Bab 13

Drama Series 13156

Zubaidah melabuhkan punggung di kerusi batu yang berada bawah pokok jambu setelah penat menyapu halaman. Penyapu lidi yang digunakan untuk menyapu halaman diletakkan ke tepi. Dia mengesat peluh yang terbit di dahi dengan hujung lengan bajunya.

Angin petang menyapa tubuhnya yang berpeluh. Terasa nyaman seketika. Sesekali Zubaidah mengurut lututnya yang terasa berbisa. Pada usianya yang semakin dimamah waktu semakin banyak sakit yang dihidapnya. Sekejap-sekejap sakit lutut. Sekejap-sekejap sakit badan. Buat kerja sedikit sudah lenguh satu badan. Itu belum masuk lagi dengan tekanan darah tinggi yang dihidapinya.

Anak-anak sudah melarang Zubaidah daripada melakukan kerja-kerja yang berat tapi wanita berusia 58 tahun itu seorang yang tidak suka duduk diam. Ada sahaja kerja yang mahu dibuatnya. Semakin anak-anak melarang semakin dia mahu buat kerja.

"Emak jangan buat apa-apa kerja. Doktor pun dah pesan kena banyakkan berehat. Kalau nak apa-apa emak suruh saja Ila dan Zarul tu buat." Adelia menitipkan pesan sebelum bergerak ke Pontian.

"Ahh! Makin aku duduk rehat makin sakit-sakit badan aku ni, hah," balas Zubaidah dengan wajah yang masam.

"Tapi mak... doktor dah pesan..."

"Hee... nak gerak tu gerak sajalah. Banyak betul bebelnya," rungut Zubaidah sambil menolak tubuh Adelia masuk ke dalam kereta.

Zubaidah tertawa sendiri mengenangkan peristiwa sebulan yang lepas. Hati tuanya dipagut rasa rindu terhadap anak sulungnya yang sedang bertugas di Pontian. Ikutkan hati dia tidak mahu Adelia menerima tawaran guru ganti itu tetapi dia meletakkan seluruh kepercayaan kepada Adelia untuk membuat keputusan. Zubaidah tahu tidak mudah untuk kembali ke tempat yang meninggalkan parut di hati mereka terutamanya Adelia. Mereka berpindah ke kampung halaman arwah suaminya itupun kerana tidak mahu Adelia berterusan menyalahkan dirinya atas apa yang terjadi.

"Hah, berangan!"

Terperanjat Zubaidah dibuatnya apabila disergah dari belakang. Cepat-cepat dia menoleh. Kelihatan Suzila tersengih-sengih memandangnya.

"Hisy, engkau ni buat terperanjat emak sajalah. Berangan apa dah tua-tua ni..."

Suzila ketawa mengekek.

"Alah, apa salahnya berangan. Manalah tahu Ila boleh dapat ayah baru lepas ni."

"Apa merepek ke situ pulaknya. Dah pukul berapa sekarang ni? Adik engkau dah balik dari latihan bola ke belum?" tanya Zubaidah sambil menjengahkan kepala ke jalan.

"Pukul 5.30 petang. Kejap lagi adik baliklah tu," balas Suzila lalu mengambil tempat di sebelah Zubaidah.

Sambil menemani Zubaidah mengambil angin petang Suzila sibuk bermain dengan telefon bimbitnya sehingga ditegur oleh emaknya.

"Main handphone saja kamu ni 24 jam. Emak tahulah kamu tu dah habis SPM tapi tak perlulah asyik pegang handphone macam esok dah tak ada." Zubaidah membebel.

"Mana ada orang main handphone sampai 24 jam," balas Suzila dengan muncung yang panjang. Dia masih lagi leka dengan telefonnya.

"Menjawab! Menjawab! Daripada kamu main handphone manjang baik pergi cari kerja. Dapat juga buat tambah-tambah kalau dapat sambung belajar nanti. Cubalah jadi macam kakak kamu tu. Lepas SPM terus cari kerja kat bandar. Masa dia nak sambung belajar kat UPSI dulu langsung tak minta duit arwah ayah untuk bayar yuran." Zubaidah berterusan membebel.

Suzila hanya mampu menggeleng kepala. Emaknya itu kalau sudah membebel yang tiada kaitan pun boleh termasuk dalam bebelannya. Sebelum bebelan emaknya itu berlanjutan lebih baik dia cabut lari dulu.

"Hah, nak ke mana tu? Emak belum habis cakap lagi," kata Zubaidah apabila melihat anak daranya itu terhegeh-hegeh bangun dari tempat duduknya.

Suzila tersengih-sengih.

"Nak masuk dalam lah. Hehehe. Oh ya, Ila lupa nak beritahu mak tadi kakak telefon. Dia cakap dia balik hari ni. Dia on the way sekarang ni."

Terus berdiri Zubaidah dibuatnya. Dia bercekak pinggang sambil memandang anaknya yang seorang itu seperti singa yang dalam kelaparan.

"Bertuah punya budak. Kenapa tak beritahu awal-awal? Mak tak masak apapun lagi. Kesian kakak engkau nanti dia balik tak ada apa-apa kat dapur. Hee... itulah main handphone manjang," bebel Zubaidah lagi sambil menonong masuk ke rumah.

Suzila yang masih berada di halaman hanya terkebil-kebil mata melihat emaknya masih lagi membebel walaupun sudah masuk ke dalam rumah. Dia tertawa sendirian. Bila dengar suara Zubaidah membebel baru terasa meriah rumah mereka. Dia tidak boleh membayangkan suatu masa nanti rumah itu sunyi tanpa bebelan Zubaidah.

Ting! Ting! Suzila melihat telefonnya asyik berbunyi sedari tadi. Beberapa notifikasi keluar di skrin telefon. Bibirnya meleret senyuman lebar.

"Alhamdulillah. Ada order masuk. Yahoo!"

Suzila terlompat-lompat kegirangan di halaman. Zarul yang kebetulan baru pulang dari latihan bola tercengang melihat kakaknya itu terkinja-kinja seperti orang tidak betul lagaknya.

*****

"Rumah mentua engkau yang mana satu ni?" tanya Fahri sambil memegang telefon.

Ketika itu dia dalam perjalanan ke rumah mentua Badrul untuk menghantar barang yang dipesan oleh rakannya itu. Hampir sejam dia berpusing-pusing di kawasan kampung mencari rumah mentua Badrul.

"Rumah bumbung warna merah. Lepas padang bola betul-betul sebelah surau," kata Badrul di hujung talian.

"Tak... masalah sekarang ni semua rumah bumbung warna merah. Yang mana satu ni, weyh?" kata Fahri lagi dengan nada sedikit meninggi. Matanya meliar mencari rumah yang Badrul maksudkan.

"Kat kampung bini aku ni cuma rumah pak mentua aku tu saja guna bumbung warna merah. Cepat sikit, beb. Aku nak guna barang tu sekarang," gesa Badrul.

"Susah sangat engkau sendirilah ambil kat tepi jalan masuk kampung engkau tu. Aku tunggu kat sana." Fahri memberi cadangan.

Ikutkan hatinya memang malas hendak datang ke kampung isteri Badrul semata-mata menghantar barang Badrul yang tertinggal di dalam keretanya. Badrul pula bukannya mahu bawa sekali barangnya sebelum pulang ke kampung. Tak pasal-pasal dia yang kena menghantar barang tersebut sampai tersesat dibuatnya. Dia bukannya arif sangat dengan jalan kampung.

"Alah, engkau datanglah sini. Boleh tolong rewang sekali. Eh, beb... aku letak dulu. Kalau engkau tak jumpa juga engkau tanyalah kat sesiapa rumah Cikgu Zainal bumbung warna merah. Orang kampung nanti tahulah sebab kat sini tak ada orang lain nama Cikgu Zainal selain bapak mentua aku tu. Okey, beb. Aku blah dulu. Assalamualaikum," ujar Badrul sebelum menamatkan panggilan.

"Kejap, Bad. Bad?! Aduh... macam mana aku nak cari rumah bapak mentua dia ni? Rumah semua sama saja aku tengok. Hee... lain kali bagilah alamat tu betul-betul sikit. Waze ni pun satu... asyik bagi jalan yang salah. Huh!" Fahri membebel sendirian. Rasa bengang terhadap Badrul pun ada kerana mematikan panggilannya.

Fahri meneruskan pemanduannya mencari rumah yang Badrul maksudkan. Semakin jauh dia memandu semakin tiada rumah yang kelihatan kecuali pokok-pokok dan semak samun. Jalan tar sudah berganti dengan jalan tanah merah yang berbatu-bata. Cuaca di luar semakin terik. Mujur sahaja dia pasang penghawa dingin. Sedikit sebanyak menyejukkan hatinya yang sedang hangat. Tiba-tiba keretanya semakin bergerak dengan perlahan. Fahri mula cuak apabila keretanya buat hal. Dia terus memberhentikan keretanya ke tepi jalan.

"Dah kenapa pula ni?" kata Fahri sambil menghidupkan enjin kereta.

Berkali-kali dia cuba menghidupkan enjin kereta tetapi tidak berjaya. Fahri mula bermandi peluh.

"Aduhhh! Minyak habis pula," rungutnya apabila melihat bar meter minyak sudah kosong.

Fahri menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia keluar dari perut kereta untuk mencari bantuan sayangnya tiada seorang pun yang lalu jalan itu. Matahari semakin tegak di atas kepala. Peluh mula membasahi tubuh. Tidak tahan berada di bawah remang matahari yang terik Fahri masuk semula ke dalam kereta. Dia membuka tingkap luas-luas supaya angin dapat masuk.

"Aku nak minta tolong kat siapa ni? Satu orang pun tak ada lalu kat jalan ni. Warung pun tutup. Orang kampung ni tak keluar mengeteh ke?" gumamnya sendiri sambil memandang sebuah warung yang terletak di seberang jalan. Warung itu sepertinya tidak beroperasi.

"Nak call pun tak ada signal. Apasal teruk sangat kampung ni sampai tak ada line terus?" rungutnya lagi sambil mencari siaran untuk mendapatkan bantuan.

"Assalamualaikum."

Terperanjat Fahri apabila seseorang memberi salam di sebelahnya. Dia melihat seorang wanita tua sekitar umur 50-an dan seorang remaja lelaki sedang memegang payung berdiri di sebelah keretanya. Dengan teragak-agak dia keluar dari kereta.

"Waalaikumsalam," jawabnya perlahan. Hujung matanya sempat melirik pada sebuah kereta Viva putih berhenti betul-betul di belakang keretanya.

"Kenapa berhentikan kereta kat sini, nak? Kereta rosak ke?" soal Zubaidah.

"Er... tak rosak cuma habis minyak," jawab Fahri sambil tersengih.

"Oh... habis tu dah call orang untuk isi minyak?"

"Itulah masalah saya sekarang ni mak cik. Handphone saya tak ada signal pula dari tadi. Nak minta tolong tapi dari tadi tak ada yang lalu lalang kat jalan ni. Warung depan tu pula tutup," ujar Fahri.

"Lahh... jadi kamu seorang diri kat sini dari tadi? Kesiannya. Dahlah panas terik. Habis lencun baju tu dibuatnya. Jalan ni dah lama orang tak lalu lepas jalan kat simpang traffic light depan tu dibuka. Senang orang kampung sini dan kampung sebelah nak ke pekan. Warung yang kamu nampak tu pula dah lama x beroperasi. Tuan warung tu dah meninggal dunia tahun lepas," jelas Zubaidah panjang lebar.

Pucat lesi muka Fahri dibuatnya. Dia menelan air liur yang terasa kesat di tekak. Nampak gayanya Waze telah menghantarnya ke jalan yang salah. 'Cit! Tak guna betul engkau, Waze. Boleh pula engkau hantar aku masuk hutan!' getus hatinya.

"Anak ni nama siapa? Nama mak cik Zubaidah. Ini anak mak cik, Zarul namanya," kata Zubaidah lagi dengan ramah.

"Nama saya Fahri," balas Fahri pendek.

"Oh, Fahri. Sedap namanya. Kamu dari mana nak ke mana sampai boleh terlajak ke jalan lama ni?" tanya Zubaidah lagi.

Fahri terus menceritakan tujuan asal dia datang ke kampung itu. Zubaidah dan Zarul tekun mendengar. Sesekali mereka mengangguk kepala. Sementara itu di dalam kereta, Adelia dan Suzila sudah seperti cacing kepanasan menunggu emak mereka berbual dengan seorang lelaki yang tidak dikenali di tepi jalan.

"Lama lagi ke emak tu, kak? Orang dah tak tahan nak buang air ni," keluh Suzila.

"Alah, tunggu ajelah. Kalau engkau dah tak tahan sangat pergi tekan hon. Tak pun engkau pergilah kencing kat dalam semak tu," kata Adelia acuh tak acuh di tempat duduk belakang.

"Hisy, akak ni. Tak boleh bagi idea yang bernas sikit ke? Hmm... pukul berapa kita nak pergi rumah pak cik Zainal ni? Haih, emak ni pun... orang kenal ke tak kenal dia layan aje," rungut Suzila lagi.

Adelia malas melayan rungutan adiknya itu. Dia memilih untuk memejamkan mata. Tidur lagi bagus. Cuti hujung minggu tidak bermakna dia dapat bercuti dengan tenang. Dia balik kampung bersama tugasan yang menimbun. Malam tadi sahaja dia tidak tidur gara-gara menyiapkan kertas soalan untuk ujian yang akan dijalankan minggu hadapan.

"Rumah Cikgu Zainal bumbung warna merah? Agaknya rumah pak cik Zainal yang kita nak peegi tu tak mak?" Zarul mencelah setelah Fahri selesai bercerita.

Zubaidah menjungkitkan sebelah keningnya. "Iya tak iya juga. Kamu ada alamatnya?"

Fahri terus menunjukkan kepada Zubaidah alamat yang Badrul berikan kepadanya. Zubaidah menyuruh Zarul membacakan alamat tersebut kerana matanya tidak nampak walaupun sudah pakai cermin mata.

"Haa... betullah ni. Alamat rumah pak cik Zainal,"" kata Zarul bersungguh-sungguh.

"Hmm... memang patutlah kamu tak jumpa rumahnya, nak oii. Rumah Cikgu Zainal tu kat kampung sebelah. Kamu dah salah masuk kampung ni," ujar Zubaidah.

Fahri terlopong mulut. Patutlah dia tak jumpa-jumpa rumah mentua Badrul rupa-rupanya dia tersalah masuk kampung. Dia tersandar kelelahan di tepi kereta. Terasa sia-sia pula dia pusing satu kampung sampai habis minyak. Ini semua salah Badrul! Sempat lagi dia memarahi rakannya itu dalam hati.

Zubaidah berasa kasihan melihat anak muda di hadapannya itu. Lalu dia pun mengajak Fahri menaiki keretanya ke rumah Zainal.

"Eh, tak apalah mak cik. Susahkan mak cik sekeluarga pula." Fahri menolak dengan penuh sopan.

"Apa pula menyusahkan? Dah alang-alang kita nak pergi ke tempat yang sama jadi apa salahnya mak cik tumpangkan kamu sekali," kata Zubaidah.

Mendengar suara lembut Zubaidah membuatkan Fahri terkenang akan Mariani yang berada di hospital sakit jiwa. 'Kalaulah ibu sihat, pasti ibu juga macam mak cik Zubaidah. Aku rindukan suara lembutnya,' getus hatinya.

"Fahri?"

Fahri tersedar dari lamunan. "Tapi kereta saya ni..."

"Abang jangan risau. Nanti saya suruh kawan saya tengokkan kereta abang ni." Zarul mencelah sekali lagi.

Serba-salah Fahri dibuatnya. Setelah dipujuk oleh Zubaidah berkali-kali akhirnya dia akur. Setelah memastikan tidak tertinggal barang penting Fahri pun berjalan ke kereta Viva putih di belakang keretanya.

"Fahri duduk belakang. Tapi maaflah ada anak dara mak cik kat belakang tu. Takut kamu tak selesa pula," kata Zubaidah.

"Tak apa, mak cik. Saya okey aje," balas Fahri. Sebaliknya dia yang risau kalau-kalau anak dara Zubaidah yang tidak selesa dengan kehadirannya.

Tanpa membuang masa Fahri terus membuka pintu tempat duduk belakang. Saat dia ingin masuk ke dalam kereta dia terkejut melihat Adelia berada dalam kereta. Begitu juga dengan Adelia. Dia turut terkejut melihat Fahri di situ. Mereka saling berbalas pandangan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience