Kereta Abang Luqman pulang ke rumah tepat pukul 5.00 petang. Ketika itu, aku baru sahaja selesai menyediakan minuman petang di ruang tamu. Dia masuk dengan senyuman.
"Mmm, sedap bau ni. Masak apa?" tanya Abang Luqman masuk ke ruang tamu. Dia terus sahaja meluru mendapatkan Fahim. Kemudian dia duduk di meja makan.
"Ha, mama masak mi goreng dan popia," ujar Fahim. Aku tersenyum sambil menuangkan nescafe O di dalam cawan. Dia asyik mengunyah popia.
"Abang telefon mak tadi dan beritahu kita akan menghantar Fahim malam ni nanti."
"Kemudian?"
Aku mula berasa kurang selesa bila perkara ini sudah sampai ke pengetahuan emak mentuaku.
"Mak tanya, kita nak pergi mana," ceritanya tanpa memandangku.
Tak semena-mena, aku tergelak kecil. "Mestilah mak nak tahu, abang baru pertama kali nak sambut hari jadi Auni, kan?"
Dia memandangku penuh erti.
"Ke mana kita dulu masa Farah sambut hari jadi Auni tahun lepas?" tanya Abang Luqman.
"Haluan kita masing-masing." pantasku menjawab. Bukan niat aku untuk menyentuh kisah lalu tapi....
"Maknanya, abang kenalah bagi dua hadiah untuk Auni, ya tak? Satu untuk tahun ni, dan yang satu lagi untuk tahun lepas," katanya sambil tersenyum.
Selepas menunaikan Sembahyang Maghrib, aku menghadap cermin untuk bersiap-siap. Aku mengenakan bedak asas, gincu bibir berwarna merah hati, dan rambutku yang panjang ke bahu kulepaskan begitu sahaja. Lebih kurang pukul 7.45 malam, aku menuruni anak tangga dengan penuh yakin.
Abang Luqman sudah lama menunggu. Sebaik sahaja dia terpandangku, dia kaku seketika.
"Apa yang tak kena dengan baju ni?"
"Ini baju nikah, dulu kan?" tanya Abang Luqman.
"Kenapa? Abang tak suka Auni pakai baju ni?" Dia masih lagi merenung mataku dalam-dalam.
"Auni!" Abang Luqman menghulurkan tangan kepadaku. Aku teragak-agak. Aku bagaikan dipukau. Jantungku mula berdenyut pantas. Akhirnya jari-jari kami bertaupan.
Sebuah ciuman hinggap di dahiku. "Happy Birthday." ucapnya, perlahan, lembut dan cukup romantik sekali. Kemudian mata kami bertentangan sekali lagi. Aku jadi malu bila diperlakukan begitu.
"Abang tahu, Auni takut untuk menerima abang semula dalam hati Auni. Tapi bukalah hati Aini untuk abang biarpun untuk malam ini sahaja. I missed old times and I missed you."
Perlukah aku masuk ke dalam ruang itu lagi?
"Abang kena beri Auni masa," balasku perlahan.
"Berapa lama harus abang tunggu?"
"Tak pasti!"
"Maksud Auni?"
"Entahlah, kalau masih ada lagi ruang di hati Auni untuk abang." jawabku.
Kedua belah tapak tangannya mengusap pipiku.
"Jangan sia-siakan hubungan kita kali ini. Abang tahu abang bersalah pada Auni dahulu. Abang tak mahu Auni kenangkan kisah lama. Yang menanti kita sekarang. hanyalah masa depan kita bersama. Mana tahu, kebahagiaan untuk Auni dan abang kali ini, lebih bermakna lagi."
Air mata mula bertakung di mataku. Tidak terdaya untukku membalas kata-kata itu.
"Jangan menangis sayang. Abang tak mahu melihat air mata pada hari jadi Auni," pujuknya perlahan. Jarinya mengesat air mataku yang mula menitis.
"Abang sungguh-sungguh menyayangi Auni?" soalku.
"Auni meragui perasaan abang?"
Aku menundukkan wajahku sedikit. Kemudian aku mengangguk perlahan-lahan. Abang Luqman lantas memelukku erat sekali,
"Abang buta selama ini. Abang tak nampak betapa besarnya pengorbanan Auni pada abang. Abang tak tahu bagaimana abang boleh membalas segala-galanya."
Dia mengusap pipiku perlahan. Aku hanyut dengan perasaanku sendiri. Dan Abang Luqman turut sama melayani suasana Indah itu buat seketika waktu.
Akhirnya, usapannya padaku dileraikan. Dia kemball cerĂa.
"Jom, kita pergi sekarang." Aku mengangguk.
"SELAMAT hari jadi," ucap emak mentuaku mesra sambil mencium kedua belah pipiku sebaik sahaja aku bersalaman dengannya. Aku rasa bertuah kerana mempunyai emak mentua yang cukup memahamiku.
"Luqman ajak Auni ke mana?" tanya ayah mentuaku.
"Entahlah, ayah. Auni tak tahu apa rancangan dia. Katanya pergi dinner saja tapi dia tak cakap pula di mana," jawabku cuba menutup rasa malu.
"Surprise birthday giftlah ya?" usik emak mentuaku. Senyumanku semakin melebar.
"Fahim tidur di sini ke malam ni?"
"Tak. Nanti kami ambil dia," jawabku.
"Kalau susah-susah sangat, biar saja Fahim bermalam di sini," kata emak mentuaku.
"Tak apalah mak. Kami keluar tak lama. Lepas makan, kami balik," ujarku.
"Kalau dah lewat sangat, tak payahlah ambil Fahim. Entah-entah bila kamu balik ke sini, dia dah pun tidur. Esok ajelah," sampuk ayah pula.
Abang Luqman memandangku sambil tersenyum. Dia kelihatan segak dengan seluar slack dan t-shirt berwarna hitam serta jaket putih.
"Man nak ke mana bawa Auni malam ni?" tanya emak, cuba mengorek rahsia.
Abang Lukman mengalihkan Fahim dari pangkuanku.
"Adalah." Dia sempat tersenyum memandangku. "Eh, dah lambat ni." Lantas dia bingkas bangun.
Bila melihat dia sudah bangun, aku turut bangun dan mengekori dia berjalan ke arah pintu rumah.
"Kami pergi dulu, mak, ayah."
Abang Luqman memeluk erat anaknya. "Jangan nakal-nakal kat rumah nenek, ya." Kemudian dia mencium pipi Fahim.
Fahim mengangguk tidak memberontak ditinggalkan begitu. Abang Luqman memandangku. Aku tahu dia hairan melihat anaknya itu menurut kata.
"Auni dah buat homework dengan dia. I told him this afternoon," ujarku.
Share this novel