Bab 11

Romance Series 37317

FAZLIATUN melangkah ke pintu lif selepas Tengku Fazrul Shah menghantarnya pulang. Pengalaman hari ini memang cukup mendebarkan. Ada bermacam-macam rasa. Pada awalnya, dia menjangkakan kehadirannya akan diterima baik oleh Tengku Arianis. Namun sebaliknya pula yang berlaku.

Entah apalah salahnya sampaikan wanita itu benci sangat pada dirinya. Apakah kerana dia anak orang miskin, maka layanan yang diberikan harus begitu? Perlukah ada jurang antara pangkat dan keturunan seseorang dalam menentukan jodoh? Fazliatun mengeluh.

Apabila pintu lif berhenti di tingkat empat, dia terus melangkah ke luar. Kali ini, urusan dengan keluarga Tengku Fazrul Shah sudah selesai. Biarpun Tengku Arianis tidak bersetuju dan membantah cadangan anaknya untuk berkahwin, namun wanita itu tidak boleh berbuat apa kerana suaminya sudah bersetuju. Sudah pasti pihak mereka akan menghantar rombongan meminang tidak lama lagi.

Fazliatun segera menuju ke rumahnya. Ketika dia sampai, pintu sudah terbuka. Selepas mengucapkan salam, dia masuk. Kelihatan, Encik Ahmad dan Puan Rohaya sudah menunggu di ruang tamu.

"Tun minta maaf sebab lewat balik ke rumah. Lepas jumpa..."

Belum sempat Fazliatun meneruskan kata, Encik Ahmad sudah mencelah.

"Kau pergi mana, Tun?" tanya Encik Ahmad sedikit nyaring. Wajahnya nampak serius sahaja.

Jantung Fazliatun berdegup kencang. Mendengar suara ayahnya yang meninggi seperti itu, dia dapat merasakan ada perkara yang tidak kena.

"Tun...Tun jumpa..."

Tak sampai habis ayatnya, tiba-tiba tangan kasar Encik Ahmad singgah ke pipi gebunya. Terkejut Fazliatun dengan reaksi ayahnya.

"Anak tak tahu untung! Dari kecil aku tatang kau bagai minyak yang penuh, begini balasan kau pada aku, ya! Kau nak kahwin pun senyap-senyap tak bagitahu aku. Aku tak akan izinkan kau kahwin dengan anak orang kaya tu. Apa nak jadi, jadilah. Aku tak peduli."

Encik Ahmad sudah membuat keputusan. Akibat terlalu marah, dia telah menampar Fazliatun tanpa sempat anaknya itu menerangkan apa sebenarnya yang berlaku. Dia bagaikan sudah dirasuk syaitan. Penampilan Fazliatun dilihatnya atas dan bawah. Lain benar pemakaian anak gadisnya itu. Dari mana dia dapat duit beli baju mahal begitu?

"Mengucap, bang! Jangan ikutkan sangat perasaan tu! Tak ada perkara dalam dunia ni yang tak boleh dibawa berbincang. Kalau abang tak setuju pun, bukan ini caranya nak ajar anak," ucap Puan Rohaya memujuk suaminya.

"Awak jangan masuk campur, Yah! Ni urusan abang dengan Tun. Budak ni memang dah melampau! Biar abang ajar dia!"

Encik Ahmad mencapai tali pinggang yang tersangkut di belakang pintu lalu menuju ke arah Fazliatun. Fazliatun sudah berpeluh-peluh kerana terlampau takut.

"Ampunkan Tun, ayah! Tun tak ada niat pun nak sorokkan perkara ni dari pengetahuan ayah. Ayah dengar dulu penjelasan Tun."

"Tak payah kau nak terangkan kat aku. Kau dah kemaruk sangat kan nak kahwin dengan anak orang kaya. Baju tu mana kau dapat, hah? Muka pun dah lain aku tengok. Sejak bila kau pandai mekap-mekap ni?

Aku tak sangka betul perangai kau macam ni. Mentang-mentanglah ayah kau ni orang miskin, sebab tu kau cari orang kaya sebab tak nak hidup susah macam aku. Apa nak jadi dengan kau ni, Tun? Cakap Tun...cakap!"

"Tak, ayah! Bukan macam tu!" Fazliatun menggeleng, menidakkan segala tohmahan yang dilemparkan padanya. Sampai hati ayah berkata begitu.

Puan Rohaya sudah tidak tahu untuk berbuat apa. Keras betul hati suaminya. Tidak pernah Encik Ahmad berkelakuan seperti itu. Sebelum ini dia pernah juga marah, tetapi tidaklah seteruk ini. Puan Rohaya begitu cemas. Dia takut jika suaminya bertindak di luar kawalan.

"Habis tu kenapa kau nak kahwin dengan dia?" soalnya lagi.

"Tun memang dah sayangkan dia, ayah! Salah ke kalau Tun kahwin dengan anak orang kaya?"

"Memang salah sebab tak ikut adat. Kenapa keluarga dia tak datang merisik? Apa, dia ingat anak aku ni tak ada mak bapak sampai suka-suka hati nak buat keputusan." Suara Encik Ahmad mengendur sedikit berbanding tadi. Dia sudah duduk di kerusi untuk menenangkan diri.

Fazliatun senyap. Dia tahu, tindakannya untuk berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah memang salah. Kerana mengejar duit sepuluh ribu ringgit, dia sanggup mempertaruhkan diri sampai begitu sekali. Wajar sajalah ayahnya marah. Sebagai ayah, barangkali Encik Ahmad terasa hati apabila dirinya tidak diberitahu akan berita perkahwinan mereka berdua seolah-olah mengenepikan haknya.

"Kalau betul dia anak jantan, suruh dia datang jumpa aku! Aku nak ajar dia biar jadi lelaki!" Akhirnya Encik Ahmad meletakkan jawapan tanpa syarat.

Puan Rohaya tersenyum memandang Fazliatun. Dalam marah-marah suaminya, ada juga lembut di dalam. Syukurlah!

"Nanti Tun bagitahu dia!" Fazliatun datang menghampiri Encik Ahmad lantas mengucup tangan ayahnya.

"Maafkan Tun, ayah! Tun berdosa pada ayah!" ucapnya sayu.

Encik Ahmad tidak memandang Fazliatun. Hatinya masih sakit atas perbuatan anaknya. Dia terus masuk ke bilik tanpa mempedulikan rayuan Fazliatun.

"Biarkan ayah sejuk dulu! Tun jangan paksa dia!" pesan Puan Rohaya pula.

Dia cukup faham dengan perangai suaminya. Kalau kena dengan cara, pasti Encik Ahmad bersetuju.

"Tun risau mak kalau ayah tak setuju. Keluarga Fazrul dah setuju nak melamar Tun tak lama lagi," ucap Fazliatun perlahan. Begitulah kata-kata Tengku Marzuki tadi petang. Baik sungguh orang tua itu. Tengku Marzuki melayannya bagaikan anak sendiri. Cuma dia tidak tahu bila pihak Tengku Fazrul Shah ingin menghantar rombongan meminangnya.

"Doalah banyak-banyak agar hati ayah lembut. Biasalah tu, dia tengah marah memang ambil masa sikit. Lambat-laun, sejuk juga hati dia. Tun telefonlah Fazrul cepat-cepat. Suruh dia datang jumpa ayah. Tak pun, hantar wakil ke rumah kita. Mak yakin, ayah akan setuju, " usul Puan Rohaya lagi.

"Baiklah, mak. Esok Tun call dia. Terima kasih sebab mak sokong Tun. Sayang mak."

Dia memeluk Puan Rohaya dengan perasaan terharu. Dalam saat-saat getir begini, emaknya masih sudi menyebelahinya walaupun terpaksa memilih antara anak dan suami. Pengorbanan emaknya terlalu bernilai dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

Malam itu Fazliatun tidur dengan hati yang gelisah. Selagi ayahnya tidak memberi izin untuk dia berkahwin, selagi itu perasaannya tidak akan tenang. Janji sudah pun dibuat dengan Tengku Fazrul Shah. Mana mungkin dia akan menarik diri pada saat-saat akhir. Hanya surat perjanjian saja yang belum ditandatangani.

Menurut Tengku Fazrul Shah, surat perjanjian itu hanya akan dibuat setelah kata sepakat dicapai. Apabila tarikh perkahwinan sudah ditetapkan, barulah surat itu ditandatangani.

SAYA ada benda penting nak cakap dengan encik, ujar Fazliatun pada keesokan hari.

"Apa dia?" soal Tengku Fazrul Shah sambil menatap komputer riba. Tekun sungguh dia dengan tugasnya.

"Ayah saya tak bagi kita kahwin."

“What? Terkejut Tengku Fazrul Shah. Fokusnya tiba-tiba hilang sebaik mendengar kata-kata Fazliatun.

"I dah silap dengar ke ni?"

"Tak, encik. Apa yang saya cakapkan tadi tu betul."

"Kenapa pula ayah you tak setuju? You cakap apa aje?"

"Dengar dulu penjelasan saya. Sebenarnya, ayah suruh encik datang jumpa dia kat rumah. Dia marahkan saya sebab tak bagitahu dia awal-awal. Saya takut kalau ayah tak setuju. Kalau encik betul-betul nak kahwin dengan saya, tolonglah datang jumpa ayah saya. Ini untuk kebaikan kita berdua."

"Kalau ayah you dah cakap macam tu, terpaksa jugalah I datang. Nanti I tengok macam mana, ya. I akan bincang dengan family I. You ada masalah tak jika keluarga I masuk meminang dalam minggu ni?" Tengku Fazrul Shah membuat keputusan.

"Saya tak kisah. Keluarga encik nak datang bila?"

"Mungkin hari sabtu atau ahad ni."

"Lagi elok. Saya harap ayah setuju. Cuma nilah saja cara untuk pujuk ayah. Moga-moga, hati ayah akan lembut nanti."

"I harap pun begitu juga."

Dalam sesaat dua, tiada bicara yang terluah antara mereka berdua. Tengku Fazrul Shah tersenyum. Terbayang-bayang pula muka Fazliatun semasa bertemu semalam. Terlalu manis dan ayu. Dia agak yakin dengan pilihannya kali ini. Janganlah tersilap lagi seperti suatu masa dahulu. Tak ingin dia membuat kesilapan untuk kedua kali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience