Bab 9

Romance Series 37317

TENGKU FAZRUL SHAH meneruskan pemanduan menghala jalan menuju ke rumahnya. Sesekali, matanya melirik ke arah Fazliatun yang dilihatnya semakin ayu dan menawan. Nampak berseri-seri wajah gadis itu. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia memuji kecantikan wanita bertudung. Sebelum ini, jangankan nak pandang, nak puji pun tak pernah. Perempuan berhijab memang bukan taste dia.

"Saya laparlah, encik! Encik tak lapar ke?"
Tiba-tiba Fazliatun bersuara. Dia memegang perutnya yang kian rancak berbunyi sejak tadi. Mana tak lapar, nak dekat pukul 3.30 petang dia masih belum menjamah walaupun secubit nasi. Pagi tadi pun dia langsung tidak mengambil sarapan sebagai alas perut.

"You belum makan tengah hari lagi ke? I ingatkan you dah makan."

"Saya memang nak makan tadi. Habis tu encik call nak jumpa saya. Manalah saya sempat nak makan," jelasnya jujur.

Kasihan pula Tengku Fazrul Shah melihat Fazliatun.

"I minta maaf sebab buat you lapar. Sorry sangat. Nanti kita makan dekat rumah I. Mesti mama dah masak sedap-sedap untuk sambut calon menantu dia. You tahan sikit ya, sayang!"

Fazliatun jadi geli-geleman pula apabila mendengar lelaki itu memanggilnya dengan panggilan sayang.

‘Dah masuk air agaknya dia ni nak bersayang-sayang bagai. Dia sendiri yang buat syarat tak boleh jatuh cinta, tiba-tiba dia pulak jadi jiwang karat. Cakap tak serupa bikin.’

"Jauh lagi ke rumah encik? Saya tak tahan sangat ni. Sebenarnya, saya ada gastrik," beritahu Fazliatun tanpa berselindung lagi. Wajahnya sudah berkerut menahan sakit. Selalu juga dia kena gastrik jika terlewat makan.

Tengku Fazrul Shah sudah gelabah. Tidak tentu arah jadinya dia. ‘Apa aku nak buat ni?’ Dia seperti mati akal untuk berfikir. Pedal minyak ditekan sekuat mungkin agar cepat sampai ke rumahnya.

"Rumah I dah tak jauh lagi ni. Lagi 12 minit kita sampailah. You tahan sikit, ya! Im so sorry about that. Sebab I, you dapat gastrik!" Jelas serba-salah muka Tengku Fazrul Shah.

Entah mengapa, dia terlalu bimbangkan keadaan Fazliatun saat ini. Kereta dipandu laju menyusuri jalan raya.

Sampai sahaja di rumahnya, dia terus memarkirkan kereta di ruang garaj. Setelah itu, dia membukakan pintu untuk Fazliatun. Gadis itu hanya diam sambil memandang wajah risau Tengku Fazrul Shah. Kelakar juga dia melihat perubahan sikap Tengku Fazrul Shah yang tiba-tiba prihatin pada dirinya.

Dia mengarahkan Fazliatun masuk ke ruang dalam.

"Jemputlah masuk!" pelawanya lembut.

Fazliatun melangkah perlahan-lahan ke ruang tamu.

"You duduk berehat kat sofa ni dulu! Biar I ambil ubat untuk you."

Tanpa banyak bicara, dia terus berlalu ke dapur. Ketika itu dia terserempak dengan mamanya yang sedang berdiri di tingkat atas.

"Lambatnya Rul sampai rumah? Singgah ke mana saja?" soal Tengku Arianis seraya tersenyum manis.

Tengku Fazrul Shah hanya membisu. Dia tidak menjawab pertanyaan mamanya dan meneruskan langkah ke peti kecemasan. Tangannya ligat membuka kotak itu lalu mencapai satu ubat yang berwarna merah.

Sesudah itu, dia mengambil air masak dan gelas sebelum bergegas ke ruang tamu.
Dia meletakkan ubat itu di atas meja lalu bersuara. "You makan ubat ni cepat! Biar perut tu tak sakit lagi," katanya begitu prihatin.

Fazliatun hanya menurut tanpa banyak soal. Sambil meneguk air masak bersama ubat gastrik, matanya tunak memandang ke sekeliling ruang tamu banglo mewah itu. Sungguh cantik perabot-perabot dan kerusi kayu yang terdapat di situ. Kagum dia melihatnya.

Terlalu jauh berbeza jika nak dibandingkan dengan rumah flatnya. Kalaulah dia dapat tinggal di rumah sebesar ini, sudah tentu seronok. Nak main kejar-kejar pun boleh. Memang cukup luas.

Tengku Arianis yang sejak tadi memerhatikan tingkah anak bujangnya itu meninjau-ninjau ke ruang tamu. Kelihatan, ada seorang gadis bertudung sedang duduk di sofa dan sedang rancak berbual dengan Tengku Fazrul Shah. Mungkin inilah dia gadis yang anaknya katakan tempoh hari. Tengok dari gaya dan air muka, macam anak orang miskin saja. Tengku Arianis terus mencemikkan muka, tanda tidak berkenan dengan pilihan anaknya.

Ketika Tengku Fazrul Shah memberitahunya akan membawa seorang calon isteri pada hari ini, dia betul-betul teruja untuk melihat calon menantunya itu. Dalam fikiran, dia dapat membayangkan gadis yang akan menjadi isteri Tengku Fazrul Shah mesti berasal dari keluarga yang punya nama dan pangkat. Namun, apa yang dia lihat di depan matanya sekarang terlalu jauh lari dari apa yang dia sangkakan.

Tengku Arianis menapak perlahan-lahan ke ruang tamu. Dia berdeham dua kali sambil memandang Fazliatun dengan muka masam. Fazliatun hanya tersenyum sebagai tanda hormat.

"Mama, Rul kenalkan inilah dia Fazliatun...calon menantu mama yang Rul bagitahu tu," terang Tengku Fazrul Shah gembira. Dia pasti, mamanya akan suka melihat Fazliatun.

Tengku Arianis hanya diam tanpa suara sebelum melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan mereka berdua. Mukanya kelat sahaja.

"Mama ni kenapa muka masam aje? Mama tak suka ke Rul bawa calon menantu untuk mama?"

Tengku Fazrul Shah pelik melihat sikap mamanya. Hari itu, beria-ia sungguh mamanya ingin bertemu dengan Fazliatun. Setelah Fazliatun ada di depan mata, lain pula jadinya.

‘Apa kena dengan mama ni? Lain macam saja muka dia tengok Fazliatun. Gadis sebaik ini pun takkan mama tak suka kot?’

"Kat mana Rul kutip perempuan ni?" tanya Tengku Arianis sinis. Matanya galak merenung Fazliatun. Fazliatun sudah mula rasa tidak sedap hati. Dia dapat merasakan wanita itu tidak menyukainya.

"Apa mama cakapkan ni? Rul tak pernah kutip dia. Dia bukannya gelandangan yang perlu Rul kutip untuk jadikan isteri Rul. Mama tak ada hak untuk menilai dia macam tu sekali." Marah betul Tengku Fazrul Shah pada mamanya. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya apabila Tengku Arianis menilai harga diri Fazliatun serendah itu.

"Mama tak suka dan tak akan pernah terima perempuan miskin macam dia untuk jadi menantu mama. Tengok muka pun mama dah tahu asal usul keturunan dia dari mana. Dah tak ada perempuan lain ke dalam dunia ni yang Rul nak jadikan isteri? Mama tak suka pompuan ni jadi menantu mama."

Tengku Arianis memang tidak salah meneka. Nalurinya begitu kuat mengatakan gadis itu anak orang miskin. Entah mengapa, dia sungguh mementingkan pangkat dan harta yang tidak menjamin apa-apa. Baginya, pangkat dan harta seseorang lebih bernilai dari itu semua. Anak orang miskin seperti Fazliatun, manalah layak berdampingan dengan anak orang kaya. Enggang manakan boleh terbang sama tinggi dengan pipit.

Fazliatun hanya menundukkan wajah ke lantai. Dia tidak berani menentang mata galak Tengku Arianis yang asyik memandangnya dengan pandangan tajam. Hati kecilnya tersentuh juga mendengar cacian dan hinaan dari mulut wanita itu. Walaupun dia orang miskin, namun dia masih punya harga diri. Jika tidak mengenangkan Tengku Fazrul Shah, sudah lama dia melawan segala bicara wanita separuh umur itu. Biadab sangat.

"Jadi mama bangga sangatlah dengan pangkat dan harta yang mama ada? Mama kena ingat, kekayaan kita ni datang dari Allah! Esok lusa, kalau Dia nak tarik bila-bila masa aje kita boleh jatuh miskin mama. Rul tak sangka mama yang Rul kenal selama ni lebih
pentingkan pangkat dan harta sampai sanggup hina keturunan orang. Rul sedih mama!"

Sedih hatinya mengenangkan sikap Tengku Arianis. Malu dia pada Fazliatun. Mana dia nak letak muka? Tengku Fazrul Shah terus bangkit dari duduk lalu menarik tangan Fazliatun supaya berdiri.

"Kalau mama tak suka dengan pilihan Rul, terpulanglah. Rul tetap akan kahwin dengan Fazliatun yang mama anggap anak orang miskin ni. Walaupun mama tak restui hubungan kami berdua, Rul tetap akan pilih dia sebagai isteri."

"Rul jangan nak besar kepala! Mama tak akan izinkan Rul kahwin dengan perempuan tak guna ni. Hei perempuan, ubat apa hah agaknya yang kau dah bagi kat anak aku sampai dia jadi kurang ajar kat aku? Mari sini kau! Sakit betul hati aku!"

Tengku Arianis sudah naik gila. Dia pantas menarik tangan Fazliatun lalu menolaknya dengan kuat. Akibatnya, Fazliatun jatuh tersungkur di atas lantai. Tengku Fazrul Shah yang terkejut dengan tindakan mamanya terus menghalang. Ketika itu, papanya, Tengku Marzuki baru pulang ke rumah. Dia terus meluru masuk ke dalam apabila mendengar suara bising.

"Astaghfirullahalazim, Anis! Apa nak jadi dengan awak ni sampai naik hantu macam ni? Apa sebenarnya yang dah berlaku?" soalnya bengis.

"Abang tengoklah anak abang ni! Ada ke patut dia nak kahwin dengan perempuan miskin ni. Anis tak suka dia!" Jari telunjuknya lurus ke arah Fazliatun yang masih terbaring di atas lantai.

"Awak jangan nak jadi gila! Siapa pun pilihan Rul, awak tak ada hak nak tentukan siapa yang layak jadi isteri dia. Biarlah dia kahwin dengan budak ni. Daripada dia buat maksiat dengan gadis-gadis seksi kat luar sana tu, lebih baik dia kahwin. Awak nak tengok anak awak usung anak dara orang ke hulu ke hilir tanpa sebarang ikatan ke? Rul jangan dengar cakap mama! Kalau Rul nak kahwin, papa tak ada sebarang bantahan. Papa izinkan Rul kahwin dengan dia! Pedulikan kata-kata mama."

Terbeliak biji mata Tengku Arianis mendengar kata-kata suaminya. Semakin baran dia melihat gadis miskin itu. Terasa berapi-api seluruh tubuhnya.

"Abang dah gila ke?" pekik Tengku Arianis bagaikan orang tidak siuman.

Tengku Marzuki sudah tidak sabar melihat perangai biadab isterinya. Tanpa sedar, tiba-tiba tangannya menampar pipi gebu Tengku Arianis akibat terlalu marah. Dia tidak dapat mengawal emosinya.

Tengku Arianis terdorong sedikit ke belakang gara-gara ditampar oleh suaminya. Berbekas telapak tangan Tengku Marzuki di pipinya. Terasa pijar!

Tengku Marzuki meraup telapak tangan ke muka. Beberapa kali dia beristighfar kepada Allah atas keterlanjurannya tadi. Bukan niatnya untuk berkasar dengan isterinya, tetapi dia malu kerana gagal mendidik Tengku Arianis menjadi isteri yang solehah.

Tengku Arianis yang berang atas sikap suaminya itu terus berlalu ke tingkat atas. Pintu bilik dihempas dengan kuat tanda protes. Tengku Marzuki hanya menggeleng melihat tingkah isterinya. Dari dulu sampai sekarang, perangai isterinya itu langsung tidak berubah-ubah. Tengku Arianis suka sangat merendah-rendahkan martabat orang miskin seperti Fazliatun. Moga-moga isterinya itu akan berubah pada suatu hari nanti. Begitu doanya dalam hati.

"Maafkan isteri pak cik, ya!" pintanya pada Fazliatun setelah gadis bertudung litup itu duduk di sofa bersama-sama Tengku Fazrul Shah.

"Tak apa, pak cik! Saya baik-baik aje," tutur Fazliatun lembut.

Sejuk hati Tengku Marzuki memandang gadis itu. Bukan sahaja cantik, malah berbudi bahasa. Pandai sungguh Tengku Fazrul Shah memilih calon isteri. Dia sungguh berkenan andai anak lelaki bongsunya itu menyunting Fazliatun sebagai isteri.

"Rul tak ajak dia makan ke?" tanya Tengku Marzuki kemudiannya.

"Oh ya, lupa pulak Rul. Tadi memang nak ajak Fazliatun makan. Tak sangka pulak jadi macam ni."

Dia memandang Fazliatun. Jom kita makan!

Tengku Fazrul Shah mempelawa Fazliatun makan. Papanya turut ikut makan kerana ada banyak perkara ingin dibualkan dengan calon menantunya itu. Banyak juga lauk-pauk yang dimasak oleh Mak Kuntum. Ada sambal udang, ayam masak merah, sayur kailan goreng serta telur mata kerbau.

*Rajin2 tau vote dan komen kalau korang nak tahu kisah seterusnya. Thanks pada yang sudi baca coretan yang tak seberapa ni. Selamat membaca!

Berselera sungguh Fazliatun makan sampai tak sedar dirinya diperhatikan oleh Tengku Fazrul Shah. Lelaki itu tersenyum-senyum memandangnya. Fazliatun buat-buat tak nampak. Mulutnya riuh bercerita dengan Tengku Marzuki. Ternyata, bakal mertuanya itu baik dan peramah orangnya. Tidak seperti Tengku Arianis yang agak sombong dan berlagak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience