Bab 3

Romance Series 37317

SINARAN mentari pagi menerjah masuk melalui lubang tingkap yang sedikit terdedah sehingga mengganggu lena Fazliatun. Selepas menunaikan solat subuh awal pagi tadi, dia terlajak tidur sampai tak sedar hari sudah siang. Kalaulah dia bekerja seperti orang lain, sudah tentu rekod kedatangannya selalu 'merah'. Hampir setahun juga dia menjadi penanam anggur terhormat.

Selama itu juga, masanya banyak dihabiskan di rumah. Bukanlah hanya goyang kaki, makan dan tidur tanpa berbuat apa-apa aktiviti. Kadang-kadang, dia membuat sarapan pagi dan menyediakan hidangan makan tengah hari jika emaknya bekerja. Kalau dia tak buat, siapa lagi yang boleh diharapkan.
Mujurlah hari ini, hari selasa. Emaknya tidak bekerja dan seperti biasa, emaknya yang akan melakukan rutin harian itu.

"Awal benar kau bangun hari ni, Tun? Nak dekat pukul sembilan baru nampak batang hidung. Anak dara apalah bangun lambat macam ni! Esok, kalau dah kahwin, memang larilah laki."

Baru saja hendak menjejakkan kaki ke dapur, telinga Fazliatun sudah mendengar emaknya membebel.

'Mak ni kalau dah membebel, tak pandang kiri kanan langsung. Main tembak aje. Mak...mak. Fazliatun menggeleng.

"Alah mak ni, macam tak biasa pulak. Hari ni kan hari selasa. Hari cuti untuk Tun," jawabnya ringkas sambil tersengih-sengih.

"Banyaklah kau punya cuti. Bila masa pulak kau tu dah kerja?" Puan Rohaya memandang muka selamba anak gadisnya yang kini duduk di meja makan.

Masuk saja ke dapur, dia sudah menghidu bau nasi lemak. Puan Rohaya memang rajin membuat sarapan pagi jika tidak bekerja. Dulu semasa belum kerja, hampir setiap hari emaknya membuat sarapan.

"Nanti ada rezeki Tun kerjalah, mak. Bukannya Tun tak minta kerja langsung. Masuk ni, dah lima kali Tun pergi temu duga. Cuma rezeki tu aje belum ada."

Fazliatun mencedok nasi lemak ke dalam pinggan sebelum menuang air milo yang masih panas ke gelas. Berselera sungguh dia makan.

"Mak dah sarapan, belum?"

"Dah sarapan tadi dengan ayah. Cuma kau aje belum sarapan."

"Ayah pergi ke mana, mak?" soalnya lagi setelah mendapati ayahnya tidak ada di rumah. Biasanya setiap hari selasa pada minggu kedua begini ayahnya tidak bekerja.

"Dia pergi jumpa dengan Pak Mior. Nak jelaskan hutang yang belum habis bayar lagi tu. Kesian mak tengok ayah. Kerja macam nak gila, duit tak banyak-banyak juga. Dapat gaji nanti, nak bayar hutang tu, bayar hutang ni, bayar sewa rumah ni lagi. Tu belum tolak duit belanja dapur. Berapa sangatlah gaji yang tinggal? Kalau mak tak kerja, nak makan apa kita anak-beranak? Pening kepala mak ni fikir, Tun."

Puan Rohaya memegang kepalanya. Rungsing fikirannya mengenangkan belanja dapur yang semakin mahal ditambah dengan belanja sekolah anak-anak. Celik mata saja, semuanya nak pakai duit. Kalau duduk goyang kaki, duit boleh jatuh dari langit, memang senang tak payah kerja. Duduk saja di rumah mengharap duit jatuh ke riba. Manusia pun akan menjadi malas dan cepat datang penyakit.

"Tun faham mak. Mak janganlah risau sangat. Nanti Tun dah kerja, bolehlah bantu mak dan ayah. Mak sabar sikit, ya!"

Fazliatun mengelap mulut dengan sapu tangan kecil. Dia memandang lama wajah emaknya. Ada garis-garis halus di wajah tua itu. Dalam usia mencecah 45 tahun pun, emaknya terpaksa bekerja demi mencari mencari sesuap nasi. Jika tak bekerja, manalah cukup nak menampung hidup mereka tujuh beranak.

Sebagai anak sulung, dia malu. Malu kerana tidak dapat membantu meringankan beban keluarga.
Mudah-mudahan permohonannya untuk menjadi isteri Tengku Fazrul Shah dimakbulkan oleh Allah. Hanya dengan cara itu dia dapat membantu keluarga. Dia kasihan pada ayah dan emaknya. Jika boleh, dia mahu meringankan beban mereka. Fazliatun risau juga.

Biarpun lelaki itu sudah bersetuju menerimanya sebagai isteri sementara, namun siapa tahu hati Tengku Fazrul Shah boleh berubah-ubah. Hari ini kata lain, esok cakap lain pula. Bukan boleh percaya sangat mamat sewel tu.

Dalam masa yang sama, Fazliatun berdebar-debar juga untuk mengkhabarkan perkara itu kepada Puan Rohaya dan Encik Ahmad. Apa yang dia nak cakap andai pihak lelaki datang ke rumah untuk merisik nanti? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba nak berkahwin. Mesti Puan Rohaya tidak bersetuju.

'Umur baru setahun jagung, ada hati nak jadi isteri orang. Masak ikan pun kadang-kadang hangit, macam mana nak masak untuk suami nanti? Hai, Tun, Tun!'

Fazliatun ketawa kecil saat membayangkan kata-kata emaknya jika dia menyuarakan hasrat untuk berkahwin dalam usia semuda ini. Paling tidak, emaknya akan menolak lamaran itu memandangkan usianya yang masih mentah. Kalau emaknya tidak setuju, apalagi ayahnya. Mesti Encik Ahmad akan menolak pinangan dari keluarga Tengku Fazrul Shah. Tidak dapat dia membayangkan perkara itu.

Usai makan, Fazliatun membantu Puan Rohaya di dapur. Kasihan pula dia melihat emaknya melakukan kerja seorang diri. Dia membasuh pinggan di singki manakala Puan Rohaya memotong sayur dan bawang. Sekejap lagi, Encik Ahmad pasti pulang. Suaminya itu suka makan lauk panas-panas. Sebab itu, awal-awal lagi dia sudah menyiapkan bahan-bahan untuk memasak. Balik sahaja suaminya, dia akan terus masak.

"Mak, kalau Tun tanya, mak marah tak?" Tiba-tiba Fazliatun bersuara ketika emaknya sedang menyiang ikan bilis.

Puan Rohaya tidak jadi menyiang. Dia segera menoleh ke arah Fazliatun.

"Tanya apa pulak ni?" Dahinya berkerut.
Fazliatun seperti takut-takut untuk membuka mulut. Bimbang jika emaknya marah.

"Dulu masa mak kahwin dengan ayah, umur mak berapa, ya?" soalnya lagi.
'Alamak! Mesti mak marah ni! Masak aku!' Fazliatun melihat muka emaknya sudah tegang.

"Astaghfirullahalazim, budak bertuah ni! Dah tak ada soalan lain lagi ke yang kau nak tanya ni? Dah buang tabiat agaknya budak ni." Puan Rohaya menggeleng ketika mendengar soalan anak gadisnya itu. Pelik dia melihat tingkah Fazliatun. Tak pernah pula anaknya bertanyakan soalan aneh begitu sebelum ini.

"Mak janganlah marah! Tun tanya aje. Tu pun tak boleh. Tak elok tau marah-marah. Nanti leher mak tu berkedut baru tahu, usiknya lalu ketawa.

Puan Rohaya yang tadinya serius akhirnya tersengih apabila Fazliatun bergurau. Pandai benar anaknya itu mengambil hatinya.

"Biarlah berkedut asalkan ayah tetap sayangkan mak. Tu pun dah kira cukup bagi mak."

Puan Rohaya tersenyum sendiri. Kenangan lama tiba-tiba terimbau semula di ingatan. Dia masih ingat lagi saat pertama kali bertentang mata dengan Encik Ahmad kira-kira 25 tahun yang lalu. Ketika itu, usianya baru menjangkau 20 tahun. Lebih kurang sebaya dengan Fazliatun. Sampai kini, memori itu masih terakam kemas di mindanya.

"Mak ni Tun tanya tak jawab lagi. Suka sangat berahsia dengan anak sendiri."

"Tak adanya rahsia, Tun. Mak bukan tak nak cerita, cuma mak malu."

"Lah, kenapa pulak nak malu? Ada cerita lucu ke masa mak kenal dengan ayah dulu?"

"Tak adalah lucu. Yalah, mak ni kan dah tua. Malas nak ingat benda yang dah lepas ni. Banyak sangat kenangan pahit dan manis masa nak besarkan kau orang adik-beradik."

"Umur mak berapa masa tu?" Fazliatun bertanya lagi buat kali kedua.

"Mak kahwin dengan ayah masa umur mak 22 tahun. Tapi, mak lambat mengandung. Nak dekat tiga tahun baru ada isi. Mujurlah ada rezeki. Risau jugak hati mak ni. Nasib baik ayah boleh sabar."

Bersemangat sekali Puan Rohaya bercerita perihal perkahwinannya dengan Encik Ahmad. Kasihnya pada suaminya sentiasa mekar dari dulu sampai ke hari ini. Selepas melahirkan Fazliatun, dia dikurniakan lagi empat orang cahaya mata. Kesemuanya lelaki.

"Muda juga mak kahwin. Sama jugaklah macam Tun. Kalau Tun ada jodoh dalam masa terdekat ni, apa kata mak dan ayah? Mak benarkan Tun kahwin tak?" Fazliatun memberanikan diri berkata begitu. Dia perlu berterus-terang agar emaknya tidak menaruh syakwasangka.

"Apa yang Tun nak cakapkan sebenarnya ni? Lain macam saja mak dengar!"
Puan Rohaya bangkit dari duduk sebelum menghampiri ke arah Fazliatun yang sedang berdiri di pintu dapur.

"Mak, sebenarnya Tun nak kahwin!" Akhirnya Fazliatun terpaksa berterus-terang. Berdebar-debar juga jantungnya saat melafazkan ayat itu.

Terkejut Puan Rohaya mendengar pengakuan Fazliatun.

"Mak tak salah dengar ke ni?" soalnya inginkan kepastian.

"Tun cakap perkara yang betul mak. Tun nak minta izin mak dan ayah supaya merestui perkahwinan Tun dengan Tengku Fazrul Shah. Kami akan bernikah pada bulan April nanti."

"Kenapa cepat sangat nak nikah? Sebelum ni, Tun tak pernah bercinta pun dengan mana-mana lelaki. Tun jangan buat benda bukan-bukan kat belakang mak. Malu nanti kalau jiran-jiran mengata. Mana mak nak letak muka ni, Tun?"

Puan Rohaya sudah tidak senang duduk. Risau hatinya memikirkan pengakuan Fazliatun. Dia tahu, anak gadisnya itu tidak pandai berbohong. Jika hitam katanya, hitamlah. Tapi, kenapa dia perlu menikah secepat itu? Bermacam-macam andaian buruk sedang bermain di mindanya saat ini.

"Mak janganlah fikir yang bukan-bukan pulak! Tun nak kahwin cepat ni bukan sebab kami terlanjur, tapi Tun memang sayangkan dia. Keluarga dia pun dah bagi restu. Sebenarnya, kami dah lama kenal. Dah hampir lima tahun kami berkawan. Sengaja Tun tak bagitahu mak, takut mak marah."

Fazliatun terpaksa berbohong. Dia sudah tidak ada cara lain lagi untuk memujuk emaknya. Niatnya ikhlas untuk membantu keluarga. Dia berfikir, apabila dia berkahwin dengan lelaki itu, hidup mereka anak-beranak bakal berubah. Dengan duit gaji yang dia dapat setiap bulan, boleh juga menampung keperluan hidup mereka.

"Kalau macam tu, baguslah. Lega sikit hati mak ni dengar."

"Mak tak marah ke?"

"Nak marah buat apa pula? Bukannya anak mak nak buat dosa. Tun kan nak dirikan masjid dan buat benda baik yang disuruh oleh Allah. Mak manalah yang tak suka kalau anak perempuan dia nak kahwin. Rasa lepas tanggungjawab mak ni jika ada lelaki yang sudi jaga makan minum Tun."

"Tapi, ayah tak tahu lagi. Macam mana?"

"Tun tak perlu risau. Soal ayah, Tun serah aje pada mak. Pandailah mak nak pujuk dia. Ayah kau tu memang seorang yang tegas, tapi hati dia baik. Mak cukup kenal dengan suami mak. Nanti mak pujuk ayah."

Fazliatun menarik nafas lega. Lapang sungguh hatinya setelah emaknya merestui perkahwinannya dengan Tengku Fazrul Shah.

"Terima kasih, mak!" Dia terus memeluk erat Puan Rohaya. Menitis air matanya di pipi. Bukan niatnya untuk menipu, tetapi dia benar-benar terdesak. Kalaulah emaknya tahu pasal perjanjian yang dia buat dengan Tengku Fazrul Shah, sudah pasti emaknya akan membantah.

'Maafkan Tun, mak! Tun terpaksa,' rayunya dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience