Bab 20

Romance Series 37317

FAZLIATUN yang menjadi pemerhati sejak dari tadi hanya mengeluh kecil. Sampai hati Tengku Fazrul Shah meninggalkannya sendirian di situ. Dahlah perut dia sakit, boleh pula suaminya itu main blah macam tu saja. Kurang asam betul mamat sewel tu.

'Takkan dia lupak pulak kat aku? Macam mana aku nak balik ni? Dahlah jauh nak naik teksi. Mana cukup duit sepuluh ringgit ni. Aduh, sakitnya perut aku.'

Muka Fazliatun sudah pucat. Perutnya bertambah sakit pula. Dia memegang perutnya lalu berjalan perlahan-lahan ke jalan raya. Dia sudah nekad. Kali ini kalau ada teksi yang lalu, dia akan menahannya.

Hampir sepuluh minit menunggu, satu bayang teksi pun tak nampak. Dia sudah letih berdiri. Kakinya terasa lenguh-lenguh. Saat itu matahari berada betul-betul tegak di atas kepala. Pandangannya mulai terasa berpinar-pinar dan gelap. Akhirnya dia jatuh rebah ke permukaan tanah.

Mujurlah ketika itu ada sebuah kereta lalu. Kereta itu terus berhenti di bahu jalan. Lalu keluar seorang pemuda yang nampak segak memakai baju kot dan bertali leher. Pemuda itu pantas mendekati Fazliatun.

"Cik okey tak? Macam mana cik boleh jatuh ni? Nasib baik saya nampak tadi. Kalau tak, tak tahulah camne nasib cik." Suara pemuda itu kedengaran cemas. Wajah Fazliatun yang pucat itu diperhatikan penuh simpati.

"Sa...sa...ya...," Suara Fazliatun tersekat-sekat. Tubuhnya terasa lemah untuk bangun.

"Tak apa, cik. Jangan paksa diri tu. Biar saya hantar cik ke hospital ya," ucapnya menawarkan bantuan.

Fazliatun hanya mengangguk kecil. Mulutnya tidak mampu untuk berkata-kata. Seluruh badannya terasa lemah.

Tubuh kecil Fazliatun diangkatnya penuh hati hati. Selepas itu, dia membuka pintu belakang. Fazliatun dibaringkan perlahan-lahan.

"Cik berehat dulu, ya! Kejap lagi kita sampai ke hospital. Jangan bimbang, niat saya ikhlas nak bantu cik."

Fazliatun tidak membalas pertanyaan lelaki itu.

Pemuda yang bernama Firman itu segera menghidupkan enjin kereta. Risau benar wajahnya ketika itu. Pedal minyak ditekan sekuat mungkin menuju ke hospital yang berhampiran. Sesekali, matanya memandang sekilas ke arah cermin pandang belakang. Gadis itu nampak pucat. Moga-moga tidak ada perkara buruk menimpanya.

Pada awalnya tadi dia ada urusan untuk bertemu dengan Mr.Richard di Hotel Grand Season. Tetapi niatnya itu terpaksa dibatalkan kerana ingin menghantar Fazliatun ke hospital. Kasihan pula dia melihat keadaan gadis itu. Jika dia tidak membantu, siapa lagi yang nak diharapkan. Dia benar-benar ikhlas.

Sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur, dia terus membuka pintu kereta. Dia melihat Fazliatun sudah mulai sedar. Mulut gadis itu seperti mahu bercakap sesuatu tetapi dia tidak dapat mendengar apa yang cuba disampaikan oleh Fazliatun.

"Cik dah okey belum?" tanya Firman lembut.

Fazliatun hanya mengangguk. "Saya ada kat mana ni?"

"Kat hospital. Cik kan jatuh tadi. Saya dah tak tahu buat apa. Jadi, saya bawalah cik ke sini. Cik nak check apa-apa tak?" soal Firman lagi.

"Tak apalah awak. Saya ni cuma kena gastrik aje. Bukan teruk mana pun. Dah biasa macam ni."

"Tapi muka cik tu pucat sangat saya tengok. Lebih baik kita masuk dalam dulu dan biar doktor periksa. Nanti kalau jadi apa-apa kat cik, saya jugak yang susah," pesan Firman sedikit prihatin.

Fazliatun sudah mula rasa semacam. Wajah Firman direnung lama. Lelaki sekarang ni bukan boleh percaya sangat. 'Entah-entah orang jahat tak? Tapi muka dia nampak ikhlas.'

"Eh, tak apalah. Terima kasih aje, ya. Saya nak balik dulu." Fazliatun segera turun dari kereta Peugeot itu untuk pulang. Namun belum sempat dia melangkah, lelaki itu pantas menahan.

"Cik tak boleh balik selagi belum ambil ubat kat dalam. Saya tak izinkan cik balik."
'Ish mamat ni. Suka-suka hati dia aje nak tahan aku balik? Dia ingat dia siapa nak halang-halang aku?'

"Saya punya sukalah nak balik. Awak tak ada hak nak larang saya. Saya minta diri dulu. Assalammualaikum!"
Terkebil-kebil Firman melihat gadis itu pergi.

"Nanti dulu cik!"

Dia memanggil Fazliatun.

Fazliatun tidak mempedulikan panggilan lelaki itu. Dia terus berjalan tanpa menoleh ke belakang. Firman pula masih tidak berputus asa mengejarnya. Tercungap-cungap nafasnya berlari.

'Aduh, laju jugak pompuan ni jalan. Macam lipas kudung.'

"Cik tunggulah dulu! Okeylah, saya minta maaf sebab dah paksa cik tadi. Niat saya betul-betul ikhlas nak bantu cik. Tak ada niat lain pun. Cik berhentilah kejap!" Firman semakin dekat dengan Fazliatun.
Akhirnya Fazliatun berhenti dan memandangnya dengan wajah geram.

"Ada apa lagi ni? Saya kan dah cakap nak balik. Awak ni pekak ke atau sengaja buat-buat pekak?"

"Amboi garangnya! Tak manis tau perempuan cantik macam cik ni garang macam tu. Nanti boleh hilang seri muka," usik Firman selamba.

"Dahlah. Saya malas nak buang masa melayan orang tak waras macam awak ni. Saya nak balik dulu."

Ketika Fazliatun baru menapak beberapa langkah ke depan, tiba-tiba perutnya sakit semula.

"Aduh, sakitnya!"

Firman yang melihat Fazliatun mengadu sakit, cepat-cepat menghampirinya.

"Kan saya dah cakap tadi. Tapi cik ni degil. Kepala batu. Nasihat saya langsung tak nak dengar. Lain kali jangan degil. Dahlah jom, saya bawakan cik masuk ke dalam hospital!"

Kali ini Fazliatun tidak membantah. Perutnya betul-betul sakit. Berkerut mukanya menahan pedih. Firman memimpinnya perlahan-lahan ke ruang dalam. Dia hanya menurut. Mujurlah tak ramai sangat orang saat itu. Selepas mengambil nombor giliran, mereka berdua duduk di kerusi paling hadapan.

"Terima kasih!" ucap Fazliatun pendek. Serba salah pula dia atas sikap kasarnya kepada lelaki itu sebentar tadi. Dia menjangkakan lelaki itu orang jahat. Ternyata, sangkaannya meleset sama sekali.

"Sama-sama," balas Firman seraya tersenyum menampakkan barisan giginya
yang putih. Nampak tenang wajah pemuda itu.

Selang beberapa minit kemudian, mereka hanya mendiamkan diri tanpa bersuara. Fazliatun masih menahan sakit. Mukanya nampak pucat sedikit. Sesekali, dia mengerling ke arah anak muda yang duduk di sebelahnya itu.

"Kalau awak nak balik, baliklah dulu. Saya boleh balik sendiri."

"Tak apa. Saya tunggu cik sampai semuanya selesai. Lagipun saya dah tak berapa busy sekarang ni."

Firman hanya memerhatikan gadis itu. Ingin juga dia bertanyakan nama gadis itu tetapi lidahnya menjadi kelu untuk berkata-kata. Dia benar-benar tidak menyangka akan bertemu dengan gadis secantik itu. Bukan saja cantik, malah nampak ayu kerana memakai tudung. Cuma sikapnya ada sedikit kasar. Begitu penilaian Firman tentang Fazliatun.

Tidak lama kemudian, Fazliatun bangkit dari duduk apabila tiba gilirannya. Firman sabar menunggu sehingga segalanya selesai.

APABILA sampai ke selekoh menghala ke Pavilion, tiba-tiba Tengku Fazrul Shah memberhentikan keretanya secara mengejut di bahu jalan. Setelah jauh memandu, barulah dia teringat pada Fazliatun. Kerana leka sangat melayan Nauri, membuatkan dia lupa pada isterinya itu.

"Ya Allah, macam mana aku boleh terlupa kat dia. Kesian dia. Mesti dia tengah tunggu aku sekarang ni." Tengku Fazrul Shah mengeluh panjang. Dia meraup mukanya beberapa kali.

Pantas dia mendail nombor telefon Fazliatun namun tidak berjawab.

"Ish tak angkat pulak pompuan ni. Mana pulak dia pergi?"

Sebenarnya dia pelik dengan kejadian tadi. Bagaimana dengan mudah dia boleh melayan Nauri sedangkan selama ini dia memang tidak suka pada gadis itu? Hairan juga. Dia bagaikan dipukau.
Ketika sedang asyik berkhayal, tiba-tiba telefonnya berdering tanda ada satu panggilan masuk.

‘Siapa pula yang call ni?’

"Hello!"

"Hello sayang. You ada kat mana sekarang ni? Penat tau I tunggu kat sini macam orang bodoh. You jadi datang tak?" Suara manja Nauri kedengaran di telinganya.

"Sorrylah, I tak jadi pergi sana. I ada emergency." Terus dia mematikan talian tanpa sempat Nauri berkata apa-apa.

Dalam fikirannya sekarang asyik memikirkan keadaan Fazliatun. Sudahlah isterinya itu tidak ada banyak duit, macam mana dia nak balik? Tengku Fazrul Shah merasa menyesal pula kerana melayan kerenah Nauri. Kalau dia tidak berjumpa Nauri, sudah tentu perkara begini tak akan berlaku.

Dia mendail lagi nombor telefon Fazliatun. Mujurlah kali ini panggilannya dijawab.

"You ada kat mana tu? I minta maaf banyak-banyak sebab tinggalkan you tadi," ucapnya sebaik sahaja Fazliatun menjawab panggilannya.

"Tak apalah. Saya boleh balik sendiri." Ringkas sahaja jawapan isterinya.

"You marahkan I lagi ke?"

"Tak marah pun. Okeylah encik. Bateri saya dah nak habis ni. Nanti kita
jumpa kat rumah aje. Assalammualaikum!"

"Okey. Waalaikummussalam."

Tengku Fazrul Shah memasukkan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar. Entah mengapa, dia merasakan sikap Fazliatun agak berlainan daripada biasa. Seperti ada yang tidak kena.

Tanpa membuang masa, dia terus masuk ke dalam kereta.

"CIK nak saya hantar sampai mana ni?" Firman bertanya.

"Sampai kat sini ajelah. Saya boleh naik Lrt."

"Tak jauh ke? Cik ni sebenarnya tinggal kat mana?" Firman memandang Fazliatun sekilas.

"Saya tinggal kat Sentul."

"Oh, Sentul. Bukannya jauh sangat. Biar saya hantar ajelah sampai ke rumah cik. Buat susah-susah pulak nak naik Lrt. Waktu petang macam ni banyak tau orang. Mesti sesak."

"Awak ni kenapa baik sangat? Dah tak ada kerja lain ke nak buat daripada menolong saya? Saya boleh balik sendiri. Tak payah nak buat baik pulak." Fazliatun masih berdegil.

Firman ketawa kecil. Gadis ini memang keras kepala.

"Hantar cik balik rumah ni pun kerja jugak. Daripada saya buat kerja tak elok, lebih baik saya bantu cik yang berada dalam kesusahan ni. Dapat jugak pahala, kan. Orang tua selalu cakap. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari."

Fazliatun hanya diam. 'Bagus juga kalau dia nak hantar. Tak payahlah aku nak naik Lrt. Dahlah ramai orang, buat rimas aje. Nak menunggu lagi satu hal. Kalau cepat, tak apa juga. Terima ajelah bantuan dia. Tapi, kalau Fazrul nampak lelaki ni hantar aku sampai rumah, apa aku nak jawab?'

"Maaflah kalau saya ni banyak tanya. Boleh saya tahu nama cik ni siapa, ya? Tak sedap pula nak bercakap kalau tak tahu nama. Susah nak sebut." Firman bertanya spontan.

"Tak payahlah nak tahu. Tak penting pun."

"Apa pulaknya tak penting. Nama ni kan pengenalan diri seseorang. Kalau tak
ada nama, macam mana orang nak panggil. Takkan saya nak panggil cik, hoi hoi aje. Kan tak manis bunyinya."

"Tu pandangan awak, bukan saya. Saya rasa benda macam tu tak penting. Sorry sangat. Saya harap awak faham."

Begitu keputusan Fazliatun. Buat apa dia nak beritahu namanya kepada lelaki itu? Mereka baru sahaja berkenalan. Bukan ada bawa faedah apa-apa pun. Dia sudah berkahwin dan ada suami. Kalau jiran-jirannya nampak dia keluar dengan lelaki lain, sudah tentu jadi buah mulut orang. Dia cukup berhati-hati akan hal yang satu itu. Sebelum berlaku apa-apa, lebih baik dia berjaga-jaga.

"Saya rasa awak hantar saya sampai kat depan kedai tu ajelah! Dah dekat sangat dengan rumah saya," arah Fazliatun.

"Baiklah cik tak bernama. Saya menurut perintah."

Fazliatun dah hampir nak ketawa mendengar kata-kata Firman tetapi masih boleh ditahan. Pandai juga lelaki itu buat lawak. Kelakar.

"Jangan lupa pulak makan ubat tu. Nanti kalau perut cik tu sakit lagi, saya juga yang susah," pesan Firman ketika Fazliatun hendak melangkah keluar dari keretanya.
Fazliatun hanya mengangguk tanda faham.

"Apa pun, saya nak ucapkan terima kasih sekali lagi kat awak sebab awak sudi tolong saya. Kalau awak tak ada tadi, mesti saya dah terbaring sorang-sorang kat situ. Saya minta diri dulu!"

Firman tersenyum lebar memandang Fazliatun.

“Sama-sama. Hati-hati sikit jalan tu.”
Dari jauh dia memerhatikan gadis itu berjalan menuju ke sebuah flat. 'Rupanya kat sini dia tinggal. Senanglah aku nak cari nanti.' Firman benar-benar tertarik hati apabila melihat seraut wajah itu. Rasa tenang jika menatap wajah lembut Fazliatun. Dari air muka, Firman dapat mengagak gadis itu masih belum berkahwin lagi. Paling kurang pun, umurnya sekitar 19 atau 20 tahun.

Setelah hampir dua tahun kecewa kerana ditinggalkan kekasih hati, kali ini hatinya berputik kembali. Dulu dia pernah bertunang dengan seorang gadis pilihan keluarga. Biarpun pada mulanya dia tidak menyukai gadis itu, namun cintanya mulai hadir selepas mereka mengikat tali pertunangan. Dia amat mencintai Farisha sepenuh hati. Tiada wanita lain yang dia sayang selain Farisha.

Ketika majlis perkahwinan mereka akan berlangsung kira-kira dua bulan sahaja lagi, tiba-tiba Farisha berubah laku. Perangainya mula bertukar. Tiada lagi panggilan manja yang sering dia ungkapkan seperti masa tengah hangat bercinta dulu. Yang paling Firman sedih, Farisha membuat keputusan untuk berpisah darinya kerana hendak berkahwin dengan lelaki lain.

Hati siapa yang tidak kecewa dengan peristiwa pahit itu. Tanpa sebab kukuh, Farisha sanggup mempermainkan perasaannya. Akibat kejadian itu, hatinya seakan mati untuk mencintai seorang insan bergelar wanita. Hidupnya terasa kosong. Hampir dua tahun dia membawa duka sengsara. Namun setelah bertemu dengan Fazliatun, hatinya seperti bersinar semula. Gadis itu benar-benar istimewa di matanya.

Dia berjanji akan mencari maklumat berkaitan dengan diri gadis itu. Sebelum Fazliatun disambar orang, lebih baik dia bertindak cepat. Senyumannya kian melebar di bibir. Hari ini merupakan hari paling bahagia dia rasakan. Bayangan Farisha seakan hilang dari pandangan mata. Kini, gadis tidak bernama itu yang berada di hatinya.

Firman meneruskan semula perjalanan ke Bandar Sunway. Di situlah dia tinggal.

P/s: Sorry sebab lewat update. Jangan lupa komen dan vote. Terima kasih

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience