Bab 7

Romance Series 37322

ALISHA mundar-mandir di setiap sudut butiknya. Dia sedang sibuk memilih baju yang sesuai untuk dipakaikan pada Fazliatun. Sebagai seorang pereka fesyen yang popular di kalangan artis dan orang-orang kenamaan, dia sudah biasa berhadapan dengan situasi seperti itu.
Gadis yang berada dalam butiknya itu bukanlah tidak cantik. Cuma pakaiannya saja nampak kekampungan sedikit. Jika kena dengan cara, Fazliatun pasti akan kelihatan bergaya dan menarik.

Fazliatun menarik nafas panjang. Sedari tadi, matanya liar memerhatikan beberapa helai baju di butik itu. Kebanyakkannya, baju yang tak cukup kain. Seksi sangat. Cantik memang cantik cuma banyak sangat labuci. Silau matanya melihat. Ada juga baju yang menutup aurat tetapi boleh dibilang dengan jari.

"Tak ada baju lain ke kak selain baju-baju yang tak cukup kain macam ni?" sindirnya tajam.

Alisha pantas menoleh ke belakang.

"Amboi mulut kau, pompuan! Tak ada insurans langsung! Bukan baju ni yang aku nak pilih untuk kau. Tengok dari gaya penampilan kau pun, aku dah boleh tahu citarasa kau, nok," ucap Alisha sambil tergelak.

"Habis tu, mana bajunya?" aju Fazliatun seakan-akan tidak sabar. Sambil memandang Alisha, tangannya sibuk memegang baju tak cukup kain itu. Lembut sungguh kainnya. Warnanya pun nampak cantik. Namun setelah melihat harga yang tertera pada bahagian atas baju itu, membuatkan dia mengucap panjang.
Rm1,399.

‘Ni baju ke emas permata? Mahal gila. Kalau aku banyak duit pun, tak ingin aku beli baju mahal macam ni. Membazir aje.

"Ha, ni dia baju dan seluarnya. Cantik tak?" Alisha memegang sehelai blaus berwarna peach dan dipadankan dengan seluar hitam.

"Cantiknya, kak! Kalau blaus macam ni memang saya suka pakai!" Fazliatun begitu teruja melihat blaus itu. Mesti mahal harganya.

"Berapa harga sepasang blaus dan seluar ni?"

"Tak mahal. Cuma Rm599 aje."

"Mak aih, mahalnya! Cekik darah! Blaus ni kalau kat Chow Kit tu baru Rm95 aje. Mana saya ada duit banyak tu?"

Alisha sudah ketawa terbahak-bahak mendengar celoteh Fazliatun. Boleh pula gadis itu nak samakan kualiti pakaian di butiknya dengan kedai baju di Chow Kit yang terang-terang rendah kualitinya. Sebab itu harganya jauh lebih murah.

"Baju murah tu buat apa. Langsung tak ada kualiti. Kau jangan risaulah. Bukan kau yang akan bayar baju dan seluar ni. Tengku Fazrul yang akan bayar semua ni. Jangan takutlah!"

Mata Fazliatun terbeliak besar.

'Biar betul mamat ni. Banyak betul duit dia nak beli. Tu belum campur harga tudung lagi. Ni mesti dia nak tolak duit aku yang Rm 10,000 tu. Mesti punyalah. Mana aci macam ni. Pandai-pandai betul nak potong duit aku. Belum lagi jadi isteri, dah nak potong itu ini. Menyampah betul tau.'

"Kau suka tak blaus ni? Ke nak pilih baju yang tak cukup kain tu? Aku tak kisah, janji duit masuk dalam poket aku. Haha!" Alisha ketawa lagi.

"Em...bolehlah. Janji ada dari tak ada langsung." Pendek sahaja jawapan Fazliatun.

"Macam tak suka aje."
"Eh, mana ada! Baju mahal macam ni mestilah saya suka. Habis tu, saya nak pakai tudung apa? Takkan nak pakai tudung saya ni. Tak kenalah, kak!"

Fazliatun merasakan tudung pink cair miliknya itu kurang sesuai jika hendak dipadankan dengan blaus itu. Biarpun dia seorang yang buta fesyen, namun dia tahu juga menilai.

"Okey, kejap!" Alisha segera pergi ke ruang dalam. Beberapa minit kemudian dia kembali dengan membawa dua helai tudung.

"Kau pakai tudung yang ni. Pilihlah yang mana satu kau suka!" cadang Alisha.
Naik rambang mata Fazliatun hendak memilih. Dua-duanya cantik.

"Saya pilih yang warna turquoise ni ajelah! Nampak cantik pulak."

"Okey, settle. Sekarang ni, kau pergi salin baju ni dekat fitting room sana tu. Lepas siap, datang sini semula jumpa aku! Aku nak tengok," arah Alisha.

Fazliatun hanya menurut perintah. Ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke butik semewah ini. Jika sebelum ini, dia hanya dapat melihat butik seperti itu dalam televisyen sahaja. Dia tidak menjangka sungguh akan berada di tempat eksklusif begini.

Fazliatun memakai blaus itu dan mengenakan tudung rekaan Alisha yang kelihatan menarik jika dipakai. Nampak cantik apabila tubuh rampingnya mengenakan blaus itu. Sesuai dengan potongan badannya.

Kemudian, dia melangkah keluar.

"Cantik tak, kak?" Dia sudah berada di hadapan Alisha sambil menayang blaus yang melekat di tubuh.

Alisha tersenyum memandangnya.

"Cantiknya, nok! Kau pakai blaus ni memang perfect sangat. Percayalah cakap
mak!" Bangga pula Fazliatun apabila dipuji begitu. Kembang kempis hidungnya.
Gadis itu memang cantik. Jika tadi, auranya kurang menyerlah apabila memakai baju kurung bercorak bunga-bungaan yang menampakkan dia lebih tua daripada usia sebenar. Setelah memakai blaus rekaan Alisha, barulah seri wajahnya naik. Ni belum mekap lagi. Kalau dah mekap, tambah cantik muka dia.

"Kau salin dulu baju tu! Aku nak mekapkan kau kejap lagi, "arah Alisha apabila melihat jam sudah menghampiri ke pukul 1.35 petang. Dia ada masa lebih kurang satu jam dua puluh lima minit lagi sebelum Tengku Fazrul Shah balik.

Fazliatun pantas berlalu ke ruang dalam. Dia menyalin semula pakaiannya.

"Kenapa tak bukak tudung sekali?" Bulat mata Alisha memandang Fazliatun yang masih memakai tudung pink cairnya itu.

"Kena bukak jugak ke? Malulah saya!"

"Apa pulak yang nak dimalukan. Kita kan satu kaum. Ish kau ni! Dah...dah...jangan buang masa aku. Cepat!"

Fazliatun dah tak ada pilihan lagi. Terpaksa juga dia buka tudung.

Alisha tersenyum. Terkocoh-kocoh tangannya mencapai alat solek dan menyudahkan kerjanya tanpa ada sebarang gangguan. Dia cukup berpuas hati dengan hasil kerjanya itu. Berlainan sungguh muka Fazliatun setelah siap disolek. Macam muka artis Korea pula.

"Kau tak nak cukur kening ke, nok? Cuba tengok kening aku ni! Kan cantik," ujarnya memberi cadangan.

"Tak naklah saya, kak. Berdosa cukur kening ni!"

Berubah terus muka Alisha apabila disindir begitu. Lancang sungguh mulut Fazliatun menyindirnya secara halus. Kalau cukur kening pun dah berdosa, apatah lagi jika memakai pakaian perempuan sedangkan hakikatnya dia seorang lelaki. Alisha jadi malu sendiri akhirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience