Adelia berasa tidak selesa lebih-lebih lagi apabila Fahri duduk di sebelahnya. Sebolehnya dia merapatkan diri ke pintu tetapi apabila kereta yang dipandu oleh Suzila melalui jalan yang berliku tubuhnya secara spontan terdorong ke tepi sehingga bergesel badan dengan Fahri.
"Amboi, kak. Sampai bergesel bahu nampak." Suzila mengusik. Sempat lagi matanya melirik pada Adelia melalui cermin pandang belakang.
Adelia menendang belakang kerusi pemandu sambil melemparkan jelingan tajam kepada Suzila. Suzila pula sudah tergelak-gelak sambil menjelirkan lidah.
"Hisy, kamu berdua ni... apa perangai macam tu? Buat malu orang saja tengok," tegur Zubaidah yang duduk di sebelah tempat duduk pemandu.
"Kakak tu..." Suzila mengomel.
"Alah, engkau pun sama saja. Cuba memandu tu elok-elok sikit. Kalau tak boleh nak pandu biar mak saja yang pandu." Zubaidah mula membebeli anaknya.
Fahri yang duduk di tengah-tengah antara Adelia dan Zarul mula berasa tidak selesa. Dia cuba mengelak dari terus bergesel bahu dengan Adelia tetapi ruang kereta yang sempit itu menyukarkannya untuk berkalih. Dia semakin dihurung rasa bersalah apabila dua beranak di hadapannya itu masih lagi berbalah sesama mereka. Tiba-tiba terbit rasa kesal di hati kerana menerima pelawaan Zubaidah menumpang keretanya untuk ke rumah bapa mentua Badrul.
"Abang jangan terkejut. Orang perempuan dalam family saya ni memang pelik sikit perangai mereka. Ada yang kuat membebel, ada yang kuat menyakat, ada juga yang kuattt... bikin orang sakit kepala," kata Zarul dengan nada yang perlahan. Sempat lagi menjuihkan bibir ke arah Adelia.
Fahri terdiam. Hujung matanya sempat melirik pada Adelia yang sedang melontarkan pandangan ke jalan raya. Dia tidak menyangka dapat bertemu dengan Adelia di situ. Lebih tidak menyangkakan dia bertemu dengan seluruh ahli keluarga Adelia di kampung itu. Rupa-rupanya selama ini di kampung itu mereka bersembunyi setelah apa yang terjadi kepada Firzanah.
"Kenapa engkau tipu emak engkau tadi?" bisik Fahri perlahan.
Adelia segera menoleh. Dahinya berkerut saat melihat Fahri yang sedang berpeluk tubuh sambil memandang ke hadapan.
"Bila masa pula aku tipu emak aku?" soal Adelia kembali . Juga dengan nada yang rendah. Tidak mahu keluarganya mendengar perbualan mereka.
Bibir Fahri meleret sinis. "Habis tu kenapa tadi engkau cakap yang engkau tak kenal aku?"
Adelia terdiam. Matanya terkebil-kebil memandang Fahri yang masih lagi memandang ke hadapan.
"Dah memang aku tak kenal engkau. Aku tak tahu berapa umur engkau? Sebaya atau tidak? Asal mana? Ada berapa orang adik beradik? Dah kahwin ke belum? Mana aku tahu semua tu. Lagi satu... kita tak rapat untuk dikategorikan sebagai saling mengenali," hujahnya panjang lebar.
Kali ini giliran Fahri pula yang terdiam. Dia memandang Adelia tidak berkelip. Entah kenapa dia merasakan gadis itu seperti sedang menyindirnya. Hatinya bagaikan digeletek sesuatu tatkala melihat wajah cemberut Adelia. '
'Boleh tahan comel juga minah ni kalau marah. Macam Urassaya Sperbund pun iya juga,' bisik hati Fahri. Namun segera dia usir perasaan itu dari terus bermain di ruang hati.
Adelia mula berasa tidak selesa apabila Lelaki di sebelahnya itu berterusan merenungnya. Lantas dia menjegilkan mata dan membuat gaya mahu menumbuk muka Fahri. 'Tengok... tengok. Aku cungkil mata tu baru tahu,' getus hatinya.
Bibir merah Fahri semakin meleret sinis. Melihat reaksi Adelia membuatkan hatinya ingin menyakiti gadis itu. Lalu dia mendekatkan mukanya ke telinga Adelia.
"Engkau pasti ke yang kita ni tak 'rapat'? Engkau dah lupa yang kita hampir-hampir nak bercium tempoh hari," bisik Fahri ke telinga Adelia. Dia sengaja menderukan nafasnya ke cuping telinga Adelia.
Terbelalak mata Adelia mendengarnya. Tanpa dipinta peristiwa dirinya hampir dicium oleh Fahri terlayar di ruang mata. Wajahnya terus berubah merah padma. Adelia berasa malu tidak terhingga apabila mengenangkan peristiwa tersebut. Leretan sinis yang terukir pada wajah Fahri semakin melebar. Hatinya puas kerana dapat membuat perasaan Adelia kacau bilau.
'Ini baru sikit. Tunggulah nanti pembalasan dari aku atas apa yang engkau dah buat terhadap Firzanah,' bisik hati jahatnya.
Menyedari yang dirinya telah dipermainkan oleh mamat poyo itu, Adelia terus memijak kaki Fahri sehingga membuatkan lelaki itu mengadu sakit.
"Kenapa Fahri?" soal Zubaidah sambil menoleh ke belakang.
Dalam pada wajahnya berkerut menahan sakit sempat lagi Fahri melemparkan senyuman manis kepada Zubaidah.
"Tak ada apa, mak cik. Pinggang ni haa... lenguh lama sangat duduk."
"Oh... mak cik ingatkan apalah tadi. Hmm, dah sampai pun kita kat rumah Cikgu Zainal. Marilah kita turun. Takkan nak berkelah dalam kereta pula." Sempat lagi Zubaidah berseloroh.
Fahri hanya tersengih-sengih. Sempat lagi dia melirik tajam ke arah Adelia. Gadis itu pula awal-awal lagi sudah melarikan diri.
'Siaplah engkau nanti, Adelia. Kalau aku jumpa engkau lagi tahulah apa yang aku nak buat,' bentak hati Fahri lagi.
*****
Badrul tercengang-cengang tatkala melihat Fahri keluar dari perut kereta saudara isterinya. Terus dia meninggalkan kerjanya demi mendapatkan Fahri. Di perkarangan rumah bapa nentuanya ketika itu ramai dengan orang kampung yang datang rewang untuk kenduri kesyukuran malam nanti.
"Bro, mana kereta engkau? Macam mana pula engkau boleh naik sekali dengan saudara isteri aku tu? Eh, Mak Idah. Apa khabar? Lama tak jumpa. Sihat?"
Badrul terus mencium tangan Zubaidah yang kebetulan lalu di situ. Fahri di sebelah terus tidak dihiraukan.
"Macam ginilah mak cik, Badrul. Sekejap sihat sekejap tak sihat. Bila dah tua ni memang banyak penyakit datang. Kena berjaga-jaga sajalah," balas Zubaidah.
Badrul terangguk-angguk. Orang tuanya juga begitu. Apabila sudah memasuki usia senja orang kata memang selalu sangat sakit-sakit badan. Macam-macam penyakit pun datang. Sebagai anak memang kena selalu pantau kesihatan orang tua.
"Tahniah ya Badrul. Dapat anak lelaki ke perempuan?"
"Alhamdulillah anak kembar, Mak Idah. Sepasang. Lelaki dan perempuan."
"Syukur alhamdulillah. Semoga kedua-duanya menjadi anak yang soleh dan solehah. Aaminn," doa Zubaidah.
"Aaminn," balas Badrul dan Fahri serentak.
"Tinggal dulu, ya. Mak Idah nak ke dalam tengok baby. Fahri, nanti senang-senang jemput datang ke rumah. Badrul, nanti bawa tau kawan kamu ni ke rumah Mak Idah. Boleh kita borak lama-lama," kata Zubaidah lagi.
"Insya-Allah, mak cik," balas Fahri bersama senyuman lebar.
Apabila Zubaidah sudah berlalu, Badrul pun terus menyenggol bahu rakannya.
"Apa cerita, beb? Macam mana pula engkau boleh satu kereta dengan mak saudara bini aku?"
"Mak cik Zubaidah tu saudara isteri engkau?" tanya Fahri pula.
"Arwah suami Mak Idah tu sepupu dengan ayah mentua aku. Bau-bau bacanglah orang kata," jelas Badrul sambil mengajak Fahri duduk di bawah khemah yang tersedia di halaman.
Fahri hanya terangguk-angguk mendengarnya. Barulah dia faham mengapa Adelia dan isteri Badrul sangat rapat semasa di sekolah. Rupa-rupanya mereka bersaudara. Dia tidak menyangka orang yang dia cari selama ini rupa-rupanya dekat sahaja dengannya.
"Eh, engkau tak cerita pun lagi macam mana engkau boleh terserempak dengan Mak Idah siap Naik kereta segala bagai. Cup! Sebelum tu... mana barang aku?"
Kali ini Fahri melemparkan jelingan yang tajam kepada rakannya. Lalu dia membaling satu bungkusan plastik kepada Badrul.
"Nah, ambil barang engkau! Semua ni engkau punya pasal. Bagi alamat tak betul sudahnya aku tersesat sampai ke kampung sebelah," gerutunya.
Badrul tergelak-gelak mendengar cerita rakannya itu. Yang sebenarnya dia sendiri terlupa hendak maklumkan kepada Fahri yang di situ sangat sukar untuk mendapatkan jaringan internet.
"Apa-apa pun terima kasihlah beb sebab tolong bawa barang aku ni. Kalau tidak tak tahulah apa nak jadi," kata Badrul sambil membuka beg plastik di hadapannya.
Fahri tercengang saat melihat Badrul menarik keluar songkok hitam dari dalam beg plastik. "Songkok? Apa kat pekan sini dah tak ada jual songkok ke?"
"Ini bukan sebarangan songkok, beb. Ini songkok yang aku pakai masa nikah. Bini aku suruh pakai malam ni. Tak boleh tidak katanya," ujar Badrul sambil menggayakan songkoknya itu.
Fahri hanya mampu menggeleng kepala.
Share this novel