Bab 17

Romance Series 37317

RUANG bilik yang sederhana kecil itu dipandang beberapa kali. Tidak ada sebarang perabot mewah di dalam bilik tersebut melainkan almari baju, meja solek serta tilam yang dibentangkan di atas lantai tanpa katil. Malam tadi dia hanya tidur seorang di situ. Fazliatun pula tidur di bilik sebelah selepas mak dan ayahnya masuk tidur. Itu pun selepas pukul 12 malam.

Tidurnya sedikit terganggu kerana tidak pernah dia tidur di bilik yang kecil seperti itu. Dahlah sempit, panas pulak tu. Mana ada kipas siling ataupun alat penghawa dingin. Hanya ada kipas buruk yang hidup mati tak mahu tu. Terlalu slow macam tak keluar angin. Lepas tu bising pula bunyinya. Hai, nasib betul kahwin dengan anak orang miskin ni. Semuanya serba daif.

Tengku Fazrul Shah menoleh apabila terdengar pintu bilik terkuak. Dia melihat Fazliatun yang masuk. Awal benar isterinya itu bangun. Dia pura-pura tidur. Suis lampu dibuka. Terang menyala.

Fazliatun menarik nafas lega. Mujurlah dia cepat masuk ke bilik sebelum mak dan ayahnya bangun. Bimbang juga andai mereka tahu dia tidur di bilik yang berasingan. Tak kuasa dia nak tidur dengan lelaki itu. Sesuai dengan syarat yang telah ditetapkan dalam kontrak perjanjian itu, dia merasakan tindakkannya itu benar-benar tepat dan wajar.

Fazliatun mengerling ke arah suaminya yang sedang nyenyak tidur itu. Nasib baiklah Tengku Fazrul Shah memakai baju semasa tidur. Dibuatnya mamat sewel itu tak pakai baju, memang tak nak dia masuk. Seram pula apabila dia memikirkan perkara itu. Janganlah Tengku Fazrul Shah buat kerja gila.

Sekejap lagi azan subuh akan berkumandang. Niatnya tadi ingin mengejutkan suaminya untuk solat subuh. Tapi dia tidak sampai hati pula setelah melihat Tengku Fazrul Shah lena sangat tidur. Siap berdengkur lagi. Kuat pulak tu.
‘Ni betul-betul dengkur ke atau buat-buat? Lain macam saja bunyi. Macam suara badak air. Nak kejut ke tak ni? Ala, kejut ajelah.'

"Encik bangun...bangun! Encik tak nak solat subuh ke? Dah pukul enam pagi ni," kejutnya perlahan.

'Aduh minah ni, ganggu betul orang nak tidur. Bingit tahu tak telinga aku. Ni yang aku tak suka kalau dah kahwin. Langsung tak ada privacy.' Tengku Fazrul Shah membebel dalam hati.

Apabila melihat suaminya tidak memberikan sebarang respons, Fazliatun bersuara lagi.

"Bangun encik! Solat subuh," bisiknya di telinga Tengku Fazrul Shah. Perlahan sahaja suaranya.

Tengku Fazrul Shah jadi naik angin. Pantas dia membuka mata lalu menoleh ke arah isterinya. Wajahnya keruh.

"You ni dah kenapa kejut I pagi-pagi buta macam ni. Bising tahu tak. Kalau you nak sembahyang, sembahyang ajelah sorang-sorang. I nak tidur," ucapnya dengan intonasi suara yang tegas.

"Saya memang tak boleh solat sebab uzur."

"Lantak youlah. I nak tidur. Jangan ganggu I."

Setelah itu, Tengku Fazrul Shah terus menarik selimut ke tubuh. Sebenarnya bukan dia nak tidur pun. Sengaja dia nak lihat sejauh mana reaksi Fazliatun. Mesti isterinya itu akan marah. Paling tidak pun merajuk. Biasalah orang perempuan. Mudah tersentuh. Hati lembut macam tisu.

Fazliatun hanya diam. Malas dia nak ganggu tidur suaminya. Dia memandang jarum jam pada dinding bilik. Nak dekat pukul enam pagi. Lebih baik dia buat sarapan. Ada juga faedahnya daripada melayan Tengku Fazrul Shah. Dia segera bangun lalu menutup suis lampu. Kemudian dia melangkah keluar dari bilik itu.

Tengku Fazrul Shah yang merasakan Fazliatun sudah pergi, terus membuka mata. Ingatkan isterinya akan marah. Rupa-rupanya tidak. Pelik betul perempuan ni. Dia segera bangkit dan mencapai telefon bimbitnya. Ada benda yang mahu dicari semalam. Dia terus menaip sesuatu di atas skrin.

Tangannya laju sahaja mencari maklumat. Sekelip mata sahaja pencariannya keluar. Terlopong mulutnya seketika.

“Oh, benda ni rupanya. Patutlah semalam dia malu sangat nak cakap. Aku pun macam orang bodoh tanya. Aiseyman, malunya!”

Tengku Fazrul Shah menepuk dahi. Kelakar juga apabila dikenangkan. Nampak sangat dia ni ketinggalan zaman sampaikan benda begitu pun dia tak tahu. Buat malu saja. Huh!

Fazliatun terus menuju ke dapur. Dia bercadang untuk membuat nasi goreng dan telur dadar sebagai menu sarapan pagi. Pantas dia memotong bawang kecil dan bawang putih. Telur ayam juga dicapai lalu dipukul hingga sebati sebelum dicampurkan dengan beberapa hirisan bawang kecil. Sesudah itu dia memotong lada hijau pula. Tak sampai lima minit, bahan-bahan memasak sudah siap disediakan. Hanya tinggal memasak saja.

Fazliatun mengeluarkan nasi putih dari rice cooker. Selepas balik rumah semalam, dia sempat memasak nasi. Kalau nak buat nasi goreng sedap, tak mahu nasi menjadi lembik apabila dimasak, memang perlu guna nasi yang telah ditanak semalaman. Begitulah petua yang selalu Puan Rohaya kongsikan setiap kali emaknya memasak nasi goreng.

Puan Rohaya memang pandai masak. Sebab itulah dia bekerja di kedai makan sebagai pembantu tukang masak. Sekurang-kurangnya ada juga kerja untuk menampung keperluan harian.

Fazliatun menghidupkan api dapur. Minyak dituang sedikit ke dalam kuali. Apabila minyak sudah betul-betul masak barulah dia memasukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk menggunakan batu lesung. Aromanya sungguh menyelerakan.

"Okey, siap!"

"Sedap betul bau. Sampai ke dalam bilik mak dapat bau nasi goreng Tun masak."
Puan Rohaya sudah tercegat berdiri di belakang Fazliatun. Dia baru saja selesai mandi dan mengerjakan solat subuh. Sekejap lagi dia akan pergi kerja bersama-sama Encik Ahmad. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan menumpang suaminya kerana jarak tempat kerjanya dari Sekolah Cina tidaklah terlalu jauh. Cuma waktu pulang saja dia balik sendiri memandangkan dia balik awal satu jam berbanding suaminya.

"Tun buat special tau untuk mak dan ayah. Siap ada telur dadar sekali ni. Jemputlah makan mak!" pelawa Fazliatun yang sedang sibuk menyediakan sarapan nasi goreng di atas meja. Jug berisi milo panas itu diletakkan bersebelahan dengan telur dadar. Berasap-asap.

Puan Rohaya mencedokkan nasi goreng ke dalam pinggan. Kemudian, dia mencapai jug lalu dituang dengan hati-hati. Ketika itu Encik Ahmad baru melangkah keluar dari bilik dengan baju kerja.

"Jemput makan, ayah!"

Encik Ahmad hanya memandang sekilas menu sarapan pagi yang nampak menyelerakan itu sambil memegang perutnya. Terliur juga dia melihat nasi goreng dan telur dadar yang dimasak oleh Fazliatun. Jarang benar anaknya itu membuat sarapan. Boleh dibilang dengan jari. Kalau ada pun, masak lauk tengah hari.

"Special betul anak ayah masak pagi ni. Nak tambat hati suami ke?" usik Encik Ahmad seraya tersenyum. Dia duduk di sebelah isterinya.

Fazliatun membulatkan mata sebagai isyarat agar ayahnya tidak bercakap terlalu kuat. Bimbang juga jika Tengku Fazrul Shah mendengar perbualan mereka anak-beranak. Bukan jauh sangat pun ruang dapur dengan biliknya.

"Mana Fazrul? Tak sarapan sekali ke?" Encik Ahmad bertanya.

"Abang tidur lagi tu. Kesian pulak Tun nak kejutkan dia. Mungkin letih sangat memandu semalam. Kejap lagi bangunlah tu dia," jawab Fazliatun. Macam nak tergeliat lidahnya saat memanggil suaminya dengan panggilan abang. Habis tu kalau bukan abang, nak panggil apa? Takkan nak panggil nama saja. Macam tak sesuai pula. Selama dia duduk di sini, terpaksalah dia membiasakan diri untuk memanggil suaminya begitu.

"Tun tak sarapan sekali ke?" Puan Rohaya pula bertanya. Biasanya, anak gadisnya itu sudah sarapan awal-awal pagi begini.

"Tak apalah, mak. Mak dan ayah sarapan aje dulu. Tun makan kejap lagi dengan abang."

'Ish, mulut aku ni pandai pulak menipu. Pura-pura panggil abang konon padahal menipu. Alah, tak apalah bukan dosa pun. Nama pun tipu sunat. Bukan saja-saja nak tipu. Kalau dah emergency macam ni, boleh aje kot. Eh, kejap! Ada ke tipu sunat? Ah, lantaklah janji mak dan ayah tak curiga.'

“Berapa lama Tun nak duduk sini?” Encik Ahmad bertanya.

“Tak tahu lagi, ayah. Abang belum cakap apa-apa lagi. Mungkin dalam tiga hari aje kot. Nanti Tun tanya abang.”

“Lamalah sikit tinggal kat sini. Nanti kalau Tun dah duduk sana, memang susahlah nak balik,” ucap Puan Rohaya pula.

“InsyaAllah, mak. Nanti Tun bagitahu abang.”

“Jangan paksa dia pulak. Kalau tak boleh tinggal lama, tak apalah. Ayah cuma bagi cadangan aje.”

“Ya, ayah. Tun faham.”

“Dahlah. Mak dengan ayah dah nak pergi kerja ni. Nanti lambat pulak sampai.” Encik Ahmad mencuci tangan dan mulut. Kemudian, dia bangun sebelum memakai kasut kerja.

“Tun, mak nak pergi kerja dulu ni! Tengah hari nanti Tun masaklah lauk apa-apa pun. Kalau Tun letih, tak payah. Beli aje kat luar tu,” ujar Puan Rohaya lagi.

Fazliatun hanya mengangguk. Tangan emak dan ayahnya segera dicium. Dia hanya melihat mereka berdua pergi sehingga kelibat Encik Ahmad dan Puan Rohaya hilang. Udara pada waktu begini sungguh segar dan nyaman. Angin bertiup lembut menjamah tubuhnya. Terasa tenang jiwanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience