ujarnya seolah-olah memujukku.

"Tak apalah. Auni tahu abang sibuk di pejabat!"

Keesokan harinya, aku berharap sangat agar Abang Luqman menunaikan janjinya untuk balik awal. Namun, aku kecewa lagi. Fahim tidak sanggup lagi untuk menunggu papanya pulang kerana sudah mengantuk.

Aku diam sahaja bila Abang Luqman tidak menegurku.

Dalam hati, aku memberontak ingin melepaskan marahku terhadapnya kerana memungkiri janji.

"Kenapa tak tidur lagi. Kan dah lewat ni?"

"Abang lupa janji abang pada Auni?" Dia memandangku dengan seribu persoalan.

"Semalam abang kata, nak balik awal. Tapi abang balik lebih lewat dari semalam. Fahim tunggu abang, sampai tertidur di atas sofa."

Dia terpinga-pinga memandangku.

"Penting sangatkah kerja abang tu sampai lupa janji abang untuk balik cepat hari ni?"

Dia semakin terkejut.

"Auni harap, abang dah makan kat luar. Sebab Auni tak sediakan makan malam untuk abang. Kalau abang belum makan, abang masak sendiri. Auni dah penat!" Aku segera meninggalkannya tercegat di ruang tamu.

"Kan Auni juga yang kata tak payah bila abang nak balik awal semalam."

Langkahku terhenti. Aku memandangnya. "Patut abang fikir yang sejak kebelakangan ini abang selalu balik lambat. Bila Auni dah tegur, abang patut faham."

"Apa yang Auni rasa?" tanyanya pura-pura bodoh.

Aku mendengus. "Abang masih belum faham?"

Dia memandangku. "Tak!" jawabnya sinis.

Aku mendengus marah dan memandangnya dengan tajam. "Bila tiap-tiap hari abang balik lewat, tentu Auni tertanya-tanya. Banyak sangat ke kerja abang di perjabat tu?" Sedikit demi sedikit sabarku mulai pudar.

"Tak!" Aku terpegun dengan jawapannya itu.

"Habis tu, kenapa abang balik lewat tiap-tiap hari? Fahim perlukan abang...." Belum sempat aku menghabiskan ayatku. Abang Luqman menyampuk.

"Dan Auni juga perlukan abang?"

"Auni perlukan abang?" ulangku dengan rasa jengkel.

"Memang Auni perlukan abang, tapi untuk Fahim," jawabku.

Dia hanya tersenyum kecil. Aku keliru dengan se- nyumannya itu. "Abang... Auni cakap serius. Bukannya nak bergurau. "

"Siapa kata abang bergurau?"

Kemarahanku semakin meluap.

"Auni marah abang?"

Aku memandangnya. "Abang ingat Auni ni patung?" Sebuah senyuman terukir di bibirnya.

"Auni... sebenarnya abang tak banyak kerja di pejabat. Cuma abang tak boleh berdepan dengan Auni. Abang mempunyai perasaan pada Auni tapi Auni tidak berperasaan begitu pada abang. Itu sebabnya kenapa abang selalu balik lewat."

Tersirap darahku dengan kata-katanya itu. Itukah sebabnya kenapa dia mengasingkan dirinya selama ini? Kerana aku sudah tidak punya perasaan terhadapnya maka dia menjauhkan dirinya dariku?

Tiba-tiba timbul rasa kasihan terhadap dirinya. Aku sebenarnya telah menyeksa hatinya. Kasihan dia. Tapi apa yang harus aku lakukan?

Menerimanya semula dalam hatiku bermakna aku memberi peluang sekali lagi diriku untuk disakiti olehnya. Tidak! Tidak sama sekali. Biarpun luka lama hanya tinggal parutnya sahaja tapi aku masih dapat rasakan kepedihannya.

Esoknya, tanpa kuduga... Abang Luqman pulang lebih awal dari biasa. Sejambak bunga ros merah dihadiahkan kepadaku.

"Abang nak pujuk Auni lah ni?" Dia tersenyum lebar. Namun, jambangan bunga ros itu tetap aku sambut. Jauh di sudut hati, aku gembira dengan pemberiannya ini. Perasaanku kembang mekar. Buat kali pertama, aku mula rasa bahagia sebagai isterinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience