Adelia merenung tiga buah buku latihan bahasa Melayu di atas meja. Matanya tidak berganjak walau sedikitpun. Sambil merenung otaknya ligat bekerja. Mustahil tiga orang yang berlainan mempunyai tulisan tangan yang sama.
Sewaktu di universiti Adelia pernah belajar tentang ilmu grafologi. Grafologi merupakan satu kajian tentang tulisan tangan manusia. Dengan ilmu tersebut dapat menganalisis atau mengenali keperibadian seseorang. Apa yang dia tahu, setiap orang mempunyai tulisan tangan yang berbeza kerana setiap orang memiliki kemampuan otak yang berbeza. Tulisan tangan seseorang diterjemahkan melalui otak atau boleh juga disebut sebagai brain writing. Bahkan, seseorang individu yang cacat anggota tangan mampu untuk menulis menggunakan anggota tubuh yang lain kerana otak yang menggerakkannya. Sebab itulah setiap tulisan tangan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri sekaligus melambangkan personaliti seseorang.
Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mengenalpasti tulisan tangan seseorang. Antaranya adalah dengan melihat ukuran pada setiap huruf. Apa yang Adelia tahu, jika huruf tersebut ditulis dengan saiz kecil dan tidak menyentuh garis atas maka individu tersebut merupakan seorang yang introvert. Terdapat keterbatasan dalam diri individu tersebut untuk keluar dari ruangnya sendiri.
"Cikgu Ammara dah nak balik ke?"
"Iya, cikgu."
Adelia tersedar dari lamunan lalu mendongakkan kepala. Dia melihat Ammara sedang berbual dengan seorang guru di pintu masuk bilik guru. Setahu Adelia, Ammara juga turut mengajar kelasnya dalam mata pelajaran bahasa Inggeris. Barangkali Ammara boleh membantunya. Apabila melihat Ammara sudah kembali ke mejanya, Adelia pun terus bangun dan mendapatkan Ammara. Ammara pula terkejut apabila Adelia tiba-tiba sahaja mendekatinya.
"Cikgu dah nak balik ke?" tanya Adelia berbasa-basi.
"Hmm," balas Ammara pendek. Wajah manisnya terus masam mencuka. Seolah-olah tidak suka Adelia dekat dengannya.
Adelia sedar akan perubahan itu tetapi dia tetap berlagak seperti biasa. Sejujurnya jauh di lubuk hati kecilnya dia agak terasa hati dengan sikap dingin Ammara terhadapnya sepanjang hari itu. Setiap kali dia cuba menegur atau mendekati Ammara pasti gadis bertubuh Langsing itu akan menarik muka dengannya. Dengan rakan sejawat yang lain elok pula Ammara bermanis muka tetapi tidak dengan Adelia.
"Err... kalau saya nak minta tolong sikit boleh tak?"
Ammara tidak membalas. Dia sibuk menyusun bahan mengajar yang akan digunakan pada esok hari. Adelia sedikit terkilan dengan sikap dingin Ammara tetapi dia tidak mengalah begitu sahaja.
"Kalau tak silap cikgu ajar BI untuk kelas 5 Gamma juga, kan."
Adelia memandang Ammara dengan penuh rasa pengharapan tetapi Ammara langsung tidak mengendahkannya. Adelia mengetap bibir. Dia menarik nafas panjang lalu dihembuskan dengan perlahan.
"Cikgu... boleh tak agak-agaknya kalau saya nak tengok buku latihan pelajar..."
Tidak sempat Adelia menghabiskan ayatnya tiba-tiba fail di atas meja Ammara terjatuh ke lantai sehingga membuatkan isi di dalamnya terkeluar. Adelia terus mengutip setiap lembaran kertas yang berselerakan di tepi meja namun di tepis oleh Ammara. Tersentak Adelia dibuatnya.
"Hisy, time orang tengah nak cepat time itu juga nak terjatuh segala bagai barang. Ingat orang tak ada kerja lain ke nak buat? Dahlah nak kena siapkan report lepas tu ada meeting dengan PPD lagi. Hee... serabut kepala ni dibuatnya. Beban kerja makin bertambah tapi tak ada siapa pun yang faham. Orang lain yang kerja cuma dua tiga bulan bolehlah duduk goyang kaki, berseronok sana sini. Yang kerja tetap ni rasa nak mati dengan beban kerja yang tak habis-habis. Bukan kerja akademik pun kena buat juga. Huh! Tepi sikit!" Ammara menolak tubuh Adelia ke tepi seraya beredar dari situ.
Terkesima Adelia dibuatnya. Tubuhnya sedikit terundur ke belakang sewaktu Ammara menolakmya tadi. Matanya terkebil-kebil. Jelas kebingunan pada raut wajahnya. Dia tidak tahu sebab apa Ammara berkata sedemikian rupa tetapi sedikit sebanyak hatinya agak terasa dengan kata-kata Ammara.
Dia sendiri sedar tugasan guru pada masa kini yang semakin mencabar tetapi tidak sepatutnya Ammara berkata begitu lebih-lebih lagi apabila Ammara berkata guru ganti sepertinya hanya tahu goyang kaki dan berseronok sahaja. Dia sendiri turut terbeban dengan tugas yang sedia ada. Bahkan tugas guru lain pun dia yang bantu selesaikan. Adelia tidak tahu kenapa Ammara seperti dingin kepadanya. Apakah dia telah melakukan silap sehingga menyakiti hati gadis itu? Jika dia silap, apakah silapnya?
Adelia mengeluh kecil. Dengan langkah yang longlai dia kembali ke mejanya. Kebetulan pada waktu itu Auni terhendap-hendap di luar bilik guru. Pada awalnya dia datang ke situ kerana ingin berjumpa dengan Adelia tetapi apabila melihat wajah sugul gurunya itu dia memadamkan hasratnya. Dengan rasa hampa yang mencengkam diri dia berpaling untuk beredar tetapi boleh pula dia terlanggar Fahri yang kebetulan baru keluar dari bilik pengetua. Tanpa meminta maaf Auni terus beredar dengan tergesa-gesa.
"Haihhh! Budak-budak sekarang ni bukan tahu nak minta maaf kalau dah terlanggar orang ke apa. Main blah macam tu saja. Samalah dengan budak jari tengah tu. Sampai sekarang masih tak minta maaf kat aku." Fahri membebel sendirian.
*****
"Auni, tunggu!"
Mardhiah melaung nama Auni beberapa kali namun gadis bertubuh kecil itu tetap menonong berjalan tanpa menoleh ke belakang. Mardhiah tiada pilihan selain mengekori Auni dari belakang.
Hatinya tertanya-tanya ke mana saja rakannya itu mahu pergi.
Mardhiah berasa tidak sedap hati selepas melihat Syakila dan Shiha bertindak kasar terhadap Auni. Bukannya dia tidak tahu Syakila dan Shiha selalu membuli Auni. Dia pernah melaporkan perbuatan dua rakan itu kepada pihak warden dan guru disiplin tetapi tiada sebarang tindakan lanjut yang dilakukan terhadap Syakila dan Shiha. Apabila dia ingin mendapatkan penjelasan jawapan yang sering dia dapat seperti begini.
"Alah, budak-budak baru meningkat remaja memang macam tu. Bergurau tak beragak orang cakap. Kamu pun mesti macam tu juga dengan rakan kamu, kan. Dahlah. Tak payah panjangkan lagi hal ni. Cikgu pun dah bagi nasihat kat mereka," kata Cikgu Rusman yang merupakan guru disiplin di situ.
Sedikit sebanyak Mardhiah berasa kesal dengan sikap tidak cakna yang ditonjolkan oleh guru disiplin itu. Bukan Auni seorang sahaja yang menjadi mangsa buli Syakila dan Shiha, bahkan ramai lagi yang menjadi mangsa buli mereka. Pihak disiplin seperti cuba mengambil tindakan dengan menutup mata tentang perkara itu. Mentang-mentanglah keluarga Syakila dan Shiha banyak memberi sumbangan kepada pihak sekolah jadi dengan semudah itu perlakuan tidak elok mereka dimaafkan. Huh! Sangat tidak adil!
Mardhiah melayani perasaan sehingga tidak sedar Auni sudah hilang dari pandangan. Kelam-kabut dia dibuatnya mencari Auni di sekitar kawasan sekolah dan asrama.
"Ke mana sajalah engkau pergi, Auni?" gumamnya.
Sementelahan itu, Izmer yang baru sahaja pulang dari latihan bola sepak terus ke surau untuk menunaikan solat asar. Usai menunaikan solat dia bergegas ke bilik air kerana tiba-tiba sahaja perutnya memulas. Setelah selesai Izmer pun berkira-kira hendak pulang ke dorm. Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi di belakang surau. Sambil menjingkit kaki dia pun melihat ke belakang surau. Pada masa itulah dia melihat Mardhiah terhendap-hendap di belakang surau. Gayanya seperti orang sedang mengintip sesuatu.
"Hah! Buat apa tu?" sergah Izmer dengan niat ingin mengusik.
Terperanjat Mardhiah dibuatnya. Segera dia menoleh. Wajahnya yang putih mulus berubah merah padma tatkala melihat Izmer yang sedang tersengih-sengih memandangnya.
"Hisy, engkau ni... buat terkejut aku sajalah," marahnya sambil memuncungkan bibir.
Izmer semakin galak mentertawakan rakan yang dikenali sejak kecil. Dia tahu Mardhiah tidak marah padanya kerana dia sering mengusik gadis itu dari dulu lagi.
"Yang engkau tu terhendap-hendap kat sini buat apa? Engkau skodeng tandas lelaki, ya..." Izmer berseloroh.
Laju Mardhiah memukul lengannya. Izmer menyeringai menahan sakit.
"Banyaklah engkau punya skodeng. Aku tak macam engkau suka skodeng tandas budak perempuan!" tempelak Mardhiah dengan wajah cemberut.
"Cupp! Tolong sikit ya wahai cik pengawas. Itu dulu. Sekarang ni aku dah cuci tangan. Aku dah tak buat lagi dah kerja-kerja tak berfaedah tu sebab..."
Sekali lagi Izmer tidak menghabiskan ayatnya. Bibirnya tersenyum meleret sambil membayangkan wajah Adelia. Mardhiah berasa pelik melihat Izmer yang tiba-tiba sahaja tersengih sendirian seperti orang tidak betul.
"Baguslah kalau engkau dah cuci tangan. Tak adalah penuh nama engkau dalam buku rekod disiplin," kata Mardhiah sambil meneruskan misi mencari Auni di sekitar surau. Dia yakin yang dia nampak Auni melalui tempat itu sebelum dia terlepas pandang.
Terus terbang lamunan Izmer apabila merasakan Mardhiah seperti menyindirnya. Sambil mencebik bibir dia mengekori gadis bertudung labuh itu.
"Engkau cari apa? Dari tadi aku tengok engkau ni dah macam orang hilang anak."
Mardhiah mengeluh kecil. "Aku cari Auni. Tadi aku macam nampak dia lalu kat sini," ujarnya.
Dahi Izmer berkerut. "Auni? Auni budak kelas aku tu, ke? Yang kecil-kecil orangnya dan pendiam?"
"Iyalah. Habis tu siapa lagi? Engkau ada nampak dia kat mana-mana sebelum engkau datang ke sini?"
Sekali lagi Izmer mengerutkan dahi sambil membuat gaya seperti orang sedang berfikir. Kalau tidak silap semasa dia ingin memulangkan bola sepak ke bilik sukan dia ada terserempak dengan Auni di situ. Gadis itu tergesa-gesa keluar dari bilik sukan apabila melihatnya.
"Kenapa engkau tak cerita dari tadi? Habis tu mana dia pergi?" Mardhiah tiba-tiba sahaja melenting.
Izmer terkejut apabila Mardhiah tiba-tiba sahaja memarahinya. "Lah... mana aku tahu engkau cari dia."
Mardhiah terdiam. Tersedar akan silapnya. Sejujurnya dia takut Auni cuba melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan. Dengan rasa bersalah dia memandang Izmer.
"Aku minta maaf tapi... betul ke engkau nampak Auni tadi?"
Laju Izmer mengangguk kepala.
"Habis tu engkau tak nampak ke dia pergi ke mana lepas tu?"
Izmer mengetap bibir. "Hmm... kalau tak silap dia berjalan terus ke belakang asrama... eh. Tunggulah! Engkau nak ke mana? Aku tak habis cakap lagi!"
Izmer terkejut apabila Mardhiah tiba-tiba sahaja berlari meninggalkannya. Tanpa membuang masa dia turut mengekori gadis itu sehingga ke belakang asrama lelaki. Sekali lagi Izmer terkejut apabila Mardhiah cuba memanjat pagar. Dengan pantas dia menghalang gadis itu.
"Dhia, engkau dah gila, ke? Engkau nak panjat pagar ni buat apa? Engkau nak fly, ke?"
"Aku nak ke tasik!" kata Mardhiah dengan nafas yang tercungap-cungap.
Mara Izmer terbeliak. Dia memandang jalan yang ditutupi semak di sebalik pagar besi itu. Baru dia perasan mereka kini berada di jalan masuk ke tasik. Tempat dia berjumpa dengan Adelia sebelum ini.
"Engkau tahu tak tempat tu kawasan larangan. Kita mana boleh pergi ke sana. Dahlah mari kita balik. Hari dah petang ni. Kalau warden nampak kita kat sini naya dibuatnya," kata Izmer tergagap-gagap. Dia menarik lengan baju panjang Mardhiah sambil mengajak gadis itu beredar dari situ.
Mardhiah menepis tangan Izmer dengan kasar. Wajahnya tampak tegang.
"Aku pernah nampak engkau panjat pagar tu sebelum ni!"
Izmer tidak jadi melangkah. Dia terkedu buat seketika. Wajahnya pucat lesi saat memandang wajah tegang Mardhiah. "Dhia, aku..."
"Aku tak akan beritahu warden pasal hal tu kalau engkau bantu aku panjat pagar ni." Laju Mardhiah bersuara.
Sekali lagi Izmer tergamam. Dia mula tergaru-garu kepala.
"Tolong aku, Iz. Aku mesti pergi ke tasik tu," rayu Mardhiah.
"Aku bukannya tak nak tolong tapi kalau warden atau cikgu disiplin tahu teruk kita kena nanti. Tak pasal lencana pengawas engkau tu pun kena tarik. Lagipun kita tak boleh pergi ke tasik tu. Kat situ... orang cakap ada orang pernah mati bunuh diri," kata Izmer dengan nada yang mendatar. Dia tahu pasal perkara itu melalui Adelia dan sebab itu jugalah Adelia menghalangnya dari datang ke tempat itu lagi.
"Aku tahu!"
Mata Izmer terbeliak. "Engkau tahu?"
Mardhiah mengangguk. "Sebab tu aku nak ke sana. Aku syak Auni pergi ke sana!"
Izmer terdiam. Dia memandang wajah keruh Mardhiah. Tidak pernah dia melihat Mardhiah berkeadaan seperti itu. Gelisah dan penuh ketakutan. Setahunya, Mardhiah yang dia kenal seorang yang tenang dan rasional dalam apa jua keadaan. Akhirnya Izmer mengeluh sendiri.
"Engkau pasti dia pergi ke tasik tu? Engkau dah cuba cari kat tempat lain?"
"Dah! Semua tempat aku dah cari baik di sekolah mahupun di asrama tapi bayang Auni langsung aku tak jumpa!" Luah Mardhiah untuk sekian kalinya.
Izmer berpeluk tubuh. Dia memandang keluar pagar. Mustahil gadis sekecil seperti Auni mampu panjat pagar tinggi itu. Tetapi dia tidak dapat menolak sebarang kemungkinan yang Auni mungkin berada di tasik.
"Okey! Kita pergi ke sana tapi ingat... jangan beritahu sesiapa yang kita pergi ke tasik tu!" pesan Izmer.
Mardhiah mengangguk laju sambil membuat isyarat zip mulut. Izmer menarik nafas panjang.
"Aku harap Auni tak ada di sana," ujarnya.
Share this novel