Bab 22

Romance Series 37317

"ENCIK ni memang jenis orang yang tak pandai tepati janji, kan? Dulu masa saya datang temu duga, encik cakap semua yang ada dalam syarat-syarat nak jadi isteri encik tu betul. Tapi sekarang ni, kenapa jadi lain pulak? Saya tak nak duduk satu bilik dengan encik. Muktamad."

Marah betul Fazliatun apabila ditempatkan satu bilik dengan Tengku Fazrul Shah. Dahlah nak kongsi bilik satu hal, nak mandi pun kena berkongsi bilik air yang sama. Macam manalah hatinya tak sakit. Dasar penipu betul.

"You dengarlah dulu apa yang I nak cakap ni. Jangan cepat salah sangka." Lembut pula suara Tengku Fazrul Shah kali ini. Baru saja beberapa minit, mereka berdua menjejakkan kaki ke bilik ini. Tidak menyangka, isterinya akan naik angin begitu.

"Apa lagi yang encik nak jelaskan? Betullah apa saya cakapkan tu. Encik ni memang penipu."

Tengku Fazrul Shah beristighfar dalam hati. Dia tidak mahu berkasar dengan Fazliatun. Dalam keadaan begini, dia perlu beralah. Dia tahu ini semua salahnya. Dia yang pandai buat syarat, tapi dia sendiri yang khianati. Patut sahaja Fazliatun marah atas tindakannya.

"Baiklah I mengaku I ni penipu. Tapi percayalah, I tak ada niat pun nak buat macam ni. You kena faham keadaan kita sekarang. Ni kan rumah family I. Takkan I nak tidur kat bilik lain-lain pulak. Kalau papa dan mama nampak macam mana? Mesti dia orang akan curiga. Nanti dia orang fikir bukan-bukan pasal hubungan kita."

"Saya tak nak dengar tu semua. Itu masalah encik, bukan masalah saya. Dulu, masa nak cari calon isteri sementara yang entah apa-apa tu, kenapa encik tak fikir baik-baik? Ada tak encik fikir pasal saya? Tak ada, kan. Langsung tak ada."

Fazliatun memalingkan muka dari suaminya. Serius sahaja wajahnya. Baru sahaja dia nak berbaik-baik dengan lelaki itu, berlaku pula perkara tidak diingini. Apakah ini semua memang rancangan suaminya? Dia mula berfikir yang bukan-bukan.

Tengku Fazrul Shah sudah mati akal untuk memujuk. Keras betul hati perempuan bernama Fazliatun ini. Nampak saja lembut di luar, tapi di dalamnya keras macam batu. Lama juga dia terdiam. Fikirannya berserabut kini. Dia ingat, selepas berkahwin dengan Fazliatun semua masalah akan selesai namun semakin parah pula jadinya. Lain yang diharapkan, lain pula yang berlaku.

Tengku Fazrul Shah melabuhkan punggung di atas sofa yang berada di dalam biliknya itu. Nampak kemas susun atur perabot di situ. Bilik tidurnya memang luas. Kira-kira 600 meter persegi. Di sudut sebelah kanan pula terdapat Tv LED berukuran 52 inci yang dilekatkan pada dinding bilik. Memang nampak mewah dan ekslusif.

Dia merenung wajah Fazliatun yang kelihatan murung. Serba salah pula dia. Bagaimanakah dia mahu memujuk isterinya itu? Jika rajuk Fazliatun tidak berkurangan, dia khuatir keadaan akan menjadi lebih parah. Dibuatnya Fazliatun mahu bercerai, macam mana? Memanglah dia tahu isterinya itu tidak mampu bayar ganti rugi sebanyak Rm 20,000 andai mengundurkan diri sebelum waktunya, namun hatinya tetap jua resah tidak menentu.

Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara semula.

"Okeylah. I akan cari rumah dalam masa terdekat ni. Cuma...I nak you beri I sedikit masa aje. Boleh tak?" usulnya dengan suara lembut.

"Betul ni? soal Fazliatun perlahan. Wajahnya ceria sedikit berbanding tadi.

Tengku Fazrul Shah mengangguk.

"You jangan risau, ya. I tak akan langgar syarat yang I dah buat. Apa pun, I nak ucapkan terima kasih kat you."

"Terima kasih sebab apa?" Fazliatun mengerutkan dahi.

"Sebab sudi jadi isteri I biarpun untuk sementara. I really appreciate it. Thanks, sayang!"

Fazliatun ketawa. Lucu sangat muka Tengku Fazrul Shah.

"Kenapa you ketawa pulak? Salah ke I cakap?"

"Tak ada apa."

Fazliatun menggeleng.

"Adalah tu gelakkan I, kan. Macamlah I tak tahu perangai you."

Tengku Fazrul Shah mencebikkan bibir. Lega sungguh hatinya apabila melihat Fazliatun tersenyum semula. Senyuman manis itulah yang dia rindukan. Manis sangat macam madu. Menyesal pula dia atas kejadian yang berlaku semalam. Kalaulah dia pandai mengawal diri, pasti kejadian seperti itu tidak berlaku.

“I nak minta maaf sebab I tampar you. I tak sengaja. I harap you boleh maafkan kesilapan I. Lepas ni, I janji tak akan ulangi lagi perbuatan tu ,” ucap Tengku Fazrul Shah penuh ikhlas.

“Saya tak simpan pun dalam hati.”

“You tak marah?”

“Buat apa nak marah. Mula-mula tu memanglah saya marah. Tapi, lepas saya fikir semula, tak ada gunanya saya nak ikutkan sangat perasaan. Saya tahu encik tak sengaja. Benda ni tak akan selesai selagi saya tak maafkan encik.”

Terharu sungguh Tengku Fazrul Shah mendengar kata-kata Fazliatun. Makin sayang pula dia dengan isterinya itu.

"Encik ni dah tak kerja lagi ke? Dah nak dekat tiga minggu asyik goyang kaki kat rumah. Tak bosan pulak menghadap muka saya ni. Saya pun dah naik loya tengok muka encik," ucap Fazliatun selamba.
Bulat mata Tengku Fazrul Shah.

"Amboi! Mulut you ni kalau cakap main terjah aje tak toleh kiri kanan. Loya-loya pun, bukan orang lain. Suami you jugak."

"Yalah, suami sementara aje, kan. Sebab tu saya loya. Kalau suami sampai ke akhir hayat, taklah saya loya camtu." Fazliatun mengusik lagi.

"Meh sini mulut tu. Biar I tarik sampai panjang. Pandai sangat nak kenakan orang. Kalau you sanggup jadi isteri sampai bila-bila, I tak kisah pun. Lagi I suka. Jimat sikit duit I nak cari bini lain."

Fazliatun menoleh sekilas ke arah suaminya sebelum mencubit pehanya. Berkerut muka Tengku Fazrul Shah menahan pedih akibat dicubit.

"Aduh, sakitlah! You ni keturunan makhluk kaki banyak yang jalan senget kat
tepi pantai tu ke? Suka sangat cubit orang."

"Sesuailah muka encik tu. Gatal!"

Fazliatun terus bangkit menuju ke bilik air. Malas dia nak melayan Tengku Fazrul Shah yang tak berapa hempuk tu. Lebih baik dia mandi. Bersihkan diri dan ambil wuduk. Hari pun sudah hampir ke senja.

Tengku Fazrul Shah hanya tersenyum memikirkan idea nakalnya yang tiba-tiba muncul dalam kepala.

SELEPAS siap mandi, dia terus keluar. Saat itu, Tengku Fazrul Shah tidak ada di dalam bilik. Lega sedikit hatinya. Nasib baiklah dia membawa pakaian siap-siap sebelum masuk ke dalam bilik air tadi. Jika tak, sudah pasti sukar untuk dia menyalin baju. Dia mencapai sejadah yang disangkut pada penyidai. Dengan khusyuk, dia menunaikan solat maghrib sehingga selesai.

Setelah meletakkan sejadah dan telekung, dia duduk di atas sofa. Waktu-waktu begini sudah pasti banyak rancangan di televisyen. Apatah lagi, ada siaran Astro yang dipasang di dalam bilik itu. Selama ini, teringin benar dia melihat pelbagai rancangan di Astro tetapi keluarganya tidak mampu untuk melanggannya setiap bulan.

Tanpa membuang masa, Fazliatun terus mencapai remote TV. Alat kawalan jauh itu dibelek-belek lama. Kepalanya digaru beberapa kali.

“Macam mana nak guna remote ni? Tekan yang mana satu, ya? Mungkin yang ni kot,” omelnya sendiri.

Dia menekan butang di sebelah kanan. Skrin Tv yang tadinya berwarna hitam terus bertukar cerah.

“Nasib baik boleh. Senang aje rupanya. Ingatkan susah sangat.”

Ketika itu, dia membuka TV satu. Teruja sungguh dia melihat gambarnya yang sungguh terang dan jelas. Jauh berbeza dengan kualiti gambar di rumahnya. Dahlah kena pusing arial sampai naik lenguh tangannya, namun tetap tak clear. Apabila siaran bertukar ke saluran 104, bertambah suka dia. Apa tidaknya, ada drama melayu lakonan Syukri Yahya dan Janna Nick.

“Eii...seronoknya. Patutlah ramai orang yang suka ambil Astro. Rupa-rupanya ada banyak cerita sedap-sedap kat sini. Kalau hari-hari aku dok menghadap cerita ni, memang tak ada buat kerja lain.”

Fazliatun bercakap sendiri lagi. Kerana teruja sangat melihat Astro, sehingga dia terpula pada suaminya. Entah ke manalah Tengku Fazrul Shah pergi agaknya? Sedang leka menonton, tiba-tiba ada satu suara berdesir seperti ular. Cepat-cepat dia menoleh ke belakang. Namun, tiada apa-apa di situ. Dia memandang semula ke arah drama yang sedang ditayangkan.

Tidak berapa lama selepas itu, tidak semena-mena api lampu terpadam. Fazliatun sudah menelan liur. Yang peliknya, Tv masih terpasang. Bagaimana pula lampu bilik boleh mati sendiri? Siapa yang tutup? Mana ada sesiapa di dalam bilik itu melainkan dia seorang. Suaminya memang tidak ada sejak tadi.

Bulu romanya tiba-tiba meremang. Seram pula dia jadinya. Dia memandang ke kiri dan ke kanan Berbagai-bagai perasaan yang menjengah ketika ini. Dia buat-buat selamba biarpun dalam hati sudah resah semacam. Suara Tv dikuatkan sedikit. Sengaja menghilangkan rasa debar yang mula bertandang. Sedang ralit menonton, sekali lagi dia mendengar suara desiran itu.

Setelah itu, dia merasakan tubuhnya dipegang oleh seseorang dari belakang. Jantung Fazliatun berdegup laju dengan nafas yang kadang-kala turun naik.

“Buat apa tu?...” Suara itu berbisik halus di telinganya.

Fazliatun tidak berani menoleh. Dia mula berfikir yang bukan-bukan. ‘Rumah ni ada hantu ke? Alahai, dahlah aku ni memang penakut. Janganlah kau tunjukkan wajah kau kat depan mata aku. Aku tak sanggup nak tengok.’

“Pandang sini! Aku nak darah kau,” kata suara itu lagi. Bertambah takut muka Fazliatun. Dahinya sudah berpeluh-peluh.
Dia cuba memberanikan diri menoleh ke belakang. Sebaik sahaja memandang ke arah lembaga itu, dia menjerit kuat. Kelihatan ada satu susuk tubuh berwarna putih sedang berdiri di belakangnya. Tanpa banyak bicara, dia terus bangkit dan bergerak ke bilik air. Lembaga putih itu terus mengekorinya sambil ketawa kecil.

“Jangan lari! Tunggu aku!”

Fazliatun pantas menarik daun pintu. Namun tindakannya hanya sia-sia apabila tangan kasar lembaga itu menahan.
‘Aik, kenapa tangan dia macam manusia pulak? Hantu apa ni?’

Sepantas kilat, dia mendongak ke arah wajah lembaga itu. Tertera muka Tengku Fazrul Shah yang sedang memakai telekung. Terus berubah wajah Fazliatun.

“Encik ni dah biul ke? Dah tak ada kerja lain lagi ke nak buat? Terkejut tau saya. Ingatkan poconglah tadi. Buat suspen aje,” marah Fazliatun dengan muka geram.

“Sorry, janganlah marah. I nak bergurau aje dengan you.” Selamba saja Tengku Fazrul Shah minta maaf.

“Bila masa pulak encik masuk? Saya tak nampak pun.”

Fazliatun segera menuju ke suis lampu lalu ditekan. Bilik tidur itu terang bercahaya. Macam nak tergelak dia melihat suaminya memakai telekung. Patutlah dia menjerit sebab serupa macam pocong. Cuma tak ada ikat di atas kepala saja. Berderau juga jantungnya.

“I memang ada dalam bilik. Mana ada keluar. Buat letih aje I menyorok kat sebelah katil. Ingatkan you nak baring. Baru nak kacau. Tengok-tengok, sedap aje you layan Astro. Geram betul I,” jelas Tengku Fazrul Shah sambil membuka telekung yang dipakai.

“Saya rasa encik ni dah ting tonglah. Perangai macam budak kecil aje.”

“Biarlah. Yang penting I happy kenakan you. Takut jugakan you tadi. Haha.”

FAZLIATUN hanya menjeling nasi yang berada di pinggannya tanpa mengusik sedikit pun. Dia tunduk saja ke bawah apabila mata tajam Tengku Arianis terus-terusan menikam pandangannya. Resah dia jadinya. Nasi itu dikuis-kuisnya perlahan-lahan. Dia buat-buat selamba saja dan terus mencedok kuah asam pedas ikan pari ke dalam pinggan. Kalau nak tunggu mak singa ni jeling, sampai esok pagi pun tak habis. Pedulikan saja.

Tengku Fazrul Shah yang duduk di sebelahnya, menambah lagi sesenduk nasi dan lauk ayam masak kicap. Berselera sungguh suaminya itu menyantap hidangan tersebut. Macam sebulan tak makan.

"Tambahlah lagi nasi tu, Tun. Jangan malu pulak. Kita kan satu keluarga," ujar Tengku Marzuki mesra.

Pada malam itu mereka sekeluarga makan besar sempena menyambut ahli baru. Fazliatun malu-malu kucing apabila berhadapan dengan keluarga besar seperti itu. Terasa kekok pula untuk berbual. Dia melihat ada dua orang lagi adik-beradik Tengku Fazrul Shah yang kini duduk satu meja dengannya. Ketika majlis perkahwinannya dua minggu lepas, dia tidak berkesempatan untuk mengenali mereka. Ternyata, adik-beradik suaminya itu ramah-ramah belaka.

Tak macam mak singa di depannya tu. Muka masam saja mengalahkan orang mati laki. Fazliatun menyuap nasi ke dalam mulut sambil memerhatikan aneka lauk-pauk yang telah dimasak oleh Mak Kuntum. Naik juling biji matanya nak memilih. Semuanya sedap-sedap belaka. Kalau setahun dia tinggal di sini, alamatnya memang naiklah berat badan. Jangan jadi macam Syanie sudahlah.

"Rul ni tak nak pergi honeymoon ke? Akak tengok kesian Tun ni asyik terperap kat rumah. Rul ajaklah dia honeymoon kat mana-mana. Time macam nilah korang nak bercuti. Esok lusa kalau dah ada baby, memang tak ada masa nak pergi," cadang Tengku Yuhanis Aisyah, kakak sulung Tengku Fazrul Shah.

Fazliatun sudah tercengang. Muka suaminya dipandang.

"Alah Kak, bukannya Rul tak ajak Tun. Dah banyak kali Rul pelawa tapi dia tak nak." Tengku Fazrul Shah sengaja mengenakan Fazliatun. Isterinya itu sudah menjeling geram.

"Lah...boleh pulak macam tu. Tun ikut ajelah suami Tun. Akak dulu masa baru-baru kahwin dengan abang Muz kau ni, dah macam-macam tempat kita orang pergi. Sambil bercuti tu, boleh jugak korang bermanja. Almaklumlah, pengantin baru lagi, kan. Tun tak payah takut dengan Rul ni. Kalau dia buli Tun, Tun cakap aje kat akak. Biar akak lipat-lipat badan dia macam sotong. Haha."

Meletus tawa Tengku Yuhanis Aisyah dan semua yang lain kecuali Tengku Arianis. Mukanya kelihatan masam sejak tadi.

"Korang semua ni tak habis lagi ke nak berborak? Kalau nak sembang, tu kat ruang tamu sana. Kat sini tempat nak makan," marah Tengku Arianis. Dia menjeling tajam ke arah Fazliatun.

Masing-masing memandang wajah Tengku Arianis. Pelik dengan perangai orang tua itu. Tidak ada angin tidak ada ribut, tiba-tiba nak menyingga.

"Awak ni dah kenapa Anis? Tiba-tiba aje nak marah. Biarlah dia orang berbual kat sini. Kalau awak tak suka, awak tutup telinga tu." Tengku Marzuki menasihati isterinya.

Berubah terus muka Tengku Arianis. Keadaan menjadi tidak terkawal ketika ini. Dia bangkit dari duduk sambil mencekak pinggang.

"Saya tak suka pompuan miskin ni ada dalam rumah kita. Dia tak layak jadi isteri Rul. Saya benci dia, bang," jerit Tengku Arianis bagaikan orang tidak siuman sahaja. Tengku Yuhanis Aisyah sudah memegang tubuh mamanya dalam usaha menenangkan wanita itu. Tidak menyangka, mamanya akan bertindak begitu.

Fazliatun menjadi tidak sedap hati. Nampaknya, kebencian Tengku Arianis pada dirinya semakin parah. Dia tak tahu kenapa wanita itu benci sangat pada dirinya sedangkan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Awak ni betul-betul dah melampau Anis. Dah banyak kali saya nasihatkan awak, tapi awak tetap keras kepala. Perempuan yang awak tak suka ni dah sah pun jadi isteri anak kita. Awak nak menantu yang macam mana lagi untuk Rul?" Bergetar suara Tengku Marzuki. Malu dia dengan Fazliatun.

Suasana menjadi tegang. Seluruh ahli keluarga Tengku Marzuki sudah berbisik sesama sendiri.

"Mama memang dah banyak berubah, pa. Rul tak kisah. Kalau mama tak suka Tun, Rul boleh pindah dari sini. Memang itukan yang mama nak. Biarlah Rul belajar hidup berdikari. Rul harap dengan cara tu, hati mama akan puas." Tengku Fazrul Shah membuat keputusan.

"Rul jangan nak jadi bodoh. Ni rumah Rul, bukan pompuan miskin tu. Buat apa nak pindah pulak?"

Fazliatun hanya diam. Dirinya bagaikan orang asing pada pandangan ibu mertuanya itu. Tak guna dia nak masuk campur.

"Jangan dengar cakap mama tu, Rul. Rul tinggal aje kat sini dengan Tun. Ni bukan rumah mama. Dia tak ada hak nak halau menantu papa," ucap Tengku Marzuki memujuk. Isterinya itu memang patut diajar. Semakin lama, semakin teruk perangai dia.

Tengku Arianis merengus geram. Dia segera berlalu meninggalkan keluarganya dengan muka masam. 'Kau tunggu aje masa kau, pompuan! Tak apa, hari ini kau menang. Esok lusa, kau tengoklah nasib kau. Masa tu, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah.' Hati Tengku Arianis sudah bersarang dengan dendam.

"Sayang jangan ambil hati dengan semua cakap mama, ya! Abang sentiasa ada kat sisi sayang walau apa jua rintangan yang datang. Selagi abang bernyawa, abang akan jaga sayang hingga hujung nyawa," ujar Tengku Fazrul Shah di hadapan seluruh ahli keluarganya.

Wajah Fazliatun sudah merona merah. Hatinya terusik juga dengan kata-kata suaminya itu. Sememangnya dia bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki sebaik Tengku Fazrul Shah. Lelaki itu benar-benar istimewa baginya.

TENGKU FAZRUL SHAH mundar-mandir di pejabatnya. Hari ini dia kembali bertugas setelah hampir tiga minggu bercuti. Sudah pasti tugasnya semakin menimbun. Dia memicit dahi beberapa kali bagi meredakan fikiran. Sekejap lagi dia akan melawat tapak projek yang terletak di Sungai Besi. Syarikat miliknya baru sahaja berjaya mendapatkan tender berkaitan projek perumahan yang bernilai hampir dua puluh juta ringgit itu.

Semakin hari, syarikat TFS Holding & Co semakin berkembang maju. Banyak projek perumahan yang telah dibuat sejak akhir-akhir ini. Biarpun terpaksa bersaing dengan banyak syarikat yang sudah ada nama, namun TFS Holding & Co tetap menjadi pilihan pihak pemaju. Dia sudah boleh tersenyum bangga dengan kewibawaannya sebagai CEO di syarikat itu.

Tengku Fazrul Shah segera menekan butang interkom.

"Rina, masuk bilik I kejap!" arahnya kepada pembantu peribadinya itu.
Tidak sampai beberapa saat, Rina sudah pun berada di hadapannya seraya tersenyum manis.

"Ada apa Tengku panggil saya?" soal Rina sopan.

"I nak you senaraikan semua appointment I sepanjang minggu ni. Lepas tu, you letak kat atas meja I."

"Baik, Tengku! Anything else?"

"So far, tak ada lagi. If any problem, I will inform you shortly. Now, you can go. Thanks!"

Rina hanya mengangguk kecil sebelum keluar dari bilik majikannya itu.

Tengku Fazrul Shah meneruskan kembali kerjanya. Dia sungguh tekun meneliti dokumen-dokumen yang bersusun di atas meja. Sebagai CEO, dia mempunyai kuasa penuh untuk menandatangani setiap urusan berkaitan syarikat. Jika dia tidak ada, tiada sesiapa boleh menurunkan tandatangan kecuali Tengku Marzuki.

Sedang leka membaca dokumen-dokumen itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Tertera nama Nauri di atas skrin. Sebelum ini dia memang tidak memiliki nombor Nauri. Namun selepas Nauri menelefonnya kelmarin, dia terus menyimpan nombor itu. Hampir tiga kali gadis itu menghubunginya. Naik rimas pula dia jadinya. Entah apa yang diinginkan oleh Nauri. Macam tak ada kerja lain nak buat.

'Ish pompuan ni, apa aje agaknya yang dia nak dari aku? Memang tak reti bahasa betul,' omelnya dalam hati.

Setelah beberapa kali Nauri membuat panggilan, akhirnya dia terpaksa juga menjawab. Jika dibiarkan, makin banyak pula panggilan yang dibuat.

"Hello, you nak apa lagi ni, Nauri?" Keras suaranya.

"You dah lupa ke janji kita minggu lepas. You cakap nak temankan I shopping kat Pavilion." Nauri masih menagih lagi janjinya.

"I tak ada masa nak temankan you. I ada banyak kerja nak settlekan kat ofis. I harap you faham."

Tengku Fazrul Shah bangkit dari duduk. Dia melepaskan pandangan ke arah luar pejabat. Nafasnya ditarik panjang sebelum dihembus perlahan.

"Tapi, you kan dah janji. Sampai hati you buat I macam ni," rajuk Nauri.

"I tahu tu, tapi I betul-betul sibuk sekarang ni. You bagilah I masa sikit. Nanti kalau kerja I dah selesai, I akan call you." Begitu janji yang dibuat oleh Tengku Fazrul Shah. Memang dia suka berjanji. Dah ada isteri pun masih gatal melayan perempuan. Dulu cakap lain, sekarang ni lain pulak.

"Terima kasih, sayang!" Nauri tersenyum lebar.

"You sihat ke?" soalnya lagi.

"Tak berapa sihat sangat. Asyik ingat kat you aje. I rindu kat you, sayang." Nauri merengek manja.

"Buat apa you nak ingat kat I. I ni dah kahwin dan ada isteri." Tengku Fazrul Shah malas melayan kerenah Nauri. Pandai sungguh wanita itu menggodanya.

"I tak kisah semua tu. Asalkan you cintakan I, cukuplah. Lagipun, you kan lelaki. Nak kahwin dua pun boleh. Betul tak?"

Tengku Fazrul Shah tersengih.

"Memanglah lelaki boleh kahwin lebih daripada satu, tapi I tak suka macam tu. Kalau jadi skandal I, bolehlah." Tiba-tiba sahaja Tengku Fazrul Shah berkata begitu. Entah apa yang merasuk dia.

"Betul ke you cakap ni?" Nauri seakan-akan tidak percaya mendengar ucapan Tengku Fazrul Shah.

"Betul. Buat apa I nak main-main."

"Kalau wife you tahu macam mana?" tanya Nauri curiga.

"Dia tak akan tahu selagi I tak cerita. Lainlah kalau you sendiri yang bocorkan rahsia kita. Pandai makan, pandai simpanlah."

Perangai Tengku Fazrul Shah mula berubah sedikit. Sebenarnya, memang itu tujuan sebenar dia mencari calon isteri sementara. Dia tidak mahu terikat langsung dengan sebarang komitmen. Sebab itu dia membuat kerja gila dengan mencari seorang isteri yang boleh dijadikan alat. Dia bebas untuk keluar dengan mana-mana perempuan yang dia suka. Isterinya tidak boleh marah kerana sedar status mereka.

Kasihan Fazliatun. Hidup-hidup dia ditipu oleh Tengku Fazrul Shah. Seandainya gadis itu tahu perkara sebenar, pasti dia akan kecewa. Selama ini, Tengku Fazrul Shah terpaksa berlakon baik di hadapan isterinya kerana ingin mengambil hati Fazliatun. Dia pun takut jika rahsianya pecah sebelum masanya tiba. Masih banyak rahsia yang dia sembunyikan dari pengetahuan Fazliatun. Apabila tiba waktu yang sesuai, dia akan menjelaskan hal itu kepada isterinya.

"I pegang semua janji-janji you tu tau, sayang. Jangan khianati janji pulak. Siap you I kerjakan."

"Ya. You jangan bimbanglah. Apa yang I cakap, I akan buktikan kat you. Percayalah!"

"Okey. I akan tunggu you," kata Nauri riang.
Senyumannya lebar sampai ke telinga.

'Skandal pun skandallah. Janji duit dia aku dapat. Bagus jugak rancangan dia. Kalau aku kahwin dengan dia, tak dapatlah aku keluar bebas cari jantan. Tak apa, aku kena buat perlahan-lahan. Biar sampai dia sujud kat kaki aku. Dari skandal, tak mustahil boleh lekat sampai jadi suami isteri. Kita tengok ajelah nanti.'

Begitu pendirian Nauri. Jika ikutkan, dia jatuh hati pada Tengku Fazrul Shah kerana pangkat dan harta yang dimiliki. Bukan kerana cinta semata-mata. Lagipun, dia ada banyak skandal. Mana-mana lelaki yang berharta akan menjadi sasarannya biarpun lelaki itu sudah berusia. Janji poket tebal.

"Okeylah Nauri. I nak buat kerja dulu. Apa-apa nanti I call you. Bye!"

Tengku Fazrul Shah terus mematikan talian. Wajah Nauri seperti menari-nari di ruang matanya. Dia tersenyum lagi. Rasanya sudah sampai masa untuk dia bertindak. Setelah hampir sebulan berkahwin, dia merasakan semuanya sudah berjalan lancar. Fazliatun pun sudah menerimanya sebagai suami. Tak mungkin wanita itu ingin menarik diri dalam masa terdekat ini.

Dia cukup yakin akan hal itu. Memang pada awalnya, dia tak ingin menjalinkan sebarang hubungan dengan Nauri. Namun setelah dipujuk rayu berulang-ulang kali, entah mengapa hatinya boleh lembut pula. Lagipun bukannya mereka suami isteri, hanya skandal saja. Tidak ada sesiapa yang akan tahu jika dia tidak membuka mulut. Dan rahsia ini akan kekal menjadi rahsia sampai bila-bila.

Memang itulah tujuan sebenar dia mencari isteri sementara. Papa dan mamanya tidak akan menaruh syak padanya kerana dia sudah beristeri. Kalau dia nak ada hubungan dengan ramai gadis pun, mereka tak akan tahu. Dia bebas untuk berbuat apa sahaja. Apabila cukup masa, dia akan menceraikan Fazliatun. Setelah itu, dia cari lagi calon isteri yang baru sehinggalah dia berasa puas.

P/s: Teruskan membaca. Jangan lupa vote okey.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience