Bab 20

Drama Series 13156

Pang!!! Terkesima Adelia apabila Puan Suri, ibu kepada Auni menampar pipinya. Terkebil-kebil matanya memandang wanita itu dengan rasa bingung. Beberapa pasang mata yang ada di situ turut terkejut dengan tindakan wanita itu.

"Apa yang cikgu buat di sekolah sampai anak saya boleh kena buli, hah?!" Puan Suri terus menyerang Adelia tanpa memandang sekeliling.

Adelia menundukkan wajah. Dia sedikit terkesan dengan tindakan ibu Auni tetapi dia juga sedar akan kesilapannya. Sebagai seorang guru dia merasakan gagal dalam memikul amanah yang diberi sekaligus telah menyebabkan Auni hampir-hampir meragut nyawanya sendiri. Dia sendiri tidak menyangka boleh ada pembulian dalam kalangan pelajarnya.

"Yang, sabar sikit. Kita kat hospital ni..." tegur Encik Idham, ayah Auni. Lelaki bertubuh gempal itu mengusap lembut bahu isterinya.

Puan Suri menepis kasar tangan suaminya. "Sabar abang cakap? Macam mana saya nak sabar bila dapat tahu anak kita cuba bunuh diri sebab kena buli?" teriaknya. Air matanya mula merembas keluar seperti air hujan.

"Tapi doktor juga beritahu tadi yang anak kita tak apa-apa. Sudahlah tu. Tak elok awak bising-bising macam ni." Encik Idham memujuk.

Dengan mata yang basah dan merah, Puan Suri merenung tajam wajah Encik Idham. Seolah-olah tidak berpuas hati dengan suaminya.

"Tak apa-apa abang kata? Abang... anak kita cuba bunuh dirinya sebab kena buli, tahu! Takkan saya nak duduk diam saja? Ini semua salah dia! Kalau dia jaga pelajar dia elok-elok tak adalah sampai anak kita kena buli!" Puan Suri menuding jari ke arah Adelia.

Hati orang tua mana yang tenang apabila mendapat tahu anaknya dikejarkan ke hospital. Lebih mengejutkan apabila dia dihidangkan dengan satu berita yang tidak pernah terlintas di kepala otaknya. Auni cuba bunuh diri sebab kena buli? Tak mungkin! Dia tidak percaya anaknya kena buli. Hampir pitam dia dibuatnya saat melihat kesan terbakar pada badan anaknya. Apa dosa anaknya sehingga diperlakukan sedemikian rupa?

"Lebih baik cikgu beritahu... siapa yang buli Auni? Biar saya ajar orang tu cukup-cukup!"

Adelia menggeleng kepala.

"Saya minta maaf, puan. Saya... saya tak tahu..." ujarnya perlahan. Sempat lagi anak matanya melirik ke arah Mardhiah. Dia tidak berani hendak memetik sebarang nama meskipun ada beberapa nama yang bermain di dalam kepalanya saat itu.

"Apa? Tak tahu? Cikgu buat kerja ke tidak kat sekolah tu? Takkan hal macam ni pun cikgu tak tahu? Cikgu ni makan gaji buta ke apa, hah?" herdik Puan Suri sambil menunjal kepala Adelia beberapa kali.

Adelia mengetap bibir menahan rasa geram. Pantang sungguh baginya orang menunjal kepalanya sesuka hati. Emaknya sendiri tidak pernah menunjal kepalanya jika dia buat silap. Adelia cuba bersikap professional namun tindakan Puan Suri yang berterusan mengherdik dan menunjal kepalanya membuatkan Adelia merasakan maruahnya sebagai seorang guru di pijak-pijak. Dia ingin menegur wanita bertudung itu tetapi terbejat apabila Fahri tiba-tiba sahaja merentap tangan Puan Suri.

"Puan, kalau iya pun marah tak perlu rasanya sampai tunjal-tunjal kepala," tegur Fahri seraya menolak tangan Puan Suri dengan kasar.

Banyak mata melihat tindakan Fahri itu terutama sekali Adelia. Dia sangat terkejut apabila Fahri tiba-tiba sahaja pertahankan dirinya dari Puan Suri.

"Kamu ni siapa? Cikgu? Atau suami dia?" soal Puan Suri dengan nada tidak puas hati. Dia memegang pergelangan tangan yang terasa sakit dek direntap oleh Fahri.

Fahri terdiam. Dia memandang sekeliling sebelum anak matanya jatuh pada Adelia. Mereka saling bertatapan mata. Lama.

"Ehem!"

Fahri tersentak. Dia tersipu-sipu malu apabila banyak mata memandang ke arahnya.

"Er... bukan. Saya cuma kerani asrama saja. Tapi! Apa yang puan lakukan tadi tu memang tak patut. Nak marah boleh tapi tak perlu rasanya nak menunjal-nunjal kepala anak orang. Selidik betul-betul sebelum nak jatuhkan hukum. Jangan nak salahkan satu pihak saja," ujarnya panjang lebar.

"Kamu nak cakap kami juga penyebab anak kami kena buli?" Encik Idham pula bersuara.

"Bukan macam tu..."

"Bukan macam tu maksud Encik Fahri." Ammara mencelah setelah lama menjadi pemerhati.

Fahri terdiam apabila Ammara tiba-tiba sahaja mencelah cakapnya. Lalu dia pun memberi laluan kepada guru muda itu untuk menjelaskan kepada kedua-dua orang tua Auni apa yang cuba dia sampaikan.

"Habis tu maksud dia apa?" tingkah Puan Suri.

"Maksud Encik Fahri kita kena dengar juga cerita dari pihak Auni. Saya harap puan banyakkan bersabar. Nak salahkan Cikgu Adelia seratus peratus pun tak boleh juga. Cikgu Adelia hanya guru ganti dan dia baru bertugas tak sampai dua bulan. Jadi... normal kalau Cikgu Adelia tidak tahu tentang isu buli yang berlaku dalam kelasnya. Betul tak, cikgu?"

Ammara melontarkan pandangan kepada Adelia. Raut wajahnya tampak sinis ketika itu. Adelia tidak sedikit pun goyah tatkala melihat wajah sinis Ammara. Dia turut membalas renungan sinis Ammara itu. Dia tahu Ammara ada menyimpan rasa tidak puas hati kepadanya namun dia tidak tahu apakah yang menjadi penyebab Ammara tiba-tiba sahaja berubah sikap.

"Ahhh! Cikgu ganti ke bukan cikgu ganti ke pokoknya di sini anak saya kena buli. Buli! Cikgu faham, tak?!" bentak Puan Suri lagi.

Ammara menarik nafas panjang. Dengan perlahan dia mengangguk. "Saya faham. Saya faham sangat apa yang puan sedang rasa sekarang ni tapi... macam saya cakap tadi puan bertenang dulu. Kita tunggu Auni sedar dan kita cuba dapatkan penjelasan daripadanya. Cuma... saya harap kalau boleh kita cuba selesaikan hal ini sesama kita."

Adelia berkerut dahi mendengarnya. Dia memandang Ammara dengan wajah tidak percaya. Selesaikan sesama mereka? Apakah Ammara cuba menutup kes tersebut?

"Cikgu, saya rasa lebih baik kita laporkan kepada pihak polis dan PPD..." Adelia terus mencelah.

Ammara melemparkan jelingan yang tajam kepada Adelia. Sempat lagi dia membuat isyarat mulut menyuruh Adelia senyap. Dari raut wajahnya kelihatan seperti tidak senang apabila Adelia tiba-tiba sahaja mencelah cakapnya bersama ibu Auni.

"Laporan polis? Ke... kenapa pula kena buat laporan polis?" Encik Idham pula bersuara. Wajahnya agak pucat.

Adelia memandang Encik Idham. "Sebab Auni cuba melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya. Encik, saya cadangkan agar Auni dapat dirujuk kepada pihak kaunseling..."

"Cikgu Lia!"

Adelia tersentak. Dia melihat Cikgu Rusman mendekatinya dengan wajah yang bengis.

"Cikgu tak perlu masuk campur dalam hal ini. Cikgu Ammara dan pihak disiplin lebih tahu apa yang ingin dilakukan. Cikgu... seeloknya tak perlu masuk campur dalam hal ini. Cikgu juga akan kami soal selidik berhubung perkara ini!" jelas Cikgu Rusman dengan nada yang tegas.

"Tapi cikgu..."

"Tak ada tapi-tapi! Sekarang ni lebih baik cikgu bawa dua pelajar cikgu tu balik ke asrama. Hari dah malam," kata Cikgu Rusman lagi.

Adelia terdiam. Hatinya sedih kerana pendapatnya langsung tidak didengari oleh sesiapa. Dia tahu dia juga ada silap tetapi dia cuba untuk membantu keluarga Auni mendapatkan keadilan agar si pelaku menerima hukuman yang setimpal. Dalam diam Ammara tersenyum sinis apabila Adelia dimarahi oleh Cikgu Rusman. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila Cikgu Rusman menelefonnya dan memberitahu salah seorang pelajar aspuri cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik. Rasa risau menerjah ke dalam diri andai dirinya di persalahkan atas apa yang terjadi memandangkan kejadian tersebut berlaku semasa dia tiada di asrama. Tetapi, apabila melihat Adelia menjadi sasaran orang tua Auni sedikit sebanyak rasa risaunya itu menghilang.

'Padan muka engkau, Adelia!' bisik hati Ammara.

*****

"Tak patut betul emak Auni tunjal kepala cikgu sampai macam tu sekali. Bukannya salah cikgu kalau Auni nak bunuh diri sekalipun!" marah Izmer dengan nada tidak puas hati.

"Hisy! Tak baiklah cakap macam tu." Mardhiah menegur. Sempat lagi dia mencuit lengan Izmer sambil membuat isyarat 'senyap' kepada rakannya itu.

"Lah... salah ke aku cakap? Aku tak puas hati bila dia main tunjal-tunjal kepala Cikgu Lia tadi. Dia ingat kepala cikgu kita ni kepala anak dia nak ditunjal-tunjal? Cikgu Rusman dan Cikgu Ammara pun sama juga. Langsung tak bagi peluang kat Cikgu Lia."

"Sudahlah tu!" marah Mardhiah sekali lagi. Wajahnya menyinga memandang Izmer. Izmer pula terus terdiam apabila melihat Mardhiah sudah membuat muka bengisnya.

Alunan muzik yang berkumandang dari corong radio mengisi suasana di dalam kereta. Mardhiah melihat Fahri sedang menumpukan perhatian pada pemanduan manakala Adelia pula sedang merenung ke jalan raya. Melayan perasaan. Rasa bersalah menyelubungi diri gadis itu tatkala melihat wajah sugul Adelia. Silapnya kerana tidak segera melaporkan kepada guru kelas Auni saat mendapati gadis itu menjadi mangsa buli. Tak pasal-pasal Adelia yang menjadi tempat orang tua Auni melepaskan kemarahan.

Setelah menempuh perjalanan malam yang terasa panjang akhirnya mereka sampai juga di asrama Jasmine. Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 11 malam. Adelia terus keluar dari perut kereta sambil diikuti yang lain. Adelia memandang wajah letih kedua-dua pelajarnya dengan pandangan sayu.

"Kamu berdua mesti dah letih. Pergilah berehat."

Izmer dan Mardhiah saling berpandangan kemudian mereka kembali memandang Adelia.

"Cikgu, okey?" soal Mardhiah teragak-agak.

Adelia melemparkan senyuman manis sambil mengangguk perlahan. Dia tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Mardhiah dan Izmer tetapi dia cuba berlagak seperti biasa. Dia tidak mahu pelajar-pelajarnya susah hati disebabkannya.

"Cikgu tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran kamu berdua. Macam cikgu cakap tadi... cikgu tak apa-apa. Kamu pun tak perlu ada rasa bersalah dalam diri masing-masing. Kamu dah lakukan yang terbaik. Kamu cuba menghalang Auni dari terus bunuh diri. Cikgu bangga dengan kamu cuma..."

Adelia tidak meneruskan ayat sebaliknya dia merenung dalam-dalam wajah Izmer dan Mardhiah. Kemudian dia menarik nafas panjang.

"Kalau boleh lepas ni kalau kamu atau kawan-kawan kamu ada masalah berkaitan dengan sekolah atau asrama terus beritahu kat cikgu atau warden. Jangan pendam sendiri. Boleh?"

Izmer mengangguk tanda akur namun Mardhiah sebaliknya.

"Saya dah pernah cuba beritahu pihak sekolah tentang masalah ni tapi mereka langsung tak ambil apa-apa tindakan. Sebaliknya mereka mengagung-agungkan si pembuli tu. Cikgu rasa apa patut saya buat bila pihak yang terlibat seolah-olah cuba melepaskan batuk di tangga?"

Adelia terdiam. Dia kehilangan kata-kata apabila mendengar pengakuan Mardhiah. Dia sendiri perasan di Seri Bakti masih lagi mengamalkan konsep case closed di mana setiap masalah yang melibatkan pelajar atau kakitangan sekolah ditutup serta-merta tanpa dilaporkan ke pihak atasan dengan alasan ingin mengekalkan imej sekolah yang tiada langsung masalah disiplin. Adelia sendiri pernah mengalami situasi tersebut suatu masa dahulu. Rayuannya langsung tidak didengari dan akhirnya dia memilih untuk keluar dari sekolah itu.

"Apa engkau nak buat sekarang ni?"

Adelia tersentak. Dia segera menoleh ke belakang. Kelihatan Fahri sedang bersandar di keretanya sambil berpeluk tubuh. Adelia menyangka Fahri sudah beredar selepas menghantar dia dan pelajar-pelajarnya ke asrama. Tak sangka pula dia yang Fahri masih setia menunggu di situ.

"Apa tindakan engkau selepas ini?" soal Fahri sekali lagi.

Ketika itu hanya dia dan Adelia sahaja berada di tempat letak kereta. Izmer dan Mardhiah sudah pulang ke dorm masing-masing.

"Tindakan apa?"

Fahri mendengus. Dia berjalan mendekati Adelia. Anak matanya tidak lepas dari memandang wajah sugul itu.

"Takkan engkau nak diam diri saja? Engkau tak ingat ke apa yang perempuan tu buat kat engkau masa di hospital tadi? Dia seolah-olah cuba menyalahkan engkau anak dia kena buli!"

"Memang salah aku pun sebab tak cakna tentang perkara ni. Sepatutnya aku pantau betul-betul tingkah laku pelajar-pelajar aku," ujar Adelia dengan nada seperti orang pasrah.

"The problem is... engkau cuma guru ganti mereka dan macam yang student engkau cakapkan tadi, isu ni dah lama berlaku sebelum engkau datang ke sini!"

Adelia terdiam. Apa yang Fahri katakan itu ada betulnya. Tidak wajar untuk dia dipersalahkan bulat-bulat atas apa yang berlaku. Kejadian buli yang menimpa Auni sudah lama berlaku sebelum dia datang ke sekolah itu. Tetapi, sebagai seorang guru dia tetap berasa kesal dengan apa yang berlaku.

"Helo! Engkau dengar tak ni apa yang aku cakap? Dah pekak ke?" Fahri memanggil. Dia melambai-lambai tangan di hadapan muka Adelia apabila melihat gadis itu diam membisu sedari tadi.

Adelia mendengus. "Aku dengarlah!"

"Dah tu? Engkau nak buat apa sekarang ni?" Fahri masih lagi bertanyakan soalan yang sama.

Sekali lagi Adelia mendengus. Rasa tidak selesa apabila Fahri berterusan mengasaknya dengan soalan yang sama.

"Hee... sibuklah engkau ni! Yang engkau sibuk sangat nak tahu apa aku nak buat dah kenapa?" bentak Adelia.

Fahri terkedu. Terkebil-kebil mata dia dibuatnya apabila Adelia meninggikan suara kepadanya.

"Tak adalah. Aku... aku..."

Adelia memandang Fahri dengan rasa tidak puas hati. Sambil bercekak pinggang dia menapak Perlahan-lahan mendekati lelaki itu. Fahri pula terundur beberapa langkah apabila Adelia cuba mendekatinya.

"Engkau!"

Sekali lagi Fahri tersentak apabila Adelia menuding jari telunjuk tepat ke bawah hidungnya.

"Engkau suka aku, kan?" Adelia mula serkap jarang.

Terbeliak luas mata Fahri mendengar kata-kata Adelia. Anak matanya bulat memandang wajah Adelia yang hampir dengannya.

"Apa?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience