Bab 12

Romance Series 37317

ROMBONGAN pihak lelaki sedang menuju ke rumah Fazliatun selepas waktu asar. Beberapa orang kaum kerabat Tengku Fazrul Shah hadir sebagai wakil untuk merisik gadis itu. Tengku Arianis turut pergi biarpun dia tidak menyukai Fazliatun. Mukanya kelat sahaja. Dia tidak punya pilihan lain setelah Tengku Marzuki membuat keputusan.

"Kami datang dari jauh ni ada bawa hajat besar! Datang bukan sekadar datang. Datang kerana hendak menyunting bunga yang sedang berkembang di taman larangan sebelum dipetik oleh kumbang liar, " kata Tengku Marzuki sekadar berbahasa.

Encik Ahmad sudah mati akal. Kedatangan mengejut pihak lelaki itu memang tidak diduganya sama sekali. Baru seminggu lepas dia menerima berita anaknya akan berkahwin. Tup tup petang ini, dia dikejutkan sekali lagi dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu.

"Saya tak boleh nak buat keputusan dalam hal ni. Biar empunya badan sendiri yang jawab. Yah, pergi panggilkan Tun ke sini kejap!" arahnya kepada Puan Rohaya.

Fazliatun yang sedari tadi mendengar perbualan mereka terus keluar apabila ayahnya memanggil. Puan Rohaya tidak jadi melangkah. Dia duduk semula di sebelah Encik Ahmad. Fazliatun nampak sopan memakai baju kurung.

"Tun, ayah nak tanya kau ni! Rombongan pihak lelaki ni datang nak meminang kau. Apa kata kau?" soal Encik Ahmad lembut.

Fazliatun seolah-olah tidak percaya melihat perubahan sikap ayahnya. Pada mulanya tadi, dia agak khuatir jika ayahnya bertindak menghalau rombongan pihak lelaki itu. Mujurlah ayahnya tidak berbuat begitu. Risau juga hatinya.

Fazliatun tunduk sahaja ke bawah. Mukanya merona merah. Nak kata setuju nanti, apa pula kata ayahnya. Malu dia hendak menyatakan persetujuan. Semua mata yang ada di situ memandang wajahnya. Cuak juga dia.

"Biasanya orang-orang tua selalu cakap, kalau diam tu tanda setujulah tu. Betul tak, Tengku!" ucap Encik Ahmad seraya tersenyum lebar. Lega hati Puan Rohaya mendengar kata-kata suaminya.

"Alhamdulillah!" Tengku Marzuki dan keluarganya yang lain turut gembira kerana pihak perempuan bersetuju.

"Anis, apa yang awak tunggu lagi tu? Cepatlah sarungkan 'cincin tanda' tu kat jari Fazliatun!" ujar Tengku Marzuki kepada isterinya yang kelihatan masam sejak tadi.

Tengku Arianis sempat lagi menjeling Fazliatun sebelum menyarungkan cincin belah rotan itu ke jari manis bakal menantunya.

"Terima kasih Tun sebab sudi terima Rul! Pak cik gembira sangat!" ucap Tengku Marzuki lagi. Sejuk hatinya melihat Fazliatun. Beruntung sungguh Tengku Fazrul Shah memiliki gadis sebaik itu.

"Kalau boleh saya tahu, bila pihak lelaki nak langsungkan majlis pertunangan?" tanya Encik Ahmad ingin kepastian.

"Selewat-lewatnya sebulan dari sekarang. Benda baik macam ni tak elok kita lambat-lambatkan. Rul cakap nak bertunang tak lama. Selepas sebulan bertunang, terus nak buat kerja kahwin. Apa kata Encik Ahmad dan isteri?"

Encik Ahmad sedikit terkejut mendengar bicara Tengku Marzuki. Dia memandang Puan Rohaya.

"Sebentar ya, Tengku!"

Encik Ahmad terus menarik tangan isterinya masuk ke dalam bilik. Dalam hal seperti ini, dia perlu berbincang dengan isterinya. Soal kahwin ini bukan boleh dipandang remeh. Ada banyak benda perlu difikirkan. Dalam keadaan begini, kewangan mereka tidak berapa kukuh.

"Apa pendapat awak, Yah!"

"Saya ikut aje cakap abang! Saya tak kisah, asalkan Tun kahwin." Begitu pendapat isterinya.

"Abang pun fikir macam tu juga. Cuma, masalahnya sekarang ni kita mana ada banyak duit nak buat majlis kahwin Tun tu! Mana kita nak cekau duit, Yah! Bukan sikit duit nak buat majlis kahwin ni," ucap Encik Ahmad perlahan.

Encik Ahmad memang tidak ada bantahan jika Fazliatun mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini. Walaupun dia tidak bersetuju pada awalnya, namun setelah pihak lelaki datang secara beradat ke rumahnya tadi, hatinya tiba-tiba menjadi sejuk dan lembut. Apa guna ikutkan keras kepala jika anaknya ingin membuat perkara baik. Sebagai ayah, dia hanya ingin melihat kebahagiaan Fazliatun. Itu sahaja impiannya sebelum tutup mata.

Keluarga Tengku Marzuki dilihatnya berasal dari keturunan baik-baik dan berbudi bahasa. Cuma dia yang tersilap menilai. Cepat sangat meletakkan hukuman tanpa melihat dahulu.

"Kalau soal duit, abang tak perlu risau! Demi Tun, Yah sanggup pinjam duit dari adik-beradik Yah asalkan Tun boleh kahwin."

"Tak payah, Yah! Abang tak setuju! Hutang kita yang ada tu pun belum habis bayar. Jangan cari penyakit!" Encik Ahmad tidak bersetuju.

Setelah hampir lima minit berbincang, akhirnya mereka suami isteri keluar dari bilik.

"Maafkan saya Tengku sebab buatkan Tengku menunggu lama!"

"Tak payahlah nak bertengku-tengku sangat Encik Ahmad. Panggil aja saya, Abang Zuki! Kan lebih mesra bunyinya tu." Tengku Marzuki tersenyum.

Serba salah pula Encik Ahmad hendak menerangkan perkara sebenar. Risau andai kata-katanya disalahtafsirkan.

"Sebenarnya bang, saya rasa nak minta tangguhkan dulu majlis pertunangan anak saya ni. Saya ada masalah duit sikit sekarang. Apa kata kalau mereka bertunang dua bulan lagi?"

Tengku Marzuki terdiam sebentar.

"Tentang masalah duit Encik Ahmad jangan risau. Saya tahu encik bukan orang senang. Ni ada duit sikit untuk encik sekeluarga. Saguhati dari saya."

Dia menyerahkan sampul berisi duit itu kepada Encik Ahmad. Memang dari rumah lagi, dia sudah berniat untuk memberikan saguhati itu sebagai ucapan terima kasih andai pihak perempuan menerima lamaran mereka.

Encik Ahmad berasa segan untuk menerima saguhati itu. Serba salah dia jadinya. Setelah dipujuk beberapa kali, akhirnya dia mengambil sampul tersebut dengan hati gembira.

Tengku Arianis sudah membuat muka menyampah. Baru datang merisik, dah sibuk bagi orang duit. Memang dasar orang miskin! Tak ada kerja lain daripada nak mengikis harta orang kaya. Ni baru sikit, esok lusa entah apa lagi agaknya yang akan diberikan oleh suaminya kepada keluarga miskin itu. Meluat dia melihatnya.

SELEPAS rombongan pihak lelaki itu pulang, Encik Ahmad terus mencapai sampul berisi duit itu. Teruja juga dia untuk melihat berapa ratus duit yang Tengku Marzuki beri pada mereka sekeluarga. Sebaik membuka sampul itu, mulut Encik Ahmad terus ternganga.

"Kenapa, bang?" soal isterinya pelik.
"Awak tengoklah duit dalam sampul ni, Yah! Banyaknya Tengku bagi."

Encik Ahmad mengeluarkan duit tebal itu dari sampul. Terkejut Puan Rohaya melihat duit sebanyak itu. Fazliatun yang berada di sebelahnya turut terkejut. Semuanya duit Rm 100.

"Biar betul Tengku ni!" Encik Ahmad mengira duit itu satu per satu. Dia seakan tidak percaya sesudah selesai mengira.

"Berapa, ayah?" tanya Fazliatun.

"Rm 6,000," jawab Encik Ahmad.

"Banyaknya."

"Alhamdulillah, bang! Rezeki anak-anak." Puan Rohaya bersyukur kepada Allah atas rezeki yang Dia beri untuk mereka anak-beranak. Siapa sangka, setiap perkara yang berlaku itu rupa-rupanya ada hikmah.

"Terima kasih, Ya Allah!" ucap Encik Ahmad gembira lalu sujud di atas lantai. Segala bebanan hutang yang dia tanggung selama ini sudah ada jalan keluarnya. Terasa ringan kepalanya saat ini.

"Maafkan ayah Tun sebab tampar muka Tun hari tu. Kesian anak ayah! Ayah terlalu ikutkan sangat perasaan marah. Tak patut ayah buat Tun macam tu." Encik Ahmad menyesal pula atas tindakannya mengasari Fazliatun kelmarin. Tanpa usul periksa, dia terus menghukum anaknya.
Fazliatun hanya tersenyum. Wajah ayahnya dipandang penuh kasih.

"Ayah tak salah pun. Tu semua silap Tun. Kalau Tun tak buat benda tak elok, mesti ayah tak marah, kan. Tun memang patut terima hukuman."

Encik Ahmad terus memeluk Fazliatun. Kasihnya pada Fazliatun seluas lautan. Sayangnya buat anak itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Fazliatun memang seorang anak yang baik.

Dalam fikirannya sekarang, sudah terbayang wajah gembira Pak Mior. Pasti lelaki itu senang hati jika dia dapat menjelaskan kesemua hutangnya. Dia pun tak adalah pening kepala lagi memikirkan hutang yang masih tertunggak itu. Mudah-mudahan hidupnya selepas ini akan terjamin apabila Fazliatun berkahwin dengan Tengku Fazrul Shah. Dapat juga dia menumpang senang.

"Malam ni kita makan kat Warung Tom Yam, ya! Ayah teringin sangat nak bawak anak dan isteri ayah makan sedap-sedap. Sayang betul adik-adik kau tak ada sekali. Kalau tak mesti dia orang suka."

Anak-anak lelaki Encik Ahmad semuanya tinggal di asrama. Mereka lebih suka tinggal di sana kerana ramai kawan. Encik Ahmad tidak dapat menghalang kerana lagi mudah anak-anaknya itu hendak pergi ke sekolah. Makan dan minum pun cukup di sana. Dalam dua minggu sekali, mereka akan pulang ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience