Tiga tahun yang lalu. Tuhan saja yang Maha Mengetahui betapa gembiranya aku bila mendapat berita dari Aini bahawa dia akan diijabkabulkan dengan jejaka pilihan abah dan emak. Ketika itu, aku sedang menuntut di tahun pertama bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Manchester, London.
Dalam kegembiraan kami sekeluarga, aku sebenarnya berasa sedih. Aini, kakak kembarku akan menamatkan zaman gadisnya tidak lama lagi. Ini bermakna kami akan berpisah. Terpisah dari masa-masa lalu yang selama ini menjadikan kami sahabat yang paling akrab.
Aini akan bergelar isteri, sekali gus meninggalkan aku keseorangan. Biarlah... Mungkin sudah sampai jodoh Aini Itulah kuasa TUHAN yang Maha Esa.
Namun, air mata gembira yang menitis untuknya adalah juga air mata perpisahan bagi kami berdua. Aini bakal menjadi menantu kepada keluarga seorang ahli perniagaan yang terkenal di Kuala Lumpur. Aku tahu, abah dan emak tidak memilih jodoh untuk kami berdua. Tapi jodoh Aini sampai dahulu. Mereka menerimanya, bila Aini sendiri tidak membantah.
Aku hanya mengenali tunang Aini melalui gambar- gambar yang dikirim oleh kakakku itu. Orangnya kacak. tinggi dan berkulit cerah. Memang padan dengan gadis secantik Aini.
Luqman Hafizi bin Datuk Lutfi. Itulah nama lelaki yang berjaya memikat hati Aini. Kadangkala aku hairan. bagaimana seorang Accountant Manager sebuah syarikat kewangan yang terbesar di Malaysia sedia menerima pilihan orang tuanya, untuk dijodohkan dengan Aini. Sedangkan mereka tidak pernah saling mengenali antara satu dengan lain. Dan aku lebih hairan bila Aini sendiri tidak menolak lamaran mereka.
Aku pernah menasihatkan Aini supaya berfikir panjang sebelum menerima lelaki yang tidak dikenalinya itu .Tambahan pula Aini masih menuntut di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi. Bagaimanapun Aini telah membuat pilihannya sendiri.
Enam bulan selepas mengikat tali pertunangan. mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri. Aku tidak dapat meraikan majlis perkahwinan mereka ketika itu. Bagaimanapun, aku sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Walaupun kami terpisah jauh beribu batu. aku titipkan doa, agar perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
Ternyata, kebahagiaan itu jelas terpancar di wajah Aini pada setiap gambar yang dikirimkan kepadaku. Kata Aini lagi pilihan orang tua adalah pilihan yang terbaik dan dia juga mahu aku mengikuti jejak langkahnya..
Namun, peristiwa tiga tahun yang lalu merupakan kenangan yang tidak mungkin berulang lagi. Kenangan itu sudah bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri yang sering bertandang dalam tidurku.
Empat bulan sebelum kepulanganku, aku menerima sepucuk surat dari Aini. Dalam surat tersebut, Aini bergurau, kononnya ini mungkin merupakan surat terakhir daripadanya, sebelum aku pulang ke Malaysia. Namun, ALLAH Maha Kuasa dan Maha Penyayang. Gurauan Aini menjadi kenyataan Aini telah pergi buat selama- lamanya. Aku benar benar terasa kehilangannya.
Aku jadi bingung Kenapa Aini harus pergi dulu? Kehilangan Aini, seolah-olah separuh dari nyawaku turut hilang sama. Aku teringatkan Fahim. Tentu dia mencari- cari mamanya Kasihan Fahim. Aku menitiskan air mata untuk anak saudaraku itu. Bagaimana pula dengan Abang Luqman?
Sekali lagi, surat terakhir yang dikirimkan oleh Aini kubaca .Surat bertulis tangan itu sentiasa meraih air mataku setiapkali aku menatapnya.
...Kalaulah ditakdirkan Aini pergi dulu, Aini mahu Auni berjanji supaya menjaga Fahim, Aini percaya, Auni juga boleh menyayangi anak kecil itu sepertimana Aini menyayanginya. Kita berdua tidak banyak beza. Aini tak mahu Fahim terlepas pada orang lain. Begitu juga dengan Abang Luqman, ALLAH telah menemukan jodoh Aini dengannya dan Aini berdoa supaya ALLAH mengizinkan pula jodoh Auni dengan Abang Luqman. Aini tahu, mungkin Auni terkejut dengan apa yang Aini katakan ini. Tapi berjanjilah, sekiranya Auni menyayangi Fahim, Aini mahu Auni menggantikan tempat Aini. Tidak ada perkara lain yang boleh membahagiakan Aini melainkan kesediaan Auni menunaikan permintaan Aini ini. Sekurang-kurangnya, Aini tahu Fahim masih ada lagi sentuhan mamanya dan Abang Luqman masih dapat mengecapi kebahagiaan yang dirasainya sekarang.
Itulah permintaan Aini yang sering bermain di fikiranku. Dia seolah-olah merasakan ajalnya semakin dekat. Sebulan selepas aku menerima surat itu. Sarah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah lori ketika pulang dari kuliah. Kata abah. Aini gagal mengawal keretanya dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ketika itu, aku sedang menghadapi peperiksaan akhir. Abah tidak memberitahu aku berita sedih itu. Sehari setelah peperiksaan tamat, aku menerima berita itu melalui wassap chat. Abah tidak sanggup menyampaikan berita ini melalui telefon. Aku terkaku dan nyawaku bagaikan disentap dengan kematiannya.
Aini Fahidah Semoga kau ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman...
Share this novel