Bab 4

Romance Series 37317

LEWAT malam itu, Fazliatun tidur seperti biasa. Sambil baring, fikirannya melayang jauh mengingati calon suami sementaranya itu. Siapa lagi kalau bukan, Tengku Fazrul Shah. Dari kaca matanya sebagai seorang wanita, lelaki itu memang kacak. Dengan tubuh sasa macam model ditambah pula memiliki lesung pipit di kedua-dua pipinya, membuatkan Tengku Fazrul Shah kelihatan tampan. Jika tidak kuat iman, pasti akan mudah
tertarik hati.

Tapi sayang, mengapa lelaki itu terdesak mencari calon isteri dengan cara begitu? ‘Adakah aku hendak dijadikan sebagai mangsanya? Tapi, untuk apa semua tu?

Fazliatun tidak dapat menjawab pertanyaan itu. Hanya Tengku Fazrul Shah yang tahu. Ingin juga dia bertanyakan hal itu ketika datang temu duga kelmarin, namun mulutnya seakan terkunci. Kelu nak berkata-kata.

Tiba-tiba, perbualan mereka kira-kira dua hari yang lepas terlayar kembali di ingatan. Ketika itu, dia baru sahaja ingin keluar dari bilik Tengku Fazrul Shah. Belum sempat melangkah ke muka pintu, dia berhenti sekejap dan menoleh ke belakang.

"Encik dah terima saya, ke?" tanya Fazliatun lembut.

"Bila masa pulak I cakap dah terima you jadi isteri I ni? I cakap, I akan pertimbangkan permohonan you bukan terima. Kan beza dua ayat tu!" Tengku Fazrul Shah menegakkan batang tubuh sambil menyusun fail-fail di atas meja kerjanya.

Terkebil-kebil Fazliatun jadinya. Ingatkan dah setuju. Buat suspen aje.

"You tak payah risaulah! Jika ada jodoh, kita akan kahwin juga. You doalah banyak-banyak supaya I ni jadi suami you. Jangan meroyan pulak kalau tak dapat kahwin dengan anak orang kaya macam I."

Tengku Fazrul Shah tersengih, menampakkan barisan giginya yang memutih. Dia tahu, perempuan miskin seperti Fazliatun mesti mengimpikan untuk tinggal di banglo-banglo mewah, pakai baju mahal-mahal, naik kereta besar dan makan sedap-sedap. Tengok dari muka pun, dia dapat meneka.

Fazliatun tidak jadi keluar. Dia duduk semula di atas kerusi. Tingkah Tengku Fazrul Shah dipandang penuh tekun sebelum bersuara.

"Daripada saya doa macam tu, lebih baik saya doakan kesihatan mak dan ayah saya. Lagi dapat pahala, encik. Lagipun, rezeki manusia ni memang Allah dah tetapkan. Kalau dah memang jodoh saya dengan encik, syukur alhamdulillah. Tak ada jodoh pun, syukur jugak."

"Kenapa pulak?" Tengku Fazrul Shah pelik.
"Syukurlah sebab saya tak jadi janda muda. Tak adalah kepala saya ni pening nak jaga makan minum encik. Tengok dari perut encik pun saya dah boleh agak yang encik ni mesti kuat makan. Haha!"
Fazliatun ketawa besar.

"Amboi, sukanya dia!"
Tengku Fazrul Shah memegang perutnya. Nampak boroi sangat ke perut dia? Sedangkan perut dia ada six pax lagi.

Perempuan ni memang saja nak kenakan dia. Ada sahaja jawapan yang dia nak beri. Cili mulut tu baru tahu. Dia ingatkan, Fazliatun akan merayu padanya seperti yang selalu dibuat oleh ramai perempuan dekat luar sana tu. Namun, sangkaannya meleset sama sekali. Gadis itu benar-benar istimewa. Unik.

Fazliatun tidak seperti gadis-gadis lain yang pernah dia kenal sebelum ini. Orangnya nampak sederhana dari segi penampilan, tetapi ada sesuatu benda yang membuatkan gadis itu kelihatan menarik. Sekali pandang pasti nak pandang dua kali. Bagaikan ada daya penarik.

Tengku Fazrul Shah memandang lagi gadis itu. Wajah Fazliatun nampak tenang dan redup. Apabila dia tersenyum, boleh gugur jantung dibuatnya. Senyumannya memang menawan! Manis sungguh jika dipandang. Sweet sangat. Jangan jatuh hati sudahlah. Cepat-cepat akalnya menidakkan perasaan yang datang menjenguk pintu hati. Tidak mungkin dia boleh jatuh hati pada gadis berperwatakan kampung seperti itu.

"You tak takut ke jika I cari calon lain selain you?" Tengku Fazrul Shah menduga.

"Saya tak takut pun sebab saya tahu encik akan pilih saya." Agak yakin muka Fazliatun.

"Atas dasar apa you boleh beranggapan macam tu?"

"Saya tahulah, encik! Jawapannya dah terbentang luas kat depan mata saya. Dah nak dekat setengah jam saya berada dalam bilik encik. Tu maknanya, encik dah bagi ruang untuk saya masuk dalam hidup encik. Dari pagi tadi saya tengok, nak dekat berpuluh-puluh perempuan yang datang temu duga semuanya masuk bilik tak sampai lima minit. So, saya dah boleh baca fikiran encik biarpun tak sampai satu jam saya kenal encik."

Panjang lebar kata-kata yang keluar dari mulut Fazliatun sehingga membuatkan Tengku Fazrul Shah terkedu seketika. Baru pertama kali jumpa macam dah bertahun kenal. Becok sekali mulut dia macam mulut murai tercabut ekor.

"Macam mana you boleh tahu? Bukannya you ke calon yang paling lambat datang hari ni."

"Siapa cakap saya lambat datang? Pandai-pandai aje encik ni. Serkap jarang betul tau."

Fazliatun merenung Tengku Fazrul Shah, mohon jawapan.

"I sendiri yang cakap."

"Encik manalah nampak saya. Kalau dah sibuk sangat kat dalam uruskan calon-calon isteri encik tu, mana ada perasan saya dah datang ke tidak. Untuk pengetahuan encik, sebenarnya saya dah datang sebelum pukul lapan pagi lagi tau." Fazliatun akhirnya membuka rahsia.

"Biar betul! Awalnya you sampai. You buat apa aje sampai awal macam tu?" soal Tengku Fazrul Shah hairan.

Fazliatun tiba-tiba ketawa.

"Sebenarnya, saya skodeng encik!"
Terbeliak biji mata Tengku Fazrul Shah mendengar cerita Fazliatun.

"You ni ada masalah mental ke?"
Risau juga dia jika gadis itu ada masalah jiwa. Tak pasal-pasal nanti, dia beristerikan seorang perempuan yang sakit otak.

Niatnya untuk mencari calon isteri sementara memang ada tujuan tersembunyi. Namun bukanlah main tangkap muat sahaja. Perempuan yang akan dipilih nanti mestilah calon yang benar-benar layak dan sesuai sahaja memikul tanggungjawab sebagai isteri sementara.

"Tak baik tau encik tuduh saya gila". Air muka Fazliatun berubah.

"Habis tu I tengok lain macam aje. Kalau you siuman, kenapa nak skodeng I pulak? You ingat I ni artis ke sampai nak skodeng-skodeng?"

“Saya skodeng tu sebab nak tengok calon suami saya dari jarak jauh. Teringin juga lihat muka encik. Dibuatnya muka encik senget sebelah ke, hidung tak ada ke, bibir sumbing ke, tak pun mata juling ke, kesian kat saya ni dapat suami tak siap. Lepas skodeng encik, saya terus sarapan kat bawah tu!" jelas Fazliatun satu per satu. Muka dia selamba saja tanpa ada rasa segan ataupun malu.

"Kalau muka I senget sebelah, you tak nak datang temu duga nilah ya. Macam tu, maksud you?"

"Taklah. Saya tetap datang jugak sebab nak cuba nasib. Skodeng tu buat syarat aje. Habis tu saya ingatkan saya sorang aje yang datang. Tu yang saya lepak sarapan dulu. Lepas habis sarapan, tengok-tengok dah penuh orang beratur kat depan ofis encik. Sebab tu saya bagi chance kat dia orang dulu. Dapat jadi calon terakhir pun cukuplah, dari tak merasa langsung."

"Yalah tu. Entah-entah you datang semula sebab dah tergoda tengok muka I yang hensem ni kot. Betul, kan?" Tengku Fazrul Shah tergelak.

Ish, perasan. Muka macam encik ni tak hensem langsung. Harapkan hidung aje mancung sikit, yang lain tu ke laut. Haha!
Fazliatun ketawa berdekah-dekah. Geli hati dia melihat muka cemberut lelaki itu. Kelakar sangat.

Nasib baik aku tak cakap muka kau macam bontot kuali, kalau tak mesti menangis sampai esok. Sempat lagi dia mengutuk Tengku Fazrul Shah dalam hati.

Makin bulat mata Tengku Fazrul Shah memandang gadis itu. Macam nak picit-picit aje badan Fazliatun jadi karipap.

Begitulah peristiwa sebenar yang berlaku semasa Fazliatun datang temu duga kelmarin. Selepas bersiap-siap ala kadar, dia terus menuju ke Stesen Lrt Sentul Timur.

Dia keluar rumah sebelum jam tujuh pagi kerana bimbang lewat menghadiri temu duga itu. Tanpa dia sangka, Tengku Fazrul Shah bersetuju untuk menjadikannya calon isteri sementara. Moga-moga semuanya akan berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

Bunyi jam loceng yang berdering sebanyak lima kali mengejutkan Fazliatun dari lena. Entah bila masa dia terlelap, dia sendiri pun tak sedar. Tahu-tahu sahaja, dah nak dekat masuk waktu subuh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience