"Macam mana keadaan Auni, doktor?" tanya Adelia sebaik sahaja melihat doktor lelaki yang merawat Auni keluar dari wad kecemasan.
"Puan ni siapa kepada pesakit? Penjaga ke?"
"Saya cikgunya."
"Di mana ibu bapa pelajar tu?"
"Mereka on the way. Macam mana keadaan Auni, doktor? Dia tak apa-apa, kan?" soal Adelia sekali lagi.
"Pesakit berada dalam keadaan baik. Mujur dia telah mendapatkan rawatan CPR lebih awal jika tidak... mungkin nyawanya dalam bahaya."
Adelia menarik nafas lega. Hati siapa yang tidak cuak tatkala melihat Izmer mengendong Auni yang tidak sedarkan diri dalam keadaan basah kuyup. Mujur ada Fahri yang segera melakukan CPR ke atas Auni apabila mendapati gadis itu tidak bernafas.
"Cikgu, yang sebenarnya ada benda penting saya nak cakap dengan cikgu. Mari ikut saya," kata doktor itu sambil membawa Adelia masuk ke dalam wad kecemasan.
Adelia mengekori doktor itu dengan penuh tanda tanya. Dia berasa pelik apabila doktor itu berhenti di hadapan katil Auni. Yang lebih memeranjatkannya apabila doktor lelaki dengan selambanya menyelak lengan baju Auni. Adelia tergamam. Dia terkejut melihat banyak kesan terbakar pada lengan Auni. Bukan itu saja terdapat beberapa kesan lebam yang masih baharu pada badan Auni.
"Mengikut pemerhatian saya kesan terbakar pada lengan Auni masih lagi baru. Selain itu terdapat beberapa kesan luka yang sudah lama pada badan Auni. Erm, cuba cikgu tengok pula kat bahagian kepala."
Doktor itu menyelak sedikit tudung yang menutupi kepala Auni. Mata Adelia terbeliak luas tatkala melihat sebahagian rambut Auni telah dicukur sehingga botak licin.
"Saya syak Auni telah menjadi mangsa buli!"
Suara doktor itu bagaikan halilintar menyambar telinga Adelia. Dia tidak menyangka ada di kalangan pelajarnya menjadi mangsa buli. Siapa yang membuli? Apakah si pembuli berada dalam kalangan pelajarnya atau orang luar? Pening kepala dibuatnya. Setelah menguruskan proses pemindahan Auni ke wad biasa Adelia terus mendapatkan Izmer dan Mardhiah yang sedang duduk termenung di ruang menunggu.
"Apa sebenarnya yang dah berlaku? Kenapa kamu bertiga pergi ke tasik tu? Izmer! Mardhiah!" Adelia terus melulu menyoal.
Izmer dan Mardhiah hanya diam membisu. Masing-masing menundukkan kepala. Adelia mendengus kasar apabila pertanyaannya langsung tidak dijawab. Dia benar-benar terkejut apabila mendapat tahu Auni lemas di Lotus Lake. Apa yang Izmer, Mardhiah dan Auni buat di sana? Bukankah mereka sudah sedia maklum yang Lotus Lake merupakan kawasan larangan.
"Macam mana cikgu nak tolong kalau kamu berdua langsung tak nak buka mulut. Izmer, kamu tahu ke yang Auni kena buli? Izmer! Kamu dengar tak cikgu cakap ni?!"
Izmer tersentak apabila namanya dipanggil. Dia mendongak memandang wajah garang Adelia sebelum kembali menunduk ke lantai. Tidak berani dia memandang wajah garang Adelia saat itu.
Adelia semakin tidak sabar jadinya apabila kedua-dua pelajarnya itu berterusan membisu. Apa yang dia nak jawab dengan orang tua Auni sebentar nanti? Itu belum masuk lagi dengan pihak asrama dan sekolah. Sah-sah namanya akan naik kerana dia merupakan guru kelas Auni walaupun hanya guru ganti.
"Bagilah mereka tenang dulu. Nanti mereka dah okey engkau tanyalah mereka elok-elok," kata Fahri tiba-tiba.
Terkejut Adelia apabila melihat Fahri masih lagi berada di situ. Dia sangka Fahri sudah pulang kerana lelaki itu tiba-tiba sahaja menghilang selepas menurunkannya di lobi hospital.
"Nah! Balut badan student engkau tu. Kesian mereka kebasahan. Nanti demam pula," kata Fahri lagi sambil menghulur kain bersih kepada Adelia. Yang sebenarnya dia keluar kerana mencari kain bersih. Kasihan pula melihat dua remaja itu memakai baju basah.
Adelia berasa terpukul. Dia terlalu sibuk memikirkan tentang keadaan Auni sehingga terlupa akan dua orang pelajarnya itu. Dia terlalu sibuk tentang keadaan Auni sehingga tidak sedar yang Izmer dan Mardhiah sedang menggigil kesejukan. Dengan segera dia membalut tubuh dua remaja itu dengan kain bersih.
"Cikgu minta maaf sebab tak ambil peduli pasal kamu berdua. Maafkan cikgu," ujar Adelia sambil memeluk erat tubuh Mardhiah dengan harapan dapat menyalurkan kehangatan pada gadis itu.
Mardhiah yang membisu sedari tadi mula menangis teresak-esak. Dia turut membalas pelukan Adelia dengan penuh erat. Fahri melihat Adelia sedang berusaha menenangkan pelajarnya. Kemudian matanya beralih pula pada Izmer yang sedang duduk termenung sendirian. Dia tidak terasa ingin menemani remaja itu. Sebelum beredar dia perasan tangan Izmer penuh dengan luka-luka.
"Nah!"
Izmer terkejut apabila Fahri tiba-tiba sahaja menghulurkan milo panas kepadanya. Rupa-rupanya Fahri keluar sebentar kerana membeli makanan buat mereka berempat. Izmer memandang wajah Fahri seketika sebelum teragak-agak mengambil minuman itu.
"Te... terima kasih..."
Fahri hanya mengangguk sambil melabuhkan punggung di sebelah Izmer. Kemudian dia mengeluarkan plaster dan krim luka dari satu lagi plastik.
"Bak sini tangan engkau."
Izmer sekali lagi tersentak apabila Fahri tiba-tiba sahaja mahu melihat tangannya. Dia membelek tangannya. Baru dia perasan tangannya penuh dengan luka. Dia mendapat luka itu sewaktu cuba memecahkan mangga pagar menggunakan batu. Dengan teragak-agak dia pun menghulurkan sebelah tangan kepada Fahri. Fahri terus meletakkan krim luka pada tempat yang luka. Sesekali terdengar suara Izmer mendesis menahan sakit.
"Tahan sikit. Kata anak jantan," ujarnya.
Sekali lagi Izmer menundukkan wajah. Dia merenung ke lantai. Wajahnya tampak keruh. Fahri melirik mata pada Izmer. Dia bagai mengerti gelora yang merajai dalam diri remaja itu.
"Masa aku sebaya engkau, aku dan kawan aku pernah ponteng sekolah semata-mata nak mandi pantai. Aku siap tipu ayah beritahu dia yang aku ada training pada hari tu. Seingat aku, itulah kali pertama aku buat kerja gila sampai sanggup tipu ayah." Fahri mula bercerita tanpa dipinta.
Izmer mengangkat kepalanya. Tidak berkelip dia memandang Fahri. Adelia yang sedang menenangkan Mardhiah turut memasang telinga.
"Dipendekkan cerita masa aku dan kawan aku tengah syok mandi pantai tiba-tiba kawan aku lemas. Aku cuba selamatkan dia dan bawanya ke tepi pantai. Masa tu aku panik sangat bila kawan aku tak sedarkan diri, tak bernafas. Aku buntu. Tak tahu nak buat apa masa tu. Nak telefon ambulan handphone pula habis bateri. Nak buat CPR tak reti. Aku rasa macam orang bodoh terjerit-jerit minta tolong. Sampailah ada seorang pak cik tu datang dan bantu kawan aku. Alhamdulillah, kawan aku selamat dan terus dikejarkan ke hospital."
Fahri berhenti bercerita. Dia memandang Izmer yang turut memandangnya. "Sumpah aku cakap, masa tu aku rasa diri aku ni loser gila. CPR pun tak reti buat. Kalau bukan sebab pak cik tu... mungkin kawan aku dah arwah. Hmm, lepas daripada kejadian tu aku pun terus ambil kursus CPR. Sebagai persediaan kalau kejadian yang sama berulang Maklum sajalah niat nak mandi pantai lepas tu tetap ada," tambahnya sambil tertawa kecil.
Izmer terlopong mulut mendengarnya. Patutlah dia tengok Fahri cekap melakukan CPR ke atas Auni sebelum ambulan sampai. Tidak seperti dirinya. Terkial-kial sewaktu cuba melakukan CPR ke atas Auni. Terbit rasa kesal di hati Izmer kerana tidak mampu membantu rakan sekelasnya. Fahri melihat wajah muram Izmer. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran remaja itu. Dengan perlahan Fahri menepuk lembut paha Izmer.
"Jangan risau. Tadi aku dengar doktor yang merawat kawan engkau tu cakap dengan cikgu engkau yang kawan engkau tak apa-apa. Engkau dah lakukan yang terbaik. Jadi, engkau tak perlu salahkan diri hanya sebab tak mampu lakukan CPR dengan baik. Semua tu boleh belajar. Luka kat tangan engkau ni bukti yang engkau dah melakukan sedaya yang boleh," kata Fahri lagi sambil menampal plaster di tangan Izmer.
Izmer merenung tangannya yang bertampal plaster. Apa yang Fahri cakapkan itu tadi ada betulnya. Tidak wajar untuk dia menyalahkan diri hanya kerana tidak mampu melakukan CPR dengan baik. Semua itu boleh dipelajari dengan perlahan-lahan. Tambahan pula, Auni selamat. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Izmer mengangkat kepala. Dia melihat Fahri sudah bangun dan hendak beredar. Izmer terus menahan lelaki itu dari pergi. Fahri terkejut apabila Izmer tiba-tiba sahaja menahannya.
"Abang... saya nak minta maaf," ujar Izmer tiba-tiba.
Fahri berkerut dahi. "Minta maaf? Pasal apa?"
Izmer menarik nafas panjang sebelum dihembusnya dengan perlahan. Dia memandang tepat ke anak mata Fahri.
"Saya nak minta maaf sebab tunjuk jari tengah kat abang hari tu," katanya laju dan sekali nafas. Wajahnya merah padma.
Fahri merenung Izmer yang tersipu-sipu. Perlahan-lahan bibirnya tersenyum nipis seraya menepuk lembut bahu Izmer. "Aku maafkan tapi kalau engkau buat lagi... aku patah-patahkan jari tengah engkau tu dan bagi anjing makan!" Sempat lagi dia mengugut.
Terbeliak mata Izmer dibuatnya. Raut wajahnya terus berubah. Fahri ketawa mengekek saat melihat reaksi Izmer. Adelia yang mencuri dengar perbualan Fahri dan Izmer sedari tadi berasa pelik melihat gelagat mereka berdua.
"Cikgu..."
Adelia menoleh. Dia melihat Mardhiah sudah reda dari menangis walaupun masih ada sedunya.
"Ada apa, Mardhiah? Awak lapar? Sekejap ya... tadi encik Fahri ada bagi makanan..." Adelia terus menggagau beg plastik berisi makanan yang Fahri berikan kepadanya sebentar tadi.
"Cikgu, yang sebenarnya... Auni cuba bunuh diri kat tasik," kata Mardhiah tiba-tiba.
Adelia tergamam. Tangannya terhenti. Matanya bulat memandang wajah anak muridnya itu. Tak semena-mena tubuhnya menggigil kuat.
"Ka... kamu cakap apa ni, Mardhiah? Cikgu tak faham." Suara Adelia berubah rentak. Tergagap-gagap.
Fahri yang sedang berbual dengan Izmer memandang ke arah Adelia. Lelaki itu berasa pelik melihat wajah Adelia yang pucat lesi seperti baru lepas nampak hantu. Lalu Fahri pun mendekati Adelia dan Mardhiah. Izmer pula mengekori dari belakang. "Kenapa ni?"
Mardhiah memandang wajah Adelia dan Fahri silih berganti. Kemudian matanya memandang pula Izmer. Izmer hanya mengangguk kepala. Mardhiah menarik nafas panjang sebelum kembali memandang Adelia.
"Yang sebenarnya Auni cuba bunuh diri sebab dia dah tak tahan jadi mangsa buli!" kata Mardhiah dengan sekali lafaz.
Adelia tergamam. Begitu juga dengan Fahri. Adelia sudah menduga perkara itu selepas dia mendapati terdapat kes peniruan dalam kelas 5 Gamma. Dia masih boleh terima jika pelajarnya ingin berkongsi jawapan sesama mereka tetapi yang dia tidak boleh terima apabila ada di antara pelajarnya menyuruh rakan mereka membuatkan kerja sekolah mereka.
"Apa?! Auni kena buli?"
Sekali lagi Adelia tersentak. Dia segera menoleh. Matanya terbeliak apabila kedua-dua orang tua Auni berada di situ bersama Ammara dan Cikgu Rusman. Adelia menelan air liurnya. Masak aku!
Share this novel