Bab 10

Romance Series 37322

ANGIN petang bertiup lembut. Terasa sungguh nyaman menghirup udara sesegar itu. Cuaca di sekeliling pula agak redup, tidak seperti tengah hari tadi. Encik Ahmad menarik nafas panjang sambil matanya memandang ranting-ranting pokok yang baru sahaja dicantas menggunakan gunting.

Begitulah rutin hariannya sebagai tukang kebun di sekolah cina itu. Hampir 15 tahun dia bekerja di situ sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki di tempat orang. Mujurlah nasibnya baik kerana diterima bekerja di sekolah itu biarpun gajinya tidak besar. Jika dia terlalu memilih pekerjaan di zaman serba moden ini, sudah pasti anak bininya akan mati kelaparan.

Hari ini sudah pun masuk 5 Februari. Tinggal dua hari sahaja lagi dia akan mendapat gaji. Setelah dihitung duit gaji yang akan dia terima nanti, akhirnya dia mengeluh panjang. Hatinya risau mengenangkan hutangnya dengan Pak Mior yang masih banyak tertunggak. Jika ditolak duit gajinya, berapa sangatlah yang tinggal.

Nak bayar rumah sewa saja sudah Rm 400 sebulan. Tolak duit belanja dapur, paling kurang kena ada dalam Rm 450. Itu pun dia membeli barangan yang penting sahaja. Itu belum lagi belanja sekolah anak-anaknya. Semuanya nak pakai duit. Kadang-kadang, pernah pada suatu masa mereka anak-beranak tak makan kerana kekurangan duit.

Kehidupannya memang miskin ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebab itulah, isterinya terpaksa bekerja untuk meringankan beban keluarga. Encik Ahmad duduk berehat di atas kerusi. Tiba-tiba, dia teringat pula pada kata-kata Pak Mior kira-kira dua hari lepas...

"Bila kau nak jelaskan hutang kau tu, Mad? Ni dah nak dekat setahun, tak habis-habis lagi. Dulu masa nak berhutang, pandai pulak kau berjanji itu, ini. Lepas dah dapat, bukan main liat lagi kau nak bayar semula," kata Pak Mior ketika mereka bertemu di bandar kira-kira dua hari yang lalu.

"Aku bukannya tak nak bayar, Mior! Kau pun tahu kan anak-anak aku masih bersekolah. Banyak nak pakai duit. Aku bukan tak bayar langsung. Cuma aku nak kau bagi aku masa. Nanti aku dapat gaji bulan ni, aku bayar Rm 150 dulu. Hanya tu aje yang aku mampu bayar setakat ni. Kau tolonglah faham masalah aku!"

"Orang lain pun ada masalah. Tapi tak adalah macam kau ni. Setiap masa mengadu kat aku asyik tak ada duit aje. Kalau tak mampu bayar, lain kali jangan suka berhutang!" sindir Pak Mior agak pedas.

"Aku minta maaf, Mior! Aku janji akan bayar semua hutang kau tu. Aku janji!" Encik Ahmad merayu agar Pak Mior bertimbang rasa pada dia sekeluarga.

"Janji, janji, janji! Tu ajelah modal kau. Dah naik muak aku dengar. Kalau susah-susah sangat, kau kahwinkan aje anak kau Si Fazliatun tu dengan aku. Senang cerita. Hutang settle, anak kau pun boleh hidup senang." Pak Mior tersengih-sengih memandang Encik Ahmad.

Berdesing telinga Encik Ahmad mendengar kata-kata Pak Mior. Dia memang orang miskin, tetapi dia tidak sampai hati pula nak menjual anak gadisnya semata-mata ingin membayar hutang. Dia masih ada akal fikiran untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Biarlah dia hidup melarat, asalkan anak-anak dan isterinya hidup bahagia.

"Kau ingat aku ni tak ada hati perut ke sampai nak gadaikan maruah anak aku untuk kahwinkan dengan kau, Mior. Biar aku mati sekalipun, aku tak akan susahkan anak aku. Hutang aku, biar aku yang selesaikan sendiri."

Merah padam mukanya menahan marah. Pak Mior yang melihat kemarahan Encik Ahmad, tidak jadi meneruskan kata. Dia terus beredar dari situ sebelum lelaki itu naik minyak. Tak pasal-pasal nanti, mukanya pecah akibat ditumbuk oleh Encik Ahmad.

PULANG sahaja ke rumah, Encik Ahmad terus mandi. Letih benar badannya setelah seharian bekerja. Selepas mandi, dia duduk berehat di ruang tamu sambil mencari-cari kelibat anak gadisnya.

"Mana Tun pergi, Yah? Abang tak nampak pun dia dari tadi," soalnya kepada Puan Rohaya yang sedang memanaskan lauk di dapur.

Puan Rohaya segera mematikan api dapur sebelum mendapatkan suaminya. Dia baru sahaja pulang kerja beberapa minit tadi. Sudah dua tahun dia bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah kedai makan.

"Tun cakap saya dia pergi jumpa keluarga Tengku Fazrul, bang!" Puan Rohaya kelihatan risau untuk membuka cerita pasal Tengku Fazrul Shah. Dia bimbang andai suaminya marah apabila mendapat tahu perkara yang sebenar.

"Siapa Tengku Fazrul?" Encik Ahmad bersuara tegas.

"Sebenarnya, saya ada benda nak cakap dengan abang," ucap isterinya takut-
takut.

"Apa yang awak cuba sembunyikan dari saya ni, Yah? Siapa Tengku Fazrul tu? Kenapa pulak Tun kena jumpa keluarga budak tu?" Suara Encik Ahmad kedengaran nyaring. Wajahnya serius memandang isterinya.

"Saya minta maaf, bang! Saya tak ada niat nak sembunyikan perkara ni dari pengetahuan abang. Hari tu Tun ada bagitahu saya yang dia dan Tengku Fazrul nak kahwin bulan depan."

Puan Rohaya terpaksa juga memberitahu suaminya akan hal itu. Dia tahu, Encik Ahmad pasti tidak bersetuju dengan perkahwinan ini. Dari air muka suaminya, dia sudah dapat membaca.

Terperanjat Encik Ahmad setelah mengetahui cerita sebenar dari mulut Puan Rohaya.

"Kurang ajar punya budak! Dia nak kahwin pun tak ada bagitahu aku. Apa dia ingat aku ni adik-adik dia ke? Dah pandai nak belakangkan keluarga. Nanti dia balik siaplah aku kerjakan dia cukup-cukup."

Berubah terus perangainya. Sebagai ayah kandung, maruahnya terasa diinjak-injak oleh anak sendiri apabila urusan penting sebegitu dianggap remeh. Mana pergi Fazliatun yang dulu? Anak kesayangannya yang selama ini sungguh taat dan hormat pada dirinya? Kenapa jadi begini sikapnya?

"Abang janganlah buat macam tu kat Tun! Saya merayu kat abang!" pujuk Puan Rohaya dengan suara perlahan. Dia agak bimbang jika panas baran suaminya tidak dapat dikawal sehingga boleh mencederakan Fazliatun. Dia tahu, suaminya begitu marah apabila menerima berita perkahwinan anak gadis mereka.

"Awak jangan masuk campur dalam hal ni! Anak abang, tahulah apa yang abang nak buat. Biar dia tahu adab sopan sikit sebagai seorang anak. Kalau tak diajar, makin naik lemaklah dia."

"Anak awak, anak saya jugak, bang! Janganlah apa-apakan Tun! Dia tak bersalah dalam perkara ni."

"Tak salah awak cakap! Yang dia gatal sangat nak kahwin dengan anak orang kaya tu kenapa? Dah malu sangat ke nak duduk dengan keluarga miskin macam kita ni? Baru umur 20 tahun dah pandai nak belakangkan keluarga. Kalau dia balik kejap lagi, tahulah apa yang saya nak buat.”

Makin berapi amarah Encik Ahmad. Wajahnya menyingga.

Puan Rohaya terus senyap tanpa bersuara. Dia tak mahu menaikkan lagi api kemarahan suaminya. Biarlah suaminya itu bertenang dahulu. Dia terus bangun menuju ke dalam bilik. Seperti selalu, setiap kali bertengkar memang itulah jalan penyelesaian yang terbaik. Dia perlu beralah agar kemarahan suaminya cepat surut.

Api kalau dilawan dengan api pasti nyalaannya akan marak menyala. Dia harus menjadi air supaya api itu dapat dipadamkan dari terus terbakar.

Encik Ahmad mengetap gigi geram. Panas hatinya memikirkan tindakan Fazliatun yang dirasakan tidak beradab itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tahu-tahu anaknya itu mahu berkahwin dengan anak orang kaya. Apatah lagi, apabila berita itu dia dengar dari mulut isterinya bukan dari dia sendiri sebagai ketua keluarga.

Dia sungguh tak sabar menantikan kepulangan Fazliatun. Kalau Fazliatun ada di depan matanya saat ini, pasti anaknya itu sudah ditampar sekuat hati. Selama ini, dia tidak pernah menaikkan tangan ke muka anak-anaknya. Biar marah macam mana sekalipun, dia tetap akan mengawal diri agar tidak bertindak di luar kawalan. Tapi hari ini, sabarnya sudah hilang. Anak itu harus diberi pelajaran supaya hormatkan dia sebagai ayah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience