-Setahun Kemudian-
"Kes awak ni sangat rumit. Ramai ibu bapa yang dah mula buat report pasal awak. Mereka juga dah usulkan dalam mesyuarat PIBG supaya tidak mengambil awak semula mengajar di sekolah. Saya minta maaf, Adelia. Saya tak boleh nak buat apa-apa dalam hal ini. Saya tahu awak tak bersalah dan awak hanya menjalankan tugas awak sebagai guru tapi... damage has been done. Apa-apa pun kita tunggu keputusan daripada pihak atasan."
Adelia menamatkan panggilan telefon bersama pengetua di sekolah lamanya dengan keluhan yang berat. Dia melempar telefon bimbit ke tepi sebelum menghempaskan tubuhnya ke katil. Dia baring terlentang sambil merenung kipas yang ligat berputar di siling.
Setahun yang lepas, pihak polis telah memanggilnya untuk di soal siasat berhubung kes kematian arwah Mia. Ada desas-desus yang mengatakan dia cuba menghasut Mia supaya membunuh diri sewaktu dalam sesi kaunseling. Itu belum masuk lagi saman daripada keluarga angkat arwah Mia.
Masri dan Saripah telah menfailkan saman terhadap Adelia atas tuduhan memfitnah. Walau bagaimanapun, Adelia menang dalam kes tersebut apabila dia berjaya mengemukakan bukti yang menunjukkan Masri dan Saripah telah mendera anak angkat mereka. Dia juga turut menyerahkan laporan daripada doktor tentang jenayah seksual yang Masri lakukan terhadap arwah Mia.
Pihak polis telah menahan Masri tetapi lelaki itu berjaya melarikan diri dan sehingga sekarang masih dalam buruan polis. Manakala Saripah pula ditempatkan di hospital sakit jiwa akibat tekanan perasaan. Lebih-lebih lagi setelah dia mendapat tahu suaminya telah memperkosa anak angkat mereka.
Walaupun Adelia berjaya membersihkan namanya, masih ada segelintir ibu bapa yang tidak mahu dia meneruskan khidmat di sekolah anak mereka. Lebih-lebih lagi apabila ada pelajar di bawah jagaannya mati bunuh diri. Setelah mengambil kira pelbagai faktor, pihak atasan terpaksa menggantung khidmat Adelia sebagai tenaga pengajar buat sementara waktu sehinggalah keadaan kembali reda.
Sehingga sekarang dia masih tidak di panggil untuk kembali berkhidmat. Sudah beribu-ribu surat serta e-mel dia hantar kepada pihak sekolah, PPD bahkan KPM namun jawapannya tetap sama. Selama setahun di gantung kerja, Adelia telah lakukan pelbagai pekerjaan demi menampung keperluan hidup. Pada waktu siang dia bekerja sebagai kerani kilang. Pada sebelah malam pula dia mengambil upah sebagai guru tuisyen.
Tapi, sampai bila dia harus bekerja seperti itu? Dia perlukan sumber kewangan yang kukuh untuk membayar segala hutang selain membantu keluarga. Selepas ayahnya meninggal dunia lima tahun yang lepas, dialah tempat keluarganya bergantung. Dia masih ada ibu yang perlu dijaga kebajikannya dan dua orang adik yang masih belajar.
"Apa yang harus aku lakukan?" bisiknya sendiri.
Tok! Tok!
Adelia tersentak dari lamunan apabila terdengar bunyi ketukan pada pintu sebelum di buka dari luar. Tersembul kepala adik bongsunya Zarul di pintu.
"Kak, tidur ke?"
Adelia terus bangkit dari katil. Dia berpura-pura mengemas katil.
"Mana ada tidur. Engkau tak nampak akak tengah mengemas ni?" omelnya.
Zarul hanya tersengih. "Iyalah. Cepat sikit kemas tu. Mak panggil suruh tolong kat dapur," beritahunya sebelum kembali menutup pintu.
Adelia tergaru-garu kepala. Sempat lagi dia tertanya-tanya dalam hati sebab apa emaknya memanggil. Tidak mahu orang tuanya menunggu lama dia terus merapikan rambutnya yang serabai sebelum turun ke dapur.
Sementara itu di dapur Zubaidah sibuk membuat kuih sambil dibantu oleh anaknya yang nombor dua, Suzila.
"Lipat daun pisang tu bagi kemas lagi supaya bancuhan tepung tadi tak terkeluar dari kelongsongnya. Barulah lepat pisang ni nampak cantik bila dah siap masak nanti," terang Zubaidah sambil menunjukkan cara-cara membungkus lepat pisang kepada anaknya.
Suzila yang berusia 18 tahun itu terangguk-angguk sambil mengikut apa yang di suruh oleh emaknya. Wajahnya tampak serius dan tekun sekali dalam membuat kerja.
"Emak masak apa tu?" Adelia bertanya sambil membelek daun pisang yang sudah siap dipotong di atas meja makan
Zubaidah menoleh.
"Haa... bagus engkau tanya. Meh, tolong mak layurkan daun pisang tu. Mak nak buang air kejap. Cepat sikit. Banyak yang nak kena masak ni," arah Zubaidah sebelum masuk ke bilik air.
Adelia tergaru-garu kepala dibuatnya. Dia paling tidak suka melayur daun pisang. Lalu dia menyenggol bahu adiknya sambil membuat isyarat supaya mengambil alih tugasnya. Suzila mencebik bibir.
"Tak nak. Tadi orang dah buat sampai hangus jadinya. Habis kena bebel dengan mak. Akak buatlah," kata Suzila sambil menunjuk daun pisang yang hangus dikerjakannya.
"Habis tu engkau ingat akak buat tak hangus? Silap hari bulan daripada 10 keping tinggal sekeping saja yang tinggal. Tolonglah. Akak baru saja cantikkan kuku. Nanti hitam-hitam kuku akak dibuatnya," kata Adelia sambil menunjuk jarinya yang runcing.
Sekali lagi Suzila mencebik bibir.
"Apa susahnya? Akak layur guna penyepit bukannya tepek tangan akak kat atas api."
"Alah, tolonglah," rengek Adelia mengalahkan budak kecil.
"Tak nak. Lagipun emak yang suruh akak buat benda alah tu. Mana boleh pass kat orang," balas Suzila sambil menjelirkan lidah.
Adelia berasa bengang. Dia cuba merampas sudu di tangan adiknya tetapi Suzila terlebih dahulu mengelak. Berlakulah adegan kejar-mengejar di dapur antara mereka berdua. Zubaidah yang baru sahaja keluar dari bilik air terkejut melihat dua anak daranya sedang berlari-lari di dapur.
"Astaghfirullah al'azim! Nak jadi apa dengan engkau orang ni, hah?!" tengkingnya sambil bercekak pinggang.
Adelia dan Suzila terus berhenti berlari apabila mendengar suara emak mereka menjerit. Kelam-kabut mereka membuat kerja masing-masing.
"Aku baru tinggalkan sekejap dah tunggang-langgang dapur ni dibuatnya. Buat malu sajalah kalau dengar dek jiran dah besar panjang pun masih nak kena marah." Zubaidah mula membebel.
Adelia dan Suzila saling menjeling. Masing-masing saling menarik muka masam. Sempat lagi mereka berbalah mulut sebelum di tegur oleh Zubaidah.
"Buat kerja guna tangan bukan guna mulut!"
Zarul yang baru pulang dari kedai sempat mengejek kakak-kakaknya yang baru sahaja kena marah dengan emak mereka. Semakin panas hati Adelia dan Suzila melihat adik bongsu mereka mengejek mereka.
*****
"Banyak betul emak masak lepat pisang kali ni. Ada orang order, ke?"
Adelia menyusun kuih lepat pisang yang sudah siap dikukus ke dalam bekas kedap udara. Adalah dalam tiga bekas besar. Boleh buat niaga ni, bisik hatinya.
"Taklah. Kuih ni mak nak hantar ke rumah Cik Biah engkau. Malam karang ada kenduri di rumahnya. Engkau kerja malam ni?" soal Zubaidah semula.
Adelia menggeleng kepala.
"Bagus. Engkau jadi driver emak. Emak tak nampak jalan kalau drive malam-malam," kata Zubaidah.
"Zila kan ada. Suruhlah dia hantar. Kan baru dapat lesen kereta," kata Adelia lagi sambil mengerling ke arah adiknya.
"Hisy. Emak tak berani nak naik kereta dengan adik engkau tu. Bawa macam pelesit. Padahal lalu jalan kampung saja. Engkau nak tahu, hari tu sikit lagi adik engkau ni nak langgar lembu Si Seman Sengau tu. Emak kat sebelah ni rasa nak gugur jantung dibuatnya." Zubaidah bercerita.
"Apa?" teriak Adelia sambil memandang Suzila dengan mata bulat.
Suzila hanya tersengih sebelum berlari masuk ke bilik. Lebih baik dia larikan diri dahulu sebelum mendengar kakaknya membebel.
"Engkau nak lari ke mana tu, Zila? Amboi! Bukan main lagi dia. Baru dapat lesen dah tunjuk dia punya otai. Aku bayar yuran lesen engkau tu bukan untuk engkau drift atas jalan raya!" Adelia mula membebel.
"Alah, sudahlah tu. Nanti-nanti ajelah engkau bebelkan dia tu. Ni emak nak tanya sikit. Marilah duduk dekat sini," kata Zubaidah sambil menggamit anak sulungnya itu supaya duduk dekat dengannya.
Adelia menarik kerusi dekat dengan emaknya. Matanya tidak berkelip memandang wajah tua itu. Melihat pada air muka Zubaidah, seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan.
"Kenapa, mak?"
"Erm, macam mana dengan sekolah engkau tu? Dia orang ada panggil engkau balik mengajar, ke?"
Adelia terkedu. Dia mengetap bibir. Perlahan-lahan dia menggelengkan kepala. Zubaidah menarik nafas sedalamnya sebelum dilepaskan dengan perlahan. Dia faham akan maksud anaknya itu. Kalau sudah bukan rezeki di situ apa boleh buat. Perlahan-lahan dia mengusap lembut tangan anaknya.
"Tak apalah, nak. Mungkin bukan di situ tempat engkau mencari rezeki dan menaburkan bakti. Insya-Allah adalah tu rezeki engkau kat tempat lain. Sabar, ya."
Adelia mengangguk perlahan. Dia cuba menerima takdirnya itu walaupun pahit untuk dia menelannya. Dia cuba untuk bersangka baik kepada Tuhan atas apa yang berlaku.
"Kenapa emak tiba-tiba tanya?" soal Adelia pula.
"Saja emak tanya. Bukan apa... emak kesian tengok engkau terpaksa buat banyak kerja sebab nak tanggung keluarga kita. Nak bayar hutang belajar dan kereta. Adik-adik nak sekolah lagi. Semua tu guna duit. Emak nak bantu pun, berapa sangatlah upah jual kuih tu. Nak bayar kereta engkau tu pun tak lepas," kata Zubaidah dengan nada yang sebak.
Adelia turut berasa sebak tetapi dia cuba menahan diri. Dia segera mengesat air mata yang bertubir di tepi mata.
"Akak okeylah, mak. Setakat ni akak boleh tanggung semua tu dengan kerja akak sekarang ni. Gaji kerani kilang tu cukup untuk kita sekeluarga. Tu belum masuk lagi upah akak buat part time tuisyen. Jadi, emak tak perlulah risau. Anak emak ni kalau kena hantar kat pulau tak berpenghuni pun boleh hidup, tau! Setakat kena gantung kerja tu... apalah sangat. Berlambak kerja kat luar tu yang perlukan khidmat akak," kata Adelia sambil mendabik dada.
Zubaidah yang dalam kesedihan terus tidak jadi sedih apabila melihat gelagat anaknya itu. Dia mengusap lembut belakang badan Adelia.
"Iyalah. Emak tak akan rungsing lagi. Emak tahu anak emak ni ligat otaknya. Emak cuma doakan semoga anak emak ni dipermudahkan urusannya, dilapangkan segala kesulitannya. Aaminn." Zubaidah berdoa.
"Aaminn," balas Adelia diikuti dua adiknya, Suzila dan Zarul.
Rupa-rupanya mereka juga turut memasang telinga sedari tadi. Riuh rendah rumah papan itu dengan gelak tawa anak-anak Zubaidah di petang hari.
*****
"Terima kasih Idah sudi datang. Buat susah-susah sajalah engkau ni siap bawa kuih," ujar Cik Biah sambil mengambil bekas yang dihulurkan oleh sepupunya.
"Alah, tak ada susah pun, Biah. Boleh buat tambah-tambah lauk nanti," kata Zubaidah sambil melabuhkan punggung ke kerusi.
"Hmm, sedapnya lepat pisang engkau ni. Tak sah kalau tak ada lepat pisang engkau ni, Idah." Cik Biah memuji sambil menjamah sekeping dua lepat pisang Zubaidah.
Di ruang tamu kedengaran suara jemaah dari surau berdekatan sedang membaca surah Yassin dan tahlil. Terdapat tirai yang memisahkan antara jemaah lelaki dan perempuan. Adelia dan adik-adiknya turut serta dalam bacaan tahlil itu. Semasa imam sedang membaca doa tahlil, Adelia mengajak Suzila ke dapur apabila melihat Zubaidah memberi isyarat supaya membantunya di dapur.
"Tolong bawa lauk-lauk ni ke khemah. Kejap lagi jemaah nak makan lepas habis baca doa," arah Zubaidah.
Adelia dan Suzila akur tanpa banyak bicara. Mereka bersama beberapa orang perempuan yang ada di dapur bergotong-royong menyediakan juadah untuk jemaah yang datang. Walaupun sekarang ini sudah banyak khidmat katering tetapi Cik Biah lebih suka masak sendiri. Mujur sahaja ada jiran dan saudara mara yang sudi membantu.
Setelah selesai bacaan tahlil, jemaah lelaki pun menjamu hidangan yang disediakan di khemah yang terletak di halaman rumah. Manakala jemaah perempuan lebih memilih menjamu hidangan di dalam rumah. Begitu juga Adelia dan adiknya.
Sewaktu Adelia ingin mengambil makanan di khemah, seseorang datang menyapanya.
"Eh, ni Lia anak arwah abang Khalil, kan?"
Adelia segera menoleh. Seorang lelaki tua berbaju Melayu dalam lingkungan 50-an tersenyum memandangnya. Adelia merenung wajah lelaki itu sedalamnya. Rasa macam kenal tapi siapa?
"Ini pak cik Zainal lah. Dah lupa, ke?"
Adelia terdiam seketika. Otaknya bekerja keras mengingati figura lelaki bernama Zainal itu dalam kotak memorinya.
"Err... ini pak cik Zainal sepupu arwah ayah yang mengajar di bandar tu, kan?" Adelia cuba meneka.
Zainal tertawa kecil sambil mengangguk. "Tapi sekarang pak cik dah tak mengajar dah."
Mata Adelia membulat. "Pak cik dah bersara, ke?"
Sekali lagi Zainal mengangguk. "Dah cukup tempoh kita bersaralah. Bagi peluang kat guru-guru baru meneruskan khidmat bakti mendidik anak bangsa."
Adelia terangguk-angguk tanda setuju tetapi dalam masa yang sama dia berasa sedikit terkilan dengan situasinya.
"Pak cik apa khabar? Lama kita tak jumpa lepas arwah mak cik Asmah meninggal," ujar Adelia perlahan.
"Pak cik baik-baik saja. Biasalah, Lia. Masing-masing ada kehidupan masing-masing yang perlu dijalani. Waktu kenduri macam ginilah baru dapat jumpa," kata Zainal dengan berhemah.
"Betullah tu." Adelia bersetuju. Dia sendiri sibuk dengan urusan hidupnya. Bila ada kenduri seperti ini barulah dia dapat jumpa saudara mara yang jauh.
"Lia mengajar di mana sekarang ini?" soal Zainal. Seingatnya anak arwah sepupunya itu seorang pendidik sama sepertinya.
Adelia tergaru-garu kepala yang dilitupi tudung bawal. Dia tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Zainal tentang keadaannya. Nak tak nak dia terpaksa meluahkan. Zainal tekun mendengar. Sesekali dia menyampuk.
"Macam gitulah kisahnya pak cik. Sekarang ni saya kerja kerani kat bandar. Ada juga saya buat rayuan kat PPD tapi senyap macam tu saja. Kadang-kadang saya rasa macam tak adil tapi nak buat macam mana? Nak tak nak kena terimalah."
"Pak cik faham situasi kamu. Kamu pun dah buktikan yang kamu tak bersalah tapi khabar angin yang bertiup tu membuatkan kerjaya kamu jadi tersekat. Masa zaman pak cik mengajar dulu pun ada saja ibu bapa yang tidak suka dengan cara pak cik mengajar sampaikan ada yang buat surat hantar ke PPD suruh tukarkan pak cik ke sekolah lain gara-gara pak cik garang sangat mengajar anak mereka. Bukan nak kata semua tapi ada segelintir ibu bapa yang macam tu. Kalau boleh tak nak anak mereka kena cuit atau herdik langsung. Kita sebagai guru ni jadi serba salah nak mengajar. Itulah salah satu cabaran kita sebagai pendidik. Sebab tu nak jadi cikgu ni mental dan fizikal kena kuat," kata Zainal panjang lebar.
Adelia setuju dengan kata-kata Zainal. Menjadi seorang pendidik memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang jitu. Orang luar melihat kerjaya guru sebagai suatu kerjaya yang mudah namun hakikatnya hanya jauhari mengenal manikam. Banyak cabaran yang harus ditempohi oleh seorang pendidik.
"Kamu tak usah risau. Kalau memang jalan rezeki kamu dalam dunia pendidikan, Insya-Allah pasti ada jalannya," kata Zainal lagi.
Adelia mengangguk sambil tersenyum manis. Dia yakin dengan rezeki Allah SWT. Insya-Allah. Beberapa hari kemudian, dia mendapat panggilan daripada Zainal.
"Anak pak cik ada beritahu yang sekolah dia perlukan guru ganti tiga bulan sebab ada guru cuti bersalin. Pak cik ada usulkan nama kamu kat dia. Anak pak cik cakap kalau kamu setuju bolehlah datang lapor diri ke sekolahnya."
Adelia berasa teruja mendengar perkhabaran itu.
"Boleh juga tu, pak cik? Kat mana sekolah anak pak cik tu?"
"Alah kat sekolah lama kamu belajar tu. Sekolah Menengah Seri Bakti," kata Zainal di hujung talian.
Adelia tergamam. Serta-merta telefon bimbitnya terlepas dari genggaman.
"Helo? Helo, Lia?"
Suara Zainal sekali lagi kedengaran di hujung talian.
Jemput baca naskhah saya yang baru
Share this novel