Bab 24

Romance Series 37317

"ADUH! Laparnya perut aku!" Fazliatun memegang perutnya yang sudah berbunyi sejak tadi. Nak keluar makan nanti, terserempak pula dengan mak singa. Serba salah pula dia jadinya. Sekarang ini sudah masuk waktu zuhur. Patutlah perutnya berbunyi. Sarapan pun tak ambil, memanglah lapar.

‘Tak boleh jadi ni. Kalau nak fikir pasal mak singa tu, sampai esok pun tak makan. Buat bodoh ajelah.’

Fazliatun akhirnya turun ke tingkat bawah. Sesekali, matanya melingas ke kiri dan ke kanan. Takut juga andai bertemu dengan Tengku Arianis. Perlahan-lahan dia menuju ke dapur dengan kaki yang terjingkit-jingkit.

"Puan nak makan ke?" Suara Mak Kuntum tiba-tiba kedengaran. Pantas Fazliatun menoleh ke belakang. Terkejut dia. Ingatkan mak singa. Wajahnya dimaniskan sambil mengurut dada.

"Ish tak payahlah panggil saya puan, mak cik. Panggil aje saya Tun," katanya sopan. Terasa janggal pula apabila dipanggil begitu.

Mak Kuntum dah jadi serba salah. Kepala digaru beberapa kali.

"Tapi...?"

"Dah...tak ada tapi-tapi lagi. Mak cik panggil aje saya, Tun. Kan lebih mesra bunyinya." Fazliatun tersenyum. Wajah Mak Kuntum yang masih kebingungan itu dipandang buat kali kedua.

"Ha, baiklah Tun. Buat apa Tun dok terhendap-hendap macam komando mak cik tengok. Tun takutkan siapa?" Mak Kuntum bertanya.

"Sebenarnya, saya nak makan. Lapar sangat perut ni."

"Kenapa pulak Tun nak terhendap-hendap macam tu? Makan ajelah. Tak ada siapa pun nak marah. Tun kan menantu dalam rumah ni. Buat aje macam rumah sendiri. Jangan takut!"

"Saya takut mak singa marah."

Makin pelik Mak Kuntum mendengar ucapan Fazliatun. Nampak jelas kerutan di dahinya.

"Siapa pulak mak singa tu?"

"Ish mak cik ni. Janganlah cakap kuat-kuat. Nanti dia dengar pulak. Habis saya kena maki."

"Cuba Tun cakap dengan mak cik. Siapa mak singa tu?" Kali ini suaranya perlahan sedikit.

"Tengku Arianis." Selamba saja Fazliatun menjawab.

“Oh!”

Mak Kuntum akhirnya mengangguk faham. Tahulah dia sekarang. Rupa-rupanya, Tengku Arianis tidak menyukai Fazliatun. Kasihan betul dia melihat nasib Fazliatun. Entah apalah salahnya sampaikan Tengku Arianis berbuat begitu. Budak sebaik Fazliatun pun tidak disukai oleh majikannya itu. Kalau Nauri yang berpakaian seksi dan mencolok mata, Tengku Arianis suka pula. Tak faham sungguh dia. Berbeza benar pendirian majikannya itu.

"Kalau Tun nak makan, biar mak cik sediakan. Lauk tu dah ada kat atas meja. Tinggal nak ambil nasi dan air aje."

"Eh, tak payah susah-susahlah mak cik. Tun boleh ambil sendiri." Fazliatun melarang.

"Dah memang tu tugas mak cik, Tun. Kejap ya, mak cik ambilkan nasi!" Mak Kuntum menuju ke dapur yang terletak di bahagian belakang. Manakala Fazliatun sudah duduk di meja makan.

"Mak cik tak makan sekali ke? Marilah kita makan sama-sama." Fazliatun mempelawa Mak Kuntum makan.

"Tun makan ajelah sorang. Mak cik ni ada banyak lagi kerja nak buat kat belakang tu. Karang bising pulak Tengku Anis kalau nampak mak cik mengular kat sini."
Mak Kuntum meletakkan jug berisi air jus mangga di atas meja.

"Terima kasih, mak cik! Jemput makan!"

"Yalah. Makanlah. Mak cik nak ke belakang dulu!"
Mak Kuntum terus beredar ke dapur.

Fazliatun memandang hidangan yang berada di hadapannya. Semuanya sedap-sedap belaka. Berselera sungguh dia makan. Hampir dua pinggan nasi dia tambah. Lapar betul.

"Alhamdulillah!"

Habis saja makan, Fazliatun cepat-cepat membasuh tangan. Khuatir jika terserempak dengan Tengku Arianis. Susah juga kalau begini hari-hari. Nak makan pun terpaksa menyorok-nyorok macam pencuri. Sampai bila dia nak jadi begini? Tak sanggup rasanya andai terpaksa tinggal di rumah ini lebih lama lagi. Boleh gila dia jadinya.

Belum sempat dia hendak memijak anak tangga, tiba-tiba Tengku Arianis sudah muncul di hadapannya. Langkah kakinya terhenti seketika. Wanita itu merenungnya tajam.
"Pandai pulak kau keluar. Aku ingatkan dah tak tahu lagi nak keluar bilik. Dah kenyang ke makan?" soalnya sinis.

"Dah." Fazliatun malas berlama-lama di situ. Dia terus memijak anak tangga tanpa mempedulikan teguran Tengku Arianis.
"Kau nak pergi mana tu? Nanti dulu!" Tengku Arianis menahan.

"Saya nak masuk biliklah."

"Amboi-amboi, senangnya hidup kau! Lepas makan, terus nak bersenang-lenang kat dalam bilik. Kau ingat, kau tu puteri raja. Sedarlah diri sikit yang kau tu menumpang. Bukak mata kau luas-luas. Kalau kau tak kahwin dengan anak aku, jangan mimpi nak tinggal kat rumah mewah macam ni. Perempuan macam kau ni, layak jadi orang gaji aku aje."

Suara Tengku Arians sudah meninggi. Mak Kuntum yang sedang membasuh pinggan di dapur hanya memasang telinga. Tak berani dia nak masuk campur. Nanti tak pasal-pasal, kena marah.

"Saya kan isteri Rul, anak mama. Lebih kurang macam puteri rajalah jugak. Mungkin lebih lagi kot. Mama tak suka ke?" tanya Fazliatun selamba lalu memandang muka ibu mertuanya itu.

"Siapa mama kau? Jangan nak berani panggil aku mama! Kau tu tak layak jadi menantu aku sampai bila-bila." Tengku Arianis mengetap gigi geram. Matanya bulat memandang Fazliatun.

"Oh, maaflah. Saya tak tahu pun Tengku tak suka. Tapi yang saya tahu, saya ni isteri anak Tengku. Sama ada layak ke tidak, terpulanglah pada Tengku untuk menilai. Lagipun, Rul cintakan saya. Jadi, Tengku tak boleh kata Tengku tak sukakan saya. Senang cakap macam nilah Tengku. Lebih baik Tengku terima aje saya sebagai menantu. Saya pun tak sakit hati, Tengku pun tak stress."

Makin berapi Tengku Arianis jadinya. Perempuan ini memang kurang ajar. Betul kata Nauri tadi. Fazliatun tak boleh dibagi muka. Makin naik lemaklah dia nanti.

"Kau jangan mimpi aku nak terima kau dalam keluarga aku. Cerminlah diri tu sikit. Orang miskin macam kau ni layak jadi orang gaji aku aje. Yang tu baru sesuai dengan muka kau. Meh sini kau! Aku nak kau buat semua kerja-kerja dalam rumah ni! Jangan berangan nak jadi mem besar kat sini. Sini!”

Tengku Arianis pantas merentap kuat tangan Fazliatun sehingga membuatkan gadis itu jatuh di atas tangga. Tepi bibirnya berdarah. Terasa pedih dan perit. Fazliatun bangun perlahan-lahan.

"Tengku jangan ingat saya orang miskin, Tengku boleh pijak sesuka hati. Saya memang hormat pada orang tua tapi bukan orang tua yang kurang ajar macam Tengku ni. Jangan salahkan saya kalau saya berkasar dengan Tengku. Tengku yang mulakan dulu." Dia sudah berdiri tegak di hadapan Tengku Arianis.

Kecut juga muka Tengku Arianis. Tidak menyangka Fazliatun seberani itu. Sebelum ini, menantunya itu hanya diam apabila dimarahi. Kali ini berbeza sangat kelakuannya.

"Aku pun tak heranlah. Kau ingat sikit, selagi aku tak dapat singkirkan kau dari hidup anak aku, jangan harap aku akan diam. Kau tunggu ajelah nanti," ugut Tengku Arianis.

"Okey. Saya nak tengok sejauh mana Tengku akan pergi. Tengku tengok bibir saya ni...ada kesan darah, kan. Petang nanti kalau Rul balik, saya akan ceritakan kat dia pasal mama dia yang jahat ni."

Berubah terus muka Tengku Arianis. Cuak juga apabila diugut oleh Fazliatun. Pasti Tengku Fazrul Shah akan menyebelahi isterinya.

"Ceritalah. Aku tak takut pun."

"Berani betul Tengku ni, kan. Cuba Tengku bayangkan macam mana kalau Rul tahu mama dia sanggup cederakan isteri kesayangan dia. Agak-agak, Rul nak diam aje ke? Tengku dah lupa ke yang Rul pernah cakap nak pindah dari sini. Saya rasakan, mesti dia terus nak pindah rumah jika tahu berita ni. Tengku suka ke?"

Fazliatun tersenyum sinis. Hatinya puas kerana dapat mengenakan Tengku Arianis. Jangan ingat selama ini dia diam, dia takut untuk melawan. Dia diam pun kerana ingin menjaga hati Tengku Fazrul Shah dan Tengku Marzuki. Dia bukanlah seperti perempuan lain yang suka diperlekehkan sesuka hati. Hanya diam dan tidak melawan apabila diherdik serta dicaci. Memang dah silap orang.

"Aku tak akan biarkan kau hasut anak aku."

"Bila masa pulak saya hasut anak Tengku?"

"Kalau bukan kau yang hasut, siapa lagi? Baru berapa minggu jadi isteri anak orang kaya, dah nak tunjuk lagak. Kau kan yang hasut anak aku supaya pindah dari rumah aku? Mengaku ajelah.”

Tengku Arianis memberanikan diri biarpun dalam hatinya saat itu sudah resah semacam. Risau juga jika Fazliatun mengadu pada Tengku Fazrul Shah tentang perbuatannya tadi. Pasti anaknya akan marah.

'Tak boleh jadi macam ni. Aku mesti buat sesuatu. Perempuan tak guna ni tak boleh menang.' Hati tuanya berbisik resah.

"Saya tak ada masa nak hasut suami saya sendiri. Dia yang nak pindah sangat. Lagipun, dia ada duit. Biarlah dia nak buat apa pun. Tengku tak ada hak nak larang. Rumah tu pun dia nak letakkan atas nama saya. Saya tak ada pula suruh dia buat macam tu. Tulah jadinya kalau dah sayang sangat." Fazliatun sengaja mereka-reka cerita untuk menambahkan lagi kemarahan mertuanya.

Terkebil-kebil mata Tengku Arianis. Turun naik nafasnya menahan amarah yang makin bersarang dalam jiwa. Menantunya itu benar-benar mencabar kewibawaannya. Langsung tidak menghormati dirinya sebagai mentua.

"Kau ni memang perempuan tak guna. Berani kau nak kikis harta anak aku, ya. Dasar anak orang miskin. Aku tak akan biarkan kau bolot harta anak aku. Jangan mimpilah!"

"Banyakkan bersabar, Tengku. Anggap ajelah ni semua rezeki saya. Tak guna Tengku nak marah-marah. Tengku tu dah tua. Nanti jatuh sakit, siapa yang susah? Daripada Tengku marah-marah, lebih baik Tengku banyakkan solat dan buat kerja amal. Ada juga faedahnya sebelum ajal menjemput. Umur kita ni tak boleh nak jangka. Entah esok lusa, kita akan pergi dijemput Ilahi mana kita tahu. Okeylah. Saya nak masuk bilik dulu. Nak berehat kejap. "

Selesai bercakap, Fazliatun terus masuk ke biliknya. Malas nak melayan kerenah Tengku Arianis.

"Kurang ajar punya pompuan!" Makin berbahang Tengku Arianis.

"Kau tengoklah siapa yang akan menang nanti."

Tengku Arianis ada agenda sendiri. Dia tidak akan menyerah kalah. Gadis itu harus dikenakan cukup-cukup.

FAZLIATUN tersenyum-senyum di biliknya. Kelakar dia melihat muka Tengku Arianis yang cuak semacam setelah habis dia berbicara. Sengaja dia menambahkan bara supaya mertuanya itu membencinya.

"Padan muka kau orang tua. Baru bertemu buku dengan ruas. Dia ingat aku takut sangat nak lawan dia. Memang dah silap oranglah. Ni Fazliatunlah. Nampak aje macam perempuan bodoh, tapi tu semua luaran aje."

Fazliatun ingatkan Tengku Arianis berani sangat. Dia tahu wanita itu hanya berani mengugut. Pada awalnya tadi, dia takut juga untuk melawan. Jika dia diam saja, sudah pasti kepalanya akan dipijak sesuka hati. Dia bukanlah seorang perempuan yang lemah dan boleh diperlakukan sewenang-wenangnya. Selagi boleh lawan, dia akan pertahankan diri dari terus dihina dan dicaci. Begitu prinsip hidupnya.

Dia menyentuh bibirnya yang pecah-pecah itu. Terasa sakit. Mujurlah dia jatuh tidak kuat sangat. Kalau tak, khuatir juga jika kepalanya terhantuk pada bucu tangga. Selepas ini, dia harus berhati-hati. Segala kata-kata Tengku Arianis diingati satu per satu. Dia cukup tahu, mertuanya itu serius dengan apa yang diucapkan. Cakapnya bukanlah cakap-cakap kosong.

Ternyata, Tengku Arianis benar-benar membencinya sehingga sanggup mencederakannya. Andai dia tidak pindah dari rumah ini, entah perkara apa lagi yang akan dilakukan oleh wanita itu.

Petang nanti apabila Tengku Fazrul Shah pulang dari ofis, dia akan menceritakan kejadian itu kepada suaminya. Dia yakin, suaminya akan marah dan secara tidak langsung boleh mempercepatkan proses pindah rumah. Memang itulah yang dia inginkan. Selagi dia duduk di rumah ini, selagi itu perasaannya tidak akan tenteram.

P/s : Wah, lamanya tak update cerita ni. Ada lagi ke yang setia baca novel ni sampai habis sebab kisahnya masih jauh lagi. Rajin2 komen Ok

Share this novel

Nor Azlina
2021-05-30 17:07:42 

pless update best cerita ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience