Perbezaan bentuk badanku masih tidak ketara biarpun kandunganku hampir mencecah bulan keempat. Yang ketara hanya seleraku yang semakin tidak menentu kerana aku sering sahaja lapar. Kata emak dan teman teman di pejabat, wajahku kelihatan lebih ceria dan berseri-seri Entahlah, mungkin juga kerana pembawakan budak, kata orang tua. Tapi mujur, emak tidak bertanyakan tentang perubahan ini.
Abang Luqman pula. semakin sukar untuk kutemui. Aku faham, dia mahu lari sejauh mungkin dari diriku. Aku terima keputusannya. Biarpun ada masanya peluang untuk aku melepaskan rindu tersimpan untuknya hanya di hujung jari. Dalam sebulan, hanya dua kali sahaja dia datang bertemu dengan Fahim.
Memang aku juga merindui saat-saat bersamanya. Lebih lebih lagi dalam keadaan berbadan dua, seperti ini. Merindui saat-saat gelak ketawa bersamanya. Aku merindui dirinya sebagai seorang lelaki dan merinduinya sebagai seorang suami yang dapat aku menumpang kasih. Tapi, aku sudah tidak terdaya untuk mencarinya. Aku sudah tidak terdaya untuk mengejarnya. Dalam saat-saat aku seperti ini aku semakin ditinggalkan. Semakin jauh.
"HELO Auni, Liza ni. Kau sihat ke?" Suara Liza kedengaran riang seperti biasa di corong telefon suatu pagi di pejabat.
"Alhamdulilah sihat. Apa hal kau telefon aku ni?" tanyaku.
"Hai, telefon pun tak boleh. Okeylah, aku cuma nak beritahu kau yang aku dah isi borang untuk buat Master Kau bila lagi? Kau tak teringin nak sambung belajar ke?"
Aku yang sedang menulis sesuatu ketika itu terhenti sebentar. Terkejut kerana Liza benar-benar serius untuk menyambung pelajarannya. Aku menggenggam erat gagang telefon.
"Eh, kau ni betul-betul nak belajar? Aku ingat, kau dah mahir dalam hal bisnes bapa kau?" tanyaku
"Memang bisnes syok. Tapi, aku nak sambung belajar sebelum mengambil alih perniagaan orang tuaku. Banyak yang belum aku belajar lagi. Kau tak nak sambung study ke?"
"Entahlah Liza. Aku tak tahu nak kata apa."
"Luqman masih macam tu jugak?" tanya Liza
Aku tidak menjawab soalannya.
"Aku fikir inilah peluang untuk kau menyelesaikan masalah rumah tangga kau. Mungkin selepas beberapa tahun, keadaan akan pulih semula. Lagipun, kau belum mengandung lagi."
Aku meletakkan tanganku di perut. Tidak seorang pun yang tahu kuasa ALLAH ini. Hanya satu malam. ALLAH menganugerahkan aku dengan sedikit nikmatnya. Dan bayi yang kukandung ini terus membesar. Aku tersenyum sendirian.
"Cepatlah hantar, nanti kita dah tak ada masa," pesan Liza, mengingatkan aku.
"Aku dah hantar dua minggu yang lepas Liza. Kau yang lambat."
"Oh, ya ke?" Dia terkejut sedikit. "Kalau macam tu eloklah. Aku ni mengingatkan kau aje."
Sebulan selepas itu, Liza menelefon aku di pejabat.Dari nada suaranya, ternyata dia begitu gembira sekali.
"Apa hal ni? Kenapa suka sangat?" tanyaku.
"Aku dapat Auni! Aku dapat!!!" pekiknya gembira.
"Dapat apa?"
"Aku dapat masuk buat Master di Universiti Man chester." Dan ketawanya membingitkan telingaku.
"Ha?" Aku bagaikan tidak percaya.
"Kau dah dapat? Bila kau tahu?"
"Hari ni. Aku baru aje dapat surat dari pihak universiti sana. Aku rasa, kau pun tentu dapat jawapannya".
Kata-kata dari Liza menyebabkan aku tidak sabar untuk pulang ke rumah. Sebaik sahaja sampai di rumah. aku bergegas ke tempat letak surat di atas almari di ruang makan. Selalunya di situlah surat-surat yang diterima pada hari itu disimpan
"Ada surat dari universiti datang hari ni untuk Auni." suara emak dari dapur
Aku tersenyum dan sedikit berdebar. Aku teliti sampul surat yang ada di situ satu persatu. Sehinggalah ternampak nama Universiti Manchester di luar salah satu sampul surat. Aku pantas mengambilnya dan segera naik ke bilik. Mujur emak tidak lagi berminat untuk bertanya lebih lanjut tentang kandungan surat tersebut.
Aku kunci pintu bilik dan kemudian tanpa berlengah- lengah lagi aku terus mengoyak sampul berwarna coklat ini. Surat yang terkandung segera kubaca.
...your application for the above has been accepted
Inilah keputusan yang aku nanti-nantikan. Tapi keputusan inilah juga yang akan menjadikan aku serba salah sama ada untuk menerima atau sebaliknya. Bagaimana dengan Abang Luqman? Fahim? Emak dan abah?
Tapi entah kenapa, aku rasa ingin sahaja menerima tawaran tersebut. Bukan aku tidak sayang dengan keluargaku, lebih-lebih lagi bila aku kini sudah bersuami. Aku tak pasti kenapa perasaanku begitu berkobar-kobar untuk melanjutkan pelajaran di sana. Apakah ini juga satu petunjuk dari ALLAH?
Malam itu, aku mengisi borang-borang yang dikembarkan bersama surat tersebut. Aku harus menghantar surat ini segera kerana kurang dari sebulan dari sekarang. kemasukan pelajar-pelajar seperti aku akan bermula.
Share this novel