Bab 21

Romance Series 37319

MALAM ini bulan kelihatan terang. Cahayanya bertebaran jatuh ke seluruh permukaan bumi. Bintang-bintang pula berkelipan di dada langit. Rasa tenang apabila menatap panorama indah sebegitu. Terasa hilang segala bebanan fikiran yang melanda hati. Dia ralit memandang ke luar tingkap. Selepas makan malam tadi, Fazliatun terus masuk ke dalam biliknya. Tengku Fazrul Shah pula berada di ruang tamu menonton televisyen bersama-sama ayah dan emaknya.

Dia malas nak menghadap muka suaminya itu. Buat sakit hati saja. Sepuluh patah yang ditanya, sepatah saja yang dia jawab. Moodnya benar-benar ke laut. Biarlah dia menenangkan diri di dalam bilik tanpa ada sebarang gangguan. Fikirannya terasa lapang jika duduk seorang diri begini. Dalam asyik mengelamun, tiba-tiba dia teringat pula pada pemuda yang menolongnya petang tadi.

Entah siapalah nama lelaki itu? Tidak sempat pula dia bertanya. Baginya, cukuplah perkenalan mereka sekadar di situ saja. Tidak perlu melebihi sempadan yang sepatutnya. Masing-masing punya kisah hidup sendiri. Jadi, tak perlulah ada lagi pertemuan buat kali kedua. Sebab itu dia tidak memberitahu namanya kepada lelaki itu semasa ditanya. Dia tak mahu bertemu lagi dengan jejaka tidak bernama itu. Biarlah pertemuan itu menjadi pertemuan terakhir baginya.

Walau bagaimanapun, budi lelaki itu tidak akan pernah sekali dilupakan. Andai lelaki itu tidak membantunya semasa dia jatuh, entah macam manalah nasibnya. Dahlah duit tinggal sikit, nak balik rumah pun tak lepas. Mungkin setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Fazliatun cuba bersangka baik.

Esok pagi, dia akan pulang ke rumah Tengku Fazrul Shah. Dan hidupnya akan bertukar 360 darjah di tempat baru. Apabila memikirkan hal itu, membuatkan Fazliatun termenung sendiri. Dah tentu dia akan menghadap muka ibu mertuanya 24 jam kerana dia tidak bekerja. Mesti bosan. Entah apa yang akan jadi nanti pada dirinya?

'Boleh ke aku tidur kat bilik berasingan kat sana? Dah tentu keluarga dia akan curiga. Ish, kenapalah aku tak fikir langsung tentang perkara ni. Sampai bila nak tidur dengan mamat sewel tu? Boleh mereng otak aku ni kalau duduk sebilik dengan dia. Susahlah macam ni. Mesti tak ada privacy.'

"Jauh termenung! You ingatkan sape tu?" Tiba-tiba kedengaran suara Tengku Fazrul Shah di telinganya. Entah bila suaminya itu masuk, dia pun tak perasan.

Fazliatun masih membisu. Pertanyaan suaminya dibiarkan kosong dibawa angin malam. Matanya tetap fokus memandang ke luar jendela. Malas dia nak berbual dengan lelaki itu.

Tengku Fazrul Shah masih berdiri tegak di belakangnya.

"You marahkan I lagi ke ni? I kan dah minta maaf siang tadi. Okeylah kalau you tak puas hati, I boleh jelaskan perkara sebenar kat you..."

Tengku Fazrul Shah berjeda seketika sebelum menyambung bicara. "Sebenarnya I ada hal sikit masa tu. Pasal kerja. I uruskan satu projek perumahan dekat Cheras. Patutnya pekerja I yang handle, tapi dia ada emergency sikit. Sebab tu I gantikan tempat dia. Maaflah sebab I tak sempat bagitahu you. Sorry, ya."

Panjang lebar penjelasannya. Dia terpaksa berbohong agar Fazliatun tidak menaruh syak yang bukan-bukan.

"Okey."

Hanya itu sahaja jawapan Fazliatun. Naik meluat dia mendengar pengakuan palsu itu. 'Macamlah aku tak tahu kau jumpa siapa siang tadi. Janganlah nak kelentong. Agaknya memang macamlah ni perangai lelaki dalam dunia ni. Dah ada isteri pun masih menggatal dengan perempuan lain. Tak cukup satu.’

Tengku Fazrul Shah masih belum puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh isterinya itu. Dia cukup kenal perangai Fazliatun biarpun mereka berdua baru bernikah
kira-kira tiga minggu yang lalu. Dia tahu Fazliatun belum memaafkannya.

"Tengok tu. Muka I pun you tak nak pandang, kan. Nampak sangatlah you ni masih marahkan I. You nak I buat apa lagi sampai you boleh maafkan I?" Keras suaranya.

"Encik ni dah kenapa? Saya dah kata okey tu maksudnya saya dah maafkan enciklah. Susah betul bercakap dengan orang tak reti bahasa ni." Suara Fazliatun juga keras, namun cuba dikawal. Bimbang juga didengari oleh ayah dan emaknya.
"Sini, pandang muka I!"

Tengku Fazrul Shah memegang tubuh Fazliatun supaya memandang wajahnya. Mukanya kelihatan serius.

"I nak dengar you maafkan I depan mata I jugak! Cepat!" arahnya tegas.

"Saya tak nak."

"I tak peduli. Lebih baik you cakap sebelum I paksa you."

"Saya tak takutlah. Paksalah kalau encik berani," cabar Fazliatun. Dia memandang wajah suaminya dengan pandangan tajam.

"You cabar I ke?"

"Entahlah. Encik pun dah cukup dewasa untuk faham apa yang saya cakapkan tu. Bukan budak kecil lagi."

Tengku Fazrul Shah naik angin juga melihat kedegilan isterinya itu. Dia memang pantang dicabar. Keegoaannya sebagai seorang lelaki terusik juga. Tanpa sedar, tiba-tiba tangannya naik ke pipi gebu Fazliatun.

Fazliatun terkejut. Dia memegang pipinya yang terasa sakit. Tidak menyangka Tengku Fazrul Shah bertindak sejauh itu. Baru beberapa minggu menjadi isterinya, lelaki itu sudah pandai menaikkan tangan ke muka. Hanya kerana perkara kecil begitu, dia diperlakukan sedemikian rupa.

"Terima kasih, encik. Terima kasih!" Fazliatun terus merebahkan diri di atas tilam.

Tengku Fazrul Shah seakan-akan baru tersedar dari mimpi panjang. Dia seperti sudah dirasuk iblis. Entah bagaimana dia boleh menampar Fazliatun. Kasihan isterinya yang tidak bersalah itu. Menyesal pula dia atas tindakannya sebentar tadi.

Segera dia menuju ke arah Fazliatun. Tangan isterinya dipegang lembut. Jelas kesal wajahnya.

"Maafkan I, sayang. I betul-betul tak sengaja tampar you. I terlalu ikutkan sangat rasa marah. Im so sorry."

Fazliatun langsung tidak memberikan sebarang respon. Isterinya itu baru sahaja pulih dari penyakit gastrik siang tadi. Kalaulah dia tahu cerita sebenar, pasti dia akan menyesal. Isterinya sakit gara-gara dia. Dan malam ini, sekali lagi isterinya disakiti tanpa rela.

“Tak payahlah encik nak tunjuk baik. Senang-senang aje minta maaf selepas buat salah. Saya sedar diri saya ni siapa bagi encik. Tapi, janganlah buat saya macam ni. Saya bukan patung, yang tak ada hati dan perasaan.” Bergetar suaranya.

Tengku Fazrul Shah terkedu. Dia tidak membalas pertanyaan itu. Biarlah Fazliatun sejuk dahulu. Rasanya tidak elok dia memujuk dalam waktu begini. Salahnya juga kerana bertindak tanpa berfikir panjang.

"JAGA diri baik-baik kat sana. Mak doakan Tun bahagia dengan Fazrul. Kalau ada masa, jangan lupa call mak. Rindu nanti mak kat sini kalau Tun tak ada." Suara Puan Rohaya kedengaran sebak. Ketika itu dia sudah bersiap-siap untuk pergi kerja dengan suaminya.

"Mak janganlah risau. Pandai-pandailah Tun bawa diri kat sana. Mak tu jaga kesihatan sikit. Jangan makan sebarangan. Ada masa nanti Tun balik jugak jenguk mak dan ayah," ucap Fazliatun lembut.

Sedih juga hatinya untuk duduk berjauhan dengan keluarga. Selama dua puluh tahun hidup di atas dunia ini, tidak pernah lagi dia berpisah dari keluarga dalam jangka waktu yang panjang. Kali ini, selepas berkahwin dia akan merasa duduk sendiri tanpa keluarga di sisi.

"Tun nak balik pukul berapa ni?" tanya Encik Ahmad yang sedang duduk di kerusi rotan. Sesekali, matanya memandang jarum yang menghampiri ke pukul 6.40 minit pagi.

"Mungkin lepas pukul sembilan pagi kot. Tun ikut abang aje. Kalau abang nak gerak awal, Tun balik awal," jawabnya lagi.

"Ayah harap Tun bahagia kat sana. Ingat, Tun tu dah ada suami. Apa saja perkara Tun nak buat, mesti minta izin suami. Jangan sesekali Tun lawan cakap suami. Berdosa besar hukumnya. Tun pun dah cukup dewasa untuk faham apa yang ayah bagitahu. Ayah harap Tun ingat cakap ayah ni."

"Baiklah, ayah! Tun faham semua tu."

"Kirim salam ajelah kat Fazrul. Ayah dan mak dah nak pergi kerja ni. Nak tunggu dia bangun, memang tak sempat," ucap Encik Ahmad.
Fazliatun pantas menyalam tangan ayahnya. Kemudian emaknya pula. Pipi emak kesayangannya itu dicium penuh kasih. Hatinya terasa sayu tiba-tiba.

"Mak gerak dulu Tun."

Puan Rohaya dan Encik Ahmad terus berlalu pergi. Fazliatun hanya memandang di muka pintu sehinggalah kelibat orang tuanya hilang dari pandangan.

Fazliatun terus masuk ke dalam. Beg pakaiannya yang sudah siap dikemas diletakkan di ruang tamu. Sejak kejadian semalam, hubungannya dengan Tengku Fazrul Shah mulai dingin. Sampai ke saat ini pun dia masih mengingati peristiwa dia ditampar oleh lelaki itu. Mujurlah tidak nampak sangat kesan tamparan itu di pipi.

Jika tidak, sudah pasti mak dan ayahnya menyedari. Ketika dia bangun pagi tadi, suaminya itu masih tidur di atas lantai. Rupa-rupanya dia tidur sebilik dengan Tengku Fazrul Shah selepas kejadian itu. Akibat terlampau marah, akhirnya dia terlelap sampai ke pagi.

Selepas ini, tak tahulah bagaimana nasib dia. Dahlah jadi isteri sementara, lepas tu jadi pula perkara yang tak dijangka seperti itu. Dia mula rasa menyesal kerana berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah. Gara-gara nak mengejar gaji Rm 10,000 sebulan, dia sanggup buat kerja gila. Kalaulah dia tahu akan jadi seperti ini, tidak ingin dia datang temu duga itu. Nak berpatah balik semula, tidak boleh. Mana dia nak cari duit sebanyak Rm 20,000 sebagai bayaran ganti rugi jika menarik diri sebelum cukup satu tahun kahwin.

Kali ini, dia betul-betul terperangkap dalam jerat yang dia bina sendiri. Nak menyesal pun tidak ada guna lagi. Nasi sudah pun menjadi bubur. Inikah namanya sebuah perkahwinan? Belum cukup sebulan menjadi isteri, Tengku Fazrul Shah sudah berani menaikkan tangan ke mukanya. Selepas ini, entah perkara apa lagi yang akan dibuat oleh suaminya itu.

'Ah, biarlah. Alang-alang dah mandi, biar basah terus. Buang masa aje nak sedih-sedih macam ni. Buat kering air mata aku aje. Lantak dialah nak buat apa pun kat aku. Ada aku kisah? Janji duit aku dia bayar seperti yang tertulis dalam kontrak perjanjian. Kalau tak bayar, siaplah kau!'

Dia akan tetap sabar menunggu. Cukup saja setahun mereka berkahwin, segala
deritanya akan berakhir. Dan tak perlu lagilah dia nak menghadap muka lelaki sewel tu. Dah naik loya dia tengok wajah suaminya setiap hari. Nasib baiklah Tengku Fazrul Shah tidak
mengajaknya honeymoon. Kalau tak, lagi haru jadinya.

Mesti makin banyak ragam dan kerenah suaminya. Dah nama pun bulan madu, mesti akan tidur sebilik. Tak akan nak duduk bilik lain-lain pula. Memang tak naklah dia macam tu. Janganlah bapa mertuanya menyuruh mereka berdua untuk pergi berbulan madu. Risau juga dia memikirkan perkara itu. Dibuatnya Tengku Fazrul Shah bersetuju, lagi haru.

Fazliatun duduk termenung di ruang tamu. Mengenang nasibnya pada hari-hari mendatang. Dia ingatkan selepas berkahwin dengan anak orang kaya, langsung tak ada masalah. Lagipun dia hanya menjadi isteri sementara. Dia beranggapan, mesti tak melibatkan soal hati dan perasaan. Rupa-rupanya ada juga.

Entahlah. Dia sendiri hanya berserah saja pada takdir. Moga-moga nasibnya akan terbela di rumah keluarga Tengku Fazrul Shah. Janganlah ada apa-apa perkara buruk yang akan terjadi.

“ENCIK, bangun!” Fazliatun terpaksa juga mengejutkan suaminya apabila melihat jam sudah hampir ke pukul sembilan pagi.
Tengku Fazrul Shah terpisat-pisat sebelum bangun.

“Dah pukul berapa ni?” soalnya dalam keadaan mamai.

“Sembilan. Encik nak balik sana pukul berapa?|”

“Tengoklah dulu. I nak mandi kejap!”

Tengku Fazrul Shah terus bangkit dan mencapai tuala. Sebelum membuka pintu, dia menoleh ke arah Fazliatun.

“Tolong kemaskan baju I! Lupa pulak nak kemas semalam,” arahnya kemudian.

Sesudah itu, dia terus keluar. Fazliatun menyabarkan hati. Malas nak ingat benda yang dah berlaku. Buat sakit hati saja. Tangannya mencapai baju dan seluar suaminya yang digantung dalam almari. Pantas sahaja dia melipatnya lalu dimasukkan ke beg.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience