Aku, Liza dan dua orang lagi pelajar dari Malaysia menyewa sebuah rumah dua tingkat yang sederhana besarnya di St. John Road.
Rumah itu mempunyai tiga buah bilik. Sebuah bilik utama, sebuah bilik tetamu dan sebuah lagi bilik bujang. Aku diberi keutamaan untuk memiliki bilik utama. Menurut mereka, selepas melahirkan anak nanti, aku pasti memerlukan ruang yang lebih luas dan selesa untuk aku dan anakku. Aku terharu dengan sikap mereka. Sekurang kurangnya, ada juga yang mengambil berat tentang diriku di sini.
Liza mengambil bilik bujang sementara Nadia dan Jula berkongsi di bilik tamu. Apa yang kuharapkan sekarang dengan keadaanku yang sedang berbadan dua ini, aku tidak membebankan mereka bertiga.
Masa berlalu begitu pantas. Kami terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di universiti. Setelah beberapa minggu, barulah aku berkesempatan untuk menulis surat pada emak dan abah. Tidak banyak yang boleh kuceritakan pada mereka. Dan di akhir surat tersebut, aku sempat memberitahu mereka, perkara lepas yang berlaku ke atas diriku.
~Usahlah dikenangkan lagi. Kisah lama itu telah Auni buangkan jauh-jauh dari hidup ini. Cuma yang Auni harapkan sekarang, agar masalah yang dihadapi oleh Abang Luqman dengan Auni tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan di antara dua buah keluarga.
Auni akan jaga diri Auni baik-baik. Akhir kata. sambutlah salam sayang buat abah dan emak. Begitu juga dengan emak dan ayah di Kelana Jaya. Peluk cium buat Fahim juga
Wassalam
Dari anakmu yang jauh. Auni Faridah
Manchester University, UK~
Aku menarik nafas panjang panjang. Surat itu aku lipat dan aku masukkannya ke dalam sampul surat. Esok. aku akan ke pejabat pos.
Sebulan kemudian, aku menerima surat yang pertama dari emak dan abah. Rasa gembira bukan kepalang.Ternyata emak yang membalas suratku itu.
~Buat anakanda Auni yang tersayang.
Ketibaan surat Auni sememangnya dinanti-nantikan. Terasa begitu lama menantikan surat Auni yang pertama. Begitu juga dengan orang tua Luqman. Mereka juga menunggu berita dari Auni.
Apa khabar Auni sekarang? Emak, abah dan juga Fahim teramat merindui Auni. Keadaan di rumah semakin sepi tanpa Auni. Yang kedengaran hanyalah gelak ketawa dan keletah Fahim yang meriuhkan rumah ini. Fahim sering juga bertanyakan Auni, lebih-lebih lagi, bila Luqman semakin jauh dari anaknya. Tapi emak mengerti perasaannya. Sikapnya ini tidak ubah ketika dia kehilangan Aini dahulu. Tapi sekarang. Auni pula tiada. Emak tahu dia kesepian dan tersepit dengan perasaannya sendiri. Luqman jarang pulang ke rumah orang tuanya, apatah lagi untuk datang ke sini. Emak dan abah hanya risau melihat keadaan Fahim. Mungkin naluri anak-anak tidak berfikir seperti orang dewasa. Tapi, kita sebagai orang tua dapat berasa rindunya pada papa dan mamanya. Berkali-kali abah cuba menghubungi Luqman, tapi tak pernah dapat. Entahlah mungkin dia tak sanggup untuk berdepan dengan abah dan emak.
Sejak Auni pergi, emak berdoa agar Auni mendapat kebahagiaan di sana. Emak tahu, apa yang telah terjadi tak boleh diubah. Emak tidak sangka kebahagiaan yang pernah dimiliki oleh arwah Aini tidak kesampaian buat Auni Emak dan abah tak pernah menduga begini akhirnya. Kami sering berdoa agar Auni tabah menghadapi dugaan hidup
Emak sebenarnya tak tahu apa yang sebenarnya berlaku antara Auni dan Luqman. Memang emak kesal apa yang telah berlaku di antara kamu berdua. Cuma apa yang dapat emak katakan, antara Auni dan Luqman sememangnya mempunyai perasaan terhadap satu sama lain. Auni cuba memiliki Luqman. Emak tahu. layanan Auni pada Luqman kadang-kadang terlalu istimewa. Tapi emak tak pernah melarang Auni terus dari mendekati Luqman.
Dan emak juga dapat lihat dari jauh bagaimana Luqman melayani Auni ketika itu. Kalau tak, masakan dia lebih kerap kembali ke rumah kita sejak Auni balik dulu. Memang emak nampak perbezaan itu pada diri Luqman Begitu juga dengan abah
Kenapa Auni tak memberitahu emak dan abah bahawa Auni sedang mengandung? Auni takut dengan Luqman? Auni takut sekiranya Luqman terus membuang Auni sebagai isterinya? Kalaupun Auni takut, Auni bukan seorang di dunia ini. Auni masih ada emak dan abah yang menyayangi dan mengambil berat tentang diri Auni. Biar Luqman menganggap Auni begitu tapi kami berdua tidak sama sekali.
Emak terlalu sedih mengingatkan diri Auni yang seakan membawa diri dari Luqman. Apatah lagi dengan keadaan diri Auni sekarang. Antara hendak dengan tidak, emak terpaksa memberitahu Engku Faridah tentang keadaan Auni yang sebenarnya semata-mata mahu membaca surat Auni.
Engku Faridah nampak sedih selepas sahaja membaca surat Auni. Memang rasa tak percaya, tapi itulah kenyataannya. Kenapa Luqman harus berpura-pura pada kami semua ternyata satu persoalan yang tak masuk akal. Emak dan abah juga rasa tersinggung dengan perlakuan Luqman terhadap Auni.
Emak tak tahu apa yang terjadi sebaik sahaja mereka pulang. Sedangkan Luqman ketika itu pun, mereka tak tahu di mana. Terlalu banyak cerita yang kami tak tahu di antara kalian berdua. Emak berdoa pada TUHAN, semoga kesengsaraan Auni selama ini akan berakhir. Jagalah diri Auni baik-baik di sana. Masa yang akan menentukan hidup Auni dan Luqman. Moga-moga, kehadiran anak yang bakal lahir, akan menjernihkan kembali keadaan kalian. Manalah tahu, Luqman sedar akan kesilapannya.
Sebelum mengakhiri surat ini, emak berharap sekiranya Auni dapat pulang bersalin di sini. Itu sahaja yang emak minta. Akhir kata, sambutlah salam paling sayang untuk Auni dan jaga diri baik-baik.
Salam sayang dari, Emak, abah dan Fahim
Kuala Lumpur.~
Aku rasa inilah surat yang paling menyedihkan yang pernah aku terima seumur hidupku. Belum pun sempat aku mengubati kesedihan ini, sehari kemudian, menyusul pula surat emak mentuaku. Biarpun kedatangan surat itu hanya sehelai kertas namun aku tetap rasa sayu. Kerana kesungguhan emak mentuaku yang mahu menulis surat untukku.
~Buat anakanda Auni yang dikasihi dan dirindui selalu.
Bonda dan ayahanda cukup gembira bila mendengar dari emak anakanda yang anakanda kini sihat-sihat di sana. Alhamdulillah, syukur pada ALLAH kerana nikmat- NYA itu. Bonda juga yakin, yang anakanda juga kini lebih gembira di sana.
Bagaimana dengan cuaca di sana buat masa sekarang? Tentu sejuk, kan? Yalah, sekarang pun kita sudah masuk ke bulan September dan bonda percaya, suasana juga turut sama mengalami perubahannya. Jagalah dirimu baik-baik. Biarpun sibuk dengan pelajaran tapi kesihatan diri itu janganlah diabaikan. Tambahan pula, anakanda kini sedang berbadan dua.
Kak Yati, Abang Malek, Ana, Nain dan juga Norman turut mengirim salam mereka buat anakanda sedang mengatur rancangan untuk melawat anakanda di sana. Kebetulan Abang Malek mempunyai urusan perniagaannya di sana. Bonda dan ayahanda juga turut terfikir untuk bersama- sama mereka menemui anakanda. Janganlah anakanda khuatir. Kami akan sama-sama melawat anakanda tidak lama lagi
Biarlah bonda berhenti di sini dahulu. Semoga di lain lembaran, sambutlah salam rindu dari kami sekeluarga di tanahair
Sekian, wassalam.
Salam rindu
Bonda Engku Faridah
Kelana Jaya.~
Aku melipat surat itu dan menyimpannya kembali ke dalam sampul surat. Fikiranku kosong sama sekali. Entahlah, aku sendiri tidak mengerti kenapa perasaan ini hambar sahaja. Aku sudah anggap diri ini tidak ada lagi tempatnya di sisi mereka. Biarpun mereka masih lagi menerimaku dan masih lagi menganggap aku sebagai ahli mereka. Tapi siapalah aku sekiranya hubungan aku dan Abang Luqman sudah berakhir. Aku sudah tidak ada apa- apa lagi dengan mereka. Kecuali anak, yang dalam kandunganku ini. Entahlah... yang nyata, perasaanku sering terpujuk bila mengenangkan anak ini.
Share this novel