Bab 16

Romance Series 37317

SELEPAS usai solat Maghrib, Encik Ahmad dan Puan Rohaya meminta diri untuk pulang. Pada awalnya mereka dipelawa oleh Tengku Marzuki supaya tidur di rumahnya sahaja namun mereka terpaksa menolak.

"Tak apalah, bang. Lain kali ajelah kami tidur kat sini. Saya dengan Yah ni bukan tak nak bermalam kat rumah abang. Tapi kami ni kerja. Hari tu dah ambik cuti dua hari masa buat majlis belah perempuan. Nanti apa pulak kata majikan kami. Saya harap abang dan kakak faham dan tak berkecil hati, ya," ucap Encik Ahmad lembut. Serba salah pula dia jadinya.

"Kalau dah macam tu kata kamu, abang dah tak boleh cakap apa. Senang-senang nanti datanglah ke rumah kami. Pintu rumah ni memang terbuka luas untuk kamu berdua." Tengku Marzuki menghantar besannya itu sampai ke muka pintu. Tengku Arianis yang turut berada di sebelahnya pura-pura tersenyum. Mereka bersalaman.

"Kami minta diri dulu, ya!" kata Encik Ahmad sebaik melihat Tengku Fazrul Shah dan Fazliatun menghampiri ke arah mereka.

"Rul gerak dulu ma, pa!" Tengku Fazrul Shah menyalam tangan mama dan papanya. Fazliatun turut berbuat begitu. Ketika Fazliatun mahu mencium tangan Tengku Arianis, wanita itu segera mengalihkan tangannya. Tak rela tangannya dicium oleh gadis itu. Dia berasa jijik.

"Hati-hati drive. Jangan bawa laju sangat. Rul tu baru aje kahwin. Elok-elok memandu," pesan Tengku Marzuki lagi.

Tengku Fazrul Shah hanya mengangguk kecil sebelum memasukkan beg-beg pakaiannya ke dalam bonet kereta. Untuk dua tiga hari ini dia akan tinggal di rumah mertuanya itu. Pada awalnya tadi dia merancang untuk bermalam dulu di rumahnya. Tetapi, ayah dan ibu mertuanya itu mahu balik pula. Terpaksalah dia pulang juga.

Kereta yang dipandu oleh Tengku Fazrul Shah terus bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Jarak rumahnya ke rumah Fazliatun tidaklah jauh mana. Hanya lebih kurang tiga puluh kilometer jika melalui Lebuh Raya Cheras - Kajang. Rumahnya terletak di Country Heights, Kajang.

"Mak dan ayah nak singgah kat mana-mana dulu ke?" Tiba-tiba Tengku Fazrul Shah bertanya ketika dia mengisi minyak di Petron berdekatan dengan rumahnya.

"Nak singgah mana pulak?" Encik Ahmad mengerutkan dahi.

"Manalah tahu kalau ayah nak beli barang dapur ke, nak shopping sikit ke tu yang Rul tanya. Alang-alang dah jalan ni boleh jugak pergi," cadang Tengku Fazrul Shah.

Encik Ahmad terdiam sekejap.

"Boleh jugak tu. Barang dapur pun dah tinggal sikit kat rumah."

"Sayang tak ada nak beli apa-apa ke?" Tengku Fazrul memandang pula wajah Fazliatun di sisinya. Gadis itu sudah gelisah semacam.
'Alahai, romantik pulak dia ni. Siap panggil aku sayang lagi. Pandai betul dia berlakon depan mak dan ayah. Masak aku macam ni.'

"Erm...tak tahu lagi. Nanti saya fikir." Nampak kekok Fazliatun hendak memanggil nama Tengku Fazrul Shah. Terbelit-belit lidahnya.

Encik Ahmad dan Puan Rohaya yang duduk di tempat duduk belakang hanya tersenyum melihat kemesraan anak dan menantunya itu. Lega hati mereka suami isteri mendapat menantu sebaik Tengku Fazrul Shah. Terasa lapang dada dan fikiran mereka.

Sebaik tiba di Giant, mereka terus turun. Saat itu jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. Encik Ahmad dan Puan Rohaya berjalan di hadapan. Manakala Fazliatun dan Tengku Fazrul Shah mengekori di belakang.

"Kenapa encik panggil saya dengan panggilan sayang? Malu tau saya. Dahlah ada mak dan ayah," ujar Fazliatun geram. Suaranya kedengaran perlahan seperti berbisik.

"Habis tu you nak I panggil you apa? Mestilah kena panggil sayang. Baru nampak real macam suami isteri." Selamba Tengku Fazrul Shah menjawab.

"Ish, tak suka tau. Pandai-pandai aje." Fazliatun terus mendapatkan Puan Rohaya yang sedang sibuk memilih bawang besar dan cili hijau di bahagian barang-barang basah.

"Mak belilah dulu barang-barang dapur tu. Tun nak pergi Watson kejap. Mak dan ayah jangan pergi mana-mana pulak. Nanti susah pulak Tun nak cari," pesan Fazliatun lagi.

"Ha...yalah. Jangan lambat sangat."

"Okey."

Fazliatun melangkah masuk ke dalam Watson. Tengku Fazrul Shah yang memerhatikan pergerakannya sejak tadi pantas mengekori. Apa pula yang nak dibeli oleh
isterinya itu. Main jalan macam tu saja. Dia mengekori Fazliatun tanpa gadis itu sedar.

"Mana pulak benda alah ni? Payah pulak nak cari." Fazliatun mula membebel. Dia tidak perasan Tengku Fazrul Shah sudah berada di belakangnya kerana terlalu sibuk mencari sesuatu.
Setelah puas mencari, barulah dia berjaya menemukannya. Dia pantas mencapai tuala wanita itu lalu menoleh ke belakang.

'Alamak! Bila masa pulak mamat ni ada kat belakang aku. Mati!' Terkejut Fazliatun. Berderau darahnya. Dia pantas menyembunyikan pad itu di belakang badannya. Mukanya sudah gelabah.

"You beli apa tu?" soal Tengku Fazrul Shah pelik.

"Alah sibuklah encik ni. Mana boleh tahu."

"Baik you cakap. Kalau tak, I peluk you kat sini jugak. Cepat cakap!" Tengku Fazrul Shah mengugut isterinya.

"Peluklah kalau berani. Saya tak takut pun," cabar Fazliatun. Dia tahu lelaki itu hanya berani mengugut.

'Mana dia berani nak peluk aku. Dia ingat aku bodoh.'

Mata Tengku Fazrul Shah bulat memandang isterinya. Dia memang pantang dicabar. Terus dipeluknya Fazliatun sehingga membuatkan Fazliatun menjerit kecil. Habis jatuh padnya ke lantai. Ketika itu banyak mata yang memandang ke arah mereka berdua.

"Encik ni dah gila ke? Lepaskan sayalah. Rimas tahu tak." Fazliatun sudah meronta-ronta apabila dipeluk begitu. Malu mukanya.

Tengku Fazrul Shah akhirnya melepaskan Fazliatun sambil ketawa kecil. Matanya tiba-tiba terpandang satu bungkusan kecil yang berada di atas lantai. Pantas dia mencapai bungkusan itu. Tertera perkataan Whisper pada bungkusan berwarna biru itu.

"Benda apa you beli ni? Pelik aje bentuk dia. I tak pernah nampak benda macam ni. Kenapa you beli?" soalnya bertubi-tubi.

Wajah Fazliatun sudah merona merah. Dia terus merampas pad itu lalu menuju ke kaunter pembayaran. Terpinga-pinga Tengku Fazrul Shah jadinya. Pelik dia melihat tingkah isterinya itu.
'Benda apa yang dia beli agaknya sampai susah sangat nak cakap. Kalau tak sebelum ni, mulut dia asyik pot pet pot pet aje macam murai tercabut ekor. Pelik betul perempuan ni.’

“Dah...jom balik!”

“Eh, nanti dulu!”

“Kenapa ni, encik? Nak beli barang lagi ke?”

“You beli apa tu?”

“Mana boleh tahu. Ni barang-barang orang perempuanlah. Encik kan lelaki. Buat apa nak ambil kisah.”

Tengku Fazrul Shah terdiam. Puas dia memikirkan barang pelik itu. Namun, sampai ke sudah dia tidak dapat mencari jawapannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience