Bab 15

Romance Series 37317

Dua bulan kemudian...

MAJLIS perkahwinan yang diadakan di rumah Tengku Marzuki itu begitu meriah dengan kunjungan tetamu. Dari jam sebelas pagi sampai ke waktu Zohor, ada sahaja tetamu yang datang. Semua kerabat Tengku Marzuki dan Tengku Arianis dijemput hadir ke majlis perkahwinan anak lelaki mereka.

Minggu lepas, majlis dibuat di sebelah pihak perempuan. Biarpun rumah flat itu kecil, namun meriah juga. Hajat Puan Rohaya dan Encik Ahmad akhirnya termakbul juga untuk membuat majlis perkahwinan Fazliatun di rumah sewa mereka. Terasa lapang setelah segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Tengku Arianis yang sedang sibuk melayan tetamu buat-buat ceria. Sedangkan dalam hatinya saat itu hanya Tuhan yang tahu betapa terseksanya dia dengan perkahwinan itu. Orang lain yang diharapkan menjadi menantu, lain pula yang dapat. Sakit betul hatinya. Jika boleh dia nak membangkang, namun usahanya sia-sia.

"Pandai betul Rul pilih calon isteri. Cantik budaknya. Bertuahlah you Anis dapat menantu cantik macam tu. Sesuai sangat I tengok dia orang. Macam pinang dibelah dua," puji Datin Farina ikhlas. Tengku Arianis hanya tersenyum kelat. Naik berbulu dia mendengar setiap pujian yang diberikan oleh tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan anak bongsunya itu. Semuanya cakap Fazliatun cantik.
Tak habis-habis nak sakitkan hati aku. Macamlah cantik sangat muka dia tu. Kalau dah miskin tu, tepek bedak banyak macam mana pun tetap nampak buruk.’

Selepas beberapa minit kemudian, muncul pula Datin Mona bersama-sama Nauri. Cantik sungguh Nauri pada hari itu. Dia mengenakan dress pendek berwarna biru laut dengan rambut yang dibiarkan lepas ke bahu. Kulitnya yang putih gebu itu nampak kena dengan dress yang dipakai. Sempurna.

Nauri memeluk Tengku Arianis erat. Diciumnya pipi orang tua itu. Sengaja nak ambil hati Tengku Arianis.

"Nice to meet you, auntie! Congratulation!" ucap Nauri buat-buat gembira. Riaknya nampak tenang. Namun dalam hati, hanya Allah yang tahu betapa kecewanya dia. Bagai nak meletup jantungnya apabila mendapat tahu berita perkahwinan Tengku Fazrul Shah dan gadis kampung itu. Banyak-banyak perempuan dalam dunia ini, kenapa lelaki itu memilih Fazliatun menjadi isteri. Apa kurangnya dia berbanding dengan perempuan miskin itu? Dia jauh lebih cantik dan seksi.

Sakit betul hatinya melihat kemesraan Tengku Fazrul Shah ketika sesi mengambil gambar bersama-sama isterinya. Macam sengaja nak buatkan dia marah. Matanya menjeling tajam ke arah Fazliatun yang sedang dipeluk erat oleh Tengku Fazrul Shah dari belakang. Suasana di sekeliling banglo mewah itu dirasakan berbahang. Panas seluruh tubuhnya. Dia nampak gelisah semacam.

"You cakap nak kahwinkan Fazrul dengan Nauri. Mana pergi janji you tu?" ujar Datin Mona perlahan. Ketika itu, mereka bertiga sedang berada di bawah kanopi yang didirikan di halaman rumah.

Tengku Arianis hanya mengeluh kecil sebelum bersuara.

"You jangan salah sangka, Mona. Ni semua bukan rancangan I. I tak ada terlibat langsung pun pasal perkahwinan ni. Dan I tak pernah terima pompuan kampung tu jadi menantu I."

Sebaik mendengar kata-kata Tengku Arianis, Nauri segera mengalihkan pandangan ke arah wanita yang sebaya dengan mamanya itu.

"Maksud Auntie apa?" soal Nauri pelik.
"Auntie memang tak suka pompuan miskin tu. Rul tu yang berkenan sangat nak buat dia jadi bini. Meluat auntie tengok. Kalau boleh, auntie nak Nauri yang jadi isteri Rul. Tapi nak buat macam mana. Uncle pun dah suka kat pompuan tu dan izinkan Rul kahwin dengan dia. Auntie dah tak boleh nak halang."

"Susahlah macam tu sebab husband you setuju. Nampak gaya, tak jadilah kita nak berbesan, ya. Kecewa betul tau I, "kata Datin Mona.

"Betul kata mama tu. Tak dapatlah Nauri jadi menantu auntie."

"Nauri jangan risaulah. Auntie tak akan berdiam diri. Kita tengok aje macam mana nasib perempuan tu. Jangan ingat dia dah dapat kahwin dengan anak auntie, hidup dia akan senang. Auntie akan buat hidup dia merana. Tengok ajelah nanti." Begitu janji Tengku Arianis.

Tengku Arianis memang kecewa. Hasratnya untuk bermenantukan Nauri tidak menjadi kenyataan. Namun dia tidak akan pernah berputus asa. Dia berjanji akan menyingkirkan Fazliatun dari keluarganya sedikit masa lagi. Selagi perempuan itu tidak disingkirkan, selagi itulah hatinya tidak akan tenang.

"Anis...Anis!" Ketika sedang rancak mereka berbual, tiba-tiba namanya dipanggil oleh Tengku Marzuki.

"Sekejap ya, Mona. Husband I panggil I pulak. You makanlah dulu dengan Nauri. Kejap lagi kita sambung borak semula."
Pantas dia menuju ke arah suaminya yang sedang berdiri berhampiran dengan pelamin.

"Ada apa abang panggil saya ni? Saya nak berbual dengan Mona pun tak boleh. Kacau daun betullah." Muka Tengku Arianis masam saja.

"Awak tu kalau dah berbual dengan kawan baik awak memang tak ingat benda lain. Sibuk sangat bercerita sampai lupa nak tengok anak kahwin. Benda apa yang penting sangat tu?"

"Dah kahwin biarlah dia. Nak tengok apa lagi?"

"Awak tak nampak ke anak dan menantu awak tu tengah bergambar. Lepas ni nak ambil gambar keluarga kita pulak," kata Tengku Marzuki seraya meluruskan telunjuk ke arah Tengku Fazrul Shah yang sedang bergambar di atas pelamin. Pelamin itu dibuat bersebelahan dengan taman bunga. Sungguh cantik hiasan dan dekorasi pelamin itu.

Tengku Arianis buat-buat tidak dengar. Dia ingat suaminya memanggil dia ke situ kerana ada hal penting. Rupa-rupanya pasal nak bergambar sahaja. Buang masa betul. Kalau tak mengenangkan Tengku Fazrul Shah itu anaknya, tak ada masa dia nak ikut kata suaminya.

"Tak kuasalah saya nak bergambar dengan pompuan tu. Saya tak nak," bantah Tengku Arianis dengan suara yang ditahan-tahan. Bimbang juga dia jika ada yang mendengar perbualan mereka.

"Jangan nak buat hal pulak kat sini, Anis. Awak tak malu ke orang tengok nanti kalau awak tak bergambar sekali dengan Fazrul. Jangan nak malukan saya tau!" Geram pula Tengku Marzuki melihat perangai degil isterinya.

"Baiklah. Saya ikut aje cakap abang. Tapi, jangan ingat saya suka! Saya tak akan pernah terima dia sebagai menantu. Sampai bila-bila pun saya tak akan terima dia. Abang kena hormat pendirian saya ni." Begitu kata Tengku Arianis.

Tengku Marzuki hanya mengangguk lemah. Keras betul hati isterinya. Setelah itu, Tengku Arianis kembali semula ke arah Datin Mona dan Nauri. Daripada dia sakit mata melihat muka menantunya, lebih baik dia berbual.

Tengku Fazrul Shah dan Fazliatun masih lagi bergambar dengan macam-macam gaya. Naik kekok Fazliatun dibuatnya. Sekejap berdiri, sekejap duduk. Sudah naik lenguh kedua-dua belah kakinya.

"Cuba Tun pandang mata Tengku. Tengku pulak renung mata Tun. Saya nak ambil gambar dari sudut kiri. Okey, sedia!" arah Roslan selaku jurugambar.

Wajah Fazliatun sudah merona merah. 'Alamak, part ni yang paling aku tak suka. Mana boleh main renung-renung mata macam ni. Boleh jadi juling biji mata aku nanti, keluh Fazliatun dalam hati.

Tengku Fazrul Shah pula buat muka selamba saja. Anak matanya asyik merenung wajah Fazliatun yang berada hanya beberapa inci darinya. Kali ini barulah dia dapat melihat dengan jelas muka isterinya itu. Kulitnya nampak halus, bibirnya merekah bak delima, manakala hidungnya pula kelihatan sedikit mancung dan comel. Cute sangat.

Dup dap dup dap! Jantung Tengku Fazrul Shah tiba-tiba berdegup kencang. Nafasnya turun naik, menahan debaran hebat di dada.

'Apa kena dengan aku ni?' Hatinya berbisik resah.

Dia masih tekun memandang wajah Fazliatun. Tidak berkelip langsung matanya. Biarpun sudah diisyaratkan untuk menukar posisi, dia masih tidak berganjak. Seperti sudah terpaku di situ.

"Encik...encik dah habislah. Encik tak dengar ke abang tu panggil?" bisik Fazliatun perlahan di telinga Tengku Fazrul Shah.

Dia masih diam tidak bergerak.

"Encik..." Fazliatun mencucuk pinggang Tengku Fazrul Shah. Susah sangat nak dengar.

"Ish, gelilah!"

Apabila berasa pinggangnya dicucuk oleh seseorang, barulah dia tersedar. Terpinga-pinga dia sebentar. Mujurlah tidak ada yang perasan. Malu mukanya.

"I nak ambil gambar Tengku dengan family pulak," ucap Roslan kemudiannya.
Anis! Suara Tengku Marzuki kedengaran nyaring.

Belum sempat Tengku Arianis berbual lanjut dengan Datin Mona dan Nauri, namanya dipanggil lagi. Dengan muka masam, dia menuju ke arah suaminya.
Semua keluarga Tengku Marzuki dan Encik Ahmad diajak bergambar sebagai tanda kenangan. Tengku Arianis yang sejak tadi masam hanya menurut tanpa berkata sepatah pun. Dia berdiri di sebelah Puan Rohaya. Apabila banyak mata yang memandang ke arah mereka, akhirnya dia terpaksa tersenyum walaupun nampak ketara wajah ketatnya.

Tengku Yuhanis Aisyah dan Tengku Fakhrul Faiz mengambil tempat di belakang sekali. Itulah kakak sulung dan abang Tengku Fazrul Shah. Mereka berdua sudah pun berkahwin.

"Alah, Nauri pun nak ambil gambar jugak." Tiba-tiba Nauri datang sambil tersengih-sengih. Dia buat muka tak tahu malu.

"Marilah dekat dengan auntie, Nauri. Kita ambil gambar sekali!" ajak Tengku Arianis ceria.

Terkedek-kedek Nauri berjalan mendekati Tengku Fazrul Shah. Fazliatun hanya memandang sekilas gelagat perempuan gedik itu. Menyampah. Nauri meletakkan tangannya di bahu Tengku Fazrul Shah sehingga membuatkan lelaki itu naik rimas. Nauri melebarkan senyum apabila lensa kamera mengambil gambar mereka.

"Sorry abang, boleh tak abang ambil gambar I dengan Fazrul aje? I nak simpan buat kenangan," pinta Nauri tanpa rasa malu. Suaranya dibuat-buat manja. Tubuh rampingnya pula dilentokkan ke tubuh Tengku Fazrul Shah. Lelaki itu seperti mati kutu. Diam bagaikan terkena renjatan elektrik. Dia hanya mengikut segala kata Nauri.

"Boleh ke Tengku?" soal Roslan sambil menggaru-garu kepala.

Tengku Fazrul Shah hanya mengangguk kecil.

Klik! Klik! Klik!

Hampir tiga kali gambar diambil. Mula-mula, Nauri memaut erat tangan Tengku Fazrul Shah. Gambar kedua, Nauri mendekatkan tubuh ke dada bidang lelaki itu dan gambar terakhir Nauri berposing ala-ala model sambil menatap muka Tengku Fazrul Shah. Fazliatun yang berada di sebelah mereka hanya memandang tanpa ada perasaan. Meluat pula dia melihat kegedikan Nauri. Macam kemaruk jantan. Ish, geli.

"Mesti cantikkan gambar kita, Rul? Nanti kalau nak cuci gambar tu, I nak jugak tau gambar kita yang ni. Nak simpan dalam album I. Kalau rindu aje, boleh I tengok gambar tu," ucap Nauri sedikit manja.

Tengku Marzuki naik meluat melihat tingkah Nauri. Memang dasar perempuan murahan. Manakala Tengku Arianis pula sudah tersenyum lebar memandang Nauri dan Tengku Fazrul Shah. Nampak sesuai sangat jika mereka berdua menjadi pasangan suami isteri. Macam inilah baru orang cakap serasi. Bagai pinang dibelah dua.

Rizal yang sejak tadi jadi pemerhati turut mengambil gambar. Dia melihat wajah Tengku Fazrul Shah sungguh ceria pada majlis perkahwinan itu. Berseri-seri mukanya. Kasihan dia melihat Nauri.

"You tak sedih ke, Nauri?" soalnya perlahan.

Nauri menoleh ke arah Rizal sambil tersenyum.

"Buat apa nak sedih. Bukan ada orang mati pun kat sini. Merepeklah you ni, " ucap Nauri selamba. Pura-pura ceria.

"Macamlah I tak tahu perasaan you tu. Bukannya I tak tahu pasal you. Semuanya dalam pengetahuan I."

"You jangan nak buah kecoh. Nanti orang dengar pulak. Diamlah! " marah Nauri. Cepat-cepat dia melangkah menjauhi Rizal.
Rizal tersengih.

'Nauri, Nauri! Dengan aku pun kau nak kelentong. Mengaku ajelah kan senang. Takut sangat nak bagitahu.' Rizal menggeleng.

Keceriaan Tengku Fazrul Shah itu membuatkan dia cemburu. Sebolehnya, dia tak suka melihat rakan baiknya gembira. Tak layak lelaki itu mengecapi kebahagiaan. Rizal tak akan biarkan perkara itu berlaku. Dendam lamanya masih membara sehingga kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience