Bab 2

Romance Series 37317

TENGKU FAZRUL SHAH memicit dahi beberapa kali. Pening kepalanya melayan kerenah gadis-gadis yang datang temu duga pada hari itu. Dari pukul 8 pagi sampai ke pukul 11.30 pagi, hampir dua puluh orang gadis yang datang. Namun, semua calon itu langsung tidak memenuhi cita rasanya. Dia tak tertarik hati biarpun gadis-gadis itu cantik dan seksi.

Sejak dia meletakkan jawatan kosong itu di blognya tiga hari yang lalu, ada sahaja panggilan yang dia terima. Jenuh juga dia hendak menjawab. Ada juga yang tak faham bahasa menelefonnya pada waktu malam. Padahal sudah terang-terang dia bagitahu jangan hubungi dia selepas pukul 8 pagi sampai ke pukul 12 tengah hari. Akhirnya, dia terpaksa mematikan telefon sebagai langkah selamat.

Ketika meletakkan jawatan kosong itu di blognya, dia terlupa pula nak beritahu masa untuk datang temu duga. Ramai yang nak datang pada hari bekerja. Mana sempat dia nak uruskan temu duga itu kerana dia sibuk dengan kerjanya. Last-last, dia terpaksa menetapkan waktu tertentu saja boleh datang temu duga. Itu pun pada hari sabtu dan ahad, ketika dia tidak bekerja. Jika tidak, pasti papa dan mamanya mengetahui rancangannya untuk mencari calon isteri.

"Mama berkenan sangat dengan Nauri tu. Budaknya cantik, ada pelajaran, keluarga dia pulak berasal dari orang yang ada nama. Senang cakap, mama memang teringin sangat bermenantukan gadis macam Nauri."

Begitulah kata-kata mamanya tentang Nauri yang merupakan anak kepada Datin Mona, rakan baiknya. Tengku Arianis berhajat ingin menyatukan Nauri dengan Tengku Fazrul Shah disamping dapat mengukuhkan lagi hubungan bisnes mereka.

Lantaran itulah Tengku Fazrul Shah sanggup mencari calon isteri sendiri dari berkahwin dengan Nauri yang diketahuinya ada ramai teman lelaki. Nauri memang cantik. Memiliki wajah persis model, berkulit putih gebu serta mempunyai potongan badan yang menggiurkan. Mana-mana lelaki yang melihatnya, pasti tergoda.

Tengku Fazrul Shah melepaskan keluhan berat. Sukar benar hendak membuat pilihan. Jika dia tidak mempunyai sebarang calon dalam masa terdekat ini, sudah pasti dia akan dikahwinkan dengan Nauri yang langsung tidak dicintai itu. Dia tidak mahu perkahwinan itu berlaku. Untuk menyelamatkan dia dari terus diasak oleh mamanya, dia harus mencari calon isteri sendiri.

"I rela jadi isteri you sampai akhir nyawa I," ucap seorang gadis seksi yang datang temu duga pagi tadi.

"I tak cari isteri macam tu. I hanya nakkan isteri sementara. You boleh faham bahasa melayu, kan?"

Gadis yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Erina itu menayang muka manja. Tubuhnya didekatkan pada Tengku Fazrul Shah sambil membelai-belai lembut wajah lelaki itu. Dengan skirt pendek paras lutut serta baju sendat menampakkan 'aset berharganya', membuatkan Tengku Fazrul Shah menelan liur. Berkocak juga imannya memandang gadis seksi itu.

"Dah...dah, jangan berani nak goda I. I tak akan terliur dengan godaan perempuan pisau cukur macam you ni. Better you balik aje. Jangan buang masa I!" tengkingnya agak kuat.

Erina sudah terkulat-kulat apabila dimarahi begitu rupa. Dia terus melangkah keluar tanpa menoleh lagi.

"Next!" Suara Tengku Fazrul Shah kedengaran tegas.

Lepas seorang keluar, masuk lagi gadis yang lain. Semuanya cantik-cantik belaka seperti yang telah disyaratkan dalam jawatan kosong itu. Namun, entah mengapa hatinya tidak tertarik.

"Dah ada kekasih ke belum?" soalnya serius. Wajah gadis di hadapannya itu ditatap lama.

"Belum." Ringkas sahaja jawapannya.
Wajah gadis itu dipandang atas dan bawah. Pelik melihat penampilan calon terakhir itu. Setelah hampir dua puluh orang yang datang, hanya perempuan itu nampak ganjil. Dahinya berkerut seribu.

"You tahu kan jawatan apa yang you sedang minta sekarang ni?"

Perempuan itu mengangguk.

"Kenapa you nak sangat jadi isteri sementara? Tak takut jadi janda ke selepas satu tahun kahwin?" Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Tengku Fazrul Shah.
"Saya tak kisah asalkan saya dapat duit Rm 10,000 tu setiap bulan. Sama ada saya jadi janda ke tidak, tu bukan urusan encik. Lagipun, tak termasuk dalam syarat yang encik letak, kan."

Kali ini gadis itu mengangkat muka. Dengan wajah tidak bermekap dan mengenakan tudung labuh paras dada, gadis itu nampak seperti perempuan kampung. Jauh
sangat dari kriteria yang diinginkan.

"Kenapa pakai tudung? Kan I dah cakap, perempuan yang nak jadi isteri I tu mesti cantik. Ada potongan badan yang mengancam barulah sesuai jadi isteri I. Kalau bertudung labuh macam ni, siapa yang nak?"

"Muka cantik ni kalau encik nak tahu sebenarnya, ada banyak jenis. Ada yang cantik sebab pakai mekap tebal seinci. Kalau dah tanggal semua mekap, muka macam pecah rumah. Cantik ke macam tu? Ada pula yang cantik sebab cucuk botox kat muka. Sebab tu nampak awet muda walaupun dah berusia.
Ingat encik tak sakit ke cucuk jarum kat muka tu? Ish, menakutkan. Ada jugak yang memang dah semulajadi cantik tanpa mengenakan sebarang alat solek. Yang tu, baru cantik asli. Tak payah nak mekap-mekap. Macam muka saya ni. Cuba encik tengok betul-betul muka saya?"

"Muka macam ni you kata cantik. Haha, lawak!" Tengku Fazrul Shah melepaskan tawa. Geli sungguh hatinya mendengar ucapan gadis itu.

"Sebab encik tak tengok betul-betul. Cuba pandang dari hati encik bukan pandang dengan mata! Saya yakin, encik mesti nampak apa sebenarnya yang saya nak sampaikan."

Tengku Fazrul Shah terdiam sebentar. Kata-kata gadis itu memang ada benarnya. Walaupun dia tidak memakai sebarang mekap di wajah, namun dia memiliki kecantikan asli yang tidak ada pada gadis lain. Tidak seperti semua gadis yang datang sebelumnya. Dahlah pakai baju seksi, mekap pula mengalahkan opera cinta. Paling kelakar, ada yang memakai bulu mata palsu. Sekali pandang, macam bulu buah rambutan. Dia tengok pun langsung tak terpikat.

Tengku Fazrul Shah meneliti dokumen pengenalan diri gadis itu. Tunak matanya membaca butir-butir peribadi perempuan yang berada di hadapannya.

Nurfazliatun Binti Ahmad Yasin.
Begitulah namanya. Berusia 20 tahun. Pendidikan paling tinggi, STPM. Anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. Belum pernah bekerja.

"You ni muda lagi. Sayang kalau tak sambung belajar. Jangan sebab nak kejar duit sepuluh ribu tu, sampai you jadi lupa diri. Ingat, duit tak menjamin masa depan yang cerah! Sebelum you buat kerja gila ni, lebih baik you fikir masak-masak. Keputusan ada kat tangan you."

Fazliatun hanya tersenyum kecil. Dia membetulkan tudung sambil memandang wajah Tengku Fazrul Shah.

"Saya memang ada niat untuk sambung belajar. Kalau boleh sampai ke peringkat Ijazah. Memang tu impian saya sejak kecil, encik."

"Habis tu, kenapa biarkan cita-cita you terkubur macam tu aje? You ingat impian you boleh tercapai ke kalau kahwin dengan I?"

"Keluarga saya tak mampu nak tanggung pembiayaan pelajaran saya. Memang saya ada terima surat tawaran dari UiTM, tetapi saya terpaksa tolak sebab ayah tak ada duit. Saya kena korbankan masa depan saya demi adik-adik. Biarlah saya beralah, asalkan mereka dapat belajar."

Suara Fazliatun kedengaran sayu. Mukanya tunduk sahaja ke bawah. Jika tidak mengenangkan duit Rm 10,000 yang akan menjadi taruhannya, tak kuasa dia nak berlakon sedih seperti itu. Perempuan setabah Fazliatun manalah kenal erti sedih. Ini semua lakonannya untuk mengaburi mata Tengku Fazrul Shah. Dia cukup yakin lelaki sewel itu akan terpedaya dengan kata-katanya.

"You perjudikan masa depan you dengan cara jadi isteri I? Apa you dapat?" Tengku Fazrul Shah sekadar menduga.

"Saya dapat duit enciklah. Bukan senang nak dapat kahwin dengan anak orang kaya. Mati hidup semula pun saya tak akan dapat rasa. Biarpun masa tu saya dah pegang title janda sekalipun, saya tetap bertuah sebab pernah jadi isteri encik. Yang penting, saya masih dara selepas jadi janda. Siapa yang tak nak, encik? Orang gila saja yang tolak peluang keemasan macam ni."

Wajah Fazliatun kembali ceria seperti tadi.

"Tu kalau you tak mengandung. Kalau I paksa you macam mana? Apa sangat yang you boleh buat dekat I?"

"Apa yang saya nak takutkan. Encik sendiri yang cakap, kita akan tidur di bilik yang berasingan, kan. So, buat apa pula encik nak langgar syarat yang encik dah buat. Encik kena ingat! Semua syarat yang kita akan tandatangani nanti sudah ada hitam dan putih. Jadi, kalau saya atau encik yang langgar syarat tu, maka akan terbatallah perjanjian tu. Betul tak?"

Fazliatun memandang tepat anak mata Tengku Fazrul Shah. Tidak berkelip langsung. Tengku Fazrul Shah sudah menggelabah. Jika gadis lain, sudah cair dengan renungannya. Berlainan pula dengan Fazliatun. Mukanya nampak bersahaja, seperti tidak mempunyai perasaan. Akhirnya, lelaki itu mengalah. Dia mengalihkan pandangan ke arah lain. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang saat memandang wajah Fazliatun.

"Baiklah! I rasa I akan pertimbangkan permohonan you untuk jadi isteri sementara I. I akan sediakan segala dokumen berkaitan kontrak perjanjian tu. Next week, I nak you datang rumah I untuk berjumpa dengan parents I. Ni kad I! Kalau ada apa-apa sebarang pertanyaan, you boleh call I terus! Tapi ingat, jangan call masa I ada kat ofis pulak! I memang tak suka diganggu masa kerja.

Tengku Fazrul Shah menyerahkan kad namanya kepada Fazliatun. Dia merasakan gadis itu layak untuk menjadi isteri sementaranya. Sampai masa dan ketika, gadis itu akan diceraikan setelah dia mendapat apa yang dia inginkan selama ini.

"Terima kasih, Encik!" ucap Fazliatun sopan sebelum melangkah keluar dari Syarikat TFS Holding & Co itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience