Bab 5

Romance Series 37317

YOU ada kat mana sekarang ni?" tanya Tengku Fazrul Shah sebaik sahaja Fazliatun menjawab panggilannya pada waktu makan tengah hari. Ketika itu dia sedang berada di luar.

"Saya ada kat rumah ni. Baru habis masak, encik!" jawab Fazliatun sedikit terkejut. Entah mimpi apa mamat poyo itu menelefonnya. Bagi salam pun tak, main terjah aje. Memang tak ada adab sopan langsung.

"I nak jumpa you pukul satu nanti."

"Nak jumpa saya buat apa?" Fazliatun tercengang.

"I ada perkara penting nak bincang dengan you. Ni pasal perjanjian yang I bagitahu masa temu duga hari tu. You ingat lagi kan?"

Fazliatun mengangguk.

"Sekarang ni you smskan adress you. Lagi setengah jam I ambil you!"

Klik!

Belum pun sempat Fazliatun menjawab, tiba-tiba talian dimatikan. Berubah terus wajahnya saat itu.

‘Kurang asam punya mamat! Aku tak habis cakap lagi, dia dah matikan telefon. Memang tak ada adab sopan langsung dia ni tau! Boleh pulak nak ambil aku lagi setengah jam. Dia ingat, aku ni robot terus nak siap. Ish, sakit hatilah macam ni!'

Fazliatun mengetap gigi tanda geram. Dahlah dia baru saja siap memasak. Makan pun belum lagi. Susah betul kalau berurusan dengan anak orang kaya ni. Semuanya nak kena cepat.

Beberapa saat kemudian, dia menaip sesuatu pada telefon bimbitnya dan dihantarkan kepada Tengku Fazrul Shah.
Blok J, Flat Bandar Baru Sentul. (Nanti saya tunggu kat bawah)

Fazliatun memandang jam dinding. Sudah menghampiri ke pukul 12.15 tengah hari. Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke bilik untuk menukar pakaian. Dia mengaru-garu kepalanya.

'Baju apa aku nak pakai ni? Asyik baju kurung aje! Dah naik bosan.'

Mulutnya terus sahaja membebel tanpa henti. Dia membuka almari pakaian yang diletakkan bersebelahan dengan meja solek. Baju apa sangatlah yang dia ada selain daripada baju kurung dan tshirt lengan panjang. Seluar jeans pun tak ada sebab dia memang tak suka pakai seluar ketat-ketat. Tudung pula semuanya fesyen labuh macam ustazah. Sejak sekolah menengah lagi, memang begitu corak penampilannya.

'Ala bedal ajelah! Janji pakai baju. Asalkan tutup aurat, okeylah. Bukan nak jumpa perdana menteri pun nak pakai lawa-lawa.'

Fazliatun terus menyarung baju kurung bercorak bunga-bunga kecil. Baju kurung itu tidaklah terlalu ketat. Sesuai dengan bentuk tubuhnya yang comel. Kemudian, dia mencapai tudung berwarna pink cair. Nampak padan apabila dia memakainya. Dia memerhatikan wajahnya di cermin sambil membetulkan tudung yang kelihatan agak senget.

Meja soleknya terlalu ringkas. Tidak ada sebarang alat mekap yang diletakkan di situ melainkan bedak pixy. Hanya bedak itulah menjadi penghias wajahnya.

Tempoh hari semasa datang temu duga, dia terlupa untuk memakainya. Patutlah Tengku Fazrul Shah cakap mukanya tak cantik. Mentang-mentanglah perempuan yang datang hari tu cantik-cantik dan seksi, muka dia yang jelita ini dikatakan tak lawa. Memang buta mata hati.

Fazliatun membelek lagi wajah di cermin lalu mencapai bedak pixy. Tertera perkataan yellow beige pada bedak itu. Tanpa banyak bicara, dia terus menyapukannya ke wajah.

'Alamak, tebal sangat ke aku pakai?'

Dia menatap cermin agak lama. Jika ikutkan, mekap sederhana begitu pun dikatakannya tebal. Dia memang tak suka sangat bermekap. Rimas. Kalau tak mekap, nanti nampak pucat pula wajahnya. Kadang-kadang dia pun pelik kenapa dia tidak seperti gadis di luar sana yang suka melaram dan pakai baju cantik-cantik. Semuanya nak kelihatan cantik dan menawan. Mungkin lain orang, lain perangai. Begitu congaknya dalam hati.

Selepas siap berdandan, dia terus turun ke bawah. Dalam hatinya, tertanya-tanya juga tentang tujuan Tengku Fazrul Shah mahu bertemu dengannya hari ini. Ada benda penting sangat ke dia nak jumpa aku? Jangan tak jadi sudahlah. Risau pulak hati aku ni. Moga-moga tak ada apa-apa berita buruk.’

Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya muncul sebuah kereta BMW di sebelahnya. Terkebil-kebil mata Fazliatun memandang kereta mewah itu. Kemudian, cermin kereta dibuka dari dalam. Kelihatan Tengku Fazrul Shah sedang tersenyum memandangnya. Lelaki itu nampak segak memakai kemeja lengan panjang dan bertali leher. Terserlah sekali ketampanannya.

"Masuklah! Yang you terkebil-kebil macam burung unta sakit mata tu, kenapa?"
Tengku Fazrul Shah bersuara sedikit nyaring. Gadis yang masih kaku di sebelah keretanya itu dipandang lagi.

‘Perempuan ni memang tak ada baju lain ke nak pakai? Hari tu pakai baju kurung dengan tudung labuh. Hari ni pun pakai baju yang lebih kurang sama aje. Cuma tudung saja nampak cantik berbanding tudung masa tu. Memang ketinggalan zaman.’

"Kita nak pergi ke mana ni, Encik?" soal Fazliatun ketika kereta yang dipandu
oleh pemuda itu meninggalkan Flat Sentul.

Tengku Fazrul Shah hanya diam. Dia fokus pada pemanduannya. Fazliatun tidak berani bersuara apabila melihat wajah lelaki itu serius. Akhirnya, mereka berdua hanya senyap tanpa suara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience